#PerspektifMuzik, Highlight,

#TheFutureIsBright Semak Siapa 10 Breakthrough Artist Pilihan MK

Kalendar muzik tempatan dalam pasaran muzik digital hari ini tidak lagi membataskan tumbuhnya bakat-bakat muda bereksperimentasi dengan muzik secara sendiri. Dengan lambakan aplikasi juga software muzik serta tools yang ditawarkan dengan harga mampu milik memudahkan laluan banyak impian anak muda yang mahu bergelar penyanyi juga pemuzik bergerak tanpa batas.

Apa yang luar biasanya bakat-bakat ini hadir siap dengan pakej pengikut yang cukup tinggi dalam menawan pesona bakat yang mereka ada. Dan dengan adanya pengaruh ini ramai daripada bakat-bakat ini menarik minat label-label muzik sebagai tawaran bermuzik dalam skala lebih besar.

Setelah fasa Hael Husaini, Ismail Izzani, Haqiem Rusli, Naim Daniel dan Wany Hasrita yang semakin kukuh mengukir nama mereka sebagai bakat papan atas dalam pasaran mainstream, beberapa bakat lain seperti Bil Musa, Lunadira, Midninght Fusic, Aina Abdul dan Zamaera siap menawan pasaran urban Pop yang mungkin sedikit kecil pengaruhnya berbanding bakat mainstream.

Muzik Kita menyenaraikan 10 Bakat Muda yang datang dengan potensi besar untuk berada dalam radar Pop lokal semasa.

APEX TAJUDIN
Bakat yang dimiliki Apex mula mencuri perhatian ketika di pentas Mentor dengan kebolehan menyanyi live dengan luar biasa. Apex sebetulnya sudah siap untuk bergerak dalam skala lebih luas di pentas mainstream. Single perdananya “Panggung” memberi justifikasi terbaik buat vokalnya dengan komposisi yang cukup kemas daripada batalion muzik Faithful Music.

YONNYBOII
This one no need introduction. Sejak dikenali dengan kolaborasi bersama Zynakan menerusi “Sakit” nama Yonnyboii semakin mencuri perhatian. Tahun ini sahaja dia menghasilkan 3 single solo  “Salahku”, “Aku Itu Aku” dan “Biar” dan kolaborasi bersama Azlan & The Typewriter juga Dayang Nurfaizah dan Faizal Tahir. YonnyBoii akan ada jalan yang sangat mudah untuk kekal lama jika beriring attitude yang betul.

FIRDAUS RAHMAT
Single “Aku Rayu” komposisi Omar K bersama Ikhwan Fatana benar-benar menyerlahkan karakter vokal serta emosi Firdaus sebagai penyanyi rakaman yang bagus. Biar tidak begitu mendapat perhatian namun dia antara bakat yang punya potensi besar untuk masa depan dan harus diberi perhatian. Firdaus juga antara individu penting dalam penghasilan hits “Hello” persembahan Ismail Izzani dan Andi Bernadee.

AISHA RETNO
Biar masih hijau, Aisha Retno hadir dalam pesona vokal lantang dengan skil nyanyian yang tersendiri. Single “Mengikat Jiwa” karya komposer seberang Aldi Nada Permana terhasil dalam konteks Pop yang cukup baik dalam memberi justifikasi vokalnya.

KHODI
Seorang lagi bakat solo wanita yang hadir dalam feel R&B yang cukup baik. Khodi mengingatkan saya pada bakat-bakat urban 90’s tempatan seperti Taheera (Keliru) dan Wan Hardiah (Cahaya). Semoga Khodi akan terus dengan jaluran muzik yang dibawa menerusi single “Ke Mana” yang punya groove tersendiri.

DANIESH SUFFIAN
Bakat muda ini hadir dalam satu pakej menarik untuk dipatenkan dalam acuan pelapis Balada yang mungkin boleh jadi the current version of Anuar or Afgan. Karakter vokal merdunya menerusi “Terabadi” biar belum solis sepenuhnya tapi datang dengan karakter yang boleh diasah menjadi lebih baik lagi.

PELE. L
Gagasan muzik Hip-Hop tempatan hadir dalam satu gelombang hangat yang luar biasa. Banyak bakat-bakat yang hadir dalam jaluran muzik ini bergerak cukup progresif. Pele. L satu antara satu daripadanya yang datang soul berbeza dalam listrik lirik yang hadir dalam agenda sosial.

