#PerspektifMuzik, Highlight, Terkini,

Sangkar Bahagia Atilia Haron

Pertama kali menikmati album “Sangkar” membuka pendengaran saya pada sebuah pengalaman muzik yang begitu membanggakan. Mungkin sebelum adanya “Sangkar” ilham yang paling dekat adalah “Ratu” album terbaik Sheila Majid yang juga dikemudi kehebatan akal fikir dan proses kreatif seorang Roslan Aziz. Dan “Sangkar” tidak kurang impaknya dalam membentuk Atilia sebagai pemuzik Pop masa depan ketika itu.

Setelah itu Atilia melakar kanvas muziknya dengan caranya tersendiri. Persembahan muzik secara langsung di pentas kecil sehingga projek “Malam Nada Biru” menjadi sesuatu yang cukup signifikan buatnya. Biar sudah melalui transisi besar dalam bermuzik namun tidak pernah dia memperlahankan skala persembahannya. Masih aktif di pentas Jaotim dan BoboKL antaranya.

Melabel Atilia sebagai underrated mungkin bukan frasa yang tepat saya lebih merasakan Atilia ini sebagai bakat muzik yang sering di overlooked rakyat Malaysia. Apa yang dia hasilkan mungkin tidak mengikut momentum muzik tempatan namun karya-karyanya tidak jauh dengan pesona Pop dan masih tinggi nilai komersialnya.

Lagu-lagu seperti “Indah”, “Leka”, “Bahagiaku” dan “Selalu Dengamu” datang dengan tarikan tersendiri yang mampu membawanya ke pasaran besar muzik tempatan tapi saya kira ramai daripada kita tidak melihat ia penting untuk turut sama diraikan.

Namun itu tidak langsung membuatkan Atilia hilang arah dan putus asa. Hari ini dengan tiga album yang sudah beredar dan sebuah album yang bakal menyusul berjudul “Prahara”, Atilia meneruskan apa yang dia rasakan harus dilakukan.

Keterujaan mendengarkan karya-karya terbaru sentiasa ada, namun sebelum “Prahara” diperdengarkan, Sabtu lalu Atilia buat pertama kalinya hadir dengan konsert solo perdana yang menyaksikan dia dalam sebuah repertoire muzik yang diketuai Fly Halizor yang juga long-time bassist yang sentiasa mengiringi persembahan live sebelum ini.

Dua set persembahan dengan pemilihan lagu-lagu yang bergerak dalam satu momentum muzik yang kemas menjadikan konsert ini begitu bersahaja tanpa perlu hal-hal yang terlalu besar sehingga menjadikan ia persembahan konsert terlalu bergimik. Atilia benar-benar mahu kita menikmati muziknya dengan seadanya dan menyanyi bersama.

Dibuka dengan “No Fruits For Today” Atilia dalam merdu dan lembut alunannya membuat semua yang berada di Robert’s Theatre larut. Kelebihan vokal Atilia saya kira adalah ‘ketenangan’ yang dia hasilkan dalam setiap penyampaian, suaranya mengalir lembut lewat rasa dan penceritaan yang mewakili teks lirik yang ditulis.

Ketika “Selalu Denganmu” dipersembahkan penonton semakin teruja dengan karya cipta Tompi tersebut dan ia berterusan dalam mid-tempo “Bahagiaku” yang menutup sesi pertama malam konsert tersebut. Beberapa lagu lain yang dipersembahkan di set pertama ini termasuk “Gelombang”, “Rekah” dan all time favorite saya “Salah Sangka”.

Sementara set kedua bermula. Sore Ze Band yang menjadi pemuzik jemputan menghiburkan penonton yang ada di Robert’s Theatre sebelum menutup persembahan mereka dengan berduet bersama Atilia. Malam tersebut Atilia turut menyampaikan beberapa lagu-lagu terbarunya yang bakal dimuatkan di album “Prahara” seperti “Rekah”, “Cinta Sampai Mati” dan “Dimanakah Kau Sore Ini?”.

Lebih menarik perhatian adalah sebuah lagi lagu baru, duet bersama Razak A’ai berjudul “Ceritera Sang Arjuna & Bunga” menjadi kejutan malam tersebut. Ia nyata keluar daripada kebiasaan menikmati muzik Atilia seperti sebelum-sebelum ini namun masih ada tarikannya.

