Highlight, Review, Terkini,

Aina Abdul Membaluti Jiwa Rawan Dalam Kesayuan “Sepi”

Lagu: Sepi
Artis: Aina Abdul
Komposer / Lirik: Aina Abdul

Gerakan muzik Aina Abdul berjalan cemerlang melewati pasaran muzik semasa tempatan yang masih menginginkan kesayuan dalam penghasilan irama Balada. Dan setelah berjayanya “Sumpah” dan “Semalam” – Perjalanan muzik Aina berjalan sangat laju dengan penghasilan “Maybe” dan “Kelip2” yang lebih berarah Pop.

EP dua lagu yang beredar tahun lalu itu meluaskan sedikit landskap Pop Aina agar tidak terikat ilham Balada semata. Dan sejujurnya saya seronok melihat Aina semakin diterima meluas dan terbuka pendengar tempatan setelah bertahun-tahun percubaan mencuri perhatian pendengar.

Kembara muziknya berjalan sangat laju. Tidak hanya fokus rilis solo, Aina menghasilkan rangkaian duet bersama Khai Bahar (Nafas Cinta) dan Lah Ahmad (Tunggu Kamu) bagi meneruskan kelangsungan bermuziknya.

Hal yang sangat mengujakan. Aina bijak, dia tidak mensia-siakan ruang yang ada dengan melengahkan masa. It’s her time, dia tahu ini ruang harus digunakan sebaiknya untuk terus kekal relevan dengan menghasilkan lagu-lagu tanpa putus. Jika tidak didengar sekarang ia pasti akan didengar di masa mendatang.

“Sepi” beredar Februari lalu sebagai sebuah lagi Big Ballad nukilan sepenuhnya anak muda ini. Aina melewati kekosongan perasaan paling dalam yang mampu diterjermahkan dalam sebuah lagu. Hal ini cukup jelas dalam penghasilan lirik yang menyatu sempurna dengan resah dan rawan melodi lagu ini.

Aina sentiasa mampu membuat saya meremang persembahan vokalnya yang dibaluti emosi yang tepat. Aina story teller yang baik dalam memaknakan kata-kata yang siap yang ditulis dalam lirik. Seawal bait Sepinya di dalam hati, dirundung pilu rasa perih..” Aina sudah membuat saya larut.

Lagu ini terhasil lebih baik sebetulnya daripada “Semalam” yang saya kira agak terlalu berteriakan. Produksi muziknya lebih kemas, transisi yang terhasil dalam dinamik yang tidak keterlaluan hanya kerana mahu menghadirkan rasa rawan yang ada. Semuanya berjalan di atas landasan yang sepatutnya. Bahagian awal lagu ini is the best, perasaannya lembut sebelum mood-nya menaik di hujung lagu.

“Sepi” turut dihasilkan dalam lirik berbahasa Korea yang nyata tidak langsung kedengaran canggung. Mengalir baik seolah menikmati sebuah runut bunyi K-Drama. Malah sejujurnya saya lebih enjoy di versi Korea ini.

6.5/10


ARTIKELL BERKAITAN

Terbuai Dalam Gemersik Suara “Ezah Hashim” Menerusi Single “Jeritan”

Highlight, Review, Terkini,

Menuju Beredarnya Album Keempat, Raisa Menghadiahi Penggemarnya “It’s Personal”

Album: It’s Personal (EP)
Artis: Raisa
Produser: S/EEK

Persona R&B Pop seberang, Raisa belum lagi gagal saya kira dalam rencana karier muziknya yang berawal 2011 kira-kira 10 tahun yang lalu dalam menghasilkan produksi muzik yang aromanya tidak hanya menyusup ke serata Jakarta malah jauh terbang ke negara sebarang, Malaysia.

Kelembutan sisi suara miliknya cukup ikonik dan tersendiri tanpa perlu dibandingkan dengan mana-mana penyanyi seangkatan atau sebelumnya. Raisa yang hari ini pastinya semakin matang, serius tetapi masih bijak dalam meramu adunan rasa muzik yang sentiasa dekat dengan pendengar.

Setelah kali terakhir muncul dengan album “Handmade” (2016), Raisa seperti penyanyi lainnya memberi fokus penghasilan single demi single mengikut rentak pasaran muzik semasa yang semakin kurang meraikan penghasilan album penuh. Maka terhasil lagu-lagu seperti “Kembali”, “Teristimewa”, “You” dan sehingga kolaborasi bersama Afgan juga Dipha Barus.

Memberi kejutan manis  buat penggemarnya, Raisa yang senang disapa Yaya ini menghadirkan sebuah EP berjudul “It’s Personal” yang merupakan bahagian pertama yang bakal melengkapkan keseluruhan album penuh keempatnya yang bakal beredar penghujung tahun ini.

Terisi 5 lagu berserta dua lagu yang lebih awal diedarkan iaitu “Ragu” dan “Kutukan Cinta Pertama” – Terhasil dalam nuansa Urban Pop yang disatukan dengan feel R&B yang menambah groove dikedua-dua lagu.

Melengkap EP ini, Raisa menghadiahkan sebuah melodi Balada yang cukup lembut menghembus rasa yang menyenangkan lewat lagu “Jangan Cepat Berlalu” (Jessi Mates / Marco Steffiano / Raisa). Melodi lagu ini cukup kuat signature dan jiwa Raisa di dalamnya. This one definitely my fav track in this EP.

“Love & Let Go” membaluti jiwa pendengar dengan pengaruh 90’s Ballad yang banyak terhasil dalam lagu-lagu popular di era Mariah Carey, vanessa Williams, Jordan Hill dan Deborah Cox antaranya. Saya bernostalgia dengan melodi ini mengingati betapa indahnya lagu-lagu ketika membesar dahulu.

Mendengarkan “It’s Personal” membuatkan saya tidak sabar menantikan album penuh Raisa yang bakal menyusul penghujung tahun ini. This EP definitely a repeat mode! Lagu-lagunya sedap didengar, komposisi muziknya asli dan identiti suara Raisa itu berada di paksi yang tidak terganti dengan lainnya.