ADZRIN
Fasa Big Stage memperkenalkan nama Adzrin lebih luas dan cukup dikenali. Beriring dua single “Picisan” dan “Bagai Lagu Indah” Adzrin kualiti vokalnya makin dirasai dengan penjiwaan dalam lagu yang cukup baik.

RIZAL RASID
Bakat ini popular sebagai YouTuber yang menyanyikan semula lagu-lagu popular lainnya. Single berjudul “Cukup” biar sekadar mengulang formula lagu Balada sedia ada masih menyerlahkan sisi vokalnya yang baik. Cuma jika akan ada single lagi selepas ini Rizal harus lebih berani menghasilkan balada yang lebih kekinian dan berevolusi dalam bermuzik.

HARIZ FAYAHET
Juara Bintang RTM ini dari segi bakat memang tidak ada masalah. Nyanyiannya baik cuma pemasaran muziknya harus lebih kemas dan berani tanpa hanya bergantung pada vokal semata. Singler perdananya “Yang Terbaik” harus diberi lebih fokus pemasaran yang luas lagi untuk hayat karier Hariz kekal lebih lama.


ARTIKEL BERKAITAN

In & Out Pasaran Muzik #BBNU Dan 10 Nama Paling Berpotensi Untuk Dibesarkan Bakatnya

Highlight, Review, Terkini,

Gabungan Pop KL – Jakarta Menerusi Single “Ku Mau” Persembahan Aizat dan Hanin Dhiya

Lagu: Ku Mau
Artis: Aizat Amdan & Hanin Dhiya
Komposer & Lirik: Aizat Amdan / Anas Amdan / Elias Naslin / Melanie Wehbe / Yeshua Abraham 
Produser: Anas Amdan / Lias

Fasa populariti “Sampai Ke Haru Tua” Aizat Amdan meraikan pasaran muzik Pop Light & Easy dalam beberapa single terbarunya. Setelah muncul dengan single duetnya bersama Bunga yang berjudul “DUP DUP”, Aizat melangkah ke tanah seberang meneruskan ilham muziknya menerusi lagu “Ku Mau”.

Single yang merupakan kolaborasi bersama sensasi Pop – Hanin Dhiya yang cukup dikenali dengan lagu popularnya seperti “Suatu Saat Nanti”, “Biar Waktu Hapus Sedihku” dan rakaman semula “Pupus” yang siap distrim lebih 40 juta di Spotify sahaja.

Hanin lebih awal dikenali dengan pesona vokalnya menerusi program pertandingan nyanyian “Rising Star Indonesia” berkata ini merupakan kali pertama dia menyanyikan lagu yang liriknya lari daripada kisah patah hati.

Kolaborasi dua suara bergabung menerusi sebuah nada cinta yang cukup membuai dalam pesona lirik yang manis-manis perasaannya. Vokal Aizat dan Hanin menyatu  baik dalam melewati mood lagu yang santai dan romantis ini.

This one is definitely a radio friendly song namun idea keseluruhannya masih bukan baru dan terhasil original. Sekadar meneruskan kelangsungan lagu cinta muda-mudi yang sedia ada namun ia bukanlah naskhah yang harus ditolak sepenuhnya.

Bait-bait “Biar ku jadi yang satu satunya, Yang kamu damba sampai kau menua” akan memberi makna jika anda dalam fasa bercinta but musically lirik-lirik begini sudah terlalu banyak sebetulnya. But it’s a fun song untuk kita enjoy.

Jika anda mahukan sesuatu yang ringan tetapi datang produksi muzik yang berkualiti “Ku Mau” harus diletakkan dalam daily playlist anda.

6.8/10


ARTIKEL BERKAITAN

Lari Daripada Acuan Muzik TheOvertunes, Mikha Angelo Meniti Dewasa Menerusi Kerjaya Solonya

Highlight, Review, Terkini,

Kolaborasi 2 Generasi “Kelabu” Azlan & The Typewriter Bersama YonnyBoii

Lagu: Kelabu
Artis: YonnyBoii & Azlan & The Typewriter
Komposer & Lirik: YonnyBoii
Produser: YonnyBoii & Azlan & The Typewriter

YonnyBoii menjadi antara nama baru lapangan muzik lokal yang semakin mendapat perhatian setelah kejayaan kolaborasi hebatnya bersama Zynakal menerusi “Sakit” dan juga kolaborasi mega Dayang, FT dan Tuju menerusi lagu “X Missing U” yang beredar awal tahun ini.

