Pasaran muzik 80-an tempatan cukup berwarna dengan keterbukaan pendengar menikmati lagu dalam pelbagai jaluran muzik yang membenarkan semuanya berada di radar popular. Awal 80-an masih menyaksikan monopoli Pop Melayu Sharifah Aini, Uji Rashid dan Sudirman sebelum revolusinya bermula di pertengahan era itu.
Kebangkitan band Pop juga begitu banyak sekali. Nama seperti Freedom, Headwind, Alleycats dan Carefree memberi suntikan berbeza muzik tempatan dengan pengaruh muzik luar sebelum Sheila Majid dengan penuh groove mencelah dipopulariti kugiran-kugiran tersebut dengan penuh attitude.
Warna-warna Pop yang cukup menarik yang diberikan Freedom dan Raja Ema bersama produser Fauzi Marzuki menciptakan kerancakan berbeza muzik tempatan ketika itu. Muzik Kita melewati kalendar muzik 80-an bersama saluran YouTube “Getaran Nostalia” yang siap memuatnaik kesemua lagu-lagu daripada album-album terhebat berikut.
SHEILA MAJID – EMOSI (1986) Produser: Roslan Aziz
Album terbaik sepanjang karier bermuzik Sheila Majid ada di dalam “Emosi” yang diterbitkan Roslan Aziz. Pengaruh muzik City Pop Jepun dan Balada Indo mengisi album ini dengan sempurna dan timeless. A killer album it is dengan barisan hits sepajang zaman seperti “Sinaran”, “Di Dalam Emosi Ini”, “Antara Anyer & Jakarta”, “Fikirkan Dulu” dan “Tua Sebelum Waktu”.
SEARCH – FENOMENA (1989) Produser: M.Nasir
Seperti mana judulnya “Fenomena” begitu jugalah kehebatan album ini yang memberi kesan luar biasa kembara muzik kugiran ini. Menerusi album ini Search mencipta momen mereka yang cukup tersedndiri untuk bergelar legenda muzik Rock sepanjang zaman. Dengan barisan hits malar segar seperti “Isabella’, “Pawana” dan “Gadis Misteri”, album ini akan sentiasa didengarkan biar berganti generasi.
CAREFREE – KEBEBASAN (1979) Produser: Omar Taib
Carefree melepaskan sebuah album dengan barisan hits yang cukup banyak sekali menerusi album “Kebebasan” yang beredar lewat 70-an ini sehingga melewati populariti sehingga 80-an dan era lainnya. Lagu-lagu seperti “Bayangan Tarimu”, “Rindu Bayangan”, “Dendangan Laguku” dan “Joget Mak Enon” membentuk landskap muzik Disko dan Pop yang cukup signifikan sekali dengan kugiran ini. Lengkap sebagai album penting sepanjang karier bermuzik mereka.
SUDIRMAN – KUL IT! (1986) Produser: Adnan Abu Hassan
Sudirman antara soloist yang paling aktif dalam penghasilan album di era 70-an dan 80-an. “Kul-It” sebuah album yang beredar pada tahun 1986 diterbitkan maestro Pop, Adnan Abu Hassan dengan feel berbeza menikmati muzik Sudirman. Barisan hits sepanjang zaman seperti “Milik Siapakah Gadis Ini”, “Merisik Khabar”, “Kul It” dan “Radio Malaysia” disulam dalam satu pengalaman muzik Pop Sudirman dengan infusi bunyian yang lebih moden.
Headwind – ’86 (1985) Produser: Eric Yeo
Headwind kugiran Pop yang cukup unik dalam membawa ilham muzik nusantara dengan pendekatan yang lebih moden ketika diedarkan. Seawal album ini dibuka dengan lagu “Hati Tak Berpenghuni” ia sudah memberi warna berbeza menikmati muzik tempatan. “Segalanya Mungkin” dan “Hanya Di Radio” menjadi killer utama di album ini namun “Pelangi” saya letakkan sebagai lagu terbaik yang pernah Zainal sebagai vokalis utama rakamkan.
Freedom – Mulanya Di Sini (1987) Produser: Goh Boon Hoe
Hadirnya Freedom di era 80-an memberi satu visi muzik yang cukup moden sekali. Muzik yang mereka hasilkan itu mengubah landskap Pop tempatan ke arah yang lebih global sifatnya. Dengan penghasilan album “Mulanya Di Sini” ini mereka membuktikan penghasilan lagu-lagu berbahasa Melayu itu juga mampu dihasilkan dengan sound yang kedengaran seiring pasaran muzik global lainnya.
Anita Sarawak – Asmara (1989) Produser: Fauzi Marzuki
Sebuah album Pop yang mengumpulkan lagu-lagu terbaik Anita Sarawak sepanjang dia bermuzik. Transisi Disko Diva di era 70-an ke Pop Performer meletakkan namanya cukup relevan merentas masa dan era. Lagu popular seperti “Akhirnya Kini Pasti”, “Asmara”, “Cintamu Muzik Di Hatiku” dan “Joget Sayang Di Sayang” mengisi album ini sebagai kelangsungan popularitinya di era 90-an.
Alleycats – 4 Produser: Eric Yeo
Mungkin ini antara album Alleycats yang sangat berjaya sepanjang dipasarkan. Keunikan mereka yang bergerak sebagai wajah muzik Malaysia dalam satu band menghasilkan sound yang lengkap untuk bergerak sebagai sebuah pengalaman muzik yang senang dinikmati banyak orang. Lagu-lagu seperti “Seribu Bintang”, “Hingga Akhir Nanti”, “Kisah Kau & Aku” dan “Berita Dari Rantau” masih didendang sehingga hari ini sebagai bukti album ini masterpiece mereka.
Ramlah Ram – Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu (1985) Produser: Ahmad Nawab
Sebuah album Pop Melayu yang cukup ikonik di era 80-an. Ramlah Ram bersama mentornya Ahmad Nawab meneruskan ilham lagu-lagu Balada melayu yang masih ada demand nya di era tersebut dengan begitu berjaya sekali. “Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu” tidak menjadi satu-satunya hits di dalam album ini, beberapa lagu lain seperti “Apa Khabarmu Di Sana” dan “Diam-Diam Jatuh Cinta” menjadi lagu cari makan Biduanita ini sehinga hari ini.
Raja Ema – Vol.2 (1986) Produser: Kesuma Booty
Raja Ema is the 80’s Amy Mastura. Lagu-lagu Bubbly Pop yang kebanyakannya ditulis Fauzi Marzuki dan Kesuma Booty terhasil cukup menghiburkan. Album ini antara yang saya masih dengar jika merindukan sound Pop 80-an. Lagu-lagu di dalamnya terisi santai tetapi masih hadir dengan kemasan muzik yang cukup baik sekali. Selain hits “Angan-Angan” album ini terisi beberapa lagu yang cukup bagus seperti “Biarlah Aku Buktikan” dan “Cinta Bagai Embun” dengan pengaruh Synth Pop yang fun sekali.
ARTIKEL BERKAITAN