
Album: MPT
Persembahan: Kaka Azraff
Produser: Budakbro / SonaOne / k10
Konsistensi Kaka dalam bermuzik dengan caranya itu satu hal yang saya kira datang dengan dedikasi dan kepercayaan kuat pada apa yang dia percaya. Hal itu datang dengan risiko sama ada ia mampu terus diterima meluas atau akan ada yang merasakan dia stagnant dalam radar muziknya. Namun dalam kes Kaka saya kira dia berevolusi dalam muziknya sendiri yang jauh meninggalkan mana-mana bakat solo wanita yang terikat dengan ilham Balada khususnya.
Not by saying that Kaka tiada langsung pengaruh Balada dalam muziknya namun dia menghasilkannya dengan cara yang tersendiri. Contoh terbaik ada lewat lagu “Hilang” bersama Ezra Kong yang saya sifatkan sebagai salah satu lagu terbaik yang pernah dia hasilkan. Biar penerimaannya tidak semeluas “GILA” namun Kaka sentiasa mengunjurkan dirinya untuk mencuba sesuatu yang diluar kebiasaan tetapi masih dalam landskap muziknya yang distingtif.
Lama perjalanan bermuziknya yang rata-rata datang dengan pengalaman bersama ALYPH dalam karya “Bukan Hal Aku”, “Sibuk” dan “Diamonds” antaranya. Tentu saja perkhabaran album solo yang beredar Februari lepas ini datang dengan ekspektasi ia akan dikemudi ALYPH juga sebagai produser. Namun Kaka mengejutkan saya dengan kemunculan album perdana yang tiada langsung karya ciptaan ALYPH.
Itu antara membuat saya sebagai pendengar Kaka di titian skeptikal dan teruja – apa ini akan menjadi arah baru atau ia merendahkan standard muzik yang cukup tinggi diciptakan ALYPH dalam karya-karya buat Kaka sebelum ini. Namun Kaka ada caranya sendiri, MPT yang terisi 7 lagu keseluruhan mencipta satu momentum berbeza tetapi tanpa hilang, masih kental jiwa Kaka itu sendiri.
“Takleh Usik” menjadi kemunculan semula Kaka setelah lama tidak hadir dengan single baru tahun lalu. Dan ketika pertama kali mendengarkan lagu ini saya tahu ada sesuatu yang berbeza Kaka mahu persembahkan. Ini mungkin bergerak sebagai era baru karier bermuziknya. EDM berpengaruh kuat lewat lagu ini namun attitude R&B Kaka masih utuh mendepani lagu ini tanpa menghilangkan segala hal yang dituntut to elevate muziknya.
“Bully” (SonaOne / Kaka Azraff) sebuah lagi karya cipta SonaOne bersama Kaka yang turut membawa infusi EDM lewat lagu ini. Jiwa Kaka sebati dalam persembahan lagu ini, melodinya catchy, liriknya menyulam baik dan rima yang ditulis. Groove dalam muzik dan attitude Kaka melengkapi kehendak penciptaan. Ia pembuka album yang begitu strong saya kira.
Bersama Budakbro (Yonnyboii), Kaka menghasilkan beberapa lagu yang agak beremosi sifatnya. “Arguments” yang beredar lebih awal menjadi satu standard berbeza menikmati muzik Kaka dan penciptaannya lebih personal lewat penciptaan “Berubah”. Ini mungkin lagu paling dalam emosinya di album ini. Bait-bait lirik yang ditulis dalam teks penuh humanisme “Banyak sangat tak terluah // Mungkin musim yang berubah // Ku menyimpan dah berbuah // Semua sakit dalam hatiku.”
“Aku” dan “TQVM” dua lagi naskhah ciptaan bersama SonaOne membentuk “MPT” sebagai sebuah album yang cukup lengkap sifatnya seorang Kaka sebagai persona R&B Pop moden tempatan. Kematangan jelas dalam pengisian album ini. Melodinya, penulisan liriknya sehingga produksi muzik yang cukup kemas dan kesemua hal-hal ini menjadikan Kaka di legasinya yang cukup tersendiri.
Bertuah sebetulnya kita memiliki bakat seperti Kaka yang mahu sentiasa mencabar dirinya menghasilkan sesuatu yang berbeza daripada apa yang meriah di pasaran muzik semasa. Dan saya pasti “MPT” hanyalah satu permulaan baru kerana masih banyak yang ada dalam relung kreatifnya untuk dipersembahkan dengan lebih keterujaan dan kematangan di masa mendatang. A solid album.
9.2/10
ARTIKEL BERKAITAN