#PerspektifMuzik, #RetrospektifMuzik, Highlight, Terkini,

Alleycats – Sebuah Wajah Muzik Pop Kontemporari Malaysia

Perjalanan karier bermuzik sesebuah kugiran di era lapangan 70-an dan 80-an cukup menarik. Bergerak atas medium persembahan pentas dengan kemampuan menyanyi dan perform secara langsung, bakat-bakat legenda ini dicungkil bakat mereka sama ada di pentas kelab malam atau pertandingan nyanyian.

Keyakinan yang sudah diletakkan ketika berpentas menjual bakat muzik membawa mereka ke studio rakaman bergelar penyanyi, memiliki album penuh atau EP dan menghasilkan rangkaian hits malar segar yang didengar berganti generasi.

Dan hal ini membuatkan kemampuan menyanyi dan berpentas mereka itu tidak pernah hilang bisanya. Lihatlah bagaimana artis-artis lama yang menjangkau usia 60 atau 70 masih mampu menyanyi live dengan sangat baik. Kerana apa? Kerana kehebatan itu sudah dilatih sebelum mereka mengecap populariti sebagai penyanyi.

Alleycats sebuah kugiran yang dibentuk penghujung 60-an antara yang mengecap kegemilangan sebagai pemuzik dengan cara yang saya sebutkan tadi. Awal bergerak sebagai pemuzik kelab malam sehingga pertengahan 70-an, Alleycats mencuri perhatian record label di Singapura ketika mereka sibuk di pentas Mocambo, Hong Kong.

Album berjudul “Terima Kasih” yang beredar di tahun 1979 menjadi pertaruhan perdana bersama label Philip – Polygram Records. Tanpa perlu membuang banyak masa mereka mencipta gemilang sebagai pemuzik Pop dengan hits “Jika Kau Bercinta Lagi”  dan “Senandong Semalam”.

Album yang diterbitkan oleh Wan Ibrahim itu melonjakkan nama Alleycats sebagai kugiran Pop yang cukup promising ketika itu. Dan dek kerana penerimaan yang luar biasa debut tersebut pihak record label tanpa mahu melengahkan masa mengedarkan sebuah lagi album di tahun yang sama dengan judul “Penyanyi”.

Album yang menampilkan tenaga kerja seperti Ooi Eow Jin dan M.Nasir itu meneruskan populariti Alleycats di corong-corong radio sehinggalah liputan meluas di media massa. Diterbitkan oleh Eric Yeow bersama Polygram Singapore / Hong Kong.

Dan sejak itu nama Alleycats memonopoli pasaran muzik 80-an seiring dengan populariti Sudirman, Sharifah Aini dan Anita Sarawak ketika itu. Album demi album dihasilkan dengan rangkaian hits malar segar yang tidak terhitung banyaknya menjadikan kugiran Pop ini antara living legend yang sentiasa didengari berganti generasi.

Sudah merakamkan lebih 20 album studio keseluruhan, lagu-lagu seperti “Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi”, “Sampaikan Salam Cintaku”, “Andainya Aku Pergi Dulu”, “Hingga Akhir Nanti” dan “Suara Kekasih” sudah termaktib dalam sejarah muzik tempatan sebagai rangkaian lagu terbaik yang pernah dicipta sepanjang zaman.

Dari Pop, Balada, Disko sehingga irama Joget, Alleycats sudah membentuk acuan muzik mereka yang bersifat Malaysia sekali hasilnya. Bersama M.Nasir sebagai produser yang paling banyak menghasilkan lagu-lagu buat Alleycats – terhasil sebuah kosmik Pop yang cukup sinonim dengan kugiran ini.

Namun seperti mana bintang Pop yang lain, kembara muzik Alleycats juga ada turun naiknya. Selepas M.Nasir melepas ikatan bersama Polygram arah muzik kugiran ini bercelaru tanpa berjaya mencipta hits baru yang mampu menandingi karya-karya M.Nasir.

Hal ini jelas terbukti menerusi penghasilan album “Untukmu” (1992) yang hadir tanpa satu pun sentuhan M.Nasir. Mengukuhkan fakta-fakta ini perkara ini boleh dirujuk dengan kejayaan kumpulan Search dan Wings yang cukup booming di lewat 80-an dan 90-an dalam memonopoli pasaran muzik ketika itu dengan karya-karya Nasir.

