
Pasaran muzik semasa dengan kandungan yang cukup mudah diakses membenarkan banyak sekali bakat-bakat baru yang berani tampil ke depan untuk berkongsi bakat dan kemampuan bermuzik mereka. Berjaya atau tidak mengikat pendengaran pendengar itu penghujungnya tergantung usaha dan rezeki. Namun usaha anak-anak muda ini sangat harus diraikan.
Nama-nama seperti Aisha Retno, Yuji, YonnyBoii, Dolla, Iman Troye, Aziz Harun antara yang sudah melepasi tembok mainstream untuk cukup dikenali dan diyakini bakat serta kebolehan bermuzik yang mereka. Dan pastinya the list goes on jika mahu menghitung berapa banyak lagi yang harus diraikan pasti tak berhujung.
Program Big Stage yang memasuki musim kelima bersiaran minggu lalu dalam senarai pemuzik muda yang rata-rata hadir dalam ilham muzik semasa yang lebih berlegar dalam radar muzik up beat yang menuntut persembahan secara total tanpa bergantung pada vokal semata-mata. Menampilkan saingan bakat tempatan yang harus siap bersaing dengan bakat seberang, Indonesia dan bakat TikTok, Korea Selatan.
Muzik Kita melewati katalog muzik digital mendengar dan melihat bakat serta potensi anak-anak muda yang harus sama diraikan.
AHMAD ADLY – NOTA HASRATKU (2021)
Ahmad Adly mengikat pendengaran saya saat pertama kali mendengar alunannya menerusi melodi ciptaan YonnyBoii ini. Lagu ini terhasil dalam pesona Balada yang cukup lembut menyentuh. Vokal Adly soothing, sedap didengar sempurna membaluti melodi lagu ini. Sayang sehingga hari ini masih kurang diberi perhatian terhadap bakatnya.
YAPH – MAAF KALAU SENDU (2020)
Anthem geng-geng sendu, YAPH antara bakat Hip-Hop yang masih underrated jika mahu dibandingkan dengan bakat lain yang berjaya memasuki pasaran mainstream. Kelebihan YAPH sebagai pemuzik tentu saja kerana penulisan puitis bait liriknya. “Maaf Kalau Sendu” sisi lain YAPH yang saya kira terhasil cukup komersil sekali. Mendengarnya tidak sukar, sekali dan terus mengikat.
SALAHKAH KU – SYAZWAN SYAHMI (2022)
Dalam lapangan pelapis penyanyi Balada, Syazwan Syahmi antara yang hadir dalam pakej suara serta lagu yang baik. Mungkin sama dengan apa yang telah dipersembahkan Haqiem Rusli atau Khai Bahar, namun Syazwan ada potensi besar dalam perembahan vokalnya yang dibaluti perasaan yang secukupnya. Melodi ciptaan Sharon Paul ini benar-benar memberi kelebihan buat Syazwan menonjolkan kebolehan vokalnya.
FAI RAMLI – TERSAKITI (2022)
Bakat muda ini pertama kali saya lihat di program All Together Now yang memberi ruang terbaik buatnya untuk mempersembahkan kemampuan menyanyinya dengan sangat baik. Vokal Fai saya kira cukup komersil dan ada potensi besar untuk dipasarkan. Cuma lagu “Tersakiti” ini tidak begitu memberi justifikasi buat vokal dan usia mudanya.
NAJMI NIERY – DEKATI. (2022)
Feel lagu melodi ciptaan Najmi cukup soulful dan membuai. Melodi begini banyak dihasilkan di era 2000 disaat Glenn Fredly, Marcell dan Tompi sedang hangat meramu Soluful Ballad begini. Najmi ada potensi jika dia konsisten dalam penghasilan melodi begini. Suaranya baik cuma pada masa yang sama harus beriring eksplorasi bunyi yang lebih current.
RADI – MAYBE? (2023)
Radi is the future. Suara, taste dan execution muziknya sangat current dan boleh bergerak bebas dan jauh di pasaran muzik digital sebetulnya. Akan mengambil masa namun tidak mustahil kerana bakatnya sudah sedia solid cuma menanti waktu yang tepat untuk dia terus bersinar. Kuncinya adalah konsistensi, Radi harus sentiasa hadir dengan naskhah lagu- baru untuk dia sentiasa berada di radar yang betul.
KHODI – KE MANA (2019)
Khodi ada suara yang sangat istimewa dan jarang ada di pasaran muzik tempatan. Feel Soul, Jazz & R&B yang ada padanya harus diraikan sebaiknya. “Ke Mana” seperlunya menjadi direction bermuzik Khodi kerana tidak banyak pemuzik tempatan yang mahu bergerak dalam jaluran muzik begini dan Khodi ada potensi untuk dikenali dengan cukup meluas dengan arah muzik begini.
RAZAK A’AI – BUKTI CINTAKU (2022)
Pengalaman persembahan busking Razak A’ai memberi kelebihan dalam lontaran vokalnya. Suara serak basah miliknya menyatu baik dalam komposisi muzik yang diramu sendiri dalam acuan pasaran muzik semasa. Kemampuan Razak dalam persembahan muzik secara langsung memberikan nilai tambah buatnya berdiri sendiri sebagai pemuzik harapan.
DANIESH SUFFIAN – SIMPAN (2020)
Danieh Suffian antara bakat baru yang memiliki pakej suara dan imej yang baik untuk diketengahkan sebagai penyanyi pelapis masa depan. Feel Indo Pop Glenn, Afgan juga molek meneruskan legasi Anuar Zain. Menerusi “Simpan” saya sifatkan sebagai single terbaik yang pernah dirakamkan dan sangat baik untuk diketengahkan juga dikomersilkan.
ARTIKEL BERKAITAN