
Lagu: Kau di Syurga
Persembahan: Megat Fazly
Komposer / Lirik / Produser: Megat Fazly
“Good Boys go to Heaven” mencipta satu fenomena baru siri televisyen tempatan dengan penceritaan yang berbeza dan keluar daripada kepompong biasa cerita orang kaya. Dengan penerbitan yang dilihat lebih besar bajetnya ia mencipta satu keterujaan baru.
Dan pastinya setiap keterujaan mana-mana siri televisyen sekali pun ia pasti datang dengan pakej runut bunyi yang membentuk mood serta mewakili naratif penceritaan yang ditulis. Menerusi “Good Boys go to Heaven”, Megat Fazly dipilih mengemudi idea ini dan tanpa gagal dia berjaya melaksanakannya.
“Kau di Syurga” ciptaan sepenuhnya Megat melengkapi kehendak dan pengisian siri ini. Melodinya ditulis mellow dan diperkemaskan dengan produksi muzik yang memiliki elemen misteri serta tanda tanya plot penceritaan itu sendiri. Bait liriknya ditulis puitis dan Megat nyata memahami keseseluruhan mood cerita ini.
Ia berbalut sempurna dengan visual “Good Boys go to Heaven”. Berawal pada bait “Peristiwa hadir tanpa tanda // Tiba-tiba // Udara menjadi semakin berat // Gelap pekat” sempurna melewati montaj siri ini. Bahagian paling baik lewat lagu ini sudah tentu pada korusnya yang hanunting “Langit hari ini terasa rendah // Seperti menahan rahsia lalu.”
Bait-bait tulisan Megat menzahirkan naratif Good Boys go to Heaven dengan sebaiknya. Dan semakin didengar semakin kecanduan. Ia tidak melekat laju dengan sekali pendengaran tetapi meresap perlahan dan terus kecanduan. Seperti mana kita kecanduan dengan naratif yang ditulis lewat siri ini.
7.9 /10
ARTIKEL BERKAITAN