Setelah itu mereka hanya fokus menghasilkan album kompilasi sehinggalah di tahun 1998 Alleycats bersama produser Eric Yeow menghasilkan album berjudul “Kucing Lorong” yang juga sekali lagi gagal mencuri perhatian yang besar.

Namun itu tidak sesekali melenyapkan nama Alleycats di pasaran muzik semasa. Hits terdahulu mereka masih mendapat air play dan kelibat mereka di televisyen juga pentas persembahan masih lagi aktif cuma lagu-lagu baru yang terhasil tidaklah memiliki hook serupa seperti apa yang mereka lakukan bersama M.Nasir.

Penghasilan album kompilsi terus menjadi fokus Alleycats setelah itu sehinggalah di tahun 2001 mereka kembali bekerjasama dengan M.Nasir menerusi sentuhan emas buat lagu “Setelah Bertahun” dan “Mawar Berduri”.

Kehebatan Alleycats itu secara peribadi bagi saya adalah versatiliti dalam bermuzik mereka yang tidak langsung menenggelamkan identiti mereka. Biar harus merakamkan lagu joget seperti “Joget Terluka” dan “Joget Gurau Senda” semuanya tidak lari dari landansan terbaik untuk kita tahu itu Alleycats.

Menonton kembali persembahan live mereka di YouTube buat saya fikir Datuk David Arumugam dan band mates nya itu memang dilahirkan untuk perform, untuk bermuzik secara langsung. Kini kesemua lagu-lagu bertaraf legenda mereka boleh dinikmati di saluran YouTube “Getaran Nostalgia”.


ARTIKEL BERKAITAN

Bernostalgia Dengan Persembahan Pop Melayu Sudirman Menerusi Album “Lagu Anak Desa”

Highlight, Review, Terkini,

Nuansa Bossa Crinkle Cut Menerusi Single “Fascination”

Lagu: Fascination
Artis: Crinkle Cut
Komposer / Lirik: Choong Siew Mun / Frances Tsen Hen Wearn / Grace Foo Wai San / Lim Hong Koon / Wong Woei Shin
Produser: Kuszanagi

“Sweet Nothings” menjadi pertaruhan perdana grup vokal R&B Tempatan, Crinkle Cut. Album berisi 9 lagu tersebut dihasilkan dalam acuan Urban Pop dengan pengaruh R&B yang cukup kental sekali dalam hampir kesemua lagu.

Lagu-lagu pertaruhan hits mereka seperti “Sweet Nothings” dan “Measure You” di album perdana tersebut benar-benar mengingatkan saya pada rakaman awal NJWA (Najwa Mahiadin ketika itu) di album “Innocent Soul” yang berat sekali feel R&B yang dibawa.

Hal-hal ini saya kira cukup bersatu baik dengan kemampuan vokal mereka yang cukup lantang dan beriring harmoni yang baik. Maka awal tahun ini terhasillah sebuah lagi single berjudul “Alone” sebelum merilis “Fascination” yang beredar baru-baru ini.

“Fascination” hadir dalam pesona berbeza dengan memanipulasi nuansa Bossa  dan Jazz dalam feel light and easy yang cukup menawan. Cukup mudah menangkap pendengaran dengan hanya sekali mendengar sahaja.

Crinkle Cut antara treasure muzik tempatan yang cukup menarik untuk kita tinggikan. Muzik mereka dihasilkan dalam satu produksi yang cukup kemas, bercitarasa dan punya standard muzik yang cukup baik.

Mendengarkan “Fascination” dan beberapa lagu di album perdana mereka membuat imaginasi saya melayang membayangkan kolaborasi grup wanita ini dengan barisan vokalis hebat seperti Noryn Aziz dan NJWA. In future, perhaps?

6.3/10


ARTIKEL BERKAITAN

Bihzhu Mengembalikan Keindahan Melodi “Chendering” Dengan Penuh Pesona

Highlight, Review, Terkini,

Faizal Tahir Mengalunkan Kembali Keindahan Pop Nasyid Menerusi “Syahadah”

Lagu: Syahadah
Artis: Faizal Tahir
Komposer / Lirik: Faizal Tahir / Ikhwan Fatana / Mage / Wan Salleh 
Produser: Adib Hussin / FT

Dalam mahu menghentikan seketika perjalanan nyanyiannya, Faizal Tahir saya kira sudah boleh digelar ikon Pop yang cukup dihormati kredibilitinya sebagai pemuzik yang sentiasa berani mengambil tanggungjawab untuk sentiasa meniggikan standard Pop tempatan ke tahap yang membanggakan.

