
Tiada hentinya untuk kita terus menikmati alunan merdu Biduanita muzik negara yang meninggalkan kita lebih 7 tahun dulu dengan rangkaian lagu-lagunya yang akan sentiasa didengari berganti generasi.
Merentas zaman dan era, nama Biduanita ini meniti bibir kita semua. Pelbagai jaluran muzik sudah dicuba memikat pendengar mengikut peredaran trend muzik semasa, namun alunannya masih sama merdu, masih kekal stailnya dan masih mahu sering didengar.
Jika sebelum ini kami sudah menulis tentang kemerduan alunan nyanyian Melayu Asli nya menerusi album “Lela Manja” bersama Hamzah Dolmat, kali ini kami ingin membawa anda melewati alunan merdunya menerusi rangkaian Balada terpilih yang telah kami susun.
Biar sudah berusia 40 Tahun, lagu ini saya kira masih segar muziknya, masih relevan untuk terus diperdengarkan. Tulisan Syed Haron menerusi melodi Balada yang menyentuh kasih sayang seorang Ibu dalam alunan yang cukup rasanya. “Mawar Putih Untuk Mama” berhasil memberi kelebihan buat Biduanita ini terus bernadi dalam pasaran muzik biar sehinga hari ini.
Lagu yang tidak dapat dipastikan siapa penciptanya, ada yang mengatakan ia sebuah rakaman semula sebuah lagu lama yang juga tidak dapat dinyatakan siapa penyanyi asalnya. “Tanpamu Ku sepi” sebuah tulisan penuh puitis Habsah Hassan yang cukup personal buat saya. Lagu ini antara yang paling baru saya explore. Sungguh indah penghasilannya dengan rasa juga persembahan melodi dan vokal yang menggamit memori.
Ada feel Jazz Ballad di lagu S.Atan ini. Komposisinya cukup unik dan memikat sekali. Saya selalu membayangkan lagu ini sangat hebat jika dinyanyikan kembali Sheila Majid kerana komodenan dalam melodinya yang cukup “Sheila” sekali sifatnya. Ternyata S.Atan yang kita kenal bukan hanya mampu menulis Irama Melayu Asli sahaja.
Arwah Tok Pah memasuki pasaran komersil 90-an dan kali ini bersama Saari Amri yang cukup booming di era itu dengan penghasilan lagu “Hatiku Sudah Patah” ini. Saya larut bukan sahaja kerana melodinya tetapi sudah tentu kerana alunan merdu Biduanita ini. Lagu ini antara yang paling saya ingat ketika membesar dulu, yang saya nantikan di Radio Muzik airplay nya.
Antara lagu yang penting dalam perkembangan karier bermuzik Biduanita ini adalah penghasilan OST Hapuslah Air Matamu bersama Broery Marantika. Lagu ini terhasil dalam sentuhan emas Ahmad Nawab yang menyuntik elemen klasik Ballad yang cukup timeless.
Petikan piano di awal lagu ini berawal lembut sebelum disambut kesyahduan suara emas Biduanita ini. “Hadiahku Di Hari Bahagiamu” sebuah naskhah kesayuan yang bergerak dalam sebuah cerita yang ditulis secara terus tentang perasaan kecewa dan hampanya harapan sebuah cinta.
Lagu yang dimuatkan dalam album “Syahdu” membawa dimensi baru muzik Bidunita ini untuk terus kekal dalam rada Pop Semasa. Kraf muzik Ajai menyatu cukup baik dengan feel dan penyampaian Shariah Aini. Persembahan vokalnya yang beriring clarity dalam sebutan yang cukup jelas mentafsir jiwa yang mahu dipersembahkan dalam penghasilan melodi lagu ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Sebuah Kesyahduan, Resah dan Sepi “Sudirman” Menerusi 10 Balada Terbaik Yang Pernah Dirakam