
Album: Kalah Bertaut
Artis: Nadin Amizah
Produser: Eky Rizkani
Bertaut pada ilham Poetic Folk, Nadin Amizah cukup memikat rasa dan emosi buat pendengar sejak dia merilis “Rumpang” dan “Sorai” sebelum mengisi ruang pendegaran kita semua dengan debut album “Selamat Ulang Tahun”.
Nadin pemuzik yang tidak hanya mahu mempersembahkan rasa-rasa yang asing tetapi jarang disuarakan tetapi setiap lagu-lagunya terhasil cukup puitis dalam penyatuan melodi dan pastinya penulisan lirik yang membuat saya larut hanya dengan perlu membaca tanpa mendengar.
Hal-hal ini sudah dia lakukan dalam lagu-lagu seperti “Beranjak Dewasa”, “Kanyaah” dan “Paman Tua” antaranya. Semuanya terisi cerita berbalut emosi manusiawi yang berbagai-baai.
Meneruskan kelangsung dalam karya indahnya, Nadin memberi kejutan manis awal minggu lalu dengan merilis sebuah album mini terbaru berjudul “Kalah Bertaut”.
Berkolaborasi bersama produser Eky Rizkani, album mini ini menghadirkan 5 lagu keseluruhannya dengan bantuan lagi dua pemuzik iaitu Kevin Rinaldi dan Ramadhan Zuqi.
Diperkenalkan kita dengan single perdana “Seperti Takdir Kita Yang Tulis”, Nadin Amizah mengembalikan memori galau dalam kenaifain pasangan yang menyulam kasih.
Such an innocent and poetic lyrics. Melodi lagu ini cukup indah mentafsirkan kenaifan yang tertulis di lirik lagu ini. Bait “Lalu, lalu, lalu, lalu, Bagaimana waktu berhenti bodoh di masa lalu?” cukup kuat mengisi rasa yang mahu dikongsi Nadin.
“Menangis di Jalan Pulang” merupakan kegemaran saya di album ini. Jalan ceritanya terlalu indah dalam keperitan rasa yang dilalui. Saya terlarut sungguh saat Nadin menyanyikan “Dan Senayan menjadi saksi, Bodoh dan sayang, hancur lebur kita terjadi.”
Sebelum ia diteruskan dengan bait “Kita menangis di perjalanan pulang, Mencari jalan tak pernah sampai tujuan,Terlanjur hangus, terburai, dan berantakan” yang menjadi titik paling hitam dalam perjalanan lagu ini. Keresahan dan kesedihan itu dtafsir dengan cantik penghasilan melodi juga emosi vokal Nadin.
Album ini ditutup dengan lagu “Dan Selesai” yang melengkapkan pelayaran emosi yang berbolak-balik di album ini. Kesayuan lagu ini diteruskan lagi di bait “Ku pergi duluan, kaukan menyusulkan?” Sebuah pengharapan yang terdalam namun kabur.
Nadin saya kira sudah boleh bangga setakat ini dengan apa yang dia hasilkan sepanjang beberapa tahun bermuzik. Apa yang sudah dia hidangkan buat kita sebagai pendengar adalah sebuah kembara menyulam perasaan dan pengharapan yang sering ada dalam diri setiap kita tetapi amat sukar dibicarakan tetapi ditulis dengan cukup kemas dan puitis oleh Nadin.
9/10
ARTIKEL BERKAITAN
Nadin Amizah Meraikan Ulang Tahun Dengan Sebuah Bingkisan Jiwa Dalam Melodi Yang Menghanyutkan Rasa