
Bling, color and fringe! He never go less. Itulah M.Daud Kilau yang kita kenal
Datuk M.Daud Kilau berdiri sebagai seorang seniman muzik yang cukup sinonim dengan rangkaian lagu Pop Melayu Asli dan Dangdut. Cerita rakyat dalam rangkaian lagu popularnya dekat dengan latar masyarakat lewat 60-an melewati pasaran muzik sehingga era 2000.
Namanya seperti yang sedia maklum cukup diingati dalam rangkaian lagu seperti “Cek Mek Molek” dan “Gila Judi” yang menjadi anthem Pop sepanjang dia berkarier. Lebih 20 album terhasil, M.Daud Kilau bergerak cukup ikonik dan tersendiri tanpa dibayangi mana-mana Penyanyi lainnya.
Memulakan karier bermuzik usai mengungguli “Bintang Radio Singapura” pada tahun 1968, nama M.Daud Kilau menuti bibir penggemar muzik tempatan ketika itu setelah nyanyiannya menerusi lagu “Musalmah Manis” di pentas akhir pertandingan tersebut mencuri hati juri-juri.
Kalau kencanduan judi, akhirnya setengah mati, akibat judi! – Gila Judi
Setelah itu, M.Daud Kilau bergerak sebagai seorang figura Pop Melayu Asli yang cukup handal dalam mengalunkan lagu-lagu dalam Langgam berbeza yang menyatukan Melayu Asli itu sendiri dengan pengaruh Dangdut juga Hindi.
Menerusi album perdananya “Anak Yang Pertama” yang beredar pada tahun 1972, M.Daud Kilau menerbitkan sendiri album tersebut bersama iringan orkestra Sewindu di basah pimpinan Ahmad Desilah dengang rangkaian lagu seperti “Rasul Pilihan”, “Joget Berpantun” dan “Ratapan Si Anak Tiri”.
Kredibilitinya dalam menyampaikan lagu-lagu Melayu Asli diteruskan dalam beberapa album Selepas itu. “Cek Mek Molek” yang beredar pada tahun 1979 membawa arah muzik M.Daud Kilau ke arah Dangdut Melayu dengan penulisan lirik latar masyarakat setempat ketika itu.
Kisah-kisah pengantin, anak tiri, judi, hutang sehingga cerita anak derhaka dan mak nyah menjadi pengisian dalam lagu-lagunya. Sekali gus menjadi wakil suara kritikan sosio-masyarakat ketika itu. Hal-hal ini saya kira bergerak pada sekitar apa yang terjadi dalam keseharian hidup masyarakat Melayu ketika itu khususnya.
Ketelitian M.Daud Kilau dalam sebuah cerita panjang masyarakat Melayu yang tidak dimamah modenisasi menjadi fokus dalam penulisan lirik-liriknya. Tiada cerita tentang angan-angan go western atau cerita disko muda-mudi, yang terisi hanya teks cerita yang berasas realiti manusia sekitarnya.
Lagu “Datok Temenggong” antara lagu yang cukup ikonik tentang santun orang Melayu itu sendiri dalam menghormati ibu bapa, institusi Istana sehingga cerita menjaga maruah bangsa, agama juga negara. “Tekun belajar setiap hari, Jangan kau malas nanti kau rugi, Tiang agama engkau tuntuti, Supaya senang di akhir nanti”.

sebahagian diskografi penting datuk m.daud kilau
Kaum wanita sekarang apabila berdandan, sungguh sangat merangsang. – Wanita Sekarang
Nama M.Daud Kilau dalam pasaran muzik tempatan tidak hanya diingati kerana muziknya tetapi tentu saja imej flamboyant yang dikendong figura ini cukup ikonik sekali. Pancawarna imej seorang superstar yang cukup solid, tampil yakin dan yang pasti tidak dibayangi mana-mana rakan artis seusianya ketika itu.
M.Daud Kilau saya kira sudah memberi satu warna menarik dalam pasaran muzik tempatan. Saya tidak pasti mengapa kembara muziknya amat jarang diperkatakan dan sangat kurang diraikan dengan serius. “Cek Mek Molek” itu sendiri hype nya hanya begitu diraikan setelah Zahid AF menyanyikan ketika di pentas Akademi Fantasia 2 pada tahun 2004.
Syura bersama FMC juga pernah melahirkan album duet yang juga menjadi album studio terakhir legenda ini sehingga hari ini. Selain sebuah single bersama Ezlynn (Pening). Namanya setelah itu semakin dikenali generasi baru yang kurang familiar atau tidak begitu pernah mengambil peduli akan kisah Biduan ini.
Dan masih ingat kemunculan istimewanya di filem Man Laksa? Cukup ikonik dan sangat diingati momen itu. Mendengarkan kembali katalog muzik M.Daud Kilau yang kini boleh didengarkan di saluran YouTube “Getaran Nostalgia” membuat saya seronok, teruja. It hits differently mendengarnya hari ini, yang dulu saya pandang sepi sahaja.
Menonton persembahan live yang tersisa di YouTube membuat saya fikir dia seorang penghibur sejati. Persembahannya tidak hanya pada suara dan geleknya. Tidak ada satu show yang dia hanya menyarung sepersalinan pakaian. Sehelai demi sehelai dibuka mengundang jeritan penonton.
Yang paling menarik ditonton adalah persembahan bersama Orkestra RTM menerusi Konsert Dangdut ORT 2013, energi yang dia berikan on stage itu luar biasa tenaganya. Dia sangat enjoy dan berhabis di pentas membuat persembahan hanya untuk menghiburkan peminatnya.
Datuk M.Daud Kilau hari ini sudah tidak lagi mampu untuk memnghiburkan kita kerana sakit yang dialami. Keberadaan dan sumbangannya saya kira harus terus dihargai dan diraikan. Saya amat berharap sebuah apresiasi muzik buat legenda ini dihasilkan dengan satu semangat muzik baru yang current kerana lagu-lagunya cukup fun untuk kita explore dan kembangkan menjadi naskhah dengan sound baru.
Projek indiepretasi yang dahulu pernah dilaksanakan Laguna Records bagi apresiasi P.Ramlee jika masih boleh diteruskan saya amat berharap dapat mengembalikan kegemilangan M.Daud Kilau selagi hayatnya masih ada ini. No Good, Sang Rawi, Pitahati, Margasatwa, Ramayan dan Yuna antara yang menarik.
Saya menyeru, mana-mana syarikat rakaman laburlah sedikit wang untuk penghargaan muzik yang sudah dia sumbangkan selagi dia masih bernafas. Buatlah Biduan ini kembali tersenyum dan lapang selagi hayatnya ada. Agar andai kata dia pergi nanti, hatinya senang kerana dia tahu dia sudah buat sesuatu yang cukup besar buat kita semua.
He is definitely the og of Malay Pop Cult!
ARTIKEL BERKAITAN