
Lagu: Suci Mahsuri
Persembahan: FUGŌ
Komposer / Lirik: Hakim Kamal / Kayrol Ami
Produser: Hakim Kamal
Tahun ini mungkin menjadi tahun yang baik buat pemuzik indie meneroka pasaran mainstream. Dengan keterbukaan yang ada pada pendengar dan pemain industri yang membenarkan bakat-bakat ini diserlahkan dengan lebih komersial mencipta momen dan peluang yang baik buat mereka.
Hal ini setidaknya sudah saya lihat bagaimana Megat Fazly perlahan menghasilkan lagu buat runut bunyi dan diperdengarkan secara meluas. FUGŌ salah satu daripada pemuzik indie yang bergerak bebas dalam radar serupa untuk didekati pendengar muzik semasa.
Setelah single “Izinkan Aku” yang beredar lebih awal tahun, kugiran ini terus berpaksi pada penciptaan muzik yang menjadi identiti mereka lewat penghasilan “Suci Mahsuri”. Melewati muzik mereka sebetulnya menerbitkan satu kelapangan dan ketenangan dalam sebuah persembahan muzik.
Dan ia benar-benar dirasai seawal pembuka lagu ini. FUGŌ saya kira begitu mahu kita memperlahankan segala keresahan dan kepayahan menerusi muzik yang mereka hasilkan. Biar lagu ini ditulis daripada sudut pandang seorang ayah buat permaisuri hatinya, mendengarkan muziknya sahaja sudah membuat saya lapang dan tenang.
Saya sukakan transisi lagu ini daripada verse awal sehingga ia bergerak dalam satu dinamik korus yang memiliki satu kedalaman emosi yang berat. Penuh pengharapan bersulam rasa bahagia dan ia jelas dalam bait “Tangismu yang pertama // Suri yang aku dengar // Menggetar ku rasa syukur.”
Dan ia berkesinambungan dengan “Dan pagi pun kembali // Suaramu lembut // Menemani ku // Dan hati ini // Yang merindu”. Sehingga single yang terbaru ini saya semakin menyenangi muzik FUGŌ. Mereka bergerak sebagai gerakan suara baru muzik tempatan yang begitu diperlukan dalam pasaran muzik hari ini.
Saya kira jika mereka dapat berkolaborasi bersama nama besar di pasaran muzik mainstream akan pasti meluaskan landskap pendengar FUGŌ ke tahap yang lebih baik. Kerana apa yang dihasilkan memiliki satu keaslian dalam penciptaan dan emosi yang dalam untuk kita terleka dan terjerat dengan muzik mereka.
9/10
ARTIKEL BERKAITAN