#PerspektifMuzik, Highlight, Terkini,

Pertembungan Metal & Kerudung Voice of Baceprot

Untuk melihat bakat muzik wanita menyelusuri jaluran muzik Metal itu sahaja sudah terlalu sukar, apa lagi untuk melihat sekawan wanita berkerudung dengan imej Pop membawa lagu-lagu Metal. Hal ini ada pada Voice of Baceprot, sebuah band yang terdiri daripada tiga wanita berhijab – Marsya (gitar/vokal), Sitti (drum), dan Widi (bass).

Bergerak sebagai sebuah band sejak lebih 8 tahun lalu, kelibat mereka di pasaran muzik mainstream mungkin masih kabur. Pertama sudah tentu kerana muzik mereka itu bukanlah dominan di barisan muzik semasa dan kedua pastinya imej bertudung dan membawakan muzik Metal itu hal yang mungkin sukar diterima terbuka.

Namun atas nama muzik mereka tidak membatas diri untuk terus melakukan apa yang mereka percaya. Metal dipilih bukan kerana mahu tampil berbeza dengan imej begitu tetapi Metal itu sudah menjadi jiwa dan keinginan besar mereka untuk hidup dalam muzik.

The more we tried to avoid the criticism, distance ourselves from it, it became even more vile. It provoked us to fight back even more bluntly. It kept going to the point where we became so tired,”

Muncul di arus perdana pertama kali menerusi single “School of Revolution” pada tahun 2018, Voice of Baceprot atau VOB menerima pandangan bercampur baur. Ramai menganggap apa yang mereka lakukan itu taboo dan menyesatkan namun tidak kurang juga pengamal muzik yang membuka mata dengan bakat tiga sekawan ini.

Tanpa mahu terus terikat dengan pandangan orang luar, mereka terus bermuzik. Tahun lalu mengedarkan sebuah mini album rakaman langsung berjudul “The Other Side of Metalism” berisi lima lagu yang jika anda tidak terbuka dengan muzik mungkin anda akan skip sahaja.

Saya sebetulnya sangat enjoy menikmati muzik mereka menerusi album rakaman live tersebut. Kredibiliti dan kesungguhan bermuzik tiga anak muda ini jelas. Keinginan mereka untuk membuktikan bahawa mereka serius bermuzik itu boleh didengar menerusi album tersebut. “I Wear My Skin” sebuah lagi suara keras mereka memberi pesan buat orang di luar sana untuk tidak menjadi judgemental“I wear my skin like it’s not a problem, Or is it a problem for you?”

Lagu-lagu mereka seperti “God, Allow Me (Please) To Play Music” bergerak sebagai wakil suara mereka untuk melakukan apa yang mereka mahu dan percaya. Bait lirik I’m not the criminal I’m not the enemy, I just wanna sing a song to show my soul.” sebuah jeritan jiwa mereka dalam ‘menghalalkan’ pertembungan Metal dan Kerudung.

Keberagaman bakat muzik Indonesia diraikan dengan cukup baik sekali. VOB hari ini diterima lebih baik dan meluas pastinya dengan keterbukaan pendengar yang lebih matang berbanding ketika awal mereka mula melibatkan diri dalam bidang nyanyian lapan tahun sudah.

Terkini mereka hadir dengan single terbaru “[NOT] Public Property” yang sekali lagi menjual muzik keras mereka dalam lirk “Because, our body is not public property We have no place for the dirty mind.” 

Hampir kesemua lagu-lagu VOB berarah pada cerita-cerita memperkasakan wanita dan meraikan kepelbagaian yang ada sesama manusia. Dalam keras muzik Metal mereka itu sebetulnya yang mahu diperjuangkan tetap adalah kesaksamaan tidak kira dalam muzik dan kehidupan secara menyeluruh.

Saya pasti VOB yang hari ini sudah semakin yakin dengan muzik yang mereka bawa. Perlahan-lahan yang tidak pernah mendengar akan ke YouTube melihat mereka dan yang belum pernah peduli akan beralih perhatian. Jika anda masih belum pernah mendengar VOB ini masanya untuk melihat jika anda benar-benar terbuka dalam menikmati muzik.


ARTIKEL BERKAITAN

Standard Pop Dayang Nurfaizah & Amir Masdi Ditinggikan Menerusi “Debu”

#RetrospektifMuzik, Terkini,

Shasha Sebagai Jelmaan Fauziah Latiff Yang Menyinggah Sekali

Menyebut nama Shasha saya tidak pasti berapa ramai yang mengenali sosok one hit wonder yang dikenali dengan single ciptaan Adam Ahmad berjudul “Sehelai Daun Setitis Embun”. Pasaran muzik ketika awal 90-an membawakan syarikat rakaman Happy Records memperkenalkan Shasha di pasaran muzik tempatan setelah kejayaan luar biasa Fauziah Latiff ketika itu.

Maka di bawah kendalian Adnan Abu Hassan ketika itu mereka melahirkan seorang lagi bakat nyanyian yang datang dengan idea dan pakej serupa seperti apa yang memberi kejayaan buat Fauziah Latiff sebelum ini.

Shasha ketika mengedarkan album ini hanya berusi 16 tahun. Masih hijau dan panjang jalannya jika diteruskan serius untuk bergerak sebagai penyanyi Pop yang berjaya ketika itu. Maka dengan terhasilnya album perdana yang diterbitkan sepenuhnya Adnan Abu Hassan ini menjadi percaturan buatnya untuk kekal di medan seni atau sebaliknya.

“Sehelai Daun Setitis Embun” ketika beredar cukup mendapat sambutan sebetulnya. Single ini kerap bermain di ruang radio dan perlahan-lahan namanya disebut-sebut sebagai pesaing terdekat Fauziah Latiff ketika itu.

Lagu-lagu Balada di album ini seperti “Ke Titik Akhir” antara yang cukup serupa dengan apa yang sering dipersembahkan Jee dalam rangkaian lagu-lagu Baladanya. Terhasil dalam signature muzik Adnan Abu Hassan maka tidak pelik jika ramai menganggap Shasha adalah jelmaan Jee ketika itu.

Namun lagu-lagu di album ini masih terhasil baik. Melodius, mendayu dan membuai antara yang cukup syahdu dalam mengikut template Balada 90-an adalah lagu “Kau Tercipta Untukku” yang jika dihayati vokal Shasha ternyata merdu dan membuai.

Perjalanan bermuzik Shasha selepas album ini diedarkan terhenti. Kelibatnya di pasaran komersil tidak lagi kelihatan dan album kedua yang khabarnya sudah siap dirakam sehingga proses pembikinan kulit album tidak diedarkan selepas Adnan Abu Hassan memtuskan untuk ke Suria Records selepas itu.

Happy Records pula kemudian diambil alih label antarabangsa EMI menghentikan terus langkah Shasha dalam pasaran muzik tempatan ketika itu. Album keduanya itu berkubur dan kebanyakan lagu-lagu ciptaan Adnan Abu Hassan di album itu diberikan kepada banyak penyanyi baru di Suria Records ketika itu seperti Liza Hanim dan Anis Suraya yang rata-ratanya menjadi hits utama mereka.