Graf muziknya tidak terikat ilham serupa, biar masih berlegar idea Pop tetapi ia bergerak seiring dengan apa yang ada di pasaran global tanpa berkompromi dengan penghasilan lagu yang biasa-biasa penciptaannya.

Lihat saja setelah fasa “Rojak” FT bersama batalion muziknya di Faithful Music menzahirkan sangat banyak lagu-lagu baru yang memonopoli pasaran Pop tempatan dengan sangat cemerlang sekali. “X Missing U”, “Sad to Cry”, “Nobody” sehingga yang terkini menzahirkan sebuah alunan Pop Nasyid menerusi single “Syahadah”

Bergerak dalam tempo cukup terkini dalam penghasilan yang cukup catchy, “Syahadah” sangat mengingatkan saya bagaimana kita amat mudah terpikat dengan penghasilan “Puji Pujian” 2 dekad lalu. Sangat mudah menangkap tanpa perlu terlalu menjadikan sesuatu yang simple itu kedengaran cheesy.

Kemasan muzik “Syahadah” hadir cukup moden, disusun kemas dengan cara terbaik untuk pendengar muda dekat kembali dengan irama Nasyid. Dan hal-hal ini saya fikir harus menjadi rujukan untuk semua pemuzik Nasyid bagi meneruskan kelangsungan muzik ini di pasaran muzik semasa.

“Syahadah” merupakan lagu yang dimuatkan menerusi album “Qibla” yang menjadi naskhah akhir sebelum dia berehat sebagai penyanyi sepenuh masa. Namun saya pasti ini bukan titik nokhtah buat kita semua untuk terus menikmati kosmik Pop yang akan diteruskan perjuangannya bersama Faithful Music.

7.8/10


ARTIKEL BERKAITAN

Humanisme Hattan Dalam Sebuah Album Tribute “Palestin”

Highlight, Review, Terkini,

Bihzhu Mengembalikan Keindahan Melodi “Chendering” Dengan Penuh Pesona

Lagu: Chendering
Artis: Bihzhu
Komposer / Lirik: James William Boyle / Zainal Abu
Arranger: Idris Koh Keng Hui
Produser: Melina William

Saya sering bertanya lagu Malaysia itu sepatutnya soundnya bagaimana ya? Sebagai seorang yang membesar dengan lagu-lagu Melayu saya sebetulnya sudah jemu dengan Balada yang terlalu banyak dan memualkan.

Dan ia agak memalukan bila mana saat rakan-rakan di Indonesia mempertanyakan “di Malaysia itu lagunya masih galau-galau terus.” Dan setiap kali persoalan itu ditanyakan saya akan stuck sekejap. Sebab memang betul pun.

Yang diraikan di sini terus menerus lagu Balada sakit hati yang memang buat saya sakit hati dan telinga dengan taste orang kita. Bukan tak ada yang bagus cuma tidak mahu diangkat sebaiknya.

Saya kira bakat indie kita yang memberikan bunyi berbeza itu sering dipandang sepi. Melihat bakat-bakat wanita seperti Alena Murang, Mayabayu dan Bihzhu umpamanya yang struggle mencari tempat di hati pendengar tempatan.

Awal tahun ini Alena Murang dan Mayabayu merilis single dengan nuansa etnik Malaysia yang disatukan dengan bunyian Pop untuk dikomersilkan secara meluas mendapat sambutan baik tetapi masih belum menyeluruh.

Terkini seorang lagi bakat wanita yang saya kagumi secara peribadi bernama Bihzhu merakam ulang lagu berjudul “Chendering” yang pernah beberapa kali dirakam sebelum ini antaranya Bing Slamet dan Zainal Abidin dalam komposisi asal James Boyle yang digubah semula.

Di tangan Bihzhu, “Chendering” terhasil dalam alunan Folk dan Jazz yang cukup lembut membuai pendengaran.

Produksi rakaman lagu ini sangat cemerlang. Setiap sisi bunyian instrumen muzik dapat ditangkap pendengaran dan hal ini menyatu cukup baik dengan persembahan vokal Bihzhu. Nasihat saya dengar menggunakan headphones.

Sesekali alunan Bihzhu mengingatkan saya pada Mia Palencia di lagu “Sayang” spirit yang dikendong itu sama dalam mentafsirkan sebuah lagu yang bersifat “Malaysia” sekali jiwanya.