9.7/10


ARTIKEL BERKAITAN

Tarikan R&B Adrian Khalif Diteruskan Menerusi Single “Khilaf”

Highlight, Review, Terkini,

#SepekanMuzik Sebuah Sudut Pandang Lagu-Lagu Pasaran Pop Semasa

Sepekan Muzik sebuah kolum kompilasi ulasan lagu-lagu popular semasa yang dibuat secara ringkas namun padat. Akan disiar setiap sabtu jam 10 Pagi di laman web ini.

Lagu: Kabut Serangkai Mawar
Artis: Mafarikha
Komposer / Lirik: M.Nasir 
Produser: Ashraf Aasimudin
Verdik: 4/10

Mafarikha menghadirkan pesona baru “Kabut Serangkai Mawar” yang datang dengan semangat baru oleh Ashraf Aasimudin yang menyusun kembali lagu ini. Cuma saya kira ia akan lebih cantik jika beberapa bahagian asal lagu ini tidak diambil dan dilagukan dengan serba baru especially di bahagian “Tapi telah ku tahu akan maksudmu..” Bahagian ini terlalu old fashion dan berteriakan. Rujuk bagaimana NJWA mengembalikan semangat Seri Mersing dengan membuang bahagian tertentu dan menjadikan ia sangat segar dan kekinian. Bukan apa bila banyak sangat jeritan dalam lagu saya jadi penat nak habiskan lagu plus Mafa pun sebetulnya kedengaran penat di bahagian hujung lagu ini.

Lagu: Nukilanku
Artis: Aisha Retno
Komposer / Lirik: Farouk Roman / Aisha Retno
Produser: Farouk Roman
Verdik: 4/10

Aisha penyanyi yang sangat bagus dan terlalu banyak potensi untuk dikembangkan sebagai pelapis muzik tempatan di masa mendatang. Setelah single “Cinta Dengamu” yang beredar awal tahun ini, Aisha kembali lagi dengan Balada yang melatari OST drama tempatan yang berawal cukup indah lembut membuai. Mainan suaranya kemas dan sangat merdu sehinggalah minit ke 2.02 yang buat saya berkata dalam hati “Haa ok start dah.”  Aisha masih muda dan boleh dibentuk untuk jadi Pop star yang cukup current. R&B Kontemporari harus menjadi jaluran muziknya jika tidak sayang sangat dia hanya mensia-siakan diri sahaja menjadi penyanyi OST. Saya sangat berharap Aisha boleh stop sekejap  buat Ballad dan masuklah ke pasaran lebih urban bersama MFMF. atau MyPopMachine (Iqie Hugh, Firdaus Rahmat & Mas Dewangga).

Lagu: Mahligai
Artis: Daniesh Suffian
Komposer / Lirik: Dasniesh Suffian / Firdaus Rahmat / Hanis Rafi / Iqie Hugh
Produser: Hanis Rafi / Omar K
Verdik: 4.5/10

“Simpan” saya letakkan sebagai lagu terbaik yang mempu menyerlahkan lagi bakat Daniesh Suffian di pasaran muzik perdana. Penghasilan lagu tersebut cukup memberi justifikasi yang baik buat suara miliknya yang saya sifatkan antara Pop terbaik yang terhasil tahun lalu. “Mahligai” hadir sebagai single sulungnya tahun ini yang hadir dalam Balada yang agak predictable sebetulnya. Seperti kurang hook pada melodinya untuk menangkap pada pendengaran pertama. Namun Daniesh penyanyi yang bijak dalam persembahan emosinya yang mencukupi.

Lagu: Rambang
Artis: Shalma Eliana
Komposer / Lirik: Firdaus Rahmat / Mas Dewangga
Produser: Mas Dewangga / Firdaus Rahmat
Verdik: 3.5/10

Saya agak keliru dengan kraf lagu ini, agak sloppy dan macam ada tiga empat lagu yang kita pernah dengar dalam satu. Melodinya asasnya sudah ada cuma transisi verse ke korusnya itu terlalu terburu dan agak tak tentu arah. Penulisan liriknya juga agak aneh terutama di bait “Rahsia terbuka, Rambang kanta, mata buta” dan “Kau teruna puncaku menderita” tidak solid dan saya agak terganggu dengan vokal Shalma yang terlalu mediocre untuk Pop yang begini. Sebagai fans Firdaus dan Mas Dewangga saya kira lagu ni macam kurang siap. Entahlah mungkin saya sajalah agaknya yang rasa macam ni.

Lagu: Adakah Ini Mimpi
Artis: Reedzwann
Komposer / Lirik: Reedzwan
Produser: Harry Khalifah
Verdik: -1.5/10

Hmm… Penyanyi bermusim, one hit wonder. Dari wujudnya Aiman Tino, Tajul, Sha, Ismaeane, Fieya Juliana, anak arwah Saleem tu apa tah namanya dan selain-lainnya semua datang dan pergi bagai angin lalu. Tak rasa bersalah ke suap pendengar dengan lagu-lagu macam ni? Takde ke rasa nak tinggikan standard muzik tempatan ni dengan lagu-lagu yang lebih current dan bersifat global? Membentuk intelektual pendengar itu jadi tanggungjawab label, komposer malah penyanyi. Saya tak tahu kehadiran lagu ini sampailah nampak dalam carta RIM. Dan setelah mendengar, mengucap panjang saya dibuatnya. Macam ni masih lagi orang nak dengar ya? atau Adakah Ini Mimpi? Tell us!

Lagu: Pedas
Artis: Wany Hasrita
Komposer / Lirik: Altimet / Shazee / Sophia Liana
Verdik: 4.6/10

Seronok juga melihat Wany keluar kepompong Balada yang tak berkesudahan. Lagu ini saya kira acceptable untuk seorang Wany Hasrita – tidaklah terhadir dalam idea baru yang sangat sedap atau luar biasa penghasilannya, just ok. Wany perlu bergerak ke arah Pop begini untuk evolve sebagai penyanyi kalau tak memang dia akan jadi Siti Nordiana for the rest of her careeer. Kalau saya jadi FMC, saya akan ambil beberapa ilham Pop Siti menerusi “Satu Cinta Dua Jiwa”, “Destinasi Cinta”, “Siapa Tak Mahu” dengan acuan baru, cara baru untuk Wany menjadi lebih berkelas dalam tempo karier muziknya. Tak perlu ada rap pun. Rujukan sangat banyak hanya perlu betul-betul explore kebolehan Wany sahaja.

