
Album: Aku Dan Dia (1995)
Artis: Erra Fazira
Produser: Razman
Nama Erra Fazira menjengah pasaran muzik Pop tempatan di pertengahan 90-an berbekal wajah jelitanya dengan kelembutan suara yang ketika itu sebetulnya tidaklah terlalu membangkit rasa kagum tetapi setidaknya dia bergerak atas kraf bakatnya yang tersendiri tanpa perlu menjadi orang lain.
“Yang Terindah Hanya Sementara” (Razman / Habsah Hassan) yang dimuatkan dalam album perdananya yang berjudul “Aku Dan Dia” menjadi batu loncatan untuk dia dikenali sebagai penyanyi yang sebelum itu diperkenalkan dengan single “Cinta Abadi” menerusi EP yang beredar di tahun 1994.
Erra Fazira menerusi album terbitan Razman bersama syarikat rakaman Polygram Records ini sebetulnya album yang cukup sederhana dan mungkin tidak salah saya katakan agak bosan penghasilan lagu-lagunya.
Hal-hal ini jelas dalam beberapa lagu seperti “Resah” dan “Mengapa Harus Membenciku” yang melodinya tiada hook untuk kita sebagai pendengar fokus sehingga ke hujungnya. Tidak salah juga disebut sekadar filler untuk melengkapkan sebuah album.
“Cemburu” (Razman / Azam Dungun) mungkin antara lagu yang interesting di album ini. Feel blues dalam melodi yang disusun baik ini setidaknya menyatu baik dengan penyampaian sederhana Erra Fazira.
Lagu ini ada sesuatu yang menarik untuk didengar dan saya kira ia menyuntik semangat berbeza di album ini berbanding lagu lainnya yang buat saya mengantuk mendengarnya.
Album ini saya kira benar-benar bergantung pada penghasilan melodi malar segar “Yang Terindah Hanya Sementara” sahaja. Jika tidak ia sekadar sebuah album yang hanya akan dilupakan sahaja.
Erra Fazira saya kira menemukan aliran muziknya ketika dia mengedarkan “2.5 Sayang” yang hadir dengan hits “Pertemuan”, “Gemilang” dan “Terpaksa Melangkah” yang lebih terhasil lebih komersil untuk pasaran radio khususnya ketika itu.
Namun tanpa menolak pentingnya album “Aku Dan Dia” ini, saya kira ini adalah pengenalan terbaik seorang Erra Fazira dalam bidang seni suara. Biarpum kehadirannya sebagai penyanyi itu tidaklah terlalu diangkat kerana tidak handal dalam mengalunkan nada tinggi namun originality yang dia miliki tidak ada yang mampu menyamai.
Erra setelah fasa Polygram meneruskan aliran muzik Pop nya yang cukup tersendiri. Bersama syarikat rakaman Sony Music dia telah menghasilkan album yang cukup baik seperti “Kini” (1999) dan “Sampai Bertemu” (2002).
ARTIKEL BERKAITAN
Sarimah – From Screen to Pop Sensation, Sebuah Perspektif Pop One Hit Wonder