Setelah itu dia merilis dua lagi single solo berjudul “Salahku” dan “Aku Itu Aku” yang kedengaran kuat signature muzik poetic hip-hop tulisannya. Bait lirik sederhana yang dekat dengan jiwa anak muda hari ini dan stail dalam nyanyian yang cukup ikonik menjadikan YonnyBoii antara bakat muda yang berdiri sendiri dengan identitinya.

Terkini bersama penyanyi rock senior tempata, Azlan & The Typewriter, YonnyBoii membuah ilham segar untuk pasaran muzik Azlah yang selama ini terkenal dengan nuansa Rock beralih kepada sesuatu yang lebih mellow dengan sound yang lebih terkini.

Lagu yang diberi judul “Kelabu” ini beredar semalam 26 Jun 2020 merupakan ciptaan melodi dan lirik sepenuhnya YonnyBoii yang masih mengekalkan identiti muziknya yang cukup dirasai dalam styling serta kraf muziknya.

Kolaborasi ini terhasil tidak canggung sekalipun dua generasi ini mengendong ilham muzik berbeza. Vokal dan emosi mereka hadir dalam chemistry yang cemerlang. Namun penghasilan melodi lagu ini masih belum terhasil dalam feel yang baru kerana ia cukup kuat feel “Salahku” dan lagu-lagu Yonny yang lainnya namun masih kedengaran current.

7/10


ARTIKEL BERKAITAN

Modern Poetic Pop YonnyBoii Menerusi Single “Salahku”

Highlight, Review, Terkini,

Lari Daripada Acuan Muzik TheOvertunes, Mikha Angelo Meniti Dewasa Menerusi Kerjaya Solonya

Lagu: Run
Artis: Mikha Angelo
Komposer & Lirik: Mikha Angelo
Produser: Mikha Angelo

Nama Mikha Angelo awal dikenali ketika dia memasuki X-Factor Indonesia. Setelah pasaran muzik solonya bergerak perlahan, Mikha bersama dua saudaranya membentuk TheOvertunes yang cukup booming dengan dua album penuh, beberapa EP dan single-single yang ternyata meletakkan nama TheOvertunes di lapangan popular Indonesia.

Kembara muzik Mikha lebih dirasai setelah dia berkongsi ilham muziknya bersama penyanyi papan atas lain Indonesia seperti Raisa, Fatin, Rendy Pandugo dan Eva Celia antaranya. Lagu-lagu seperti Kembali, Hanya Mimpi, Selfish antara yang kita dapat dengarkan identiti muzik Mikha.

Mikha awal tahun ini bergerak solo dengan single “Shot” yang terhasil cukup membanggakan. Pengalaman mendengar muzik barat saya kira memberi pengaruh Mikha bukan sahaja dalam penciptaan melodi yang kedengaran current malah produksi muziknya secara total kedengaran cukup mahal dan cukup kemas.

Terkini, Mikha hadir dengan single “Run” yang sekali lagi terhasil cukup hebat sekali. Saat pertama mendengar lagu ini saya sudah mula jatuh cinta dengan segala kelembutan melodi, suara dan kemasan muzik Mikha di lagu ini.

Mikha benar-benar meneruskan apa yang sudah dikerjakan beberapa singer song writer muzik Indonesia seperti Rendy Pandugo antaranya.

“Run” dalam satira penulisan Mikha membawa cerita ketakutan dalam diri yang sebetulnya mampu dilawan dengan cara kita berfikir. Falsafah Mikha dalam penulisannya cukup dekat dengan idea hidup anak muda hari ini.

“My heart is ready for the thing I fear,
I learn to love,
I learn to feel,
Just be human although it’s hard”

“Run” dan “Shot” saya kira satu pertaruhan muzik yang cukup matang untuk bakat semuda Mikha Angelo. Masih banyak yang mampu ditawarkan bakat muda ini beriring masa dia dalam bermuzik.

8/10


Nadin Amizah Meraikan Ulang Tahun Dengan Sebuah Bingkisan Jiwa Dalam Melodi Yang Menghanyutkan Rasa

Review, Terkini,

Romantisme Amylea Dalam Naskhah Indah Farouk Roman Berjudul “Hadiah”

Lagu: Hadiah
Artis: Amylea
Komposer & Lirik: Farouk Roman / Amylea
Produser: Farouk Roman

Kolaborasi muzik Farouk Roman dan Amylea dalam dua tiga tahun kebelakangan ini antara yang cukup dominan dalam demand pasaran muzik semasa. Berawal dengan hits “Tak Pernah Hilang” rezeki bermuzik duo ini sudah direstui semua penggemar muzik lokal.