“Sehelai Daun Setitis Embun” menjadi satu-satunya album buatnya dikenali di pasaran muzik tempatan itu pun bukanlah secara begitu menyeluruh. Shasha setelah itu bergerak sebagai penyanyi kelab bermain bersama live band namun itu pun hanya seketika sebelum mendirikan rumah tangga dan beralih fokusnya.

Kesemua lagu-lagu di album perdana Shasha boleh dinikmati di saluran YouTube “Getaran Nostalgia”


ARTIKEL BERKAITAN 

Pesona Dangdut & Pop Melayu Zaleha Hamid

Highlight, Review, Terkini,

Mendekati Danilla Menerusi “Pop Seblay” Sebagai Naskhah Paling Komersil Sepanjang Kariernya

Saya jarang sangat boleh melewati album Danilla secara terus dan penuh. Seringnya gagal di pertengahan, mungkin terlalu berat untuk pendengar Pop seperti saya bertahan sehingga ke hujung. Namun untuk melayani “Terpaut Oleh Waktu” sekali sekala untuk melayang dengan ruang rasa muziknya itu satu pengalaman yang menarik untuk dinikmati.

Pautan Jazz dalam nada-nada yang ditulis dalam persembahan melodi keseluruhan lagu-lagu Danilla membuat dia antara penyanyi yang khusus sifatnya. Antara anda suka atau tidak itu hal subjektif namun untuk menidakkan dia hebat dalam penghasilan muzik itu sesuatu yang mustahil.

Album ketiga Danilla berjudul “Pop Seblay” beredar dengan rasa berbeza. Saya melewati album ini dengan sangat senang sekali. Muziknya lebih mudah meresap, mewujudkan sesuatu yang cukup komersial sekali penghasilannya.

Jazz, Synth dan Bossa di album ini menyatu cukup baik sekali. Melodi Danilla lebih catchy dan memikat. Hal-hal ini saya dapat seawal “Pop Seblay” dibuka dengan lagu “kudikan” dan “MPV” yang lebih mesra pendengaran. Danilla membuka “MPV” dengan sangat memikat sekali – bait monolog “Halo, assalamu ‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh, Saya Danilla Riyadi, Umur saya tergantung kalian dengar ini di tahun berapa.” Memberikan sisi witty Danilla yang tidak pernah kita dengar sebelum ini.

Hal ini diteruskan dalam lagu “Berat Badan” dengan sound synth ala permainan video yang membuka intro lagu ini sebelum menjadi begitu Jazz sekali transisinya. “Katanya lebih cantik tanpa dagu dua, Katanya lebih menarik yang tak ringan.” Isu-isu dalam penulisan liriknya semakin menyenangkan, fun dan relatable dengan banyak orang. Ini antara personal favorit saya di album ini.

Danilla menjadi lebih fun di track “KIW”. Terhasil dalam penulisan lirik yang sangat witty dan menghiburkan sekali dalam kemasan muzik yang cukup sophisticated. Jadi teringat malam itu, aku “kiw-kiw” saja”. Sebelum disambungAku maunya itu kamu, apa kamu mau juga?”. Dia turut mengundang Teddy Adhitya menerusi “Fel d 1” sebuah track soulfull yang menyatukan dua jiwa dalam sebuah naskhah muzik yang mengkhayalkan.

Mendengarkan album ini saya tidak pernah menyangka Danilla memiliki sisi begini. Sifat muziknya masih Danilla tetapi ramuannya itu diadun dalam cerita-cerita yang lebih fun, muda dan cukup menghiburkan. Dia menjadi sensual di lagu “Di Mana” dengan pengaruh muzik yang sangat mengingatkan saya pada komposisi dan produksi muzik Sade.

Menerusi “Pop Seblay” Danilla membuat saya semakin senang dengan muziknya. Banyak lagu yang saya ulang dengar dan kali ini saya mampu menghasbiskan keseluruhan album dengan hati yang senang dan terbuka sekali. A very rare yet beautiful album.

8.9/10


ARTIKEL BERKAITAN

S/EEK Mengembalikan Ermy Kullit Lewat Single “Melodi Asmara”

Highlight, Review, Terkini,

Senandung Pop Tulus Dalam Sepuluh Kisah-Kisah Manusiawi

Susah untuk saya menolak Tulus biar sekritikal mana sekali pun saya menilai muziknya. Semakin jauh dan dalam saya mencari silap dan kurangnya semakin dia membuat saya terus jatuh cinta dengan lagu-lagunya.

Hal ini yang saya rasakan sepanjang melewati album terbarunya “Manusia”. Sebuah persembahan Pop terbaru Tulus dalam 10 lagu keseluruhan yang ceritanya semakin dekat dengan jiwa-jiwa kecil yang tersisih tetapi diadaptasi dalam penulisan liriknya yang begitu humanis sekali.

Setelah merilis “Ingkar” dan “Tujuh Belas” sebagai pengenalan perjalanan album “Manusia”, Tulus menzahirkan lapan lagi lagu yang terisi cerita-cerita yang terlalu indah sekali untuk dihayati. Kata-kata yang tertulis di setiap lagu terisi bahan fikir yang kadang menyentuh rasa dan jika jiwanya rapuh pasti akan ada air mata yang tertumpah dalam irama sederhana yang penuh magikal.

Hal-hal manusiawi ini mencuri perhatian saya berawal dengan “Kelana”. Tulus menulis tentang ketidakpastian kita sebagai manusia. Antara itu dan ini apa sebenarnya yang kita mahu itu satu urusan rasa yang kadang diri sendiri tidak pasti akan jawapannya. “Kita ke mana, Mau ke mana, Hendak mencari apa, Menumpuk untuk apa?” sebelum meneruskan bait mahal di lagu ini “Lihat langit di balik jendela bening yang jadi, Arena juang belasan jam tiap hariku.”

“Remedi” dibuka dengan horn session yang sangat melekakan. Terlalu cantik intro lagu ini sebelum diteruskan melodi sederhana Tulus yang biasa kita dengar. “Interaksi” hadir lebih menarik dari segi komposisi melodinya. Tulus sekali lagi tajam dengan penanya menulis lirk yang terhasil santai tetapi menjerit realiti. “Aku yang tak berkendali di oasis sendu.”

“Jika dia memang bisa untukku, sini – dekat dan dekatlah”

Tulis mewakili suara dan doa kebanyakan kita yang benar-benar ada di situasi yang dicipta. Dia bijak dalam menyusun sebuah cerita kecil yang sebetulnya mahu atau tidak semua orang akan mengalaminya. Pengharapan pada hal-hal yang tidak pasti. Dan semua itu diadaptasi Tulus dalam bahasa paling mudah untuk kita fahami dan merasuk.

