
Lagu: Sepi
Artis: Aina Abdul
Komposer / Lirik: Aina Abdul
Gerakan muzik Aina Abdul berjalan cemerlang melewati pasaran muzik semasa tempatan yang masih menginginkan kesayuan dalam penghasilan irama Balada. Dan setelah berjayanya “Sumpah” dan “Semalam” – Perjalanan muzik Aina berjalan sangat laju dengan penghasilan “Maybe” dan “Kelip2” yang lebih berarah Pop.
EP dua lagu yang beredar tahun lalu itu meluaskan sedikit landskap Pop Aina agar tidak terikat ilham Balada semata. Dan sejujurnya saya seronok melihat Aina semakin diterima meluas dan terbuka pendengar tempatan setelah bertahun-tahun percubaan mencuri perhatian pendengar.
Kembara muziknya berjalan sangat laju. Tidak hanya fokus rilis solo, Aina menghasilkan rangkaian duet bersama Khai Bahar (Nafas Cinta) dan Lah Ahmad (Tunggu Kamu) bagi meneruskan kelangsungan bermuziknya.
Hal yang sangat mengujakan. Aina bijak, dia tidak mensia-siakan ruang yang ada dengan melengahkan masa. It’s her time, dia tahu ini ruang harus digunakan sebaiknya untuk terus kekal relevan dengan menghasilkan lagu-lagu tanpa putus. Jika tidak didengar sekarang ia pasti akan didengar di masa mendatang.
“Sepi” beredar Februari lalu sebagai sebuah lagi Big Ballad nukilan sepenuhnya anak muda ini. Aina melewati kekosongan perasaan paling dalam yang mampu diterjermahkan dalam sebuah lagu. Hal ini cukup jelas dalam penghasilan lirik yang menyatu sempurna dengan resah dan rawan melodi lagu ini.
Aina sentiasa mampu membuat saya meremang persembahan vokalnya yang dibaluti emosi yang tepat. Aina story teller yang baik dalam memaknakan kata-kata yang siap yang ditulis dalam lirik. Seawal bait “Sepinya di dalam hati, dirundung pilu rasa perih..” Aina sudah membuat saya larut.
Lagu ini terhasil lebih baik sebetulnya daripada “Semalam” yang saya kira agak terlalu berteriakan. Produksi muziknya lebih kemas, transisi yang terhasil dalam dinamik yang tidak keterlaluan hanya kerana mahu menghadirkan rasa rawan yang ada. Semuanya berjalan di atas landasan yang sepatutnya. Bahagian awal lagu ini is the best, perasaannya lembut sebelum mood-nya menaik di hujung lagu.
“Sepi” turut dihasilkan dalam lirik berbahasa Korea yang nyata tidak langsung kedengaran canggung. Mengalir baik seolah menikmati sebuah runut bunyi K-Drama. Malah sejujurnya saya lebih enjoy di versi Korea ini.
6.5/10
ARTIKELL BERKAITAN
Terbuai Dalam Gemersik Suara “Ezah Hashim” Menerusi Single “Jeritan”