Lagu: Nada Kalbu
Artis: Aina Abdul
Komposer / Lirik: Farouk Roman / Aina Abdul / Aisha Retno
Produser: Farouk Roman
Verdik: 4/10

Aina ternyata sedang seronok melayari pasaran Pop komersil dengan penghasilan Balada demi Balada meruntun jiwa seperti ini. Vokalnya memang sangat kemas, perasaannya juga sangat tepat diisi di setiap bahagian lagu ini. Melodi lagu ini seperti biasalah terlalu Melly-ish Goeslaw. Dan seperti biasa juga sebagai pendengar yang kurang gemar Balada berteriakan begini, saya agak lemas dengan transisi lagu ini di bahagian hujung yang menaik-naik entah nak ke mana. Saya sangat enjoy di bahagian awal lagu ini especially verse yang buat saya pejam mata terlarut dalam emosinya. Tapi yang beginilah orang akan suka.


ARTIKEL BERKAITAN

Terbuai Dalam Gemersik Suara “Ezah Hashim” Menerusi Single “Jeritan”

#RetrospektifMuzik, Terkini,

Keasingan Wings Tanpa Awie Menerusi “Orang Asing”

“Orang Asing” Beredar pada tahun 1995 ketika saya masih lagi di bangku sekolah dan mula mengenal juga belajar mendengar muzik-muzik tempatan yang pastinya dimonopoli KRU, Search, Iklim. Ziana Zain, Ning Baizura dan Wings ketika itu.

Album studio keenam ini menjadi naskhah awal Wings tanpa Awie yang ketika itu sibuk dengan kerjaya lakonan selain projek solo albumnya sedikit sebanyak menganggu-gugat nama Wings dalam radar popular ketika itu.

Namun sebetulnya ia tidak sedikit pun menjadikan karya-karya mereka di album ini tidak langsung diberi perhatian. Banyak single yang terhasil di album ini menarik minat ramai pendengar dan pada masa yang sama meluaskan pasaran muzik Wings dan masih diingati juga didengari sehingga hari ini.

“Orang Asing” menampilkan kerjasama Wings dengan beberapa komposer yang cukup besar di awal 90-an. Sentuhan melodi JS Kevin (XPDC) dan Saari Amri (U.K’s) memberi satu landskap muzik yang berbeza dalam penghasilan album ini.

Menampilkan Mel sebagai vokalis utama, saya sifatkan lebih persembahannya lebih ke arah sentimental dan soul, yang pastinya memberi satu pengalaman berbeza menikmati muzik Wings itu sendiri. Lantas menjadikan “Orang Asing” antara album Wings yang datang dengan sentuhan campuran Rock, Pop & Sentimental yang cukup menarik untuk dihayati.

Rangkaian Slow Rock seperti “Semalam Yang Hangat” (JS Kevin) antara yang hadir dengan teks melodi yang cukup menawan. Tersusun cukup indah dan menyuntik semangat nostalgic. JS Kevin telah memberikan sentuhan emasnya di lagu ini yang nyata berbeza dengan apa yang sering dia hadirkan buat kugiran XPDC terutamanya.

“Lena Diulit Intan” (Saari Amri) hadir dengan monopoli muzik Pop dalam kerasnya sifat Wings itu. Sangat catchy dan sedap sekali penghasilan melodinya. Sebuah gabungan yang saya kira tidak pernah dibayangkan akan terjadi namun cukup berjaya menawan perhatian pendengar. Mungkin ini satu-satunya lagu Saari Amri yang ada rasa begini.

Tiga lagu ciptaan Joe di album ini, “Asing”“Buktikanlah” dan “Setan Mengganas” meneruskan sifat keras Wings yang ada di album-album sebelum ini tetapi tbh tiada apa yang menarik hanya sekadar mengulang formula sedia ada sahaja.

“Ranjang Mawar” (M.Nasir) adalah killer album ini. M.Nasir selalu ada melodi yang custom begini. Melankolisnya lagu ini menyatu sangat baik dengan soul milik Mel. Sempurna sebagai sebuah lagu yang pastinya akan didengari biar berganti generasi.

Pendengaran saya teralih pada lagu “Saputangan” yang lebih blues, slow burn sentimental rock yang menarik untuk layan perasaan. Lagu ciptaan Zamri S bersama Joe ini antara lagu yang saya kira gem di album ini. Begitu juga dengan lagu “Rayuan Terkhir” yang menemukan saya dengan puncak kepuasan menikmati vokal Mel.

Album ini saya kira antara album yang cukup menarik untuk dikupas jika Wings memiliki biografi sama ada dalam bentuk buku atau filem kerana ia menjadi titik tolak peralihan skala besar band ini dalam melewati kembara muzik di fasa berbeza.

Dengan penjualan album melebihi 150 ribu unit, album ini merupakan satu transisi kematangan bermuzik yang menjadi penentu sejauh mana lagi sesebuah band itu mahu terus bergerak dalam meneruskan ideologi mereka. Dan ternyata setelah lebih 20 tahun album ini beredar, Wings masih utuh sebagai sebuah living legend.


ARTIKEL BERKAITAN

Alleycats – Sebuah Wajah Muzik Pop Kontemporari Malaysia

#PerspektifMuzik, Highlight, Terkini,

2001 In Music: Kepelbagaian & Keterbukaan Bermuzik Secara Kreatif & Bebas

Selain tahun 1999 yang sudah kami kupaskan sebagai sebuah tahun cemerlang muzik tempatan dengan kepelbagaian muzik yang diraikan dengan begitu meriah dan seadilnya (Baca di sini: 1999) satu lagi tahun yang begitu menarik dikembalikan kegemilangannya adalah 2001.

20 Tahun lalu di mana kita diraikan dengan rangkaian lagu-lagu hebat bukan sahaja dari segi komposisi muzik dan idea malah disambut terbuka pendengar muzik ketika itu.

Memperlihatkan karya-karya hebat malar segar seperti “Raikan Cinta” (M.Nasir), “Anak Ayam” (Too Phat), “Percayalah” (Siti Nurhaliza), “Demi Masa” (Raihan), “CD Bagasi Honey” (Pretty Ugly) dan “Seandainya Masih Ada Cinta” (Dayang Nurfaizah) antara yang paling dominan.

