
EP: Selamat Pulang
Artis: Syiqin Azln
Produser: Izzy Musa / Zac Empty Page
Perjalanan menikmati muzik Folk tempatan akhiran ini semakin menarik dengan bakat-bakat inide terutamanya yang berani keluar daripada ilham Pop dan mendominasi pasaran muzik yang niche tetapi sangat diperlukan bagi memberi warna dalam pasaran muzik tempatan.
Syiqin Azln satu daripadanya yang datang dengan sebuah EP berdurasi 17 minit yang bergerak sebagai sebuah idea, perjalanan dan pemikiran Syiqin sebagai seorang pemuzik. Terisi enam trak keseluruhannya, “Selamat Pulang” menjadi judul percaturannya kali ini.
EP ini dibuka dengan intro melankolis berjudul “Mula” sebelum ia bersambung sempurna dengan lagu penuh “Pelangi Kembali” (Syiqin Azlan / Izzy Musa / Hezza Ezzachary). Lagu ini bergerak sebagai sebuah melodi pengharapan yang menyenangkan sekali. Liriknya menyentuh dalam kesayuan yang sederhana dibaluti feel Syiqin yang sangat baik. “Semoga kita senantiasa // Kejar apa jua // Yang kau inginkan”
“Secukupnya“meneruskan journey muzik di EP ini dengan lebih tenang dan santai. Teringat saya pada Liyana Fizi dan membuat saya berfikir mengapa ya setelah Liyana Fizi tiada pelapis yang konsisten bermuzik dalam jaluran muzik begini? Rugi sebetulnya kerana pasaran muzik begini masih ada pengikutnya dan sangat kurang penyanyi wanita mahu dekat menghasilkan sound sebegini.
“Kita Pernah Bahagia” menjadi favorite track saya di EP ini. Penghasilan melodinya dalam teras Folk yang cukup banyak di pasaran muzik Indonesia hari ini. Dan Syiqin saya kira sangat berjaya membawakan ilham itu dengan caranya yang tersendiri. Melodinya mengikat terutama pada bahagian korus. “Rindukanlah // Semua kenangan // Yang kita ada // Kita bahagia // Walau akhirnya kita berpisah.”
Syiqin saya kira ada potensi besar untuk benar-benar diraikan muziknya. Penghasilan EP ini saya kira permulaan yang secukupnya untuk dia meyakinkan pendengar tempatan dan menjerat pendegaran dengan penghasilan melodi yang baik. Cuma ia berbalik pada pelan pemasaran yang baik untuk ia benar-benar sampai kepada pendengar muzik semasa.
EP ini ditutup dengan “Sincerely, You” melengkapkan “Selamat Pulang” sebagai sebuah kesinambungan muzik yang sangat baik. Saya harus berikan kredit buat kualiti rakaman EP ini, sound yang terhasil datang dengan standard yang sangat tinggi, instrumentasi dalam setiap lagu juga hidup dengan kemasan muzik yang sangat baik.
Saya punya harapan besar untuk Syiqin konsisten bermuzik. Kita perlukan bakat seperti ini untuk mengisi pasaran muzik yang sering datang dengan idea serupa (Penyanyi wanita terutamanya). Rujukan muzik Monita Tahalea dan Danilla adalah yang terbaik buat Syiqin evolve sebagai pemuzik yang dewasa dan bertumbuh.
8/10
ARTIKEL BERKAITAN