Hal ini diteruskan lagi menerusi lagu “Jatuh Suka” yang sekali lagi menjerit realiti kisah suka pada seseorang kerana pesonanya – a story about having a crush. “Bila kau lihatku tanpa sengaja, Beginikah surga?, Bayangkan bila kau ajak bicara. dan diteruskan dalam rasa lebih dalam “Ini semua bukan salahmu, Punya magis perekat yang sekuat itu.”

Tulus menjadi lebih mellow dengan kisah melankolik “Nala” yang ditulis dengan melodi kesyahduan. Sekali lagi lirik Tulus menjadi killer di lagu ini. Cerita tentang pengharapan yang berhujung hampa gadis bernama Nala dalam mengejar pencarian cinta sejati.

Hal-hal dalam kisah yang ditulis Tulus ini begitu dekat dengan jiwa-jiwa anak muda pastinya. Bait “Dipilihnya baju terpantas dan bergaya, Tak sabarnya ingin segera malam tiba, Tujuh tepat pesan singkat diterimanya, Kabar dari yang ditunggu jadi tak bisa.” menjadi sebuah kisah singkat yang relateble sekali.

Dan penulisan Tulus menjadi lebih baik di lagu “Hati-Hati di Jalan” yang saya sifatkan sebagai lagu terbaiknya di album ini. Sebuah lagi kisah sedih tentang sebuah harapan yang tergendala. Tulus bijak dalam penghasilan cerita sedih tanpa perlu terlalu bergantung pada melodi yang terlalu mendayu-dayu. Sedihnya itu ditulis dalam lirik yang disulam melodi yang moden, dan Pop sekali.

Jika sekadar mendengar melodi lagu ini saya kira anda tidak dapat merasakan apa yang mahu disampaikan Tulus jadi dia membawa kita menikmati sebuah kisah sedih dalam sebuah landskap Pop yang cukup tersendiri. “Hati-Hati di Jalan” sebuah masterpiece ciptaan Tulus bersama Ari Renaldi yang cukup hebat sekali penghasilannya.

Mungkin jika ada satu lagu yang saya kurang gemar di album ini adalah “Diri” yang kedengaran terlalu biasa dan penulisan liriknya juga tidaklah terlalu menghantui. Album ini ditutup dengan “Satu Kali” yang menutup album sebagai sebuah kesimpulan “Manusia” itu sendiri. Sebuah melodi dengan pesan-pesan kehidupan Kecil hanya sekali, muda hanya sekali, tua hanya sekali, hiduplah kini.” 

Tulus sepeti apa yang saya tulis di awal tadi gagal buat saya menjadi terlalu kritis dengannya. Setiap lagu terisi di album ini direncana dengan cukup baik sekali pengisiannya. Lagu-lagu terhasil sederhana dengan kuasa pena liriknya yang cukup berperasaa. Dan atas kesederhanaan itulah membuatkan Tulus seorang figura muzik yang cukup istimewa.

“Kau melanjutkan perjalananmu, Ku melanjutkan perjalananku”

10/10


ARTIKEL BERKAITAN

Adrian Khalif Membuat Kita Tersenyum Dengan Kelahiran Single “I’m So Pretty”

#PerspektifMuzik, #RetrospektifMuzik,

7 Pop Tersyahdu Alleycats Sepanjang Zaman

Alleycats dalam pasaran muzik tempatan sudah bergerak sebagai sebuah band legenda yang akan sentiasa didengarkan lagu-lagu mereka biar berganti generasi. Daripada persembahan Pop “Sampaikan Salam Cintaku” sehingga Balada “Sekuntum Mawar Merah” semuanya sudah tertulis dalam sejarah lagu-lagu Pop tempatan yang hebat sepanjang zaman.

Menyemak kembali katalog muzik mereka, Muzik Kita menyenaraikan sepuluh lagu Balada paling syahdu yang pernah mereka rakamkan. Dengarkan kesemua audio rasmi rangkaian  lagu-lagu Alleycats di saluran YouTube “Getaran Nostalgia”.

LAYANG-LAYANG TERPUTUS TALINYA (M.Nasir)
Melodi emas M.Nasir ini antara yang cukup membuai perasaan. Seawal bait “Berarak mendung kelabu…” ia sudah membawa kita larut dalam kesyahduan feel tersendiri David Aramugam dalam alunan nyanyiannya.

SERIBU BINTANG (M.Nasir / Eric Yeo)
Dicipta oleh Eric Yeo dengan tulisan lirik M.Nasir, “Seribu Bintang” mula diedarkan pada tahun 1981 menerusi album “Alleycats 4”. Menjadi hits utama album ini, “Seribu Bintang” sehingga hari ini menjadi antara naskhah yang paling tinggi jumlah strim mereka.

SENANDUNG SEMALAM (Wan Ibrahim / M.Nasir)
Sebuah lagi lagu dengan lirik yang cukup membuai sekali. “Kini tinggal kenangan belaka, Di taburan bunga pusaramu.” M.Nasir sekali lagi menerusi penanya mencipta magis dalam melodi Wan Ibrahim yang cukup kuat pengaruh Balada 80-an yang dikemaskan dengan rakaman live string yang melatari keseluruhan lagu ini dengan sangat baik sekali.

SEKUNTUM MAWAR MERAH SEBUAH PUISI (M.Nasir / S.Amin Sahab)
Puitis lirik S.Amin Sahab dalam sebuah naskhah malar segar. Pemilihan kata-kata yang disusun cukup kemas dalam cerita cinta sedih mengundang sayu. Lagu in dibaluti melodi emas M.Nasir dan vokal David yang mengalirkan ceritanya. “Tapi mengapa cinta yang menyala padam tiba-tiba?”

KERANA (M.Nasir)
Meneruskan kesyahduan dalam melewati perasaan pendengar muzik di era 80-an, Alleycats sekali lagi bersama M.Nasir menghasilkan sebuah lagi Balada berjudul “Kerana”. Struktur muzik di lagu ini mengikut template komposisi muzik M.Nasir yang biasa kita dengar – membuai dalam jalinan cerita sedihnya “Kau puja bulan yang mengambang, Kau pinta bunga yang di taman larangan.”

GERIMIS SENJA (M.Nasir / Alleycats)
Korus lagu ini antara yang paling menarik untuk dihayati. Persembahan keseluruhan lagu ini tidak terlalu mendayu tetapi masih berarah cerita cinta yang sedih. Ini antara all time favorite saya yang pasti akan ada dalam playlist.

HATIKU KAU LUKA (Samuel Tan /Othman Mohamad Noor)
“Mengapa tak kau katakan dulu, Dirimu sudah berteman?” Bait pembuka ini sahaja sudah mengundang sedih. Kisah hati yang luka dalam persembahan Balada terbaik Alleycats bagi saya. Lagu ini antara yang paling banyak saya putarkan. Feel nya berbeza dengan apa yang sering dihasilkan M.Nasir pastinya namun masih cukup sedap dihayati.

