
Lagu: Chendering
Artis: Bihzhu
Komposer / Lirik: James William Boyle / Zainal Abu
Arranger: Idris Koh Keng Hui
Produser: Melina William
Saya sering bertanya lagu Malaysia itu sepatutnya soundnya bagaimana ya? Sebagai seorang yang membesar dengan lagu-lagu Melayu saya sebetulnya sudah jemu dengan Balada yang terlalu banyak dan memualkan.
Dan ia agak memalukan bila mana saat rakan-rakan di Indonesia mempertanyakan “di Malaysia itu lagunya masih galau-galau terus.” Dan setiap kali persoalan itu ditanyakan saya akan stuck sekejap. Sebab memang betul pun.
Yang diraikan di sini terus menerus lagu Balada sakit hati yang memang buat saya sakit hati dan telinga dengan taste orang kita. Bukan tak ada yang bagus cuma tidak mahu diangkat sebaiknya.
Saya kira bakat indie kita yang memberikan bunyi berbeza itu sering dipandang sepi. Melihat bakat-bakat wanita seperti Alena Murang, Mayabayu dan Bihzhu umpamanya yang struggle mencari tempat di hati pendengar tempatan.
Awal tahun ini Alena Murang dan Mayabayu merilis single dengan nuansa etnik Malaysia yang disatukan dengan bunyian Pop untuk dikomersilkan secara meluas mendapat sambutan baik tetapi masih belum menyeluruh.
Terkini seorang lagi bakat wanita yang saya kagumi secara peribadi bernama Bihzhu merakam ulang lagu berjudul “Chendering” yang pernah beberapa kali dirakam sebelum ini antaranya Bing Slamet dan Zainal Abidin dalam komposisi asal James Boyle yang digubah semula.
Di tangan Bihzhu, “Chendering” terhasil dalam alunan Folk dan Jazz yang cukup lembut membuai pendengaran.
Produksi rakaman lagu ini sangat cemerlang. Setiap sisi bunyian instrumen muzik dapat ditangkap pendengaran dan hal ini menyatu cukup baik dengan persembahan vokal Bihzhu. Nasihat saya dengar menggunakan headphones.
Sesekali alunan Bihzhu mengingatkan saya pada Mia Palencia di lagu “Sayang” spirit yang dikendong itu sama dalam mentafsirkan sebuah lagu yang bersifat “Malaysia” sekali jiwanya.
“Chendering” sudah siap sebagai sebuah naskhah klasik yang hampir dilupakan tetapi ditinggikan kembali standard nya oleh Bihzhu dan batalion muziknya. Hal ini sangat penting saya kira dalam terus melestarikan lagu-lagu yang baik tetapi sudah semakin dilupakan.
Usaha yang dilakukan Bihzhu ini saya kira harus diraikan, disokong dan diperdengarkan secara meluas. Pasaran muzik begini harus diberi peluang sama tinggi dengan jaluran muzik di pasar komersil yang lain.
9/10
ARTIKEL BERKAITAN
“Gitu’an” Sebuah Manipulasi Budaya & Seni Muzik Etnik Dalam Sentuhan Segar Persembahan Alena Murang