
Selepas berjaya menghimpunkan lebih 70,000 peminat menerusi siri persembahan di Kuala Lumpur, Singapura dan Pulau Pinang sepanjang tahun ini, Ella, bakal melengkapkan perjalanan penuh bermakna tersebut menerusi konsert kemuncak bertajuk “Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Sidang Penutup” yang dijadualkan berlangsung pada 5 Disember 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil.
Idea ini tercetus ketika acara meraikan penerimaan Anugerah Sri Wirama AIM25, Ella secara terbuka menyuarakan hasratnya untuk menjayakan satu lagi persembahan pada Disember ini. Momen spontan tersebut mengundang keterujaan dan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat yang berharap agar perjalanan Majlis Tertinggi Rockqueen diteruskan dengan sebuah persembahan penutup.
“Tahun ini memang satu perjalanan yang sangat luar biasa dan penuh makna buat Ella. Daripada peminat di TM Stadium Nasional Bukit Jalil, kemudian ke Singapura dan Pulau Pinang, Ella sangat bersyukur kerana masih diberi peluang untuk bertemu dan berkongsi muzik dengan begitu ramai peminat yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan.

“Setiap perjalanan pasti ada penghujungnya dan setiap cerita ada bab terakhirnya. Jadi, Ella mahu Sidang Penutup menjadi satu malam yang benar-benar istimewa untuk kita semua. Ella mahu kita menutup perjalanan Majlis Tertinggi Rockqueen tahun ini dengan penuh kegembiraan, kasih sayang dan kenangan yang akan kita simpan sampai bila-bila. Kalau kita sudah mulakan perjalanan ini bersama, biarlah kita tutup tirainya juga bersama,” ujar Ella.
Antara tarikan utama Sidang Penutup ialah penampilan istimewa Ziana Zain, nama besar industri muzik Malaysia yang bakal membawa keunikan tersendiri kepada persembahan penutup ini. Tiket akan mula dijual pada 22 Oktober 2026 (Khamis), dengan harga bermula daripada RM179. Peminat boleh mendapatkan tiket secara dalam talian menerusi laman web rasmi www.hitmanlive.com.
ARTIKEL BERKAITAN