ARTIKEL BERKAITAN

Persembahan Ratu Balada Fauziah Latiff Dalam 10 Alunan Sentimental Terbaiknya

#BetariSeni, Highlight, Terkini,

Mengenang Sarah Raissuddin: Sebutir Bintang Harapan Dalam Naik Turun Kembara Sebagai Betari Seni

Berawal usia 8 tahun, Siti Sarah binti Raissuddin buat pertama kalinya menyanyi di khalayak, ketika itu dia mengalunkan “Flora Cinta” yang asal dipersembahkan Min Malik.

Menjadi penyanyi di era 90-an itu harus benar-benar hadir dengan kebolehan menyanyi yang sangat baik. Kerana apa? Kerana mereka yang lahir di era itu semuanya hadir sebagai bintang yang diasah bakatnya menerusi pertandingan nyanyian. Pentas tersedia tidak membenarkan sesiapa pun menyanyi dengan bantuan auto-tune yang pastinya.

Sarah satu daripada bakat muzik tempatan yang mengasah kebolehan menyanyinya di pentas pertandingan. Dikenali kerana menjadi finalis Bintang RTM, Sarah sebetulnya sudah ke pentas pertandingan nyanyian sebelum memasuki program anjuran Radio Televisyen Malaysia itu lagi.

“Bintang HAI!” yang dianjurkan oleh majalah hiburan HAI! ketika itu menjadi pertaruhan perdananya untuk mempertaruhkan kebolehan menyanyinya dalam sebuah pertandingan. Biar tewas di peringkat suku akhir, rezeki masih berpihak padanya setelah mendapat panggilan daripada pihak HAI! untuk diserapkan ke peringkat separuh akhir seterusnya menjadi Naib Juara di acara final.

Setelah itu iltizam untuk bergelar penyanyi ditanam beriring lebih lagi usaha. Kali ini dia melangkah lebih berani untuk acara pertandingan nyanyian yang lebih besar dan telah melahirkan bukan satu tetapi sebegitu banyak bintang Pop yang bersinar berganti generasi.

“Bintang RTM” membuka langkah Sarah lebih luas dan yakin untuk benar-benar menyerlah. Biar tewas di pentas akhir dengan pertaruhan lagu “Kembalilah Sayang” (Dayang Nurfaizah), Sarah menjadi pesaing yang cukup kuat buat Juaranya tahun itu, Azharina Azhar selain finalis lain Misha Omar dan Asmidar antaranya.

Namun begitu Bintang RTM bukanlah laluan buatnya bergelar penyanyi rakaman. Sarah kembali lagi ke pentas pertandingan “Bintang URTV” dan di sini sejarah bermula.

Kejuaraannya di pentas “Bintang URTV” membuka laluan buatnya mendapat beberapa tawaran bergelar recording artiste. Ajai yang ketika itu bersama Warner Music antara yang menawarkan kontrak rakaman buat Sarah. Namun, ketika tawaran Ajai tiba, Raissuddin Hamzah bapa juga pengurus Sarah ketika itu sudah memutus janji bersama NAR Records.

Lantas bersama NAR Records, Sarah menzahirkan 10 alunan paling merdunya untuk sebuah pengalaman merakamkan album penuh dengan barisan produser hebat. Bertuah sungguh dirinya, di saat pesaingnya seperti Azharina dan Misha Omar hanya bergantung pada satu produser, Sarah cemerlang dengan sebuah album pop menampilkan 11 Produser muzik ternama.

Dan saya kira pelaburan yang dibuat untuk menzahirkan sebuah debut buat seorang yang kalah dalam pertandingan nyanyian ketika itu ada satu langkah yang cukup berani. NAR cukup forward ketika itu untuk membentuk Sarah sebagai bintang R&B Pop dengan barisan lagu yang hadir dengan groove dan attitude tersendiri.

Keinginan Ajai untuk bekerjasama dengan Sarah tidak terhenti sekalipun dia gagal mendapatkan Sarah sebagai artis naungan Warner Music. Ajai insist untuk melibatkan diri dalam projek album Sarah.

Dengan kreativiti berkarya seorang Ajai, lahirlah hits malar segar “Kesetiaan” dan sebuah lagi lagu yang turut menjadi single iaitu “Ku Teruskan”.  Cukup solid dalam menonjolkan kebolehan serta keunikan Sarah dengan penyampaian serta feel yang tersendiri tanpa dibayangi mana-mana penyanyi ketika itu.

Berbaloinya pelaburan yang dibuat NAR Records pada masa itu tidak hanya sekadar memberikan barisan hits dan job buat Sarah tetapi turut memberi Sarah dan seluruh team kerja debut yang beredar pada tahun 2002 itu penghargaan tertinggi Anugerah Industri Muzik ke-10 pada tahun 2003. 

Berawal dengan kemenangan Artis Baru Terbaik yang menewaskan saingan terdekatnya Hazami dan Misha Omar, album berjudul “Sarah” itu mengungguli kategori Album Terbaik yang sekaligus memenangi kategori Album Pop Terbaik menghampakan beberapa album lain seperti Anuar Zain (Keabadian Cinta), Dayang Nurfaizah (Hembusan Asmara) dan Hazami menerusi album Tekad Redha Tabah.

Dan memenangi AIM in 2000’s is everything. Ia umpama satu pengesahan yang anda adalah penyanyi terbaik yang ada di pasaran ketika itu dan harus terus diraikan. There’s no room for mediocre.

Tidak terhenti di situ, Nama Sarah sekali bergema dengan sorak-sorakan cukup meriah saat dinobatkan sekali lagi sebagai Artis Baru Terbaik (Wanita) di majlis Anugerah Planet Muzik yang melumpuhkan impian pesaing dari Indonesia seperti Tere, Audi dan teman senegara Misha Omar.

Di pentas serupa dengan beriring petikan piano Ajai, Sarah muncul penuh pesona mengalun melodi “Kesetiaan” dengan penuh yakin dan mempesonakan di pentas yang sepatutnya menjadi medan terbaik menjual bakat Sarah di peringkat nusantara tetapi disia-siakan sebagai pesta anugerah satu malam sahaja.

Kembara muzik Sarah setelah itu berjalan cemerlang, untuk album keduanya mudah dinikmati dan disukai itu bukan hal yang merungsingkan pihak pengurusan pemasaran lagi. Dengan kejayaan beberapa single di album perdana dan kejayaan luar biasa di Anugerah Industri Muzik, Sarah menjadi bakat yang sentiasa dinantikan kemunculannya.

Maka terlahir sebuah lagi album yang bakal meneruskan kelangsungan popularitinya. “Mimi Pun Sama” menjadi pertaruhan yang sekali lagi menampilkan nama Ajai sebagai produser utama menerusi hits “Saat Hilang Cintamu”. Namun lagu itu saya kira bukanlah sesuatu yang cukup menguatkan nama Sarah di persada muzik tempatan.