Malam tersebut saya kira menjadi sebuah momen yang akan diingati Atilia pastinya sebagai seorang penghibur yang sentiasa mahukan konsert solo. Tidak banyak yang kurang selain saya sebagai penikmat muzik mengharapkan beberapa lagu datang dengan arrangement yang berbeza tetapi Atilia memilih untuk kekal pada versi asal.

Oh, saya juga sebenarnya menantikan “Duyong” dan “Ranjau” dalam versi live tetapi tidak mengapa, ia tetap sebuah lagu yang cukup istimewa. Lagu-lagu yang memiliki sifat bermuzik Atilia yang begitu kuat tanpa dibayangi mana-mana persona muzik tempatan yang pernah ada. Sehingga artikel ini ditulis saya kira ramai yang hadir malam tersebut tidak lagi mahu menanti lama “Prahara” diedarkan.

no comment
Review, Terkini,

yang kurang dan lebih di rendisi baru ‘di akhir garisan’

Lagu: Cinta di Akhir Garisan
Persembahan: Aisha Retno / Adira / Marsha Milan / Nadeera
Komposer / Lirik
Paul Begaud / Johari Teh
Produser: Ajai

Ilham rakaman semula menjadi satu kelangsungan Pop malar segar tempatan bernadi terus bagi didendangkan generasi berganti. Dalam memberi satu variasi ia menjadi satu penghasilan penting bagi melihat potensi lagu-lagu sedia ada ditinggikan standard muziknya. Hal ini sudah jelas sejak era sebelumnya – Sheila Majid meramu irama P. Ramlee lewat album legenda sehingga Dayang Nurfaizah di era Belagu nya.

Itu bary rangkaian lagu-lagu klasik belum lagi persembahan Pop yang sudah melalui arus baru muzik dengan interpretasi berbeza. Boleh jadi lebih baik dan ada juga kebarangkalian menjadi kurang menarik. Kemasan muzik semula dengan idea yang baru seharusnya seiring peredaran zaman. Jika sekadar mahu mengulang idea serupa ia sekadar okey sahajalah.

Apa yang Syafinaz persembahkan menerusi Syhhh.. satu contoh terbaik intepretasi baru yang cukup berevolusi. Lagu-lagu di album tersebut seperti memiliki hayat baru yang begitu menarik. Ilham sample yang banyak dalam lagu-lagu Hip-Hop juga menjadi salah satu ilham yang menarik untuk dihayati.

Terkini, Ajai meramu kembali Pop ikonik “Di Akhir Garisan” sebagai “Cinta di Akhir Garisan” yang lebih awal dipersembahkan cukup solid Nora, Ning Baizura, Ziana Zain dan Dessy Fitri. Sehingga hari ini lagu rakaman semula ‘End of the Line‘ daripada grup wanita Honyez itu sebati dalam sejarah Pop kolaborasi tempatan.

Dan di tahun ini mengemudi sebuah era baru naskhah ini bersama Aisha Retno, Adira, Marsha Milan dan Nadeera adalah kemasan muzik semula Ajai bersama Mac Chew yang mengemas kini instrumentasi string di lagu ini. Lebih istimewa lagu ini beriring orkestra Budapest Scoring Orchestra.

Apa yang saya mahukan sebagai pendengar adalah seuatu yang lebih kekinian dan datang dengan rendisi baru yang membezakan versi yang baru ini dengan versi sebelumnya. Namun setelah sekali dua dan beberapa minggu lamanya mengulang dengar saya tidak mendapat apa-apa magis daripada versi asalnya.

Yang terhasil menarik bagi saya hanyalah instrumentasi orkestra Budapest Scoring selain itu saya kira ia terlalu terletak pada satu acuan serupa seperti apa yang biasa kita dengar. Persembahan vokal keseluruhan baik namun ada kala rasa kurang mesra. Saya tidak pasti jika mereka berempat merakamkannya bersama atau sebaliknya tapi jika tidak bersama sekali di studio saya faham mengapa adunan rasanya kurang mesra.

Ia bukanlah penghasilan yang teruk namun ia sekadar interpretasi serupa tiada yang terlalu lebih dan tidak juga kurangnya. Cuma kalau anda seperti saya yang mencari rasa rasa yang berbeza, rendisi yang baru ini sekadar akan ada dan berlalu sahaja.