Setelah kejayaan menzahirkan rangkaian balada tersendiri mereka menerusi siri televisyen popular Nur 1 & 2 – nama Farouk dan Amylea menjadi rebutan ramai penyanyi lainnya.

Tanpa mahu terus berhenti bermuzik nama Amylea yang satu ketika dulu pernah hilang daripada radar popular kembali membuahkan hasil dan tidak mahu mensia-siakan peluang itu Amylea kekal konsisten dengan single demi single yang dihasilkan bersama Farouk.

April lalu, mereka berdua merilis sebuah Balada indah berjudul “Hadiah” yang hadir lembut membuai dalam kemasan muzik sentuhan emas Farouk yang sentiasa bijak dalam meniggikan standard muziknya agar kedengaran lebih mahal bunyinya.

“Hadiah” terangkum sebagai salah satu Ballad yang baik tahun ini untuk dinikmati. Momentum muziknya tidak mendatar dan diberi dinamik dalam susunan muzik yang lebih besar hingga ke hujungnya.

Saya sekali lagi terbuai indah dengan vokal Amylea yang sentiasa hadir dalam kawalan emosi yang secukupnya tanpa perlu berlebih-lebihan. Setelah “Selalu Denganmu” saya kira ini karya terbaik duo ini untuk tahun ini.

7.3/10


ARTIKEL BERKAITAN

Menuju Hujungnya 2019, Kenali 5 “Pop Creator” Paling Berpengaruh Tempatan

Highlight, Review, Terkini,

“Gerak Dulu” Sebagai Gerakan Future Pop Menerusi Projek JOOX “Super Producer”

Lagu: Gerak Dulu
Artis: Dayang Nurfaizah
Komposer / Lirik / Produser: MFMF. & Faizal Tahir

Kolaborasi dalam muzik sentiasa akan menghasilkan susuatu idea yang lebih besar dalam menjadikan sesebuah naskhah lagu itu berkembang menjadi sesuatu yang lebih segar hasilnya. Hal ini sudah dibuktikan Faizal Tahir bersama batalion muzik Faithful Music sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Terkini menerusi sebuah projek diberi nama “Super Producer” aplikasi penstriman muzik digital JOOX membuahkan ilham baru dalam menghasilkan naskhah Pop segar dalam pasaran muzik komersil tempatan.

Berawal dengan single yang diberi judul “Gerak Dulu” yang menampilkan vokal Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir yang bergerak sebagai ketua projek bekerjasama dengan trio muzik meningkat naik, MFMF. dalam menghasilkan lagu yang bergerak dalam jaluran muzik EDM Pop ini.

“Gerak Dulu” terhasil dalam persembahan muzik semasa dalam susunan lirik mudah diingati. Melodinya catchy dalam persembahan bertenanga Dayang yang sentiasa memberi justice dalam lagu-lagu berenergi begini.

Projek “Super Producer” ini sebuah sumbangan positif JOOX dalam memberi suntikan segar dalam penghasilan lagu-lagu tempatan yang bersifat dan bercitarasa global. Cuma saya tidak pasti jika lagu ini hanya boleh dimainkan di JOOX sejauh mana ia mampu bergerak dalam skala yang lebih besar.

Namun untuk menghasilkan projek begini saya kira JOOX sudah melakukan sesuatu yang baik untuk kitaran muzik Pop lokal yang akan bergerak lebih produktif dalam mencabar kreativiti pengamal muzik.

Dan ya, kolaborsai MFMF., Faizal Tahir dan Dayang Nurfaizah ini seharusnya diteruskan tanpa terhenti di lagu ini sahaja.

9.6/10


ARTIKEL BERKAITAN

Monoloque Bersama Asmidar Memecah Standard Teks Lagu Melayu Asli Dengan Kemasan Muzik Serba Baru Serba Segar “Tak Seindah Wajah”

Highlight, Review, Terkini,

Produksi Ballad Kelas Satu MFMF. Bersama Hael Husaini Menerusi “Peluang Kedua” & Sedikit Pesan-Pesan Buat Nabila Razali

Lagu: Peluang Kedua
Artis: Nabila Razali
Komposer / Lirik: Hael Husaini
Produser: Hael Husaini / MFMF.