“Chendering” sudah siap sebagai sebuah naskhah klasik yang hampir dilupakan tetapi ditinggikan kembali standard nya oleh Bihzhu dan batalion muziknya. Hal ini sangat penting saya kira dalam terus melestarikan lagu-lagu yang baik tetapi sudah semakin dilupakan.

Usaha yang dilakukan Bihzhu ini saya kira harus diraikan, disokong dan diperdengarkan secara meluas. Pasaran muzik begini harus diberi peluang sama tinggi dengan jaluran muzik di pasar komersil yang lain.

9/10


ARTIKEL BERKAITAN

“Gitu’an” Sebuah Manipulasi Budaya & Seni Muzik Etnik Dalam Sentuhan Segar Persembahan Alena Murang

 

Highlight, Review, Terkini,

Menelusuri Fasa Bahagia Andien Sebagai Ibu di Single “Tiba Tiba Tabi”

Lagu: Tiba Tiba Tabi
Artis: Andien
Komposer / Lirik: Andien Aisyah / Shinta Priwit
Produser: Andien Aisyah / Dody Is

Masih dalam fasa bahagia menikmati hidup sebagai seorang ibu kepada dua anaknya, Andien Aisyah menggerakkan kraf muziknya dalam legar ruang hidupnya hari ini. Dan kebahagian-kebahagiaan ini jelas terlihat dalam beberapa rilis terkini yang dizahirkan kebelakangan ini.

Setelah merilis “Anakku Sayang” karya ciptaan bersama Rieka Roslan, Andien meneruskan dengan penghasilan lagu buat dua anakanya menerusi single “Tiba Tiba Tabi” yang diciptakan Andien bersama Shinta Priwit.

Terhasil cukup fun dalam penulisan lirik yang cukup meaningful malah playful, “Tiba Tiba Tabi” menceritakan tentang keletah anak keduanya bernama Tabi. Terhasil sebagai kesinambungan indah lagu-lagu seperti “Anakku Sayang” , “Indahnya Dunia” dan “Belahan Jantungku” .

Andien saya kira sedang melalui fasa bahagia yang mengubah sedikit landskap muziknya dengan cara yang paling nyaman buat kita sebagai pendengar untuk menikmati alunan playfulnya di lagu ini.

“Tiba Tiba Tabi” hadir dengan kemasan muzik yang cukup membanggakan. Saya begitu enjoy mendengarkan susunan string muzik di lagu ini yang diibaratkan seperti menikmati soundtrack filem anak-anak.

Di bahagian hujung keletah Kawa dengan bait bualnya bersama Andien juga menjadi faktor pemikat single yang terhasil cukup istimewa ini.

7.7/10


ARTIKEL BERKAITAN

Pesona Bintang Nan “SATU” Ruth Sahanaya Menerusi Kolaborasi Komposisi LaleIlmanNino

Highlight, Review, Terkini,

Sebuah Duka Terindah Khodi Lewat Single “Dia Bagiku”

Lagu: Dia Bagiku
Artis: Khodi
Komposer / Lirik: Farouk Roman / Khodi
Produser: Farouk Roman

Khodi antara bakat baru yang cukup saya looking forward sejak dia berawal merilis “Ke Mana” bersama Razqa di tahun 2019. Khodi ada tone suara yang cukup tersendiri, lembut dan soothing. Lagu-lagu dalam nuansa R&B / Soul saya kira cukup cocok dengan karakter suara yang dia miliki.

Selepas merilis “Ke Mana”, awal tahun ini Khodi hadir berbeza dengan single “Lenggang” yang merubah terus landskap muzik Pop yang dia miliki. “Lenggang” not a bad song tapi seperti yang selalu kata, Khodi is bigger than that.

Terkini bersama Farouk Roman dia menghasilkan sebuah Balada indah yang cukup lembut membuai. Diberi judul “Dia Bagiku” yang melatari drama bersiri “Single Terlalu Lama” ini mengembalikan keterujaan saya menikmati suara Khodi.

“Dia Bagiku” cukup ramuan Balada yang sedap didengar, tidak berlebihan dan cukup menyerlahkan karakter vokal Khodi sebagai seorang vokalis yang berbakat. Semoga in future Khodi boleh teruskan dengan arah muzik begini dan juga seperti yang dilakukan menerusi “Ke Mana” yang benar-benar memberi justice pada vokalnya.

Lagu ini saya kira tidak sukar membuatkan kita senang untuk menikmatinya. Cuma saya tidak pasti jika pendengar kita mahu meraikan Balada lembut begini kerana di lagu ini tiada unnecessary jeritan atau rintahan seperti mana yang orang kita suka.