Itu belum lagi mendengar “Malayneum” persembahan Butterfinger yang mungkin bagi sesetengah pendengar Pop kedengaran asing dan evolusi muzik Camelia dan Syafinaz di album mereka “Mimpi” dan “Syhh…” yang merupakan album rakaman semula hits Datuk Ahmad Nawab.

Lagu-lagu popular ini tidak hanya singgah sebagai sebuah rilis lagu tetapi kesemuanya beriring produksi album yang besar jiwanya, ideanya.

Menyorot kembali album terbaik M.Nasir sepanjang ia bermuzik, “Phoenix Bangkit” terhasil cukup solid sebagai naskhah Nusantara Pop yang cukup matang penghasilannya. Lihat sahaja bagaimana hebatnya lagu-lagu “Phoenix Bangkit Dari Abu”, “Masirah”, “Langgam Pak Dogo” dihasilkan dengan satu sifat tersendiri yang dimiliki M.Nasir.

Idea besar M.Nasir ini satu daripadanya yang sehingga hari ini masih didengar, dikaji isi ceritanya, dicari fizikal CD nya. Kosmik Pop M.Nasir dalam mempersembahkan sesuatu yang cukup berdiri sendiri dalam ideologi muzik fusion yang disatukan baik dengan sound baru menjadikan setiap lagu terhasil cemerlang sekali sifatnya.

Idea bebas juga radikal anak muda di pasaran urban menciptakan sesuatu yang cukup berani – Saya berbicara tentang Too Phat dan Innuendo. Dua nama cukup besar dalam memberi sentuhan muzik global dalam pasaran muzik lokal.

Too Phat menerusi “Plan B” menzahirkan kembali ilham lagu rakyat Anak Ayam sebagai sample melodi baru yang dibikin serba unik tanpa terasa mengganggu keaslian melodi “Anak Ayam” tetapi meletakkan standard baru lagu lama tersebut dengan begitu ke tahap yang lebih tinggi sifatnya.

Menerusi album serupa mereka mengundang Biduanita Sharifah Aini di single berjudul “You” yang sekali lagi ketika itu hadir sebagai sebuah naskhah genius dalam menyatukan dua generasi Pop dalam pasaran muzik semasa.

Tidak hanya bergantung pada dua single itu sahaja, “Plan B” dilihat sebagai sebuah killer album dengan hadirnya single lain seperti “Just a Friend”, “Boogie Down” dan “Clap To This”. yang sehingga hari ini diingati dan didengari.

Innuendo sebuah lagi Pop group yang sentiasa tampil dengan sound yang cukup moden dan current

Album berjudul “BrandNuEndo” yang merupakan album kedua pop group yang cukup diingati dengan rendisi baru “Belaian Jiwa” merilis sebuah lagi album yang cukup boleh dibanggakan pasaran muzik tempatan.

Terhasil sebagai sebuah rangkuman idea kreatif memanipulasi R&B, Pop dengan pengaruh muzik di era 70’s, 80’s dan 90’s – menjadikan “BrandNuEndo” sebagai sebuah naskhah yang melangkaui batas masa dalam sebuah idea baru dalam meninggikan standard bermuzik mereka.

Saya sangat tertarik untuk memberi kredit bagi beberapa lagu yang cuku bagus sekali penghasilannya di album ini. Selain “Only Dancin” yang menjadi single perdana album ini bersama “Gemawan” dan “Nanti” yang menampilkan Ruffedsge bersama V.E antara lagu penting di album ini.

“Body Song” tampil cukup kuat spirit R&B antara yang terbaik pernah dihasilkan Innuendo. Biar sehingga hari ini setiap kali saya mendengar lagu ini akan menerbit rasa remang bangga menikmatinya.

Kolaborasi bersama Adibah Noor menerusi “I,2 The movie” hadir dalam alunan Jazz yang complete sebagai sebuah persembahan vokal yang begitu puas untuk kita sebagai pendengar nikmati. Dan pernah dengar “Trois” ? yang dikatakan sebagai kisah “3 sum” dalam perhubungan.

Syafinaz hadir berevolusi dalam memberi warna baru karya Ahmad Nawab menerusi Syyh…

Setelah meraih populariti dengan orinality vokal luar biasanya menerusi hits “Ingin Bersamamu” Syafinaz mengambil masa meramu kembali karya-karya Datuk Ahmad Nawab menerusi album solo keduanya bersama EMI pada tahun 2001.

“Rindumu Rinduku” yang berasal sebagai naskhah Balada diubah kemas dan moden muziknya oleh Ahmad Izham Omar menjadi sebuah naskhah R&B yang cukup dasyat sekali vibe nya. Hip-Hop ditambah sebagai bahan perasa yang menyedapkan lagi naskhah asal nyanyian Broery Marantika.

Album ini berisi 12 lagu termasuk sebuah lagu bari tribute Ahmad Nawab ini mengubah struktur muzik asal dengan idea baru, intepretasi baru dalam sebuah persembahan baru.

Banyak yang suka dengan apa yang Syafinaz lakukan namun tidak kurang yang memandang ia sebagai sebuah usaha yang memusnahkan idea lagu asal.

Namun inilah yang saya maksudkan dengan kebebasan bermuzik yang menguji kreativiti bukan sahaja pada penggubah tetapi buat kita sebagai pendengar dalam meraikan keterbukaan serta kepelbagaian bermuzik. Rakaman album ini cukup kemas dan bersih sound nya.

Mendengarkan “Syyh..” setelah 20 tahun diterbitkan tidak terasa lapok malah saya kira ia sangat masih kedengaran segar dan relevan untuk pasaran muzik hari ini. “Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu”, “Kemesraan” dan “Ku Sangka Siang Kiranya Malam” sudah dihasilkan dengan ilham muzik yang cukup hebat sekali.

Rakaman langsung dari konsert “Perjalanan Seni” Tan Sri S.M Salim bersama orkestra Malaysian Philharmonic Orchestra dengan rangkaian lagu yang disusun semula Ramli M.S terhasil sebagai sebuah sejarah konsert paling akan diingati sepanjang zaman. Mungkin bukan buat generasi hari ini tetapi untuk semua yang faham dan dekatnya dengan ilham muzik yang tinggi santun dan budinya dalam sebuah repertoire muzik Melayu yang ditinggikan martabatnya.