Ada sebuah lagi lagu yang dibentuk cukup kuat sifat “Sarah” itu sendiri menerusi melodi tulisan Neves berjudul “Jangan Kau Mimpi” yang menyerlahkan segala attitude bermuzik dalam nyanyiannya. Sarah terlihat semakin yakin, semakin jelas dengan arah muziknya kali ini tanpa perlu terlalu bergantung pada lagu Balada sahaja.

Dan dengan terlahirnya single tersebut Sarah tidak lagi perlu bergantung pada “Kesetiaan” untuk menjadi lagu cari makannya. “Jangan Kau Mimpi” akan sentiasa membuat semua seronok setiap kali dipersembahkan di pentas live – baik show di shopping mall, pentas anugerah sehinggalah ke pentas korporat.

Bait “Aww, Aww, Aww” itu akan sentiasa bermain di ruang fikiran kita biar sudah lebih 2 dekad ia terhasil.

Keterbukaan pendengar ketika itu juga sangat membantu untuk Sarah hadir berbeza tanpa perlu bergantung pada naskhah Balada semata-mata. Ketika di pentas Sarah sentiasa siap dengan attitude berpentas yang sangat tersendiri, mengikat pandangan juga pendengaran kita untuk melekat menikmati persembahannya.

“Mimpi Pun Sama” menjadi bukti kematangan Sarah dalam bermuzik dengan rangkaian lagu-lagu yang sekali lagi mendapat sentuhan emas komposer on demand ketika itu nama-nama seperti Ajai, Aidit Alfian, Azlan Abu Hassan, Azmeer dan Helen Yap menerajui album tersebut sebagai kelangsungan debut “Kesetiaan” dengan cukup berjaya sekali mengukuhkan nama Sarah sebagai pelapis Pop tempatan.

membawa pulang trofi artis baru terbaik apm

Kembara muzik Sarah setelah itu bergerak sebagai percaturan yang pastinya. Hal serupa saya kira menjadi cabaran buat mana-mana penyanyi yang pabila dua album begitu booming dan diterima ramai, cabaran sebenar bermula di album ketiga. Adakah percaturan itu akan menjadi sebaik album sebelumnya atau merugikan?

Apa yang pastinya setelah kejayaan dikecap, mana-mana penyanyi sekalipun mengimpikan hak bersuara dalam penghasilan album berikutnya. Maka mereka akan bergerak lebih kreatif sebetulnya dengan rujukan-rujukan muzik luar yang kadang pabila diadaptasi ke pasaran tempatan percaturan itu tidak mengena.

Lihat sahaja bagaimana penyanyi sebelum Sarah seperti Liza Hanim dan Anis Suraya yang agak struggle untuk sustain dalam pasaran muzik selepas menzahirkan beberapa album. Formula serupa membuatkan pendengar semakin bosan dengan idea yang sama.

Maka dengan kelahiran “Tiada Dikau Tiada Makna” sebagai album ketiga yang hadir dengan visi Pop yang sedikit berbeza. Sarah semakin yakin dengan persembahan vokalnya yang nyata semakin baik dengan komposisi muzik yang lebih bergerak seiring kemampuan Sarah sebagai vokalis.

Lahirnya single “Menari Denganku” yang menampilkan reality tv sensation ketika itu, Zahid sebagai teman duet di lagu itu. Melodi ciptaan Neves itu cukup powerful saya kira dalam meneruskan kelangsungan populariti Sarah. Terhasil cukup bertenaga, catchy dan fun sekali.

Ternyata percaturan kali ini juga tidak gagal. Sarah terus memuncak dengan ambisi dan visinya memberi hiburan yang ada value tidak sekadar menghasilkan lagu bersifat angin lalu. Sebuah lagi lagu yang memberi tuah Sarah di album ini “Bersamamu” – Balada ciptaan Fendi bergerak sebagai kejutan manis.

Tidak terhenti di situ, Sarah berduet juga dengan soloist legendaris Jamal Abdillah menerusi “Sandarkan Pada Kenangan”. Diberi peluang berduet dengan penyanyi legenda sebesar Jamal sebetulnya membuka lebih banyak mata yang memandang serius pada bakatnya.

Album TDTM terisi lagu-lagu yang cukup kuat sebenarnya untuk memiliki hayat panjang bergerak sebagai sebuah killer album. Namun kerana harus sangat bersaing dengan kemunculan bakat-bakat realiti tv, banyak lagu di album mendapat laluan sukar untuk di pasarkan di radio khususnya ketika itu.

Malis Cinta (Azlan Abu Hassan), Kasih Ku Tunggu (Ajai), Tiada Dikau Tiada Makna, Cuma Permainan (Hazami) – antara naskhah yang tercipta solid untuk popular di ketika itu namun dek kerana perihal persaingan satu hal lain yang harus difikirkan, pemasaran album ini agak perlahan dan tidak agresif.

Rencana pada tahun serupa dalam sebuah temubual Sarah bersama majalah R.O.T.T.W menyebut dia turut bakal menzahirkan sebuah album pasaran Indonesia. Namun entah di mana silapnya, perancangan itu bagai angin lalu sahaja, kelibat Sarah ke Jakarta juga tidak terarah.

Konflik dalaman syarikat rakaman membuatkan langkah Sarah untuk terus bermuzik terhenti. Namanya mula buram sekitar tahun 2006 sehingga 2007 yang sebetulnya hampir sudah mahu dilupakan sebelum dia tekad untuk kembali bergerak secara sendiri dan kembali ke pentas pertandingan pada tahun 2007.

Menerusi musim kedua program “One In A Million” Sarah menyusun kembali langkahnya. Seperti memulai kembali apa yang pernah dia lalui dahulu, Sarah tidak sedikit merasa ia satu bebanan tetapi melangkah dengan lebih keyakinan dan kematangan. The brand new Sarah.

Masih dengan attitude dan groove kala beraksi di pentas bermuzik, Sarah mengembalikan segala keyakinan yang sudah kita sebagai pendengar tanam dahulu saat di mula bersinar dalam lapangan muzik tempatan. Suaranya semakin baik, penampilan dan persembahan saban minggu di pentas OIAM semakin disenangi.

Namun kali ini rezeki tidak berpihak padanya. Sarah tewas sebelum sempat ke pentas final dan sekali gus tewas dengan seorang bakat baru yang cukup menyerlah ketika itu, Ayu Damit.

Itu bukanlah alasan untuk Sarah menghentikan niatnya untuk terus kembali bermuzik. Bersama Audi Mok maka terhasil sebuah lagu berjudul “Pasti Berbeza”. Sebuah R&B track yang cukup menawan, fast number yang sekali lagi menyerlahkan attitude bermuziknya dengan cemerlang sekali penghasilannya.

Namun entah di mana silapnya single tersebut tidak mendapat sambutan – like at all. Pendengar muzik sentiasa dahagakan bakat baru, suara baru dan sering meminggirkan apa yang mereka pernah suka dahulu. Sad but true.

Single tersebut tidak berjaya membawa Sarah kembali ke carta muzik atau membenarkan publisiti terarah kepadanya kembali. Mungkin kerana faktor pemasaran yang lemah daripada pihak pemasaran juga membuatkan lagu tersebut hilang tanpa sambutan.