7/10


ARTIKEL BERKAITAN

no comment
Highlight, Review, Terkini,

mpt manifestasi emosi dalam muzik kaka azraff

Album: MPT
Persembahan: Kaka Azraff
Produser: Budakbro / SonaOne / k10

Konsistensi Kaka dalam bermuzik dengan caranya itu satu hal yang saya kira datang dengan dedikasi dan kepercayaan kuat pada apa yang dia percaya. Hal itu datang dengan risiko sama ada ia mampu terus diterima meluas atau akan ada yang merasakan dia stagnant dalam radar muziknya. Namun dalam kes Kaka saya kira dia berevolusi dalam muziknya sendiri yang jauh meninggalkan mana-mana bakat solo wanita yang terikat dengan ilham Balada khususnya.

Not by saying that Kaka tiada langsung pengaruh Balada dalam muziknya namun dia menghasilkannya dengan cara yang tersendiri. Contoh terbaik ada lewat lagu “Hilang” bersama Ezra Kong yang saya sifatkan sebagai salah satu lagu terbaik yang pernah dia hasilkan. Biar penerimaannya tidak semeluas “GILA” namun Kaka sentiasa mengunjurkan dirinya untuk mencuba sesuatu yang diluar kebiasaan tetapi masih dalam landskap muziknya yang distingtif.

Lama perjalanan bermuziknya yang rata-rata datang dengan pengalaman bersama ALYPH dalam karya “Bukan Hal Aku”, “Sibuk” dan “Diamonds” antaranya. Tentu saja perkhabaran album solo yang beredar Februari lepas ini datang dengan ekspektasi ia akan dikemudi ALYPH juga sebagai produser. Namun Kaka mengejutkan saya dengan kemunculan album perdana yang tiada langsung karya ciptaan ALYPH.

Itu antara membuat saya sebagai pendengar Kaka di titian skeptikal dan teruja – apa ini akan menjadi arah baru atau ia merendahkan standard muzik yang cukup tinggi diciptakan ALYPH dalam karya-karya buat Kaka sebelum ini. Namun Kaka ada caranya sendiri, MPT yang terisi 7 lagu keseluruhan mencipta satu momentum berbeza tetapi tanpa hilang, masih kental jiwa Kaka itu sendiri.

“Takleh Usik” menjadi kemunculan semula Kaka setelah lama tidak hadir dengan single baru tahun lalu. Dan ketika pertama kali mendengarkan lagu ini saya tahu ada sesuatu yang berbeza Kaka mahu persembahkan. Ini mungkin bergerak sebagai era baru karier bermuziknya. EDM berpengaruh kuat lewat lagu ini namun attitude R&B Kaka masih utuh mendepani lagu ini tanpa menghilangkan segala hal yang dituntut to elevate muziknya.

“Bully” (SonaOne / Kaka Azraff) sebuah lagi karya cipta SonaOne bersama Kaka yang turut membawa infusi EDM lewat lagu ini. Jiwa Kaka sebati dalam persembahan lagu ini, melodinya catchy, liriknya menyulam baik dan rima yang ditulis. Groove dalam muzik dan attitude Kaka melengkapi kehendak penciptaan. Ia pembuka album yang begitu strong saya kira.

Bersama Budakbro (Yonnyboii), Kaka menghasilkan beberapa lagu yang agak beremosi sifatnya. “Arguments” yang beredar lebih awal menjadi satu standard berbeza menikmati muzik Kaka dan penciptaannya lebih personal lewat penciptaan “Berubah”. Ini mungkin lagu paling dalam emosinya di album ini. Bait-bait lirik yang ditulis dalam teks penuh humanisme “Banyak sangat tak terluah // Mungkin musim yang berubah // Ku menyimpan dah berbuah // Semua sakit dalam hatiku.”

“Aku” dan “TQVM” dua lagi naskhah ciptaan bersama SonaOne membentuk “MPT” sebagai sebuah album yang cukup lengkap sifatnya seorang Kaka sebagai persona R&B Pop moden tempatan. Kematangan jelas dalam pengisian album ini. Melodinya, penulisan liriknya sehingga produksi muzik yang cukup kemas dan kesemua hal-hal ini menjadikan Kaka di legasinya yang cukup tersendiri.

Bertuah sebetulnya kita memiliki bakat seperti Kaka yang mahu sentiasa mencabar dirinya menghasilkan sesuatu yang berbeza daripada apa yang meriah di pasaran muzik semasa. Dan saya pasti “MPT” hanyalah satu permulaan baru kerana masih banyak yang ada dalam relung kreatifnya untuk dipersembahkan dengan lebih keterujaan dan kematangan di masa mendatang. A solid album.