Biar tidak berkesempatan ke konsert tersebut saya kira hanya untuk mendengar persembahan serba sederhana Tan Sri S.M Salim yang disulam dengan jenakanya mengusik penonton menjadi satu pengalaman yang cukup besar di ruang visual saya sendiri.

Lagu-lagu seperti “Pandang-Pandang, Jeling-Jeling”, “Kalau Ku Tahu”, “Tak Seindah Wajah” dialun dalam pengalaman bermuzik Tan Sri S.M Salim yang cukup matang sebagai senior dalam radar Pop tempatan. Kredibiliti dan keampuhannya sebagai seorang penyanyi pentas itu terlalu banyak yang boleh dipelajari bakat muda hari ini hanya dengan menghayati album ini.

Bakat baru ketika itu yang cukup mencuri tumpuan hadir dengan ilham muzik yang tidak terikat Pop semata. Yasin hadir dengan pesona Pop Padang Pasir dalam jelmaan sebagai Amr Diab Malaysia, Flop Poppy cukup mempesona dalam Alternatif “Cinta” yang cukup original dan masih ingat Sarimah hadir dengan cukup yakin yakin dalam pesona Pop Britney menerusi “Kini Kau Tiada / Now That Youre Gone”?

Sekadar menyebut tiga nama ini sahaja sudah jelas betapa bebasnya pemuzik dahulu berkarya dalam idea yang pelbagai. Dan apa yang lebih penting penerimaan pendengar ketika itu sangat terbuka dalam meraikan kepelbagaian dalam bermuzik.

Sarimah, Flop Poppy dan Yasin menjadi bukti muzik ketika itu cukup beragam dan bergerak cukup kreatif, tersendiri

Itu belum lagi kita menyebut bakat-bakat indie yang ketika itu hadir rebellious menolak ilham Pop semasa seperti Pretty Ugly menerusi “CD Bagasi Honey” dan Love Me Butch dalam ilham Hardrock dan Alternatif seratus peratus bahasa Inggeris yang ketika itu masih terlalu kecil pasaran muziknya.

Namun dalam bermuzik tiada apa yang menghalang nama-nama ini terus melakukan apa yang mereka percaya dengan sokongan penuh pendengar dan Love Me Butch sendiri sudah diangkat sebagai Artis Inggeris Tempatan Terbai di pesta muzik AIM Ke-9.

Butterfingers menerusi album keempat mereka berjudul “Malayneum” meramu elemen Klasik dan Nusantara yang diadun baik dalam elemen Rock mereka mencipta satu kosmik muzik yang cukup menarik untuk dihayati. Kerasnya muzik mereka dalam lagu seperti “Malayneum” dan “Pacific” antara yang cukup menarik untuk didengari sehingga hari ini.

Kraf muzik Butterfingers bergerak cukup ke depan ketika itu dengan pengaruh muzik rock barat dalam signature muzik mereka yang melekakan. Keras riff gitar dan derum deram laju menguja adrenalin pendengar memberi satu nafas kekinian muzik tempatan ketika itu.

Di pasaran Pop dan Balada pertaruhan R&B Dayang Nurfaizah bersama album “Seandainya Masih Ada Cinta” menjadi antara yang paling dominan 2 dekad lalu. Diikuti album “Aku Cintakan Mu” oleh Ziana Zain dengan hits “Menadah Gerimis” juga Fauziah Latiff menerusi album “Yang Lebih Kau Cinta”.

Siti Nurhaliza menerusi single “Percayalah” di album Safa meneruskan formula Pop yang cukup sebati dengan kosmik Pop yang sudah dia hidangkan dalam album-album sebelumnya. “Safa” mungkin bukan hasil terbaik Siti tetapi “Percayalah” sudah boleh kita letakkan sebagai salah satu naskhah Balada terbaik yang pernah dicipta sepanjang zaman.


2001 Sebagai tahun paling istimewa pasaran muzik tempatan

Kehebatan muzik M.Nasir menerusi melodi “Raikan Cinta” tercabar dengan kehadiran Yasin yang bergerak secara solo menerusi hits “Mimpi Laila” yang meraih gelaran Juara Lagu. Dan “Raikan Cinta” juga tewas di tangan “Seandainya Masih Ada Cinta” sebagai Lagu Terbaik Anugerah Industri Muzik.

Persaingan sengit tetapi cukup sihat bagi perkembangan muzik tempatan. Meraikan kepelbagaian dalam muzik tanpa mengira apa jua genre muzik. Siapa yang berani ketika itu hadir dengan idea berjiwa besar dan keluar dari acuan muzik yang biasa akan diangkat.

Namun bukanlah maksud saya di sini menidakkan kehebatan “Raikan Cinta” – Lagu dan album tersebut sehingga hari ini masih boleh dibanggakan sebagai naskhah yang cukup cemerlang sifu M.Nasir.

Camelia menerusi albumnya berjudul “Mimpi” is another story yang harus dibicarakan. Camelia keluar dari kepompong Balada biasa yang sering dibawa. Camelia mencabar dirinya dengan menghasilkan sesuatu yang lebih berat arah muziknya.

Fusion Pop di album ini dengan elemen Jazz “Bukan Yang Terbaik”, R&B “Bawa Cinta”, Fusion Etnik di lagu “Mimpi” dan kemasan string di lagu “Erti Kehidupan” itu menolak terus idea lapok dan lama. Landskap Pop Camelia berubah dan memperlihatkan dia betapa matangnya sebagai seorang penyanyi yang mahu evolve dengan sound2 yang baru.

Dan masih ingat produksi muzik “Natural Woman” oleh Ning Baizura yang dibikin di Jepun? Biar tidak semua menikmati album tersebut, “Natural Woman” menjadi antara album terpenting Ning sepanjang karier muziknya.

Menyorot kembali kalendar Pop tempatan di tahun 2001 saya kira memberi satu pengalaman mendengar dan menikmati muzik yang cukup berwarna. Sayangnya tidak semua album-album hebat ini ada di gedung muzik digital untuk didengari anak muda hari ini.

But again saya tidak pasti juga mengulang dengar dan belajar sesuatu daripada naskhah-naskhah hebat ini penting buat mereka. Anda bertuah jika muzik di era ini masih penting untuk didengarkan dan dihargai.