Dan setelah itu? Kelibat Sarah kembali perlahaan dari radar popular, namanya tidak lagi disebut-sebut, wajahnya juga semakin jauh dari layar kaca dan dada akhbar

Maka Sarah sekali perlahan dilupakan, yang masih bergema di corong radio tetaplah “Kesetiaan”. Usahanya menghasilkan single buat kali terakhir di tahun 2007 itu tidak bersambung bertahun-tahun lamanya. Sarah seperti sudah menokhtahkan perjalannya untuk terus berlagu.

Sehingga dia muncul kembali di pentas pertandingan World Championship Of Performing Art (WCOPA) pada tahun 2009. Peluang berada di sana digunakan sebaiknya untuk menjual bakatnya untuk bergerak sebagai international performer. Namun takdir tertulis jalan ceritanya berebeza, Sarah pulang ke Malaysia dan memutuskan untuk terus berkarier di sini sahaja.

Dan terbang pulangnya dia ke Malaysia setelah itu dengan menghasilkan sebuah lagi single, kali ini duet bersama Ezad Lazim berjudul “Lafazkanlah” pada tahun 2011 sebelum merilis sebuah single bersama jejaka yang membuat dia jatuh cinta, Shuib menerusi lagu “Cinta Itu Nyawa” (2012).

Dan sekali lagi bagai angin lalu, kedua-dua lagu tersebut pun berlalu, No air play malah saya pasti ramai tidak sedarkan pun kehadiran dua lagu tersebut. Muzik Sarah juga semakin menurun graf kualitinya membuatkan keyakinan kita sebagai pendengar semakin terhakis untuk terus mengharap Sarah akan bersinar seperti awal kemunculannya.

Sarah melalui kehidupan sebagai isteri dan ibu kepada anak-anaknya. Dia aktif di media sosial, Instagram tertutamanya tetapi sekadar sibuk dengan urusan peribadinya, berkongsi hari-harinya di rumah, sesekali dia menyanyi dan pertama kali saya mendengar “Semakin” itu sebetulnya di Instagram Sarah ketika dia jammin santai, sebelum memasuki GV lagi.

Pernah dahulu ketika saya bersama majalah EH! niat mahu menyatukan Sarah bersama Misha, Dayang dan Liza Hanim dalam satu penggambaran profil bertajuk “Betari Seni” meraikan vokalis hebat tempatan. Namun kekangan masa tiada rezeki untuk menyatukan Sarah di set penggambaran, Ella menggantikannya ketika itu.

MEMULAI KEMBALI SEBAGAI SARAH YANG BARU, SARAH DI RADAR POPULAR

Terima kasih saya kira harus diberikan buat tenaga produksi Gegar Vaganza yang menyediakan landasan buat orang lama mendapat kembali perhatian. Siapa yang bijak dalam percaturan akan menggunakan peluang yang ada sebaik-baiknya dan ternyata Gegar Vaganza bukan bukan tentang siapa yang menang tetapi siapa yang pandai menggunakan peluang.

Sarah biar tidak bergelar juara, namun dia bijak dalam percaturan seninya yang bergerak laju bersama pihak pengurusan Indgital Music yang menyusun langkah Sarah kembali relevan di pasaran muzik tempatan dengan sangat baik. Indigital juga sebetulnya yang mengembalikan Dayang ke landasan komersil bermula dengan single “Di Pintu Syurga”.

Jadi di sini cerita baru bermula, sejarah baru tercipta. Sarah semakin disenangi – wajahnya kembali memenuhi program kaca televisyen sehingga single “Semakin” menjengah pasaran, Sarah semakin utuh di radar popular tempatan. Memberi harapan buat penggemar sedia ada dan menarik minat peminat baru.

Siti Sarah Raisuddin yang baru ini saya kira di sokong kuat jentera kiri dan kanan yang semahunya mengangkat Sarah lebih tinggi setinggi bakat luar biasa yang dia miliki.

“Semakin” menjadi kesinambungan hits Sarah setelah bertahun-tahun orang mengenalnya dengan “Kesetiaan”, “Jangan Kau Mimpi” dan “Saat Hilang Cintamu” – lahir sebuah lagi lagu “cari makan” untuk dia mendapat lebih job berpentas pastinya. Dan single itu bertahan lama sehingga hari ini untuk terus didengar.

Dan dengan single tersebut jugalah, akhirnya Sarah buat pertama kali berjaya menganjurkan sebuah showcase buat peminatnya. Biar dalam skala yang sederhana, kesempatan dan pengalaman itu saya pasti sesuatu yang akan sentiasa diingati. Finally Sarah di pentas besar menghiburkan peminatnya yang selama ini menantikan sebuah showcase begitu..

Tidak terhenti di situ, sebuah lagi kenangan manis dalam kembara bermuziknya tercatit pabila diberi kepercayaan mengemudi sebuah konsert di Istana Budaya bersama dua lagi rakan penyanyi Misha Omar dan Noryn Aziz menerusi konsert diberi nama “Soul Sisters” pada tahun 2019.

Dengan pesona berbeza menyampaikan rangkaian lagu pelbagai yang tidak hanya terikat ilham hits mereka bertiga, Konsert “Soul Sisters” berjaya dilangsungkan dengan sokongan banyak pihak pastinya. Kolaborasi tiga suara di satu pentas beradu suara dan jiwa dalam memberi hiburan yang mahal sifatnya.

Namun sebelum sempat ke Istana Budaya Sarah mencipta kenangan manis buat pertama kalinya dalam kembara bermuzinya dia berjaya ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-33. Pastinya untuk hits “Semakin” ciptaan sepenuhnya Shuib yang menggunakan nama pena Mera Utama.

Biar tidak berjaya mendapat tempat teratas dan anugerah lain, Sarah saya kira puas berpentas meniupkan roh “Semakin” yang mewakili harapan barunya bermuzik. Penghayatan sepenuh jiwanya terlihat puas.

Usai fasa “Semakin” Sarah sudah sangat sibuk melewati jadual hariannya sebagai penyanyi juga usahawan produk tudung dan kecantikan. Ya, kerana untuk hidup senang sebagai penyanyi sahaja di Malaysia ini hampir mustahil barangkali membuatkan Sarah mengambil langkah lain untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Atas faktor kesibukan itu juga single kedua Sarah bersama Indigital Music mengambil masa 2 tahun kemudiannya untuk diedarkan. Dan kali ini lebih groove, lebih moden dan lebih Sarah menurut saya. Namun again, pendengar kita masih mahukan “The Ballad of Sarah Raisuddin”.

Maka single yang awalnya berjudul “Dap Dap Dap” (Cipt. YonnyBoii) ditukar kepada “Manis” kerana salah anggap netizen mengaitkan tajuk ini dengan parti politik membuatkan lagu ini bagai tak kena percaturannya. Biar secara peribadi saya sukakan Sarah yang begini – attitude vokal yang sangat baik, lebih groove dan lebih muda. Sarah memang boleh carry lagu-lagu begini.

