
Sang Rawi sebuah kugiran indie yang awalnya datang dengan sebuah ilham authentic muzik Melayu asli dalam persembahan yang disulam ilham muzik mereka yang tersendiri. Single “Maha Seni” yang diedarkan dalam album rakaman live tahun 2020 menjadi nadi untuk mereka bergerak sebagai sebuah band yang memiliki masa depan yang cemerlang.
“Maha Seni” juga sudah kami letakkan sebagai rilis terbaik tahun tersebut menerusi pencarian 50 Rilis Terbaik 2020 dan sejak itu saya secara peribadi akan sentiasa menantikan lagu-lagu baru daripada kugiran ini.
Namun setelah mengumumkan pembubaran kugiran ini tahun lalu di media sosial mereka mungkin harapan saya untuk melihat mereka menjadi lebih besar dan diterima meluas itu hampa. Sempat merakamkan sebuah album berjudul “Malay New Order” yang sepatutnya dijadualkan beredar lebih awal akhirnya dirilis pada pertengahan September lalu.
Album ini menampilkan lima lagu yang sudah lebih awal dirilis di EP rakaman langsung mereka dan lima lagi lagu yang belum diedarkan sebelum ini dengan sebuah persembahan muzik dalam citarasa dan jiwa Melayu yang begitu addictive sekali mendengarkannya.
Seawal dibuka dengan “Sultan Panji” saya sudah jatuh suka dengan melodinya, liriknya dan persembahan vokalisnya. Lagu ini bergerak sebagai sebuah nadi baru dan cara baru mendekati muzik Melayu dengan eksperimentasi dalam pemilihan instrumentasi mereka.
“Senandung Kaseh” meneruskan momentum muzik mereka dengan sangat baik. Ada elemen Joget dalam lagu ini yang diikat dengan identiti muzik mereka menerusi lagu ini sebelum diteruskan dengan “Ala Dondang Sayang” yang terus membuat saya larut dengan persembahan mereka.
“Maafkan Aku” saya sifatkan sebagai lagu terbaik di album ini. Muziknya ada feel 80’s yang entah mengapa mengingatkan saya pada lagu-lagu Alleycats dan Headwind awal pembukaannya sebelum disahut tiupan sax/flute yang sensual sekali sifatnya.
Lagu ini bergerak sangat baik dengan penulisan lirik yang ringkas tapi cukup solid “Jika esok ku kan pergi // Maafkan aku”. “Zaffin” menyambut dengan ilham moden Zapin yang cukup fun dan seronok dilayani.
Saya tidak pasti apa status Sang Rawi sekarang tetapi jika masih ada ruang mereka tidak seharusnya menghentikan apa yang sudah dipersembahkan. Susah nak dapat band yang begini bunyi dan usahanya. Tapi andai kata ini yang terakhir daripada mereka nama Sang Rawi sudah saya letakkan sebagai kugiran paling best yang pernah kita ada di era ini.
ARTIKEL BERKAITAN
#TheFutureIsBright Meraikan Suara Generasi Baru Bersama Yuji & Putri Dahlia Menerusi “Old Love”