
Pasaran muzik Pop 80-an dan 90-an dipenuhi pastinya dengan nama-nama besar seperti Adnan Abu Hassan, Manan Ngah, A. Ali, Saari Amri yang mendominasi carta lagu-lagu popular sepanjang era tersebut. Fauzi Marzuki satu lagi nama yang cukup dominan dalam memasarkan hits sepanjang zaman yang masih didengari sehingga hari ini.
Sheila Majid, Anita Sarawak, Sharifah Aini, Francessca Peters dan Raja Ema antara yang kerap mendendangkan rangkaian lagu-lagu ciptaan komposer ini. Manakala penulis lirik tersohor Datuk Habsah Hassan antara yang paling kerap menulis lirik untuk melodi ciptaannya.
Selain rangkaian lagu-lagu Balada, Fauzi Marzuki juga cukup dikenali dengan kepelbagaian dalam penghasilan lagu-lagu Pop yang banyak dipersembahkan Raja Ema juga Amy Mastura dan Erra Fazira yang memberi warna berbeza dalam komposisi muziknya.

Fauzi tidak hanya fokus pada penulisan lagu juga penerbitan malah turut menulis lirik antaranya bagi lagu Memori (Sheila Majid) dan Mata (Noorkumalasari).
Bersama saluran YouTube “Getaran Nostalgia” , Muzik Kita melewati beberapa rangkaian lagu-lagu terbaik yang pernah diciptakan komposer hebat ini sepanjang zaman. Dengarkan juga senarai lagu Krya Cipta Fauzi Marzuki di Spotify Muzik Kita.
Legenda – Sheila Majid / Habsah Hassan
“Legenda” satu daripada ratusan komposisi terbaik yang pernah dihasilkan Fauzi Marzuki sepanjang karier bermuzinya. Terhasil cukup original dengan kemasan muzik Jenny Chin juga lirik Habsah Hassan yang sempurna disampaikan oleh Sheila Majid. Sehingga hari ini, lagu ini masih lagi menjadi salah satu lagu yang Pop paling ikonik pernah dihasilkan.
Dari Kaki Tangga Ke Menara – Fauziah Latiff / Habsah Hassan
Kolaborasi Fauzi dan Fauziah terhasil dalam beberapa lagu yang cukup banyak dihasilkan sebetulnya. “Dari Kaki Tangga Ke Menara” satu daripadanya. Vokal Jee benar-benar menyerlah di lagu ini. Bahagian korusnya mengikat dengan feel yang menyentuh perasaan. Disempurnakan puitis lirik Habsah Hassan, lagu ini antara personal favorite saya daripada ketiga-tiga anak seni ini.
Sepi Sekuntum Mawar Merah – Ella / Lukhman S
Melodi Ballad Rock yang menjadi lagu cari makan Ella sejak pertama awal diedarkan. Balada yang dihasilkan membaluti sempurna sifat Ella yang cukup kuat karakter vokalnya. Sudah dirakam beberapa kali oleh penyanyi lain seperti V.E dalam versi R&B dan yang terkini oleh pelapis muda Amir Masdi dengan rendisi yang lebih kekinian. Malar segar!
Di Alam Fana Cinta – Fotograf / Zur Ain
Hits yang membawakan nama Fotograf dalam radar popular sehingga hari ini. Diedarkan di tahun 1992 ketika Exist begitu booming dan Slam mula memasuki pasaran muzik serta harus bersaing bersama Search dan Wings, Fotograf berjaya membawa nama mereka naik dengan lagu ciptaann Fauzi Marzuki ini.
Jejaka Idaman – Raja Ema / Herman Tino
Bubble Pop 80-an menerusi “Jejaka Idaman” persembahan Raja Ema ini antara yang paling diingati sejak diedarkan. Menjadi salah satu lagu terbaik Raja Ema selain “Angan Angan” yang merupakan sebuah lagi lagu ciptaan Fauzi Marzuki. DIhasilkan dengan melodi mudah mengikat pendengaran dan lirik cheeky yang pasti senang diingati biat pertama kali mendengar.
Setia Kasih – Haleeda / Lukhman S
Haleeda menerusi lagu ini mencipta momen tersendiri dalam karier muziknya untuk diingati sehingga hari ini. Melodi lagu ini dekat dengan penghasilan lagu lain ciptaan Fauzi seperti “Teringin” dan “Sepi Sekuntum Mawar Merah” – ada sentuhan Sentimental Rock dalam persembahan sederhana Haleeda yang menyanyikan lagu ini sebaik seadanya.
Masihkan Ada Cinta – Rahimah Rahim / Habsah Hassan
Selain Adnan Abu Hassan, Fauzi Marzuki antara yang bijak dalam penghasilan Balada yang ‘sedap’ bagi saya. Melodinya ada elemen malar segar dan klasik dalam alunan syahdu membuai tetapi tidak memaksa penyanyinya terlalu merintih dalam persembahan nyanyian. “Masihkah Ada Cinta” satu daripadanya yang berjaya dihasilkan dengan semua elemen yang saya sebutkan tadi.
Persamaan – Freedom / S. Amin Shahab
80’S Funk Pop dan Synth antara muzik yang dieksplorasi baik oleh Fauzi Marzuki. “Persamaan” persembahan kumpulan Freedom contoh terbaik dan cukup berbeza daripada apa yang biasa dia hasilkan dalam rangkaian Balada yang dihasilkan. Lagu ini memiliki ruang berbeza untuk kita nikmati sebagai pendengar benar-benar merasai esen muzik 80-an yang fun and quirky.
Pusara Di Lebuhraya – Ekamatra / Bob Lokman
Era Rock Kapak membawa Fauzi Marzuki bereksplorasi dalam jaluran muzik begini pula. Ekamatra menerusi lagu ciptaannya “Pusara di Lebuh Raya” mencipta momen mereka dalam kerjaya muzik ketika itu untuk dikenali dengan cukup meluas. Lagu ini sehingga hari ini menjadi lagu wajib kaki karok.
Antara Yang Manis – Anita Sarawak / Amran Omar
Lagu ini antara yang terbaik dihasilkan Fauzi Marzuki. Elemen R&B yang dimasukkan dalam persembahan Pop Anita terhasil cukup menarik. Melodinya menyenangkan, cukup relaxing dengan vibe persembahan Anita yang membuat kita sama melayani keseluruhan lagu. Antara melodi bahagia terbaik pernah dihasilkan. Tiupan sax Dave Koz di lagu ini menambah sensualiti dalam menikmati lagu ini.
Suatu Waktu Dahulu – Dwen / Habsah Hassan
Sebuah lagi Balada yang cukup kuat elemen nostalgia 80-an. Dwen menerusi lagu “Suatu Waktu Dahulu” menjadi antara penyanyi lelaki yang cukup dominan di eranya. Penghasilan lagu ini menjadi salah satu yang cukup popular ketika diedarkan. Melodinya mudah dan mendayu tanpa sukar mengikat pendengaran pendengar ketika itu.
ARTIKEL BERKAITAN