
Lagu: Kecewa
Artis: YonnyBoii
Komposer / Lirik: YonnyBoii
Produser: SeaTravel
YonnyBoii menjadi antara bakat baru yang cukup cemerlang dalam mengatur rencana bermuziknya. Awal hadir dengan ilham baru Hip-Hop yang disatukan R&B dan Pop, muziknya diterima terbuka dan meluas dengan barisan hits seperti “Salahku”, “Sakit”, “Bayang” dan “Tak Sangka” antaranya.
Debut album yang baru-baru ini diangkat sebagai pemenang Album Terbaik Anugerah Industri Muzik mengukuhkan bukti dia adalah penerus barisan Pop tempatan yang akan terus bersinar dengan cemerlang pastinya.
Bertuahnya Yonny juga saya kira kerana di kiri dan kanannya dijaga baik pasukan pemasaran yang mengulik arah bermuziknya dengan percaturan yang sentiasa tepat dan mengena. Bersama Def Jam Malaysia dan Universal Music perjalanan bermuziknya lancar.
Tanpa mahu terus memperlahankan langkah, Yonny hadir dengan sebuah lagi single terbaru berjudul “Kecewa” yang dihasilkan sepenuhnya melodi dan lirik sendiri. Lagu yang disifatkan terhasil dengan DNA Yonny yang cukup kuat menjadika ia sebuah naskhah yang tidak sukar untuk dinikmati.
Jika anda peminat setia Yonny, melodi lagu ini saya kira akan dengan begitu mudah meresap dan merasuk. Kemasan muziknya dihasilkan dengan cukup baik pada setiap bahagian yang memberi momentum muzik yang dinamik.
Saya semakin menyenangi vokal Yonny yang cukup raw tetapi begitu mengena dengan keseluruhan ilham penghasilan lagu ini. Terkadang kasar dan garau suaranya berbalut emosi dalam penceritaannya yang begitu beremosi. Sangat puas saya menikmati persembahan vokal Yonny menerusi lagu ini.
Penulisan liriknya juga semakin baik. Saya kira Yonny sebuah representasi generasinya. Kisah cinta yang ditulis dalam perasaan dan keadaan yang banyak anak muda hari ini rasakan ditafsir dengan justifikasi yang sebaiknya. Gambaran dilema dan pergolakan jiwa anak muda hari ini.
Bait seperti “Ku kecewa Ku tak mampu berubah // Aku kecewa Ku tak mampu menjadi Yang terbaik untukmu” – Sebuah idea kepada pemikiran juga perasaan remaja hari ini saya kira. Gelora mereka berbeza pastinya dengan generasi saya sebelum ini dalam memberi gambaran kekecewaan.
Yonny membuat saya lebih menyenangi penulisannya yang cukup lantang dan jelas dalam bait. “Lama sudah aku perhati // Jadi ku lari Hari ke hari // Dari digari Kau”. Such a great young poet.
8.5/10
ARTIKEL BERKAITAN
#TheFutureIsBright Meraikan Suara Generasi Baru Bersama Yuji & Putri Dahlia Menerusi “Old Love”