
Album: Terma & Syarat
Persembahan: Megat Fazly
Produser: Megat Fazly
Awal tahun ini Megat melepas single buat siri “Goodboys Go To Heaven” menerusi lagu “Kau di Syurga” menciptakan sesuatu yang cukup kuat untuk dia diperdengarkan dalam sebuah skala lebih komersial. Setelah sinonim bersana kugiran Mafidz, Megat membawa langkah sendiri lewat persembahan solo yang ilhamnya tidak jauh daripada sound Mafidz tetapi nyata terhasil lebih personal.
Penghasilan “Terma & Syarat” yang sudah dikongsi bersama pengikut di Instagram menjadi satu arah baru Megat dalam meluaskan landskap bermuziknya. Terisi lapan lagu kesemuanya yang ditulis sendiri sepenuhnya, album ini bernadi sebagai satu pentafsiran gerak fikir, naluri dan keupayaan Megat sebagai singer songwriter.
Dibuka dengan “Di Dalam Kejujuran”, Megat membawa sisi personal yang saya sebutkan awal tadi. Ia jelas dalam penulisan liriknya. “Waktu dulu kala bagaikan tak endah // terima terma & syarat tiada masa nak baca.” Megat menulis tentang penerimaan, keterbukaan dalam perhubungan yang dipersembahkan dalam melodi yang santai namun masih berat emosinya.
Pendengaran saya teralih pada “Hati Yang Kau Tak Ada” yang sepertinya berlegar pada idea me against the world. Muziknya semakin berat di lagu ini dan ia jelas dalam kemasan sound string yang ada. Bait “Kalau berani mari lawan.” berulang-ulang membentuk satu tekanan dan depth yang berbeza pada penciptaanya.
Sehingga track ketiga saya kira Megat bijak dalam menyeimbangi bunyi dan feel yang ada di album ini. Mellow “Tatkala Rindu” mendamaikan, lembut dan puitis. Jiwa Melayunya dalam lagu ini sangat kental sia ibarat penyatuan melodi tradisi dalam sebuah persembahan serba baru. “Dan bila malam, ku lihat bulan // ku terkenang insan teristimewa.”
Kekuatan Megat saya kira ada pada penulisan liriknya. Dia bagai seorang tukang karut moden di album ini. Lagu-lagu seperti “Aku Ada di Sini” dan “Sementara Kau Ada” bagai nota-nota memori yang ditulis daripada lubuk rasa dan emosinya. Tentang keresahan, kegelisahan dan hal-hal ini semakin menyeronokkan lewat penghasilan lagu “Pening, Pusing, Rollercoaster”.
Mendengarkan lagu ini membawa saya kembali pada pengalaman mendengar Butterfingers lewat era “Selamat Tinggal Dunia” dan “Kembali”. Megat begitu santai dan bersahaja di lagu ini. Kisahnya diceritakan bagai tanpa berfikir tetapi masih kemas dan puitis. “Aku demam // Berpeluh-peluh tak boleh pejam.” sebelum dia menjadi lebih nonchalant menerusi bait “Makan ubat // tapi rasa macam tak jalan”. Fun track, a repeat mode.
Megat Fazly menerusi album ini saya kira bergerak dalam sebuah radar yang penuh kepastian arah muzik serta pengalaman yang mahu dia berikan buat kita sebagai pendengar. “Terma & Syarat” bukanlah album yang sempurna serba-serbi tetapi ia sebuah album yang lengkap untuk kita mengenal, memahami dan menyenangi persona seorang Megat Fazly akan logik akal, keupayaan dan ruang rasanya.
8.7/10
ARTIKEL BERKAITAN