
Lagu: Salam Kaut
Persembahan: Noraniza Idris
Komposer Lirik: Hafiz Hamidun / Ahmad Fedtri Yahya
Produser: Hafiz Hamidun
Belum menemukan titik mati muzik tradisi tempatan selagi ada yang mahu meneruskan usaha dalam menegakkan legasinya. Dan aliran baru jaluran muzik ini berpanjangan di tangan generasi kini muzik yang sentiasa mahu meraikan jaluran muzik ini sama tingginya dengan muzik Pop yang ada. Hari ini “Cak Cak Cekuk” menjadi bukti bahawa lagu-lagu rakyat yang berteras muzik tradisi masih mampu menjerat pendengar muda.
Ia berterusan dengan lagu-lagu perayaan Aisha Retno yang mengembalikan Zapin dan kesinambungan muzik ini kembali dinyalakan Siti Nurhaliza tahun lalu lewat penghasilan album “Gema Bumantara” . Tahun ini Wany Hasrita lewat lagu “Lembayung Tari” Shiha Zikir menerusi “Mohon Ampun” meneruskan kelangsungan ini.
Karya ciptaan Hafiz Hamidun bersama Fedtri Yahya itu bernadi pula di tangan Ratu Irama Tradisional, Noraniza Idris menerusi penciptaan terbaru berjudul “Salam Kaut” yang terhasil mengikut standard tinggu penghasilan lagu-lagu Noraniza Idris yang biasa kita nikmati. Apa yang terhasil adalah sesuatu yang cukup asli dan kembali pada akar produksi muzik yang menyantuni ilham muzik asal.
Lewat lagu ini ilham Zapin diramu dalam cara yang mengikut standard asal tanpa disentuh bunyi-bunyi atau efek moden. Sebati dengan sifat muzik Noraniza Idris itu sendiri, lagu ini membenarkan kita melayani lagu tradisional dengan kemeriahan yang tercipta lewat instrumentasi, permainan vokal dan lenggok nyanyian Kak Ani.
Korusnya catchy mengikat pendengaran dengan naratif cerita budaya salam kaut yang dilagukan sebagai tunjang ceteranya. Bahagian paling menarik pendengaran saya ada pada bait “Kaut berkat di balik salam // Kaut rahmat di balik genggam.” yang membawakan pengalaman menikmati alunan Noraniza Idris yang cukup tersendiri dan langka.
Penghasilan keseluruhan lagu ini baik dan tidak begitu mencuba untuk kedengaran terlalu moden. Ia menepati kehendak dan prinsip muzik Noraniza Idris itu sendiri dengan satu standard produksi yang kemas dan lengkap.
7.5/10
ARTIKEL BERKAITAN