Tapi begitulah pendengar kita, kalau satu-satu penyanyi itu sudah biasa menghidangkan nasi lemak, jangan sesekali jual roti canai – memang tak laku. Hal-hal beginilah yang membuatkan saya fikir pendengar kita yang kadang tak mahu evolve kerana banyak artis / penyanyi yang mahu menghasilkan sesuatu yang berbeza tetapi dipandang sepi.

Jadi apa rencana selepas itu? Another Ballad.

Kolaborasi bersama Hazama menerusi karya akhir arwah Lok-U dirilis sebagai satu lagi percaturan di tahun 2020. Sebuah naskhah tribute buat seniman yang telah pergi dilantun tanpa masalah Sarah bersama chemistry Sarah.

Sebagai pendengar yang sentiasa mahu dicabar dengan sound bari, “Terakhir Buat Teman” sekadar naskhah biasa sahaja tetapi jika ia dilihat daripada perspektif sebuah tribute lagu ini okey untuk di pasarkan sebagai special project Sarah bersama Hazama.

Sekali lagi harapan saya sebagai pendengar dan penikmat bakat Sarah sejak 2000 mengharapkan lebih lagi moderate Pop dan fast number seperti “Jangan Kau Mimpi”, “Mimpi Pun Sama” dan “Dap Dap Dap” pastinya. Kerana attitude Sarah besar ke arah jaluran muzik begitu.

Namun saya kira Sarah juga belajar daripada pengalaman lalu untuk tidak terlalu mengikut apa yang dia mahu tetapi mencari jalan tengah untuk melakukan apa yang dia suka dan apa yang pasaran mahukan. Dan hal itu juga agaknya menemukan kembali dia dan Ajai menerusi sebuah single baru.

Kolaborasi bersama Shuib berjudul “Semakin Benci Semakin Cinta” menjadi lagu terakhir Sarah sebelum dia meninggalkan kita buat selama-lamanya. Ruang rasa bahagia yang diceritakan dalam lagu ini bergerak sebagai her state of mind ketika itu. Ditafsir dalam melodi Ajai terhasil sebuah melodi cinta yang menjadi anthem kasih sayang Sarah.

Siti Sarah Raissuddin tiada lagi bersama kita.

9 Ogos 2021, menjadi tarikh berduka pengikut dan pengamal muzik tempatan. Siti Sarah Raissuddin tiada lagi bersama kita. Meniggalkan terus dunia seni, meninggalkan terus penggemarnya dalam keadaan yang tiada siapa bersedia untuk menerima perkhabaran itu.

Lahirnya dia menghiburkan kita kurang lebih 2 dekad dengan bakat, dengan kesungguhan. Percubaan demi percubaan tanpa putus asa – dia terus ada biar kadang kita yang lupa dengan keberadaannya yang sentiasa menghiburkan kita.

Sarah sudah tiada itu hakiki, mahu atau tidak itu nyata bukan di bawah kuasa kita. Takdir yang tertulis buat Sarah berat bagi kita tetapi berat lagi buat Shuib, buat Raissuddin Hamzah dan seluruh warga keluarga Sarah.

Coretan untuk Sarah menghiburkan kita biar berakhir tanpa ada lagi melodi baru. Namun hakikatnya suara Sarah akan sentiasa terngiang bermain di ruang fikiran kita semua.

Merelakan pemergian Sarah dengan tidak melupakannya dalam doa itu hal terbaik yang mampu kita lakukan untuk kesinambungan hayatnya di negeri abadi bersama sang pencipta yang pasti akan sangat menyayangi Sarah lebih besar daripada sayang kita semua padanya.

Mengenang Siti Sarah Raissuddin, Al-Fatihah,
Muzik Kita.


ARTIKEL BERKAITAN

Noraniza Idris: Dasawarsa Seni Penyanyi Saduran ke Biduanita Irama Melayu Asli Paling Dihormati

Highlight, Review, Terkini,

Kelangsungan Pop Insomniacks Menerusi “Sempurna”

Lagu: Sempurna
Artis: Insomniacks
Komposer / Lirik: Daniel / Gavin / Iqie / Iskandar

Insomniacks antaran band Pop yang sangat berjaya saya kira mengunmpulkan penggemar mereka dengan jumlah strim melebihi 150 ribu sebulan di spotify, jutaan strim dan view untuk single “Pulang” – membenarkan mereka bergerak dalam zon yang mereka cukup selesa.

Kelembutan Pop Balada diteruskan dengan single perdana mereka bersama Universal Music Malaysia. Dengan mengambil formula serupa maka terhasillah “Sempurna” yang saya pasti akan menjadi another hits cari makan kugiran ini.

“Sempurna” bergerak sebagai landasan terbaik mereka mengikat peminat “Pulang” untuk terus menikmati kesyahduan ‘moden’ alaf baru begini. Terhasil dengan melodi yang mudah melekat dengan sekali pendengaran.

Pendengaran saya benar-benar teralih di bahagian hujung lagu ini dengan pengisian horn session yang memberi keunikan Pop Balada ini untuk bergerak lebih dinamik transisi muziknya.

Insomniacks menerusi lagu ini sudah mengutuhkan konsep muzik mereka yang cukup jelas arahnya. Dan saya percaya juga lagu-lagu begini tidak sukar untuk dinikmati mana-mana pendengar sekali pun.

6.8/10


ARTIKEL BERKAITAN

Naim Daniel Meluaskan Pasaran Bermuzik Dengan Kolaborasi Joe Flizzow Menerusi “Habis Sini”

Review, Terkini,

Amylea Meluah Rasa Terpendam Dalam Melodi “Melepaskanmu”

 

Lagu: Melepaskanmu
Artis: Amylea
Komposer / Lirik: Amylea Azizan

Persona Pop yang semakin sinonim dalam penghasilan lagu-lagu drama bersiri tempatan, Amylea merangka jadual bermuziknya dengan caranya sendiri. Melewati cerita-cerita terisi dan mentafsir dalam naskhah lagu dengan mengikut tuntutan yang sepatutnya.

Meneruskan kelangsungan bermuzik, Amylea hadir dengan sebuah lagi single berjudul “Melepaskanmu” yang juga merupakan runut bunyi drama bersiri tempatan. Kali ini bergerak secara sendiri tanpa Farouk Roman, Amylea melepas sebuah rasa sayu dengan penuh tenang.

Amylea antara vokalis yang baik menurut saya, nyanyiannya sentiasa soothing dan melekakan biar hanya di bahagian verse lagu ini saja saya sudah terbuai. Kelebihan Amylea ada di situ, dia tidak perlu bergantung pada nada tinggi tanpa arah tuju untuk kita senang dengan nyanyiannya.

