
Album: ATMA
Persembahan: Ernie Zakri
Produser: Iqie Hugh / John Jeeves / Hael Husaini / Genervie Kam
Saya selalu percaya dalam menghasilkan sebuah persembahan album yang baik ia sebetulnya harus datang dalam satu kesinambungan antara satu lagu dengan lagu lainnya. Bagaimana ia dibuka, berjalan dan bagaimana ia ditutup itu seharusnya menjadi satu pelayaran emosi.
Dan saya dapat dalam perjalanan melewati ATMA, album terbaru Ernie Zakri yang juga ketiga setelah “Sinaran” dan “Aura”. Perjalanan bermuzik Ernie dibentuk dalam satu landskap jelas, Pop dalam persembahan Balada yang mengusung corak R&B dalam kemasan muzik dan vokalnya.
Ia jelas saya kira dalam lagu-lagu yang sudah dia rakamkan sebelum ini dan ketika fasa “Masing-Masing” yang begitu mendapat sambutan luar biasa, Ernie melalui satu peralihan emosi yang berbeza dengan feel Indo Pop yang memberi tuah berbeza buat bakatnya terus diraikan.
“ATMA” dibuka dengan intro “Finding the Music” yang memberi satu gambaran jelas bagaimana album akan membawa kita sebagai pendengar setelah “Sejambak Bunga” diedarkan lebih awal sebagai focus track. Datang dalam sebuah persembahan Balada dengan infusi klasikal dalam persembahan vokal opera-ish Ernie, saya kira puas pendengarnya melayani.
“Pinta” (Ernie Zakri / Syamel) meneruskan lagi ilham tersebut di album ini. Lagu ini memiliki nuansa R&B Pop yang kuat emosi seperti lagu-lagu Ernie sebelum ini. Korusnya begitu mengikat dan menuju ke bahagian hujung bersama koir KL City Opera melengkapkan lagu ini dalam pentafsiran muzik sebenar Ernie Zakri.
“Dendam Dalam Duka” mengembalikan feel Ballad yang kuat lewat penciptaan melodi Hael Husaini bersama Iqie Hugh. Lagu yang tiada masalah bagi saya – melodinya baik, susunan muziknya kemas dan emosi Ernie dalam bercerita lewat lagu secukupnya. Ini mungkin antara Balada yang paling kuat kita ada tahun ini. Korusnya sahaja sudah buat saya meremang dan di bahagian pengulangan korus, Ernie semakin bebas bermain dengan emosinya, she gives me chills.
“ATMA” (John Jeeves / Ernie Zakri / Syamel) mengingatkan saya pada “Astana” dan “Aura” yang menjadi satu kesinambungan baik buat kedua-duanya. Ernie sangat cocok dalam persembahan lagu-lagu sebegini . Namun apa yang paling menarik perhatian saya lewat lagu ini adalah ekspresi keras riff gitar solo di pertengahan lagu. Ia membentik feel Blues dan Soul yang secukupnya.
Album ini sebuah wakilan suara dan pemikiran sebenar Ernie yang saya kira semakin jelas dengan cara bagaimana mahu dia persembahankan. Setiap satu lagu di album ini dikurasi sebaiknya mengikut sebuah konsep dan ia mengalir sebaiknya daripada permulaan sehingga ke penghujung.
Ia tidak bergantung pada kekuatan melodi yang baik sahaja tetapi disempurnakan dengan kemasan muzik, instrumentasi yang beragam serta permainan vokal yang membentuk satu idea dan persembahan baru dalam menghasilkan Pop yang tastefully produced.
9.5/10
ARTIKEL BERKAITAN