
Album: Hikayat Gundik Berirama (2019)
Artis: The Venopian Solitude
Producer: The Venopian Solitude
Ketika awal mereka hadir dengan album “Hikayat Perawan Majnun” pada tahun 2014, saya melihat The Venopian Solitude (TVS) sebagai the westernized Kembara, M.Nasir dan Kopratasa yang hadir dalam landskap muzik nusantara yang dimodenkan, dibaratkan dengan satu idea muzik yang lebih eksperimental dan bercitarasa tinggi.
Lagu-lagu di album tersebut seperti “Mahar”, “Kembang Bunga” dan “Khilaf Ratna” sehingga hits nombor satu mereka “Tenangkan Bontot Anda” menzahirkan sesuatu yang begitu diperlukan pasaran muzik tempatan ketika itu yang stagnant dengan ilham lagu-lagu tema drama bersiri.
Album tersebut juga sempat memasuki senarai lima teratas Anugerah Industri Muzik tapi malangnya hanya dalam kategori Rakaman Album Terbaik sahaja sedangkan album ini sepatutnya menang Lagu Terbaik (Tenangkan Bontot Anda), Kulit Album Terbaik dan Album Terbaik.
Tapi itulah mungkin juri-jurinya ketika itu terlalu tua untuk idea muda mereka. Tak mengapa kerana apa yang penting mereka telah menghasilkan sesuatu yang cukup besar idea dan jiwanya. Setidaknya saya percaya untuk jangka masa sepuluh tahun mendatang album tersebut akan dijadikan wadah bicara intelektual muzik tempatan.
TVS tahun lalu muncul dengan album penuh terbaru mereka secara fizikal dan saya kira hanya baru-baru ini sahaja album berjudul “Hikayat Gundik Berirama” ini menjengah pasaran digital untuk kita menikmatinya secara berulang dan percuma.
Album ini dibuka dengan begitu progresif dengan lagu “Layar” (TakaharaSuiko ) yang seperti saya harapkan hadir dalam elemen “nusantara kebaratan” yang menjadi signature muzik mereka. Seperti biasa Takahara Suiko cemerlang dalam penulisan liriknya yang sarat dengan pemilihan kata yang cerdik-cerdik belaka.
“Ekoran fikiran bertasbih
Deras talian tak habis
Mulut berkumat-kamit menggamit
Sahutan makin lantang
Minda yang berkumandang..”

“Madhouse” (Mohd Shafiq Razak / Suiko Takahara) dan “Jauhari” (Mohd Shafiq Razaq / Riviyamin Ruslan / Suiko Takahara) hadir semakin bising dalam ilham psikedelik. It’s like watching early work of Michel Gondry. Kabut, serabut dalam pelayaran emosi yang sanga-sangat berkecamuk.
Saya cuba memasuki dunia mereka kali ini dalam adrenalin deras kopi pekat yang saya hirup, memejamkan mata seketika dengan menguatkan volum suara headphone yang akhirnya menemukan saya dengan satu nikmati khayalan tingkat berbeza dalam menghayati muzik.
“Zigurat” menurut saya antara lagu terbaik di album ini. Mendengar pertama kali lagu ini membuatkan saya mahu mengulang dengarnya lagi dan di saat kali kedua saya mendengarnya saya membayangkan lagu ini sebuah kolaborasi TVS bersama Zainal Abidin. Semangat dan drive lagu ini benar-benar mengingatkan saya pada dua album Zainal iaitu “Gamal” dan “Terang…Sang” especially di bahagian:
“Hilang semua permata
Lalu hilang jiwa si nusa dan bangsa
Pertiwi tak mampu lagi
tegak berdiri
Dicemari tangan yang tiada jati”
“Run” (Suiko Takahara) kurang hook dalam melodinya, “Camaraderie” (Ahmad Khair / Danny On The Beat / Muariffah / Sabbala / Suiko Takahara) lebih berkesperimental dengan muzik Hip-Hop Lawa Nie Geng. Dasyatnya lagu ni dah macam dengar Kendrick Lamar. Bahagian Lawa Nie Geng benar-benar memberi warna dalam lagu ini. This one juga satu daripada lagu terbaik di album ini.
“Deras” (Suiko Takahara) sekali buat saya melayang dengan penulisan liriknya
“Suara gigih meraung
Sakit mimpi berdentum
Diseret celaka
Dihimpit gundah gulana
yang maya
Menetas ‘syurga’
Layu disiram racun
Sayu diperam taufan mendayu
Mencarik tiap
Naluri yang siap siaga
Berarak ke neraka dan Bertempik dengan iblis
yang terusik lalu menyeru…”
“Brace” (Eyza Bahra / Suiko Takahara) kembali hebat dalam sebuah kolaborasi dua suara berbeza yang menyatu baik menzahirkan sebuah roh yang begitu ‘haunted’ sekali penghasilannya. Saya terlalu suka dengan penampilan Eyza di lagu ini. Vokalnya memercik satu feel berbeza di album ini.
“Bubar” (Suiko Takahara) hadir dalam feel berbeza yang lebih psiko dan menakutkan rasanya. And this time saya tak tahu mengapa suara Noraniza Idris bergulir meliuk bermain di ilusi saya. Sedap gila lagu ni, semacam satu Gurindam moden yang hadir dalam persembahan muzik yang cukup cemerlang sekali.
Album ini ditutup dengan dua lagu yang meredakan laju adrenali saya mendengarnya “Dust” (Ruviyamin Ruslan / Suiko Takahara) dan “Phoenix” (Asmidar / Suiko Takahara). Saya sukakan attitude vokal Asmidar di lagu ini totally different vibe daripada apa yang sering dilakukannya di pasaran muzik Pop.
Saya menghela nafas lega dalam senyuman usai menikmati album ini. Ibarat sebuah perjalanan panjang yang berawal keliru apa arah tujuannya sehingga menemukan saya dengan sebuah destinasi muzik tempatan yang membanggakan. Tahniah buat semua warga kerja album “Hikayat Gundik Berirama” ini, anda semua hebat-hebat orangnya.
TVS sudah melakukan sesuatu yang cukup luar biasa untuk kita sebagai pendengar bangga dengan produk tempatan. Muziknya mungkin bukan santapan biasa halwa telinga anda tetapi sekali sekala untuk kita ubah citarasa itu sebetulnya mampu mengubah perspektif kita bahawa muzik Malaysia itu tidaklah ketinggalan cuma kena kurang-kurangkan dengar radio je dan cari galilah bakat-bakat hebat seperti ini untuk kita berasa bangganya menjadi penggemar muzik Malaysia.
9.5/10
ARTIKEL BERKAITAN
Gelapkan Sekitar, Pejam Mata dan Bersandarlah Melewati Kelembutan Seriosa Merdu EP “Hati-Hati”