Manan Ngah antara komposer yang cukup sinonim dengan penghasilan Balada hebat di era 80-an yang banyak dipersembahkan oleh Francesca Peters, Azlina Aziz dan Sudirman Hj Arshad. Kredibilitinya sebagai komposer sudah terbukti berdekad lamanya dengan barisan hits malar segar yang siap dihasilkan dan masih didengarkan sehingga hari ini.
Lagu-lagu seperti “Sekadar di Pinggiran”, “Terasing”, “Mencari Mimpi”, “Bukan Kemahuan Fikiran” dan “Ku ke Udara Lagi” menjadi naskhah emas hasil ciptaannya yang sudah mencipta impak pendengaran yang tersendiri.
Muzik Kita melewati kalendar muzik saluran YouTube “Getaran Nostalgia” melewati rangkaian karya cipta komposer juga produser muzik Manan Ngah yang sudah dihasilkan sepanjang karier bermuzinya untuk bakat seperti Fauziah Latiff, Sharifah Aini, Anita Sarawak sehingga Sheila Majid dan Rahim Maarof.
Salam Terakhir (Sudirman / Habsah Hassan)
Cukup ikonik dan malar segar, “Salam Terakhir” menjadi antara karya cipta yang cukup penting dalam kembara bermuzik Manan Ngah. Komposisi yang cukup menyentuh dengan dibaluti kesayuan persembahan Sudirman dalam melantunkan bait-bait puitis tulisan Habsah Hassan.
Bukan Kemahuan Fikiran (Fauziah Latiff / Bob)
Dihasilkan di penghujung 80-an lagu ini antara yang menaikkan nama Fauziah Latiff dalam gemersik suaranya yang memukau ribuan pendengar ketika diedarkan. Hadir dalam persembahan melodi yang tidak terlalu mendayu namun cukup kuat esen 80’s Ballad yang membuai perasaan. Pernah turut dirakamkan Dessy Fitri dalam versi baru di era 90-an.
Relakan (Sheila Majid / Lukhman S)
Irama moderate Pop yang cukup sinonim dengan karakter bermuzik Sheila Majid di era 80-an. Dimuatkan dalam album “Emosi”, lagu ini satu daripada single yang membentuk kembara bermuzik Sheila Majid sebagai seorang ikon muzik Pop tempatan sehingga hari ini.
Semuanya Kerana Hadirmu (Sharifah Aini / Seri Bayu)
Biduanita Sharifah Aini antara yang jarang menyanyikan lagu ciptaan Manan Ngah namun ada beberapa lagu yang sempat mereka rakamkan bersama. Satu daripadanya adalah “Semuanya Kerana Hadirmu” yang dihasilkan dalam adunan balada lembut yang nostalgik. Tipikal Pop 80-an yang banyak dipasarkan dan lagu ini juga agak kurang menarik perhatian.
Kini Ku Pulang (Anita Sarawak / Habsah Hassan)
Lagu yang cukup jarang diperdengarkan dan mungkin tidak ramai yang mengetahui dengan kewujudan lagu ini. Melodinya tidaklah terlalu mengikat tetapi cukup sebati dengan persembahan quirky Anita Sarawak yang sentiasa memberikan persembahan vokal sepenuh jiwanya.
Terasing (Sudirman / Habsah Hassan)
Struktur muzik “Terasing” dihasilkan dalam satu perasaan cukup sayu dan menyentuh. Lagu ini sempurna ditulis liriknya oleh Habsah Hassan dalam satu penceritaan tentang kesepian dalam kehilangan. Melodinya cukup evergreen biar sehingga hari ini “Terasing” masih mampu mengusik setiap jiwa yang mendengar biar berganti.
Kita Bagai Lilin (Rahim Maarof / Habsah Hassan)
Lagu ini dihasilkan dalam acuan muzik yang cukup sebati dengan jiwa Sentimental Rock Rahim Maarof. Penghasilan melodinya datang dengan elemen nostalgia, ada Balada dalam penulisan lirik yang bersifat cinta dan kenang-kenangan. Mungkin bukan melodi yang terbaik pernah dihasilkan tetapi masih sedap didengar.
ARTIKEL BERKAITAN