
Lagu: Perkasa
Persembahan: Mimifly / Aman RA
Komposer / Lirik: Mimifly / Aman RA / Bo Amir
Produser: Priibomii
Semakin pasti dengan arah muziknya, Mimifly menerajui satu landasan yang tepat sebagai pentafsiran dan identiti yang menjadi kekuatannya. Untuk bergerak sejauh ini bukan jalan singkat buatnya, tanpa tuah juga usaha keras “Angkat” dan “Serumpun” dia mungkin masih kita ingat dan lupa.
Namun seorang Mimifly itu nyata tidak pernah berhenti melangkah biar sudah terlalu banyak percubaan yang tidak menjadi. Itu satu isyarat sebetulnya mengukur siap atau tidak seorang pemuzik untuk kekal pada aturan yang dia percaya. Dan Mimifly telah melalui satu terusan kerjaya yang bercabang sebelum benar-benar diterima meluas.
“Temberang” menjadi sebuah kelangsungan yang baik buatnya. Dengan persembahan Anggerik di Talk to my Manager menjadikan lagu yang di tengah barometer antara naik atau turun, timbul kembali di fyp, feed dan diperdengarkan kembali. Itu juga rezeki dan Mimifly tidak langsung mempersiakan peluang itu dengan terus memberi satu kelangsungan panjang buat lagu tersebut.
Terkini, bersam Aman RA dia kembali dalam sebuah lagi persembahan berteras Hip-Hop dengan elemen nusantara yang menjadi kekuatannya. Sebuah penghasilan yang lebih dalam, berisi terasnya dengan naratif jati diri yang ditulis dalam bait-bait yang cukup tersusun penuh pesan.
Melodinya mungkin tidak terhasil se‘fun’ lagu-lagu Mimi yang lain tapi itulah bertumbuhnya seorang Mimifly dia sentiasa mahu mencabar dirinya dengan pendekatan baru tanpa menghilangkan siapa dirinya yang sebenar. Dan ia jelas dalam penghasilan “Perkasa” ini.
Saya sukakan kemasan muzik di lagu ini dengan instrumentasi yang lebih ‘gelap’ dan serius. Ia seiring dengan alur cerita yang ditulis lewat lirik lagu ini. “Langkah sudah diperkemas // Niat sudah diperhalus // Cakap hias dan berkias // Adab tinggi kekal tulus.” membuka lagu ini sebagai sebuah persembahan yang cukup kemas.
Susunan kata-kata dan pemilihan kosa katanya juga semakin baik, saya senang sekali membaca pengisian teks lirik di lagu ini. Bahasanya sedap tersusun dan verse Aman RA memberi sesuatu yang membesarkan lagi sifat lagu ini. “Hidup tak kerana kaul // Mati tak kerana sumpah.”
“Perkasa” saya kira sebagai sebuah lagi peralihan proses kreatif Mimi dalam berkarier. Buyinya berbeza dan persembhahan keseluruhannya matang. Saya berharap “Perkasa” akan terus menerajui landasan bermuzik Mimi kerana jika mahu dihitung kira berapa Mimifly yang kita ada di Malaysia? Yang mahu melakukan sesuatu yang berbeza dan menongkah arus muzik semasa? Satu dan hanyalah Mimifly.
8.2/10
ARTIKEL BERKAITAN