“Peluang Kedua” menjadi rilis yang begitu booming tahun ini sejak beredar April lalu. Dengan jumlah views di YouTube dan streaming digital mampu tidak untuk kita menafikan luar biasanya penerimaan lagu ini oleh masyarakat.

Hael Husaini sekali lagi dengan magis melodinya menghasilkan sesuatu yang saya kira cukup personal dan dekat dengan jiwa muda hari ini. “Peluang Kedua” dikemaskan muziknya dan ditinggikan standard produksinya oleh MFMF. (Music For My Friends) yang belum pernah gagal menerbitkan lagu yang bagus.

Bagi yang belum kenal MFMF. silalah dengar produksi hebat mereka di lagu “Aku & Laguku” (Hani & Zue), “Gerak Dulu” (Dayang Nurfaizah), “Flashes” (Bil Musa) dan “Passin Through” (Daiyan Trisha).

Produksi MFMF. kami sifatkan sebagai sebuah kolaborasi Pop yang cukup genius dengan sound yang cukup current, forward dan seiring produksi muzik yang ada di pasaran global dalam menghasilkan sesuatu yang cukup antarabangsa bunyinya.

“Peluang Kedua” menjadi peluang terbaik MFMF. untuk lebih dikenali dalam skala lebih besar sebetulnya. Melodi lagu ini terlalu bagus menurut saya dan liriknya yang relatable dengan jiwa-jiwa muda yang seringnya hanyut dalam perasaan sendiri.

Penafsiran Hael dalam melaksanakan sebuah Pop Ballad dengan citarasa masa kini saya kira sudah berjaya dengan penghasilan “Peluang Kedua”. Lagu ini antara Pop yang sempurna tahun ini selain “X Missing U” – kedua-duanya telah lift up Pop lokal ke tahap yang sangat baik.

Mengukur lagu ini daripada persembahan Nabila semata saya kira mungkin tidak adil sebab kita semua pun tahu kemampuan menyanyi Nabila tu setakat mana. She’s just lucky dapat lagu yang hebat ini.

Apa yang Nabila perlu adalah tajamkan skil menyanyinya sahaja. Akan ambil sangat banyak masa sebetulnya, tapi kalau dia benar-benar mahu lama di bidang ini dia memikul satu tanggungjawab untuk memperbaiki nyanyiannya.

Sebab saya kira it’s a lil bit selfish untuk dia popular dengan bakat yang ada sekarang tanpa memperbaiki kualiti kerjanya sebagai penyanyi. Bukan apa ramai sangat yang berbakat di luar sana perlukan material sebegini tapi tak ada peluang yang Nabila ada.

Jadi saya amat berharap Nabila dapat perbaiki semua hal-hal kekurangan dalam nyanyiannya itu dalam satu disiplin kerja dan tanggungjawab yang tinggi supaya popularitinya itu seiring bakat.

Hael dan MFMF. you both did a great job unTuk hasilkan sebuah Pop yang current menerusi “Peluang Kedua”. Saya memberi markah penuh untuk produksi muzik lagu ini.

Dan buat Nabila bila ada yang berkata “Engkau bisikkan ‘ku yang paling sempurna…” You should know it’s a lie.

10/10


ARTIKEL BERKAITAN

“Lupakan Saja Semuaaa..” This Is The Brand New Pop That You Need To Put On A Repeat Mode!

 

Highlight, Review, Terkini,

Nadin Amizah Meraikan Ulang Tahun Dengan Sebuah Bingkisan Jiwa Dalam Melodi Yang Menghanyutkan Rasa

Album: Selamat Ulang Tahun
Artis: Nadin Amizah
Producer: Doly Harahap / Nadin Amizah / Mika Angelo / Petra Sihombing / Dissa Kamajaya /  Ibnu Dian / Ferry Nurhayat

Sejak awal mencuri perhatian dengan single solonya “Rumpang” pada tahun 2018, nama Nadin Amizah pantas mencuri perhatian saya akan poetic melodi modern folk yang dibaluti soul yang menumbuh remang setiap kali mendengar.

Nadin semakin memikat di single keduanya “Sorai” sebelum hadir duet cemerlang bersama Sal Priadi menerusi “Amin Paling Serius” yang membuatkan saya semakin gila dengan pesona gadis berusi 20 tahun ini yang kematangannya dalam bermuzik lebih jauh daripada usia sebenarnya.

