
Mungkin bukan kita sebagai pendengar sahaja yang tidak pernah membayangkan kolaborasi Hanin Dhiya bersama Ahmad Dhani dalam sebuah produksi muzik, saya percaya sebagai pemuzik junior, Hanin sendiri tidak menyangkakan undangan Ahmad Dhani untuk merakamkan kembali naskhah popular kumpulan Dewa. Maka atas ketidakbayangan itu terhasillah sebuah kolaborasi yang cukup mengejut tetapi manis ini.
Menerusi projek “Kangen” – Ahmad Dhani mengadun kembali empat lagu popular Dewa 19 dalam rendisi serba baru yang saya percaya mengikut paten muzik Hanin Dhiya yang sinonim dengan kelembutan bukan sahaja dalam penyampaian vokal malah kemasan muziknya. Jadi apa yang boleh anda harapkan dalam EP empat lagu ini adalah sebuah pelayaran perasaan yang lembut membuai pastinya.
Empat lagu disusun kembali dengan nuansa lebih ringan mengikut liuk lenggok karakter vokal Hanin Dhiya menghadirkan versi baru “Kangen”, “Bukan Cinta Manusia Biasa”, “Roman Picisan” dan “Pupus”. Kemasan muzik Ahmad Dhani yang rat-ratanya diisi iringan orkestra memberi nilai tambah dirakaman baru lagu-lagu ini.
Paling menawan bagi saya adalah “Bukan Cinta Manusia Biasa” yang memberi kelebihan dalam emosi Hanin Dhiya. Susunan muziknya cukup grand sekali yang saya pasti tidak sukar untuk kita terlarut dengan rendisi baru ini.
Hanin Dhiya penyanyi yang sederhana, semuanya dipersembahkan dengan caranya yang tersendiri dan tanpa perlu bergantung kepada vocal runs yang berlebih-lebihan. Namun saya harus akui ada bahagian yang emosinya agak dry dan kurang daya pemikat. Mungkin juga kerana pengalaman bermuzik secara besar begini agak kurang membuatkan hal itu terlihat tetapi tidaklah sehingga merosakkan feel lagu yang tersedia.
EP ini saya kira cuba membawa ilham muzik Dewa 19 lebih dekat dengan generasi hari ini yang pastinya juga memberi kegembiraan buat penggemar Hanin Dhiya pastinya.
6.7/10
ARTIKEL BERKAITAN
Yang Dinanti Telah Tiba, Jemimah Cita Menghadirkan Single Perdana “Separuh”