
Dilahirkan di Singapura sebagai Hashim Said, komposer, penggubah lagu dan penerbit muzik yang cukup dikenali dengan rangkaian lagu-lagu Tradisional untuk penyanyi handalan seperti Sudirman, Sharifah Aini, Uji Rashid, Jay Jay dan ramai lagi ini antara legenda muzik yang harus terus diraikan.
S.Atan mula menceburkan diri dalam bidang muzik bersama syarikat rakaman EMI sekitar tahun 1972, menghasilkan banyak lagu yang cukup popular sehingga hari ini. Namanya sebagai komposer tidak hanya terikat pada era 80-an dan 70-an sahaja. Sehingga ke era 90-an bakat muda ketika itu seperti Siti Nurhaliza antara yang paling banyak menyanyikan lagu-lagu ciptaannya.
Melewati karya-karya awalnya bersama EMI, S.Atan paling banyak menghasilkan lagu untuk legenda Pop Sudirman menerusi rangkaian lagu yang tidak hanya terikat pada ilham Irama Melayu Asli tetapi melangkaui Pop semasa juga.
“Joget Kenangan Manis” antara yang cukup popular dihasilkan komposer ini. Melodi lagu malar segar ini terhasil cukup kaya bunyian Joget yang cukup ikonik sekali. Dan sehingga hari ini biar ia diputarkan kembali masih segar kedengaran tanpa jemu kita menikmatinya.
Selain lagu tersebut, S.Atan banyak menzahirkan karya-karya terbaiknya untuk Sudirman menerusi lagu “Dikau Kekasih”, “Bila Wajahmu Ku Bayangkan” dan “Serba Sederhana”. Kombinasi dua legenda ini menghasilkan sesuatu yang datang dengan chemistry bermuzik yang sangat baik sekali.
S.Atan dalam rencana menghasilkan lagu-lagu Jogetnya diteruskan dengan beberapa komposisi lain untuk Black Dog Bone, Carefree, Sharifah Aini antaranya. Lagu “Joget Bujang Di Rantau”, “Madah Seloka” dan “Kini Baru Ku Sedar” antara yang popular sekali sehingga hari ini.
Selain penghasilan lagu-lagu berirama Tradisional, S.Atan juga antara yang cukup handal meramu ilham Pop dalam komposisi muziknya. Antara yang paling diingati adalah “Tak Kenal Maka Tak Cinta” persembahan malar segar Fran dan Roy yang cukup menaikkan dua nama ini di persada muzik tempatan.
“Impianku Bersamamu” persembahan Sharifah Aini antara yang menarik. Komposisinya cukup unik dan memikat sekali. Saya selalu membayangkan lagu ini sangat hebat jika dinyanyikan kembali Sheila Majid kerana komodenan dalam melodinya yang cukup “Sheila” sekali sifatnya.
Dengan susunan string yang cukup menawan di lagu ini menjadikan ia sangat tersendiri dalam mengikat pendengar dengan hanya sekali pendengaran. A beautiful song.
Sebuah lagi komposisi S.Atan buat Sharifah Aini yang cukup menarik adalah Balada berjudul “Hadiahku Di Hari Bahagiamu” Petikan piano di awal lagu ini berawal lembut sebelum disambut kesyahduan suara emas Biduanita ini. Bergerak sebagai sebuah naskhah kesayuan yang bergerak dalam sebuah cerita yang ditulis secara terus tentang perasaan kecewa dan hampanya harapan sebuah cinta.
Kelibatnya sebagai komposer pasti saja cukup dominan dalam penghasilan lagu-lagu Raya yang sehingga hari ini masih dialunkan dan dimainkan setiap kali datangnya bulan Syawal. Lagu seperti “Salam Aidilfitri” (Jamal Abdillah), “Dari Jauh Ku Pohon Maaf” (Sudirman) “Hari Mulia” (Sheila Majid.
Namanya hari ini siap sebagai seorang living legend yang cukup dihormati kredibiliti serta sumbangannya dalam pasaran muzik tempatan. Ribuan lagu ditulis, disusun dan diproduksi dengan sepenuh kreativiti menjadikan setiap satunya istimewa dengan cara yang tersendiri. Dengarkan audio rasmi karya-karya S.Atan di saluran YouTube Getaran Nostalgia.
ARTIKEL BERKAITAN
Mendengarkan Kembali “Ingin Bersua” & 9 Lagi Lagu Terbaik DJ Dave Sepanjang Zaman