6.5/10


ARTIKEL BERKAITAN

“Sendiri” Melewati Nuansa Pop Terbaru Anuar Zain

Highlight, Review, Terkini,

Melirik Nuansa Penuh Groove & Catchy Andmesh Menerusi “Tiba-Tiba”

Lagu: Tiba-Tiba
Artis: Andmesh
Komposer / Lirik: Andmesh Kamaleng
Produser: Kandria Kananta

Andmesh berawal cukup promising dalam memikat pendengaran nusantara dengan hits “Cinta Luar Biasa” yang cukup booming sekali. Penangan lagu tersebut terbawa laju sehingga ke negara ini.

Penulisan melodinya hadir dalam formula yang mudah saya kira. Tidak hanya di lagu “Cinta Luar Biasa” tetapi hampir keseluruhan lagu-lagu Andmesh mengambil pendekatan mesra pendengar tanpa perlu bereksperimentasi dengan chord muzik yang beragam.

Apa yang dia tawarkan saya kira adalah rasa dan sebagai penyanyi juga pemuzik Andmesh kiranya bijaklah sebenarnya. Dia tahu pendengar sukakan sesuatu yang ringan, yang boleh buat mereka relate dengan kisah peribadi.

Maka lahirlah lagu-lagu seperti “Hanya Rindu”, “Jangan Rubah Takdirku” juga “Nyaman”. Walaupun sebetulnya lagu-lagu paten begini sudah lebih awal dialunkan penyanyi terdahulu seperti Mike Mohede, Budi Do Re Mi, Rizky Febian, Jaz antaranya.

Originality mungkin itu yang tidak ada padanya tapi sebagai seorang yang terlibat dalam showbiz Andmesh bijak membaca apa yang majoriti pendengar mahukan dalam sesebuah karya lagu.

Maka dengan formula yang ada itu dia meneruskan kelangsungan kepada lagu-lagu yang telah rilis dengan menerbitkan sebuah lagi single terbaru berjudul “Tiba-Tiba”.

Lagu yang ditulis sepenuhnya Andmesh ini hadir dalam groove berbeza yang buat saya sangat-sangat enjoy dengan penghasilan keseluruhan lagu ini.

Melodi “Tiba-Tiba” masih berlegar pada apa yang sinonim dengan Andmesh, ditambah dengan groove mid tempo yang disatukan dengan penulisan lirik yang sekali lagi memainkan peranan penting memikat pendengar.

“Rasa ini tiba-tiba ada  setelah sekian lama kita berpisah.” I mean semua boleh relate kan situasi begini. Jadi di sinilah Andmesh memanipulasi melodi yang simple menjadi dekat dan relevan dengan pendengar.

8/10


ARTIKEL BERKAITAN

Rakaman Ulang Nostalgia “Hanya Memuji” Krisdayanti & Sandhy Sondoro

#RetrospektifMuzik, Terkini,

“Aku Dan Dia” Sebuah Pengenalan , Kenangan & Hits Malar Segar Erra Fazira

Album: Aku Dan Dia (1995)
Artis: Erra Fazira
Produser: Razman

Nama Erra Fazira menjengah pasaran muzik Pop tempatan di pertengahan 90-an berbekal wajah jelitanya dengan kelembutan suara yang ketika itu sebetulnya tidaklah terlalu membangkit rasa kagum tetapi setidaknya dia bergerak atas kraf bakatnya yang tersendiri tanpa perlu menjadi orang lain.

“Yang Terindah Hanya Sementara” (Razman / Habsah Hassan) yang dimuatkan dalam album perdananya yang berjudul “Aku Dan Dia” menjadi batu loncatan untuk dia dikenali sebagai penyanyi yang sebelum itu diperkenalkan dengan single “Cinta Abadi” menerusi EP yang beredar di tahun 1994.

Erra Fazira menerusi album terbitan Razman bersama syarikat rakaman Polygram Records ini sebetulnya album yang cukup sederhana dan mungkin tidak salah saya katakan agak bosan penghasilan lagu-lagunya.

Hal-hal ini jelas dalam beberapa lagu seperti “Resah” dan “Mengapa Harus Membenciku” yang melodinya tiada hook untuk kita sebagai pendengar fokus sehingga ke hujungnya. Tidak salah juga disebut sekadar filler untuk melengkapkan sebuah album.

