Bergerak tanpa sebarang batas muzik yang menghadangi, Biduanita Sharifah Aini sudah merakamkan pelbagai jenis lagu dalam jaluran muzik yang pelbagai sepanjang hayatnya bernadi di pasaran muzik tempatan.
Terhasil daripada ilham muzik tradisional Melayu Asli dia bergerak dalam landskap Pop, Disko dan merentas era Balada yang pelbagai sehingga menghasilkan kolaborasi Hip-Hop bersama Too Phat.
Bakat bermuzik luar biasanya membenarkan pasaran muziknya cukup luas dan beragam. Sebuah album berjudul “Yayadan” terhasil dalam kerancakan muzik Nasyid mendominasi pasaran muzik satu ketika dulu.
Bergerak sebagai sebuah gabungan alunan Kontemporari Nasyid dan Tradisional, “Yayadan” digerakkan oleh empat produser muzik yang cukup berpengaruh. Ramli MS, Pak Ngah, S.Atan dan Eddie Marzuki menngemudi album dalam konteks muzik Sharifah Aini yang cukup menyatu baik muzik dan vokalnya.
Single perdana berjudul “Yayadan” ciptaan Pak Ngah menggabungkan muzik padang pasir dengan ilham lirik ketuhanan juga kemanusiaan cukup mendapat perhatian ketika diedarkan. Barisan liriknya tersusun baik dalam susunan bahasa yang begitu humanis sekali.
Carilah ketenangan dalam diri sendiri
Munajat di sepertiga malam
Temulah keagungan tika alam berseri
Sebuah lagu yang menarik minat saya akan album ini adalah medley “Selimut Putih / Keagungan Tuhan” nyanyian asal D’lloyd dan Kumpulan Al-Suraya. Lagu ini disusun semula muziknya oleh S.Atan dengan cukup kemas sekali. Paduan muzik dua lagu yang disatukan dalam satu lagu menghasilkan sesuatu yang cukup menarik sekali.
Vokal penuh perasaan Sharifah Aini menerusi lagu ini begitu memaknakan isi lagunya dengan cukup baik sekali. Sebuah lagi intepretasi rakaman baru terbaik di album ini adalah “Permaidani” yang turut pernah dirakam oleh Aris Ariwatan sebelum ini.
“Fitrah Insani” antara yang hadir dengan kemasan muzik yang cukup baik Ramli M.S. Melodi terhasil dalam sentuhan muzik padang pasir yang biasa kita dengar namun diberi sentuhan magis dalam susunan muziknya yang menarik.
Sebuah lagi lagu yang dihasilkan arwah Pak Ngah berjudul “Kepulangan Dalam Iman” juga antara yang hadir dengan penghasilan melodi yang cukup baik dibaluti vokal istimewa Sharifah Aini. Sebutannya sangat jelas dan itu sentiasa menjadi keistimewaannya sebagai seorang penyanyi.
Album ini dihasilkan pada tahun 1998 ketika rancaknya penerimaan muzik Nasyid di pasaran. Kelibat “Yayadan” dalam mengisi ruang yang ada sebetulnya menjadikan ia cukup istimewa kerana ketika itu muzik ini didominasi penyanyi berkumpulan lelaki khususnya.
“Yayadan” Bergerak matang dan cemerlang di produksi muziknya yang sangat kemas dengan kualiti rakaman album yang cukup berkualiti biar sehingga hari ini jika didengar kembali masih mampu menangkap pendengaran.
Kesemua lagu-lagu daripada album “Yayadan” kini boleh dinikmati secara rasmi di saluran YouTube “Getaran Nostalgia”.
ARTIKEL BERKAITAN
Melayani Perasaan Dalam 8 Balada Terindah Biduanita Sharifah Aini