
Lagu: The Last Thing
Artis: AI.Z
Komposer / Lirik: Aizat amdan / Yunalis Zarai
Produser: Kuizz Shah
Menuju usia 15 tahun bergerak sebagai pemuzik, Aizat Amdan nama besar Pop semasa tempatan sudah memberikan kita satu pengalaman menarik menikmati persembahan muziknya sejak awal mencuri perhatian di pentas pertandingan nyanyian lagi.
Dua album penuh dihasilkan – “Percubaan Pertama” (2008) dan “Urusan Aizat Amdan” (2010) berserta sebuah album mini “Legasi” (2014), Aizat bergerak tanpa perlu terlalu terikat dengan apa yang pasaran muzik mahukan tetapi melakukannya dengan caranya yang cukup tersendiri.
Kali terakhir muncul dengan single Pop berjudul “Tekad”, aizat mengucapkan selamat tinggal seketika buat branding “Aizat Amdan” dan menjelma sebagai Ai.Z dengan feel baru, imej baru yang saya sifatkan lebih segar, current dan moden.
Maka dengan itu terhasil “The Last Thing” sebuah projek khusus kolaborasi bersama Yuna Room Records sebagai single perdana yang saya percaya bukanlah satu-satunya single yang akan terhasil menerusi projek istimewa ini.

“The Last Thing” ditulis Aizat bersama Yuna dalam ambien modern R&B dengan beat lo-fi juga pengaruh KRNB yang bergerak cukup baik sebagai sebuah naskhah muzik semasa sifatnya. Melodinya cukup catchy, hook di bahagian korus dan lirik yang dekat dengan kebanyakan anak muda hari ini.
Produksi muzik Kuizz yang cukup kemas memberi justfikasi pada melodi juga feel Ai.Z di keseluruhan lagu. “The Last Thing” saya kira satu permulaan baru, perjalanan yang lebih interesting pastinya dan apa yang lebih penting bagi saya ia membesarkan sifat muzik tempatan ke arah yang lebih tastefully produced.
Peralihan Aizat Amdan ke Ai.Z ini saya lihat sebagai sebuah gerakan muzik yang bakal mematangkan persona ini ke arah yang lebih baik. Sepertimana apa yang dilakukan Afgan tahun ini menerusi projek album “Wallflower” saya melihat visi serupa dalam transisi muzik Aizat ke Ai.Z
Semoga Ai.Z tidak mengambil masa terlalu lama untuk single keduanya, momentum ini harus bergerak pantas – sebulan dari sekarang saya berharap akan ada single terbaru daripadanya. Dan sebagai pendengar kita harus bangga dengan kualiti produksi muzik yang sudah terhasil setaraf pasaran global hari ini.
7.9/10
ARTIKEL BERKAITAN
“Wallflower” Sebuah Rencana Pop Afgan Dalam 10 Trak Masa Kini