“Cemburu” (Razman / Azam Dungun) mungkin antara lagu yang interesting di album ini. Feel blues dalam melodi yang disusun baik ini setidaknya menyatu baik dengan penyampaian sederhana Erra Fazira.

Lagu ini ada sesuatu yang menarik untuk didengar dan saya kira ia menyuntik semangat berbeza di album ini berbanding lagu lainnya yang buat saya mengantuk mendengarnya.

Album ini saya kira benar-benar bergantung pada penghasilan melodi malar segar “Yang Terindah Hanya Sementara” sahaja. Jika tidak ia sekadar sebuah album yang hanya akan dilupakan sahaja.

Erra Fazira saya kira menemukan aliran muziknya ketika dia mengedarkan “2.5 Sayang” yang hadir dengan hits “Pertemuan”, “Gemilang” dan “Terpaksa Melangkah” yang lebih terhasil lebih komersil untuk pasaran radio khususnya ketika itu.

Namun tanpa menolak pentingnya album “Aku Dan Dia” ini, saya kira ini adalah pengenalan terbaik seorang Erra Fazira dalam bidang seni suara. Biarpum kehadirannya sebagai penyanyi itu tidaklah terlalu diangkat kerana tidak handal dalam mengalunkan nada tinggi namun originality yang dia miliki tidak ada yang mampu menyamai.

Erra setelah fasa Polygram meneruskan aliran muzik Pop nya yang cukup tersendiri. Bersama syarikat rakaman Sony Music dia telah menghasilkan album yang cukup baik seperti “Kini” (1999) dan “Sampai Bertemu” (2002).


ARTIKEL BERKAITAN

Sarimah – From Screen to Pop Sensation, Sebuah Perspektif Pop One Hit Wonder

 

 

 

#PerspektifMuzik, Highlight,

Mendekat, Melihat & Menikmati 19 Tahun Usia Bermuzik Maliq & d’Essentials!

May be an illustration of ‎2 people and ‎text that says '‎HAPPY 19TH ANNIVERSARY MALIQ & D'ESSENTIALS 98H4 نipm‎'‎‎

Maliq & d’Essentials menjadi antara alasan mengapa saya terus mahu menikmati muzik Indonesia ketika usainya fasa Ruth Sahanya, Dewa 19 dan Sheila on 7 yang selepas itu dibanjiri band Pop cinta seperti Ungu, Seventeen, D’Massive yang kurang menarik minat saya.

Dengan debut berjudul “1st” yang beredar pada tahun 2005 menampilkan hits malar segar “Untitled” , “Terdiam” dan “Kangen” meledakkan nama mereka sebagai R&B Jazz band yang menyatukan feel Indonesia di lagu-lagu mereka.

Bagi rata-rata yang berada di Malaysia saya pasti “Sampai Kapan” kolaborasi bersama Camelia memperkenalkan nama Maliq & d’Essentials di sini. Single yang cukup sensual membuai rasa itu sehingga hari ini menjadi lagu terbaik mereka sepanjang bermuzik.

“1st” memertaruhkan Urban Pop yang disaduri R&B, Jazz, Funk dan Soul yang disatukan dalam ramuan rasa yang cukup kuat jiwa Indonesianya. Hal ini sangat boleh didengari dalam lagu seperti “Terdiam”, “Harus Bagaimana”dan “Berlayar”.

Menerusi album kedua mereka, “Free Your Mind” (2007) kugiran ini meneruskan ilham yang ada di album perdana tetapi dengan meletakkan lebih groove, lebih funk dalam sebuah adrenalin berbeza.

Muzik mereka melengkapkan jiwa-jiwa yang dahagakan sesuatu yang segar

Lagu-lagu seperti “Free Your Mind”, “Funk Flow” dan “Heaven” memperlihatkan keyakinan mereka untuk terus bereksperimen dengan muzik mereka. Dan sekali lagi tanpa gagal, album ini menampilkan sebuah lagi masterpeiece berjudul “Dia” yang sehingga hari ini sudah distrim lebih 11 Juta kali di Spotify.

Dan kejayaan formula dua album awal ini diteruskan di album “Mata, Hati, Telinga” (2009) dan “The Beginning of a Beautiful Life” (2010) yang sekali lagi tanpa gaga membuat kita sebagai pendengar menikmati satu pengalaman muzik yang cukup menarik sekali.