9.2/10


ARTIKEL BERKAITAN

no comment
Highlight, Review, Terkini,

Megat Fazly Berlegar di Ruang Personal Lewat “Terma & Syarat”

Album: Terma & Syarat
Persembahan: Megat Fazly
Produser: Megat Fazly

Awal tahun ini Megat melepas single buat siri “Goodboys Go To Heaven” menerusi lagu “Kau di Syurga” menciptakan sesuatu yang cukup kuat untuk dia diperdengarkan dalam sebuah skala lebih komersial. Setelah sinonim bersama kugiran Mafidz, Megat membawa langkah sendiri lewat persembahan solo yang ilhamnya tidak jauh daripada sound Mafidz tetapi nyata terhasil lebih personal.

Penghasilan “Terma & Syarat” yang sudah dikongsi bersama pengikut di Instagram menjadi satu arah baru Megat dalam meluaskan landskap bermuziknya. Terisi lapan lagu kesemuanya yang ditulis sendiri sepenuhnya, album ini bernadi sebagai satu pentafsiran gerak fikir, naluri dan keupayaan Megat sebagai singer songwriter.

Dibuka dengan “Di Dalam Kejujuran”, Megat membawa sisi personal yang saya sebutkan awal tadi. Ia jelas dalam penulisan liriknya. “Waktu dulu kala bagaikan tak endah // terima terma & syarat tiada masa nak baca.” Megat menulis tentang penerimaan, keterbukaan dalam perhubungan yang dipersembahkan dalam melodi yang santai namun masih berat emosinya.

Pendengaran saya teralih pada “Hati Yang Kau Tak Ada” yang sepertinya berlegar pada idea me against the world. Muziknya semakin berat di lagu ini dan ia jelas dalam kemasan sound string yang ada. Bait “Kalau berani mari lawan.” berulang-ulang membentuk satu tekanan dan depth yang berbeza pada penciptaanya.

Sehingga track ketiga saya kira Megat bijak dalam menyeimbangi bunyi dan feel yang ada di album ini. Mellow “Tatkala Rindu” mendamaikan, lembut dan puitis. Jiwa Melayunya dalam lagu ini sangat kental sia ibarat penyatuan melodi klasik Melayu dalam sebuah persembahan serba baru. “Dan bila malam, ku lihat bulan // ku terkenang insan teristimewa.”

Kekuatan Megat saya kira ada pada penulisan liriknya. Dia bagai seorang tukang karut moden di album ini. Lagu-lagu seperti “Aku Ada di Sini” dan “Sementara Kau Ada” bagai nota-nota memori yang ditulis daripada lubuk rasa dan emosinya. Tentang keresahan, kegelisahan dan hal-hal ini semakin menyeronokkan lewat penghasilan lagu “Pening, Pusing, Rollercoaster”.

Mendengarkan lagu ini membawa saya kembali pada pengalaman mendengar Butterfingers lewat era “Selamat Tinggal Dunia” dan “Kembali”. Megat begitu santai dan bersahaja di lagu ini. Kisahnya diceritakan bagai tanpa berfikir tetapi masih kemas dan puitis. “Aku demam // Berpeluh-peluh tak boleh pejam.” sebelum dia menjadi lebih nonchalant menerusi bait “Makan ubat // tapi rasa macam tak jalan”. Fun track, a repeat mode.

Megat Fazly menerusi album ini saya kira bergerak dalam sebuah radar yang penuh kepastian arah muzik serta pengalaman yang mahu dia berikan buat kita sebagai pendengar. “Terma & Syarat” bukanlah album yang sempurna serba-serbi tetapi ia sebuah album yang lengkap untuk kita mengenal, memahami dan menyenangi persona seorang Megat Fazly akan logik akal, keupayaan dan ruang rasanya.

8.7/10


ARTIKEL BERKAITAN

no comment
Highlight, Review, Terkini,

juwita muzik kini – khodi, syiqin azln & fiza thomas


Lagu: Cerita Kita
Persembahan: Khodi
Komposer / Lirik
Khodi / Suffren Ghafar
Produser: Suffren Ghafar
Verdik: 6.7/10

Ketersendirian Khodi dalam menghasilkan muzik yang dia percaya sebetulnya datang dengan risiko sama ada ia mampu diterima meluas atau dia akan stuck dalam pencarian diri. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini saya kira dia tidak memikirkan hal itu dan teguh pada pesona muzik yang mahu dia persembahkan.