Terlalu banyak elemen-elemen muzik yang boleh dipelajari dan dikembangkan bagi menghasilkan sesuatu yang baru hari ini. 2001 tahun yang sangat berwarna cerita muzik tempatan. Exists hadir dengan album “Ada” dengan sound Brit Pop yang dasyat penghasilannya dan kosmik Pop Rock baru Ella menerusi “Ilham Bicara”. Semuanya terhasil sebagai naskhah muzik yang harus dibanggakan.

Dengarkan senarai lagu 2001: MALAYSIA di Spotify Muzik Kita:


ARTIKEL BERKAITAN

Beredar Balik Ke Pasaran Muzik 20 Tahun Sebelum, Ini 10 Lagu Terbaik Di Tahun 1999

Highlight, Review, Terkini,

Terbuai Dalam Gemersik Suara “Ezah Hashim” Menerusi Single “Jeritan”

Lagu: Jeritan
Artis: Ezah Hashim
Komposer / Lirik: Ezah Hashim / Sang Hikayat

Jarang sebetulnya saya mahu mengulas tentang rilis konvensional Ballad sebab sejujurnya dah tak ada apa lagi yang menarik. Ilhamnya serupa, nyanyiannya begitu-begitu jugalah yang hujung ceritanya hanya mahu mengejar trofi Vokal Terbaik AJL.

Jadi what makes a good traditional Ballad ini sebenarnya? Formula yang mana mahu dikembangkan? Saari Amri, Adnan Abu Hassan atau Melly Goeslaw? Jawapannya bukan semua itu.

Bagi saya mudah, Balada itu harus datang dengan perasaan yang tepat. Penyatuan melodi, lirik dan vokal yang seimbang tanpa perlu over power sesama sendiri.

Dan itulah masalahnya Balada hari ini. Semuanya dibikin dengan terlalu besar sifatnya yang akhirnya tersisa adalah bunyian bising sebab dah hilang balance tersebut.

Tahun lalu seperti di posting saya di FB meletakkan “Tanpa Rela” dan “Angkara” sebagai Balada terbaik kerana keseimbangan itu dicapai dan melengkapi antara melodi, lirik, kemasan muzik sehingga feel pelantunnya.

Sebetulnya tak susah sangat menghasilkan Balada. Ajai dan Azlan Abu Hassan ada formula tersebut dan itu yang banyak dihasilkan dalam “Kesetiaan”, “Izinkan Ku Pergi”, “Percayalah”, “Selagi Ada Cinta”, “Terlalu Istimewa”, “Elegi Sepi” dan “Seandainya Masih Ada Cinta”.

Dan saya kembali mahu menulis sesuatu tentang Balada dengan hadirnya single terbaru penyanyi asal Brunei bergelar Ezah Hashim yang tampil dengan single “Jeritan”.

Ezah awal menarik perhatian saya ketika dia merilis “Tertulis” yang cukup lembut, menyentuh dan membuai rasa dengan kesederhanaan dalam penyampaiannya. Resah dan galaunya sangat dirasi tanpa perlu terlalu bermain dengan lenggok gaya nyanyian yang bermacam-macam. Semuanya tersusun secukupnya.

Dan setelah hampir 2 tahun tanpa sebarang single baru, “Jeritan” menjadi pertaruhan terbarunya yang saya jamin jika anda yang belum mendengar tiada sebarang unnecessary ‘jeritan’.

Lagu ini hadir dalam acuan serupa “Tertulis” yang lebih dramatik tetapi masih terkawal dan ia terkawal kerana perasaan Ezah di lagu ini memberi justifikasi tang sangat-sangat baik.

Saya larut dalam kelembutan dan kesederhanaannya milik Ezah. Saat dia melantun bait “Biarlah remuk hatiku merinduimu, Menitis luruh tangisan pilu…” itu sangat mahal sekali perasannya. Begitu juga di bait “Hakikat yang terikat.”

Ezah penyanyi yang bijak dalam menata haluan nyanyiannya. Dia tahu memaknakan setiap kata di barisan lirik dengan perasaan yang tepat.

Penghasilan lagu ini secara dasarnya biasa sahaja bagi saya. Tetapi sekali lagi ia sangat istimewa kerana vokal merdu Ezah yang sangat terkawal dan cantik hasilnya. And i must say susunan muzik lagu ini sangat kemas dan kualiti rakamannya terhasil sangat baik untuk sebuah Balada.

6.9/10


ARTIKEL BERKAITAN 

Sebuah Duka Terindah Khodi Lewat Single “Dia Bagiku”

Highlight, Review, Terkini,

“Ai.Z” Sebuah Peralihan & Kematangan Bermuzik “Aizat Amdan”

Lagu: The Last Thing
Artis: AI.Z
Komposer / Lirik: Aizat amdan / Yunalis Zarai
Produser: Kuizz Shah

Menuju usia 15  tahun bergerak sebagai pemuzik, Aizat Amdan nama besar Pop semasa tempatan sudah memberikan kita satu pengalaman menarik menikmati persembahan muziknya sejak awal mencuri perhatian di pentas pertandingan nyanyian lagi.

Dua album penuh dihasilkan – “Percubaan Pertama” (2008) dan “Urusan Aizat Amdan” (2010) berserta sebuah album mini “Legasi” (2014), Aizat bergerak tanpa perlu terlalu terikat dengan apa yang pasaran muzik mahukan tetapi melakukannya dengan caranya yang cukup tersendiri.

Kali terakhir muncul dengan single Pop berjudul “Tekad”, aizat mengucapkan selamat tinggal seketika buat branding “Aizat Amdan” dan menjelma sebagai Ai.Z dengan feel baru, imej baru yang saya sifatkan lebih segar, current dan moden.

Maka dengan itu terhasil “The Last Thing” sebuah projek khusus kolaborasi bersama Yuna Room Records sebagai single perdana yang saya percaya bukanlah satu-satunya single yang akan terhasil menerusi projek istimewa ini.

“The Last Thing” ditulis Aizat bersama Yuna dalam ambien modern R&B dengan beat lo-fi juga pengaruh KRNB yang bergerak cukup baik sebagai sebuah naskhah muzik semasa sifatnya. Melodinya cukup catchy, hook di bahagian korus dan lirik yang dekat dengan kebanyakan anak muda hari ini.