Kali terakhir tampil dengan single “Seperti Tulang” tahun lalu, Nadin memperlahankan idea muziknya setelah itu. Rupanya dalam diam itu dia membuahkan senaskhah album yang cukup solid, powerful dan soulful sekali dalam idea muzik Nadin yang cukup tersendiri dan menyenangkan.

Album yang diberi judul “Selamat Ulang Tahun” ini diedarkan pada 28 Mei lalu bersempenan ulang tahunnya yang ke-20. Album ini dibuka dengan interlude nyanyian jauh selamat hari lahir sebelum memasuki roh sebenar muziknya menerusi lagu ” Kanyaah” yang terbuai-buai muziknya. Memejamkan mata samabil menikmati lagu ini adalah cara tepat mendalami penulisan puitis Nadin.

Saya semakin dihanyut leka dalam melodi Nadin menerusi lagu “Paman Tua” yang mengambil ilham humanis seorang ayah dalam satira hidup yang paling dan mungkin melelahkan namun dijalani sebaik mahunya.

“Kereta Ini Melaju Dengan Cepatnya” dan “Beranjak Dewasa” meneruskan ilham muzik Nadin yang begitu teguh rasa Nadinnya. Saya lebih terkitat dengan melodi “Bertaut” yang diproduksi Mikha Angelo yang lembut dan membuai. Lirik Nadin semakin baik di lagu ini. Perlambangan dalam penulisannya buat saya bergolak rasa antara sayu, mahu juga pilu.

“Bun, hidup berjalan seperti bajingan,
Seperti landak yang tak punya teman,
Ia menggonggong bak suara hujan,
Dan kau pangeranku, mengambil peran…”

Saya mengulang dengar lagu ini sebelum meneruskan journey muzik Nadin di album ini. Terlalu indah kemasan melodinya dan di saat mendengar trak yang ke 6 ini saya kira “Bertaut” adalah favorite saya di album ini.

Nadin kembali bercerita di ruangnya menerusi “Taruh” yang membuat saya sekali leka dengan liriknya. “Aku sudah tau dari awal, Mencintai bukan perkara kebal, Jauh dari kata mudah dan asal…”  dan petikan piano di lagu ini begitu haunting sekali. Korusnya baik dan segala keindahan lagu ini diteruskan dengan lagu “Cermin” yang lebih mellow.

“Mendarah” lebih membuat saya menjadi lebih kagum dengan Nadin. Melodinya sangat baik dalam cerita kejauhan dalam perhubungan – antara masih berbunga atau sudah jauh mahu melupakan.

Album ini ditutup dengan “Sorak Sorai” sebuah kolaborasi Nadin bersama Syarikat Idola Remaja yang menjadi penutup yang sangat-sangat baik album ini. Rakaman semula lagu asal “Sorai” ini dikemaskan susunan muziknya dengan lebih besar skalanya dalam menciptakan satumomentum muzik yang mencapai sebuah klimaks muzikal yang membanggakan.

Nadin Amizah saya kira satu bakat yang sudah mampu dibanggakan Indonesia. Keaslian, kreativiti dan kesungguhannya dalam bermuzik membawa jiwa mudanya dalam sebuah kosmik Pop yang kuat jiwa Indonesianya. This is such a beautiful album, sebuah album yang akan saya dengar, kaji dan mengorek isinya dalam perspektif berbeza biar sepuluh tahun mendatang.

10/10


ARTIKEL BERKAITAN

Peri Puitis “Sal Priadi” Dalam 11 Nyalaan Rasa Yang Seperti Percikan Api, Ais & Awan Yang Meletus ke Hati

Highlight, Review, Terkini,

Gurindam Moden The Venopian Solitude Dalam Derum Deram Bisingnya Sebuah Pelayaran Muzik Yang Melekakan

Album: Hikayat Gundik Berirama (2019)
Artis: The Venopian Solitude
Producer: The Venopian Solitude

Ketika awal mereka hadir dengan album “Hikayat Perawan Majnun” pada tahun 2014, saya melihat The Venopian Solitude (TVS) sebagai the westernized Kembara, M.Nasir dan Kopratasa yang hadir dalam landskap muzik nusantara yang dimodenkan, dibaratkan dengan satu idea muzik yang lebih eksperimental dan bercitarasa tinggi.

Lagu-lagu di album tersebut seperti “Mahar”, “Kembang Bunga” dan “Khilaf Ratna” sehingga hits nombor satu mereka “Tenangkan Bontot Anda” menzahirkan sesuatu yang begitu diperlukan pasaran muzik tempatan ketika itu yang stagnant dengan ilham lagu-lagu tema drama bersiri.