Hal ini semakin jelas lewat penghasilan “Cerita Kita” yang menggugah ilham City Pop dengan groove dan attitude bermuzinya yang tersendiri. Catchy, menghiburkan namun masih kurang daya mengikat untuk kita mendengarkannya berulang kali. Biar begitu ia masih berpaksi pada satu produksi muzik yang cukup kemas dan menawan.

Lagu: Hi Hi Bye Bye
Persembahan: Syiqin Azln
Komposer / Lirik
Syiqin Azln / Iman
Produser: Monk
Verdik: 6.8/10

Syiqin Azln keluar daripada keselesaan meramu melodi galau indie yang biasa dia hasilkan sebelum ini lewat lagu-lagu seperti “Kita Pernah Bahagia” sehingga “Manusia Buntu”. Dan kali ini melewati jaluran muzik retro dengan pengaruh Jazz dengan penghasilan lagu “Hi Hi Bye Bye” sebagai persona yang lebih fun and witty.

Lagu ini terhasil sederhana, menghiburkan dan jika sambil-sambil melangsaikan urusan kerja di pejabat setidak ia bernadi sebagai melodi yang menyenangkan. Syiqin kedengaran santai dan selesa kali ini, track yang seronok didenar dengn lirik mudah menangkap. Lagu ini membawa saya ilham-ilham Tilu dahulu.

Lagu: Manusia Pertama
Persembahan: Fiza Thomas
Komposer / Lirik
Fitho / Naki Zainal / Darien Sebastian
Produser: Darien Sebastian
Verdik: 6.9/10

Mendengar “Manusia Pertama” membuat pendapat saya berbaur. Antara mahu menyenanginya kerana persembahan muzik keseluruhan sangat baik namun pada masa yang sama saya terganggu dengan nyanyian Fiza yang terlalu Yura Yunita-ish. Komposisi serta produksi muzik Darien Sebastian sangat baik membentuk sound Fiza yang baru ini sangat kemas.

Korusnya menangkap dengan sekali pendengaran, sedap dan sempurna untuk Fiza diraikan sebagai penyanyi. Namun sekali lagi saya kira dia harus mencari satu bentuk nyanyian yang tersendiri agar tidak dibayangi Yura atau mana-mana penyanyi lain. Dan hal ini yang sebenarnya yang akan membawa Fiza melangkah jauh dan beridentiti kerana penghasilan lagunya sudah cukup bagus.


ARTIKEL BERKAITAN

no comment
Highlight, Review, Terkini,

aku dan kamu sebagai the brand new ning

Lagu: Aku dan Kamu
Persembahan: Ning Baizura
Komposer / Lirik
Bo Amir / Ning Baizura
Produser: Bo Amir

Lebih tiga dekad bermuzik dalam pesona R&B Pop dan suara yang cukup tersendiri meletakkan Ning Baizura di legasinya yang tersendiri. Itu mungkin faktornya kerana keunikan yang dibentuk sejak awal dia menceburkan diri dalam bidang muzik. Untuk menjadi berbeza dan berani keluar daripada kebiasaan muzik sedia ada.

Ning sendiri sudah melalui fasa naik turun sebagai penghibur yang beragam ceteranya. Ada yang biar tidak selalunya, pahit kontroversi sebati dalam perjalanan karier bermuziknya. Hari ini saya kira Ning semakin dewasa dan jelas (mungkin) dengan apa yang dia mahu dalam kariernya.

Setelah fasa Gegar Vaganza sebetulnya lama juga menantikan naskhah bagaimana yang bakal menjadi bekal pada sebuah kelangsungan bermuziknya buat peminat. Dan beberapa minggu lalu single “Aku dan Kamu” beredar, saya tersenyum bahagia juga mendengarkannya.

Lagu ini dibentuk dalam sifat R&B Ning yang sangat distingtif. Lagu in memiliki satu acuan muzik yang terbentuk dalam satu acuan yang begitu sebati dengan jiwa Ning sebagai penyanyi. Lagu-lagu yang sering kita layani di awal kariernya seperti “Kau dan Aku”, “Asmara”, “Alangkah” dan beberapa yang lain.