Produksi muzik Kuizz yang cukup kemas memberi justfikasi pada melodi juga feel Ai.Z di keseluruhan lagu. “The Last Thing” saya kira satu permulaan baru, perjalanan yang lebih interesting pastinya dan apa yang lebih penting bagi saya ia membesarkan sifat muzik tempatan ke arah yang lebih tastefully produced.

Peralihan Aizat Amdan ke Ai.Z ini saya lihat sebagai sebuah gerakan muzik yang bakal mematangkan persona ini ke arah yang lebih baik. Sepertimana apa yang dilakukan Afgan tahun ini menerusi projek album “Wallflower” saya melihat visi serupa dalam transisi muzik Aizat ke Ai.Z

Semoga Ai.Z tidak mengambil masa terlalu lama untuk single keduanya, momentum ini harus bergerak pantas – sebulan dari sekarang saya berharap akan ada single terbaru daripadanya. Dan sebagai pendengar kita harus bangga dengan kualiti produksi muzik yang sudah terhasil setaraf pasaran global hari ini.

7.9/10


ARTIKEL BERKAITAN

“Wallflower” Sebuah Rencana Pop Afgan Dalam 10 Trak Masa Kini

Highlight, Review, Terkini,

“VETO” – Sebuah Gerakan Hip-Hop Yang Hadir Dalam Landskap Visi Berbeza

Lagu: Veto
Artis: DJ CZA / MK / TUJULOC
Komposer / Lirik: DJ CZA / MK / TUJULOCA
Produser: DJ CZA

Gelombang muzik Hip-Hop masih belum kelihatan mahu memperlahankan geraknya. Satu per satu rilis dikeluarkan baik dari label besar sehingga bakat-bakat indie, semuanya hadir dalam ideologi serta visi Hip-Hop tersendiri.

Dalam legasi komersil nama seperti MK, TUJULOCA antara yang sedang diperhatikan, dinantikan karya-karya mereka. Bernafas atas penggayaan rap yang tersendiri dengan attitude berbeza mereka bersatu dalam sebuah naskhah DJ CZA berjudul “VETO”.

Bergerak dalam rencana muzk DEFJAM Asia, “VETO” menyatukan dua generasi Hip-Hop dalam sebuah naskhah Hip-Hop yang saya sifatkan cukup berat pengisian serta visinya.

DJ CZA yang lebih awal bermuzik bersama Ahli Fiqir meneruskan langkash sebagai music producer yang banyak menghasilkan beat lo-fi menerusi beberapa naskhah yang beredar sebelum ini.

Kompilasi karyanya yang menggabungkan beat lo-fi bersama R&B juga Jazz di album seperti “Analog” (2021) juga “Lifted” (2020) tidak langsung memperlihatkan “keras” muziknya seperti apa yang diilhamkan menerusi “VETO”

“VETO” terhasil cukup kemas bagi saya di penghasilan melodi serta beatnya. Terilham daripada lagu berjudul “Dior” oleh Pop Smoke, saya kira DJ CZA tahu apa yang penggemar muzik muda hari ini mahukan lantas mengahsilkan “VETO” dalam ilham serupa.

Saya lebih tertarik menggali isi cerita dalam penulisan lirik MK dan TUJULOCA yang membuat saya membuka kembali carian kamus dewan mencari erti sebahagian kosa kata yang digunakan.

Kesungguhan mereka bertiga dalam penulisan lirik yang tidak hanya mahu mencukupkan kuota rima di hujung ayat amat saya puji. Isu berat tentang dominasi juga kuasa ini sedikit sebanyak mengingatkan saya pada lagu “Kuasa” Joe Flizzow.

“Terbang dengan nirmala,
Tambah tolak menang kalah,
Satu jalan ekahala,
Gambaran bukti yang menyala.”

Attitude Loca B memberi warna yang cukup menarik dalam lagu ini saat dia melantun Datang bagai bencana, Karya kaya kencana, Rahmat dari yang maha, Zahir batin ku siaga.” Saya kira bergerak sebagai sebuah bait feminisme dalam lagu yang menjadi wakil suara yang mahu didendangkan.

“VETO” saya kira terhasil sebagai sebuah naskhah muzik yang mengalirkan satu visi juga ambisi bermuzik untuk kita sebagai pendengar memahami dan mendalami keberadaan pemuzik muda seperti MK dan TUJULOCA dalam pasaran muzik mainstream hari ini bukanlah sekadar mengisi ruang kosong yang ada dengan seadanya tetapi bergerak wakil suara masa depan muzik tempatan.

Hal ini sangat jelas saat TUJU mengalirkan kata-kata Ego ku sang perkasa, Setiap hasil ku perkosa, Menanti waktu dasawarsa, Hikayat sampai ke adiwangsa.” 

Naskhah ini saya kira bukan untuk penggemar Pop biasa yang sekadar mahu enjoy dengan melodi ringan, catchy korus atau sekadar nak layan runs lagu-lagu sedih tak berhujung. Tetapi ia dihasilkan untuk pendengar yang sedia untuk satu landskap muzik tempatan yang lebih besar ideologinya.

8.3/10


ARTIKEL BERKAITAN

Bihzhu Mengembalikan Keindahan Melodi “Chendering” Dengan Penuh Pesona

#RetrospektifMuzik, Terkini,

Camelia – Sebuah Memori & Kenangan Manis Muzik Pop Tempatan

Album: Camelia (1998)
Artis: Camelia 
Produser: Camelia

Ketika namanya disebut sebagai pemenang Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik ke-5 menewaskan nama besar lain seperti Ziana Zain, Ning Baizura dan Siti – Mata mula teralih pandangan buat persona ini.

Hadir dengan ilham Pop yang sedikit berbeza dengan pendekatan R&B Ballad dan Pop, Camelia membuktikan vokal terbaik tidaklah semestinya hadir dalam kebolehan menyanyi nada tinggi semata-mata. Dengan kelembutan dan keunikan tersendiri dia mencuri perhatian pasaran muzik semasa ketika itu.

Single “Dengarlah Kasih” (Azlan Abu Hassan) dan “Rindu Padanya” (Adnan Abu Hassan) menjadi pertaruhan yang saya kira cemerlang untuk seorang artis baru ketika itu.