Album tersebut juga sempat memasuki senarai lima teratas Anugerah Industri Muzik tapi malangnya hanya dalam kategori Rakaman Album Terbaik sahaja sedangkan album ini sepatutnya menang Lagu Terbaik (Tenangkan Bontot Anda), Kulit Album Terbaik dan Album Terbaik.

Tapi itulah mungkin juri-jurinya ketika itu terlalu tua untuk idea muda mereka. Tak mengapa kerana apa yang penting mereka telah menghasilkan sesuatu yang cukup besar idea dan jiwanya. Setidaknya saya percaya untuk jangka masa sepuluh tahun mendatang album tersebut akan dijadikan wadah bicara intelektual muzik tempatan.

TVS tahun lalu muncul dengan album penuh terbaru mereka secara fizikal dan saya kira hanya baru-baru ini sahaja album berjudul “Hikayat Gundik Berirama” ini menjengah pasaran digital untuk kita menikmatinya secara berulang dan percuma.

Album ini dibuka dengan begitu progresif dengan lagu “Layar” (TakaharaSuiko ) yang seperti saya harapkan hadir dalam elemen “nusantara kebaratan” yang menjadi signature muzik mereka. Seperti biasa Takahara Suiko cemerlang dalam penulisan liriknya yang sarat dengan pemilihan kata yang cerdik-cerdik belaka.

“Ekoran fikiran bertasbih
Deras talian tak habis
Mulut berkumat-kamit menggamit
Sahutan makin lantang
Minda yang berkumandang..”

“Madhouse” (Mohd Shafiq Razak / Suiko Takahara) dan “Jauhari” (Mohd Shafiq Razaq / Riviyamin Ruslan / Suiko Takahara) hadir semakin bising dalam ilham psikedelik. It’s like watching early work of Michel Gondry. Kabut, serabut dalam pelayaran emosi yang sanga-sangat berkecamuk.

Saya cuba memasuki dunia mereka kali ini dalam adrenalin deras kopi pekat yang saya hirup, memejamkan mata seketika dengan menguatkan volum suara headphone yang akhirnya menemukan saya dengan satu nikmati khayalan tingkat berbeza dalam menghayati muzik.

 “Zigurat” menurut saya antara lagu terbaik di album ini. Mendengar pertama kali lagu ini membuatkan saya mahu mengulang dengarnya lagi dan di saat kali kedua saya mendengarnya saya membayangkan lagu ini sebuah kolaborasi TVS bersama Zainal Abidin. Semangat dan drive lagu ini benar-benar mengingatkan saya pada dua album Zainal iaitu “Gamal” dan “Terang…Sang” especially di bahagian:

“Hilang semua permata
Lalu hilang jiwa si nusa dan bangsa
Pertiwi tak mampu lagi
tegak berdiri
Dicemari tangan yang tiada jati”

“Run” (Suiko Takahara) kurang hook dalam melodinya, “Camaraderie” (Ahmad Khair / Danny On The Beat / Muariffah / Sabbala / Suiko Takahara) lebih berkesperimental dengan muzik Hip-Hop Lawa Nie Geng. Dasyatnya lagu ni dah macam dengar Kendrick Lamar. Bahagian Lawa Nie Geng benar-benar memberi warna dalam lagu ini. This one juga satu daripada lagu terbaik di album ini.

“Deras” (Suiko Takahara) sekali buat saya melayang dengan penulisan liriknya

“Suara gigih meraung
Sakit mimpi berdentum
Diseret celaka
Dihimpit gundah gulana
yang maya
Menetas ‘syurga’
Layu disiram racun
Sayu diperam taufan mendayu
Mencarik tiap
Naluri yang siap siaga
Berarak ke neraka dan Bertempik dengan iblis
yang terusik lalu menyeru…”

“Brace” (Eyza Bahra / Suiko Takahara) kembali hebat dalam sebuah kolaborasi dua suara berbeza yang menyatu baik menzahirkan sebuah roh yang begitu ‘haunted’ sekali penghasilannya. Saya terlalu suka dengan penampilan Eyza di lagu ini. Vokalnya memercik satu feel berbeza di album ini.