Arah muzik Maliq & d’Essentials terarah ke satu fasa berbeza ketika mereka mengedarkan “Sriwedari” pada tahun 2013. Di saat ini sebagai pendengar saya benar-benar diduga dengan sound baru kugiran ini yang bereksperimen dengan nuansa swingingg 60’s dan plucking gitar The Beatles menerusi lagu “Setapak Sriwedari” sehingga pengaruh dangdut “Drama Romantika”.

Album ini antara yang lama saya hadami muziknya. Arah yang berbeza dalam muzik kugiran ini sebetulnya cukup menuntut kesabaran sebagai pendengar yang sudah biasa dengan alunan “Dia” atau “Untitled” dan vintage santai “Menari”.

Namun setelah berjaya mencari cara terbaik menikmati album ini  yang saya mulakan dengan catchy melodi “Drama Romantika” diikuti “Dunia Sekitar” juga “Setapak Sriwedari” barulah roh sebenar “Sriwedari” menyatu dengan pendengaran saya.

Majlis pelancaran Album Senandung Senandika (2017)

Dan tidak berhenti di situ, mereka terus mencabar pendengaran saya dengan album “Musik Pop” (2014) dan “Senandung Senandika” yang menyatukan elemen muzik Maliq itu sendiri dengan pengaruh City Pop dan Synth yang cukup kuat sekali.

Kali ini mereka hadir dengan lebih berat isi muziknya untuk dinikmati dan tidak salah jika saya sehingga hari ini “Senandung Senandika” adalah album paling berat untuk dinikmati pendengar Pop seperti saya.

Lagu-lagu yang terisi di album ini agak sukar menemukan titik mesra pendengaran dengan eksperimentasi instrumen muzik yang bermacam-macam. Di pembuka album ini sahaja sudah mencabar saya dengan opening oriental “Sayap” yang kemudian menyatu dengan Synth Pop.

Saya sempat meninggalkan ke tepi album ini kerana agak sukar untuk pendengaran saya hadam isi muzik yang terisi di album tersebut namun saya faham sebagai pemuzik kugiran ini sudah tentu mahu evolve dengan sound baru yang meninggikan intelektual muzik mereka tanpa mahu berkompromi lagi menghasilkan apa yang sudah mereka tawarkan sebelum ini.

Sepanjang 19 tahun mereka bermuzik saya secara peribadi sudah menonton 3 kali persembahan Live mereka. Dua kali di Jakarta (Red White Jazz & Java Jazz) dan sekali ketika mereka melakukan persembahan di Life Centre Kuala Lumpur.

Tidak ada satu persembahan pun yang saya kira tidak menghiburkan. Setiap satunya memberi pengalaman berbeza buat saya sebagai penggemar muzik Maliq & d’Essentials yang sentiasa penuh dengan kejutan juga keterujaan baru setiap kali keluar dengan single, album mahupun persembahan live.

Namun yang akan pasti sentiasa saya ingat pasti di pentas Red White Jazz, Kemang yang cukup intimate sekali. Sempat saya bertemu mereka selepas show dan sejak daripada itu say amengumpul semua CD Maliq & d’Essentials yang tersempat baik dalam simpanan.

sesi rakaman album di abbey road studios

“Raya” yang beredar awal tahun ini di platform muzik digital merupakan sebuah rangkuman muzik yang menyatukan dua fasa karier mereka di tiga album pertama (1st, Free Your Mind, Mata Hati Jiwa & The Beginning)  dan tiga album studio terakhir (Sriwedari, Musik Pop & Senandung Senandika).

Kugiran ini menemukan satu formula lengkap mengadun dua fasa ini dalam sebuah persembahan album yang menyantuni skop estetika dan komersilnya dalam sebuah pengalaman menikmati muzik Maliq & d’Essentials dengan cara paling mudah dan menyenangkan.

Dan secara peribadi saya meletakkan “Raya” sebagai album terbaik mereka sepanjang bermuzik dalam usia 19 tahun di tahun ini. Groove, soul dan feels yang dirasai secukupnya.

Selamat ulang tahun bermuzik buat Maliq & d’Essentials. Terima kasih untuk 19 tahun yang bercampur baur rasa menikmati muzik yang terkadang membuai, memberi kesenangan hati, membuat saya menari dan juga terima kasih untuk lagu-lagu yang merumit deria dengar saya. More music in future pastinya.