Kelembutan, clarity dan feel Camelia berdiri sendiri. “Dengarlah Kasih” saya kira sebagai anthem muzik yang cukup cocok dengan karakter suaranya.

“Rindu Padanya” yang bergerak atas asas Pop memberi satu variasi berbeza pasaran muzik ketika itu yang dimonopoli Balada meruntun jiwa.

Lapangan muzik R&B Camelia diteruskan dalam beberapa lagu yang cukup terhasil baik di album ini. “Erti Kehidupan” nyanyian asal Mus Mujiono dimodenkan susunan muziknya menjadi feel R&B yang cukup baik sekali.

Feel Camelia sebagai penyanyi R&B terbukti di sebuah lagi lagu ciptaan Azlan Abu Hassan berjudul “Menuju Usia”. Di lagu ini anda dapat betul-betul mendengar jelas sebutan Camelia dalam penyampaiannya. Lagu ini cukup cocok dengan karakter suaranya.

Kelebihan Camelia sebagai penyanyi adalah kerana clarity dalam penyampaian vokal serta styling yang cukup tersendiri tanpa kedengaran seperti mana-mana penyanyi lain yang ada di pasaran ketika itu.

Dan kebijaksanaan Adnan Abu Hassan, Azlan Abu Hassan dan komposer lain di album ini seperti Johan Nawawi juga Helen Yap adalah mencipta melodi yang cocok dengan karakter vokalnya. Yang bukan tiada di pasaran semasa ketika diedarka tetapi kurang mahu diketengahkan.

Sepanjang bermuzik Camelia sempat melahirkan beberapa album lain seperti “Memori” dan “Mimpi” juga sebuah kompilasi berjudul “Untukmu”. Lagu-lagunya bergerak tersendiri tanpa perlu bergantung dengan apa yang pasaran mahukan.

Kraf muzik Pop yang tersendiri dibawanya dengan caranya sendiri. Lihat saja beberapa lagu lain yang cukup cemerlang seperti “Akhirnya”, “Erti Kehidupan”, “Pisah”, “Kini Bebas” yang masih memiliki penggemarnya yang tersendiri.

Debut ini sebuah kejutan manis pasaran muzik tempatan. Kelibat Camelia sebagai penyanyi akan sentiasa diingati dan dikenang biarpun hari ini dia memilih untuk tidak menyanyi lagi.


ARTIKEL BERKAITAN

“Aku Dan Dia” Sebuah Pengenalan , Kenangan & Hits Malar Segar Erra Fazira

Highlight, Review, Terkini,

Terikat Emosi Dalam Kelangsungan Poetic Romantisme Nadin Amizah Menerusi “Kalah Bertaut”

Album: Kalah Bertaut
Artis: Nadin Amizah
Produser: Eky Rizkani

Bertaut pada ilham Poetic Folk, Nadin Amizah cukup memikat rasa dan emosi buat pendengar sejak dia merilis “Rumpang” dan “Sorai” sebelum mengisi ruang pendegaran kita semua dengan debut album “Selamat Ulang Tahun”.

Nadin pemuzik yang tidak hanya mahu mempersembahkan rasa-rasa yang asing tetapi jarang disuarakan tetapi setiap lagu-lagunya terhasil cukup puitis dalam penyatuan melodi dan pastinya penulisan lirik yang membuat saya larut hanya dengan perlu membaca tanpa mendengar.

Hal-hal ini sudah dia lakukan dalam lagu-lagu seperti “Beranjak Dewasa”, “Kanyaah” dan “Paman Tua” antaranya. Semuanya terisi cerita berbalut emosi manusiawi yang berbagai-baai.

Meneruskan kelangsung dalam karya indahnya, Nadin memberi kejutan manis awal minggu lalu dengan merilis sebuah album mini terbaru berjudul “Kalah Bertaut”.

Berkolaborasi bersama produser Eky Rizkani, album mini ini menghadirkan 5 lagu keseluruhannya dengan bantuan lagi dua pemuzik iaitu Kevin Rinaldi dan Ramadhan Zuqi.

Diperkenalkan kita dengan single perdana “Seperti Takdir Kita Yang Tulis”, Nadin Amizah mengembalikan memori galau dalam kenaifain pasangan yang menyulam kasih.

Such an innocent and poetic lyrics. Melodi lagu ini cukup indah mentafsirkan kenaifan yang tertulis di lirik lagu ini. Bait “Lalu, lalu, lalu, lalu, Bagaimana waktu berhenti bodoh di masa lalu?” cukup kuat mengisi rasa yang mahu dikongsi Nadin.

“Menangis di Jalan Pulang” merupakan kegemaran saya di album ini. Jalan ceritanya terlalu indah dalam keperitan rasa yang dilalui. Saya terlarut sungguh saat Nadin menyanyikan “Dan Senayan menjadi saksi, Bodoh dan sayang, hancur lebur kita terjadi.”

Sebelum ia diteruskan dengan bait “Kita menangis di perjalanan pulang, Mencari jalan tak pernah sampai tujuan,Terlanjur hangus, terburai, dan berantakan” yang menjadi titik paling hitam dalam perjalanan lagu ini. Keresahan dan kesedihan itu dtafsir dengan cantik penghasilan melodi juga emosi vokal Nadin.

Album ini ditutup dengan lagu “Dan Selesai” yang melengkapkan pelayaran emosi yang berbolak-balik di album ini. Kesayuan lagu ini diteruskan lagi di bait “Ku pergi duluan, kaukan menyusulkan?” Sebuah pengharapan yang terdalam namun kabur.

Nadin saya kira sudah boleh bangga setakat ini dengan apa yang dia hasilkan sepanjang beberapa tahun bermuzik. Apa yang sudah dia hidangkan buat kita sebagai pendengar adalah sebuah kembara menyulam perasaan dan pengharapan yang sering ada dalam diri setiap kita tetapi amat sukar dibicarakan tetapi ditulis dengan cukup kemas dan puitis oleh Nadin.

9/10


ARTIKEL BERKAITAN

Nadin Amizah Meraikan Ulang Tahun Dengan Sebuah Bingkisan Jiwa Dalam Melodi Yang Menghanyutkan Rasa