Bo Iqram saya kira memahami siapa Ning dalam melunaskan tanggungjawbnya sebagai pemuzik dan produser lagu ini. Naskhah yang ringan tapi cukup berat jiwa Ning sebagai penghibur. Ia sempurna saya kira sebagai lagu yang membahagiakan peminatnya/

Namun, sejujurnya jika Ning mahu mencuri perhatian pendengar baru dengan single ini saya kira agak sukar kerana pendengar tempatan khususnya agak sukar menerima R&B in general. Dan saya kira Ning juga sangat pasti dalam pasaran muzik komersial Ning lebih dikenali dengan Balada soulflnya seperti “Selagi Ada” dan “Awan Yang Terpilu”. Formula dua lagu ini sebenarnya tepat buat Ning tapi bukan mudah untuk ditemukan.

Sebagai permulaan baru “Aku Dan Kamu” ada saktinya namun untuk bergerak dalam satu skala yang besar ia mungkin sukar unless ada tuah yang menyebelahinya lewat lagu ini.

7.6/10


ARTIKEL BERKAITAN

no comment
Highlight, Review, Terkini,

“perkasa” sebagai leksikon muzik mimifly

Lagu: Perkasa
Persembahan: Mimifly / Aman RA
Komposer / Lirik
Mimifly / Aman RA / Bo Amir
Produser: Priibomii

Semakin pasti dengan arah muziknya, Mimifly menerajui satu landasan yang tepat sebagai pentafsiran dan identiti yang menjadi kekuatannya. Untuk bergerak sejauh ini bukan jalan singkat buatnya, tanpa tuah juga usaha keras “Angkat” dan “Serumpun” dia mungkin masih kita ingat dan lupa.

Namun seorang Mimifly itu nyata tidak pernah berhenti melangkah biar sudah terlalu banyak percubaan yang tidak menjadi. Itu satu isyarat sebetulnya mengukur siap atau tidak seorang pemuzik untuk kekal pada aturan yang dia percaya. Dan Mimifly telah melalui satu terusan kerjaya yang bercabang sebelum benar-benar diterima meluas.

“Temberang” menjadi sebuah kelangsungan yang baik buatnya. Dengan persembahan Anggerik di Talk to my Manager menjadikan lagu yang di tengah barometer antara naik atau turun, timbul kembali di fyp, feed dan diperdengarkan kembali. Itu juga rezeki dan Mimifly tidak langsung mempersiakan peluang itu dengan terus memberi satu kelangsungan panjang buat lagu tersebut.

Terkini, bersam Aman RA dia kembali dalam sebuah lagi persembahan berteras Hip-Hop dengan elemen nusantara yang menjadi kekuatannya. Sebuah penghasilan yang lebih dalam, berisi terasnya dengan naratif jati diri yang ditulis dalam bait-bait yang cukup tersusun penuh pesan.

Melodinya mungkin tidak terhasil se‘fun’ lagu-lagu Mimi yang lain tapi itulah bertumbuhnya seorang Mimifly dia sentiasa mahu mencabar dirinya dengan pendekatan baru tanpa menghilangkan siapa dirinya yang sebenar. Dan ia jelas dalam penghasilan “Perkasa” ini.

Saya sukakan kemasan muzik di lagu ini dengan instrumentasi yang lebih ‘gelap’ dan serius. Ia seiring dengan alur cerita yang ditulis lewat lirik lagu ini. “Langkah sudah diperkemas // Niat sudah diperhalus // Cakap hias dan berkias // Adab tinggi kekal tulus.” membuka lagu ini sebagai sebuah persembahan yang cukup kemas.

Susunan kata-kata dan pemilihan kosa katanya juga semakin baik, saya senang sekali membaca pengisian teks lirik di lagu ini. Bahasanya sedap tersusun dan verse Aman RA memberi sesuatu yang membesarkan lagi sifat lagu ini. “Hidup tak kerana kaul // Mati tak kerana sumpah.”

“Perkasa” saya kira sebagai sebuah lagi peralihan proses kreatif Mimi dalam berkarier. Buyinya berbeza dan persembhahan keseluruhannya matang. Saya berharap “Perkasa” akan terus menerajui landasan bermuzik Mimi kerana jika mahu dihitung kira berapa Mimifly yang kita ada di Malaysia? Yang mahu melakukan sesuatu yang berbeza dan menongkah arus muzik semasa? Satu dan hanyalah Mimifly.

8.2/10


ARTIKEL BERKAITAN

no comment