ARTIKEL BERKAITAN

Maliq & d’Essentials Merayakan Kembara Bermuzik Dengan Penghasilan Album Ke-8

 

#PerspektifMuzik, #RetrospektifMuzik, Highlight,

Humanisme Hattan Dalam Sebuah Album Tribute “Palestin”

Album: Palestin (2002)
Artis: Hattan
Produser: M.Nasir / Hattan

Peranan muzik dalam menyuarakan sebuah lontaran idea dan suara wakilan masyarakat dalam sesebuah isu yang serius menjadi intipati besar dalam kembara muzik nama-nama besar seperti M.Nasir, Hattan, Raihan, Faizal Tahir dan beberapa pemuzik yang tidak hanya bermuzik sebagai wacana hiburan.

Pengungkapan sebuah suara terhadap apa yang dilalui masyarakat Palestine diabadikan Hattan dalam sebuah album yang cukup istimewa berjudul “Palestin”. Beredar di tahun 2002 (Kira-kira 19 tahun sudah) Album ini menjadi sebuah pengisian suara wakil pemuzik yang mengambil serius isu konflik Palestine yang ditindas Israel.

Humanisme Hattan di album ini bergerak dalam melodi yang rata-ratanya dicipta M.Nasir dan Tam dengan lirik-lirik Loloq dan Bob Lokman. Terisi 10 lagu kesemuanya, album ini turut memuatkan rakaman awal “Suara Binasa” yang menjadi runut bunyi filem Selubung.

Album ini dibuka dengan “Cinta Rimba Peluru” (M.Nasir / Bob Lokman) yang hadir dengan feel Soul / Blues Hattan yang cukup membuai. Bait liriknya cukup indah dan puitis sekali, membaca bait-bait di lirik ini saja sudah mengundang kagum. “Berteman rindu di rimba peluru, Terbakar saljuku di jari bangsamu.”

“Perjuangan” (Tam / Bob) sebuah lagi lagu yang cukup menarik penulisan liriknya yang menyatu baik dengan melodi serta vokal Hattan –  “Jika Mampu bunuhlah aku pastikan bangkit semangat yang satu.”

Humanisme Hattan di album ini diteruskan dengan lagu-lagu seperti “Palestin Jangan Kau Menangis” (Tam / Loloq) dan “Perjalanan Ke Raudhah” (Hattan / Mael) yang saya sifatkan sebagai dua lagu terbaik di album ini.

Menerusi “Palestin Jangan Kau Menangis” Loloq menulis “Perang yang satu ini takkan berhenti selahi Masji Al-Aqsa berdiri.”

Melodinya terhasil dalam jiwa Hattan yang cukup deep sekali. Penyampaian Hattan bagi saya cukup memaknakan rasa dalam cerita yang ditulis dalam lirik lagu tang terhasil. Menghayati album ini saya kira istimewa kerana vokal Hattan itu sendiri.

Saya kira Hattan sudah menjalankan tanggungjwab sosialnya sebagai pemuzik dengan sebuah naskhah kemanusiaan ini. “Palestin” bergerak sebagai sebuah album yang cukup kemas produksi muziknya namun sangat kurang diperkatakan.

Semoga Hattan dapat merilis kembali album yang cukup istimewa ini sebagai sebuah kelangsungan muzik dalam suara kemanusiaan yang harus diperdengarkan sepanjang masa kerana saya tidak pasti jika ada label hari ini yang mahu melabur untuk sebuah projek berjiwa besar begini.

Tracklist

1 Cinta Rimba Peluru

Composed By – M. Nasir
Lyrics By – Bob Lokman
4:33
2 Kembalikanlah

Composed By – M. Nasir
Lyrics By – Loloq
4:25
3 Palestin Jangan Kau Menangis

Composed By – Tam Spider
Lyrics By – Loloq
5:08
4 Ratib Damai

Composed By – Nafie Spider
Lyrics By – Loloq
6:08
5 Taman Kami

Composed By – M. Nasir
Lyrics By – Seth (71)
6:42
6 Di Lutut Mama

Composed By – M. Nasir
Lyrics By – Loloq
3:25
7 Nablus

Composed By – M. Nasir
Lyrics By – Seth (71)
5:03
8 Perjuangan

Composed By – Tam Spider
Lyrics By – Bob Lokman
5:13
9 Perjalanan Ke Raudhah

Composed By – Hattan
Lyrics By – Mael (12)
4:51
10 Suara Binasa

Composed By – Shah Shariff
Lyrics By – Suhaimi Baba
5:49

ARTIKEL BERKAITAN

Datuk M.Daud Kilau Sebuah Satira Pop Cult Melayu Dalam Pelayaran Yang Ternokhtahkan