
Perkhabaran Kaka akhirnya bakal mengedarkan sebuah album penuh cukup membahagiakan. Lebih sedekad berjalan sebagai pelapis Pop yang menggalas nadi baru R&B dengan cukup konsisten dan tersendiri tanpa terikat dengan apa yang pasaran muzik mahukan semata, Kaka saya kira tidak membenarkan dirinya dibayangi mana-mana penyanyi sebelum mahupun seangkatannya.
Hal ini jelas sejak penghasilan “Sibuk”, “Diamonds”, “Kembali”, “Terima Kasih” sehingga lagu juaranya “GILA” – kesemuanya bergelar dalam radar muzik Kaka yang tiada mana-mana penyanyi wanita mampu mendekati. Solid R&B Pop.
Hari ini Kaka mendewasa tidak hanya kerana pengalaman bermuzik tetapi juga pengalaman turun naik hidup yang berencam. Kesemuanya dilalui dengan caranya. Hal-hal pengalaman ini dituangkan sebaiknya dalam single-single fasa drama Warner Music dengan penghasilan awal “Takleh Usik” dan yang terbaru “Arguments”
Lagu ini sekali lagi berbekal pada hook, penceritaan dan penyampaian bersahaja Kaka yang menghidupkan ia sebagai sebuah naskhah yang seimbang. Koirusnya baik dan ya, ia benar-benar bergerak dalam cara Kaka menyusun naratifnya.
Bait-bait yang dihasilkan di lagu ini berbalut keresahan – “Arguments and arguments // tak kisah walau banyak // mana arguments // cause all I know that you’re still mine.” dan ia diteruskan dengan kisah Kaka yang bercerita bersahaja “Sebab aku dah tak boleh nak // Tengok masa depan // All I can see is ur face.”
Sebagai sebuah kelangsungan bermuzik, “Arguments” saya kira Kaka bergerak seiring dengan segala pengalaman yang membentuk kematangannya dan apa yang penting adalah keterbukaannya dalam membuka hati bercerita. Ia sebuah lagu yang personal tetapi cukup solid dan memuaskan.
8/10
ARTIKEL BERKAITAN