“Bubar” (Suiko Takahara) hadir dalam feel berbeza yang lebih psiko dan menakutkan rasanya. And this time saya tak tahu mengapa suara Noraniza Idris bergulir meliuk bermain di ilusi saya. Sedap gila lagu ni, semacam satu Gurindam moden yang hadir dalam persembahan muzik yang cukup cemerlang sekali.

Album ini ditutup dengan dua lagu yang meredakan laju adrenali saya mendengarnya “Dust” (Ruviyamin Ruslan / Suiko Takahara) dan “Phoenix” (Asmidar / Suiko Takahara). Saya sukakan attitude vokal Asmidar di lagu ini totally different vibe daripada apa yang sering dilakukannya di pasaran muzik Pop.

Saya menghela nafas lega dalam senyuman usai menikmati album ini. Ibarat sebuah perjalanan panjang yang berawal keliru apa arah tujuannya sehingga menemukan saya dengan sebuah destinasi muzik tempatan yang membanggakan. Tahniah buat semua warga kerja album “Hikayat Gundik Berirama” ini, anda semua hebat-hebat orangnya.

TVS sudah melakukan sesuatu yang cukup luar biasa untuk kita sebagai pendengar bangga dengan produk tempatan. Muziknya mungkin bukan santapan biasa halwa telinga anda tetapi sekali sekala untuk kita ubah citarasa itu sebetulnya mampu mengubah perspektif kita bahawa muzik Malaysia itu tidaklah ketinggalan cuma kena kurang-kurangkan dengar radio je dan cari galilah bakat-bakat hebat seperti ini untuk kita berasa bangganya menjadi penggemar muzik Malaysia.

9.5/10


ARTIKEL BERKAITAN

Gelapkan Sekitar, Pejam Mata dan Bersandarlah Melewati Kelembutan Seriosa Merdu EP “Hati-Hati”

Review, Terkini,

Melewati Dua Single Terbaru Ali Aiman Dalam Layang Rasa Yang Membuai Sanubari

Lagu: Bersamamu & Jangan Kau Pulang 
Artis: Ali Aiman
Komposer / Lirik: Ali Aiman
Produser: Ali Aiman

Nama Ali Aiman dalam pasar besar muzik komersil tempatan mungkin masih hijau memandangkan konsep muziknya yang sedikit asing daripada pendengaran pendengar lokal terutama yang masih senang melayan Balada kitar semula.

Sejak mula bermuzik sekitar 2014 dengan EP “Overture” yang menarik perhatian pendengar urban khususnya dengan hook memikat di lagu “Breathe”, nama Ali Aiman mula dilihat sebagai sosok yang bakal memberi warna berbeza pasaran muzik lokal.

Setelah EP tersebut dia muncul dalam album penuh “Circles” yang sekali lagi hadir dengan penuh citarasa muzik dalam standard yang cukup tinggi. Di saat ini kita dapat lihat betapa ada sebenarnya bakat muda lokal yang mampu meninggikan standard muzik tempatan ke tahap yang lebih baik

Terkini Ali Aiman muncul dengan dua single di tahun 2020. Bermula dengan lagu “Bersamamu” pertaruhan soulful ballad dalam ilham lo-fi yang membuai lembut dalam kemasan muzik yang cukup baik cuma saya kurang gemar dengan penulisan liriknya yang sejujurnya bosan dan tiada apa yang begitu memikat pilihan kata-katanya. Namun melodinya sangat-sangat baik

“Jangan Kau Pulang” sebuah lagi rilis Ali Aiman tahun ini. Lagu yang asalnya dihasilkan sekitar 2014 dengan feel Indo Pop ala Dewa 19 ini hadir dalam rendisi yang lebih memikat rasa. Ballad Jazz yang ditawarkan Ali Aiman menerusi rendisi terbaru ini begitu baik sekali penghasilannya.

Seawal petikan piano di awal lagu sudah cukup buat saya melayang dan feel penyampaian Ali menrusi lagu ini menerbitkan romantisme yang begitu jujur sekali hasilnya. “Jangan Kau Pulang” versi terbaru ini saya kira harus menjadi benchmark muzik Ali selepas ini.

Ali Aiman punya potensi besar untuk bergerak dalam skala besar di pasaran mainstream dengan penghasilan lagu dalam berbahasa Malaysia sebetulnya berbanding bahasa Inggeris yang mungkin sudah banyak di pasaran. We really hope Ali Aiman boleh menghasilkan full Malay EP soon.


ARTIKEL BERKAITAN

Pop Masa Depan – Cerita Tiga Bakat Ali Aiman, Kuizz Shah & Alif