
Pertama kali menikmati album “Sangkar” membuka pendengaran saya pada sebuah pengalaman muzik yang begitu membanggakan. Mungkin sebelum adanya “Sangkar” ilham yang paling dekat adalah “Ratu” album terbaik Sheila Majid yang juga dikemudi kehebatan akal fikir dan proses kreatif seorang Roslan Aziz. Dan “Sangkar” tidak kurang impaknya dalam membentuk Atilia sebagai pemuzik Pop masa depan ketika itu.
Setelah itu Atilia melakar kanvas muziknya dengan caranya tersendiri. Persembahan muzik secara langsung di pentas kecil sehingga projek “Malam Nada Biru” menjadi sesuatu yang cukup signifikan buatnya. Biar sudah melalui transisi besar dalam bermuzik namun tidak pernah dia memperlahankan skala persembahannya. Masih aktif di pentas Jaotim dan BoboKL antaranya.
Melabel Atilia sebagai underrated mungkin bukan frasa yang tepat saya lebih merasakan Atilia ini sebagai bakat muzik yang sering di overlooked rakyat Malaysia. Apa yang dia hasilkan mungkin tidak mengikut momentum muzik tempatan namun karya-karyanya tidak jauh dengan pesona Pop dan masih tinggi nilai komersialnya.
Lagu-lagu seperti “Indah”, “Leka”, “Bahagiaku” dan “Selalu Dengamu” datang dengan tarikan tersendiri yang mampu membawanya ke pasaran besar muzik tempatan tapi saya kira ramai daripada kita tidak melihat ia penting untuk turut sama diraikan.
Namun itu tidak langsung membuatkan hilang arah dan putus asa. Hari ini dengan tiga album yang sudah beredar dan sebuah album yang bakal menyusul berjudul “Prahara”, Atilia meneruskan apa yang dia rasakan harus dilakukan.

Keterujaan mendengarkan karya-karya terbaru sentiasa ada, namun sebelum “Prahara” diperdengarkan, Sabtu lalu Atilia buat pertama kalinya hadir dengan konsert solo perdana yang menyaksikan dia dalam sebuah repertoire muzik yang diketuai Fly Halizor yang juga long time bassist yang sentiasa mengiringi persembahan live sebelum ini.
Dua set persembahan dengan pemilihan lagu-lagu yang bergerak dalam satu momentum muzik yang kemas menjadikan konsert ini begitu bersahaja tanpa perlu hal-hal yang terlalu besar sehingga menjadikan ia persembahan konsert terlalu bergimik. Atilia benar-benar mahu kita menikmati muziknya dengan seadanya dan menyanyi bersama.
Dibuka dengan “No Fruits For Today” Atilia dalam merdu dan lembut alunannya membuat semua yang berada di Robert’s Theatre larut. Kelebihan vokal Atilia saya kira adalah ‘ketenangan’ yang dia hasilkan dalam setiap penyampaian, suaranya mengalir lembut lewat rasa dan penceritaan yang mewakili teks lirik yang ditulis.



Ketika “Selalu Denganmu” dipersembahkan penonton semakin teruja dengan karya cipta Tompi tersebut dan ia berterusan dalam mid-tempo “Bahagiaku” yang menutup sesi pertama malam konsert tersebut. Beberapa lagu lain yang dipersembahkan di set pertama ini termasuk “Gelombang”, “Rekah” dan all time favorite saya “Salah Sangka”.
Sementara set kedua bermula. Sore Ze Band yang menjadi pemuzik jemputan menghiburkan penonton yang ada di Robert’s Theatre sebelum menutup persembahan mereka dengan berduet bersama Atilia. Malam tersebut Atilia turut menyampaikan beberapa lagu-lagu terbarunya yang bakal dimuatkan di album “Prahara” seperti “Rekah”, “Cinta Sampai Mati” dan “Dimanakah Kau Sore Ini?”.
Lebih menarik perhatian sebuah lagu duet bersama Razak A’ai berjudul “Ceritera Sang Arjuna & Bunga” menjadi kejutan malam tersebut. Ia nyata keluar daripada kebiasaan menikmati muzik Atilia seperti sebelum-sebelum ini.
Malam tersebut saya kira menjadi sebuah momen yang akan diingati Atilia pastinya sebagai seorang penghibur yang sentiasa mahukan konsert solo. Tidak banyak yang kurang selain saya sebagai penikmat muzik mengharapkan beberapa lagu datang dengan arrangement yang berbeza tetapi Atilia memilih untuk kekal pada versi asal. Oh, saya juga sebenarnya menantikan “Duyong” dalam versi live tetapi tidak mengapa, ia tetap sebuah lagu yang cukup istimewa.