“Melepaskanmu” disusun dengan kemas oleh Bajai yang bertidak sebagai arranger yang saya kira sudah memahami visi Amylea dalam setiap lagu ciptaannya sebelum ini. Penulisan lirik Amylea tersusun baik dalam penceritaan yang cukup personal saya kira.

Single ini saya letakkan antara lagu Amylea yang saya suka selain “Tak Pernah Hilang”, “Selalu Denganmu” dan “Hadiah” – tiga lagu terbaik pernah Amylea rakamkan. Rasa yang dia beri dalam ketiga-tiga lagu ini secukupnya tanpa perlu berlebih-lebihan.

7/10


ARTIKEL BERKAITAN

Standard Pop Dayang Nurfaizah & Amir Masdi Ditinggikan Menerusi “Debu”

Highlight, Review, Terkini,

Berlegar Di Ruang Rasa Zamaera Menerusi “Heart Break To Heal”

Ada beberapa self-produced artiste yang benar-benar mencuri perhatian dengan cara mereka merangka muzik tanpa mempedulikan apa yang pasaran terlalu mahukan dan stay true dengan apa yang mereka percaya dalam bermuzik. Ali Aiman, NJWA dan Zamaera antaranya yang benar-benar mahu bergerak bebeas tanpa sebarang ikatan atau syarat.

Setelah fasa ‘edah’ bersama label Lakefront Records, Zamaera memperlahankan gerakan bermuziknya secara komersil namun belum berhenti sepenuhnya dalam penghasilan lagu-lagu yang dikumpulkan dalam album terbarunya “Heart Break to Heal” yang berisi 11 trak keseluruhannya.

Bekerjasama dengan produser Mingaling di Mass Music, Lou X2 dan beberapa nama lain bagi menghasilkan 11 trak ci album ini. Dibuka dengan interlud penuh emosi Zamaera dalam proses ‘healing’ melepas lelah yang hanya dia sahaja yang mengerti.

Transisi album ini berjalan baik di lagu kedua dan ketiga “You Say” dan “Too Comfortable” yang benar-benar menyerlahkan sisi peribadi Zamaera menerusi penulisan lirik yang cukup deep. Bait seperti “Apology are obsolete” dan “You say but you never do” – melepaskan resah, amarahnya dengan cukup jelas.

Melengkapkan perjalanannya sebagai pemuzik tempatan, Zamaera persembahkan empat lagu Bahasa Malaysia yang berawal dengan lagu “Jaga Diri” sebelum hadir lebih mempesona dengan lagu “Cinta Yang Baru”. Clarity vokal Zamaera di lagu ini cukup baik sekali dengan feel yang secukupnya. Lagu ini saya kira mampu menjadi percaturan terbaiknya untuk memasuki pasaran muzik semasa.

Mendengarkan keseluruhan album ini saya kira boleh buat anda mengenal Zamaera yang sebenar. Her state of mind – selain daripada gerak laju nada muziknya, penulisan lirik Zamaera benar-benar terlihat dia puas dalam penghasilan keseluruhan album ini.

Trak penutup “Anxiety” antara yang cukup keras suara Zamaera dalam menegaskan pendiriannya. “I’m independent ain’t no label can control me / They wanted me to pay a milli to leave / So I pulled my middle finger out from my sleeve.”

8/10


ARTIKEL BERKAITAN

Standard Pop Dayang Nurfaizah & Amir Masdi Ditinggikan Menerusi “Debu”

#PerspektifMuzik, Highlight, Terkini,

#SepekanMuzik Anugerah Juara Lagu 36 Sebuah Perspektif

Memasuki tahun ke 36 penganjuran Anugerah Juara Lagu yang terus memainkan peranan dalam menyemarakkan perkembangan muzik tempatan tanpa putus. AJL sehingga hari ini masih menjadi dambaan, keinginan bakat-bakat muzik yang mahu melihat sejauh mana tahap tertinggi karya ciptaan mereka.

Pertarungan di medan akhir malam ini, 6 Mac 2022 – bakal menyaksikan persaingan generasi baru muzik tempatan yang rata-ratanya dimonopoli rangkaian lagu-lagu popular pastinya. Antara yang popular ini akan dinilai menjadi yang terbaik. Hal ini saya kira bagus dalam mencipta keseimbangan antara nilai komersial dan seni dalam muzik itu sendiri.

Namun ada hal tentang popular yang merisaukan, pengundi lebih senang mengundi penyanyi kegemaran mereka berbanding mengundi lagu yang bagus sebetulnya. Hal ini sangat jelas berlaku saya kira sejak empat lima tahun kebelakangan ini. Obsesi terhadap penyanyi itu melangkaui obsesi terhadap lagu yang dicipta.

Dan apa yang jadi? Saban tahu kita akan melihat wajah serupa yang layak ke separuh akhir sebelum dinilai juri profesional ke peringkat akhir dan seterusnya bertarung menjadi yang terbaik antara yang terbaik. Tapi biarkanlah, sifat pendengar memang begitu nak dieducate pun buka nak dengar. Yang betul mereka jugalah.

Tahun ini Muzik Kita melihat keseimbangan dalam komposisi lagu yang standardnya tidak jauh antara satu sama lain. Yang membezakan adalah kualiti produksi lagu dan kreativiti dalam penulisan lirik. Sekadar our lima puluh sen, berikut sepekan muzik edisi Anugerah Juara Lagu ke-36.

Lagu: Sepi
Artis: Aina Badul
Komposer / Lirik: Aina Abdul / Wan Zakaria
Verdik: 5.5/10

“Sepi” bergerak dalam penghasilan melodi Balada Melayu yang okey, saya sebetulnya lebih enjoy lagu ini di versi Korea kerana pengisiannya lebih sesuai dan kedengaran current jika mahu diletakkan standard nya di barisan K-Ballad yang ada. Kelebihan lagu ini bukanlah pada melodi atau liriknya tetapi lebih tertumpu pada feel Aina. Namun melihat sejarah AJL lagu-lagu begini senang mendapat tempat.

Lagu: Angkara 
Artis: Siti Nordiana
Komposer / Lirik: Sharon Paul / Fedtri Yahya / Nana Alias
Verdik: 6.5/10

Lagu ini saya simpulkan sebagai simplify version of  “Gundah” (Ernie) dan “Memoir” (Asmidar) yang dikemaskan struktur muziknya dengan lebih baik. Kesederhanaan vokal Siti Nordiana menjadi killer lagu ini yang dialunkan semerdu dan secukupnya. Selain liriknya yang masih terhasil dengan menitikberatkan perlambangan dalam tafsiran perasaan. “Aku bagaikan merpati di awan, Berkelana di langit tak pasti.”

Lagu: Lara 
Artis: Hael Husaini / Haqiem Rusli / Naim Daniel
Komposer / Lirik: Hael Husaini / MFMF./ Naim Daniel  / Haqiem Rusli
Verdik: 7/10

Kelebihan lagu ini adalah pada produksi muzik MFMF. yang meninggikan standard Balada 3 soloist ini ke tahap yang lebih tastefully produced. Verse dan korus lagu ini sangat dibantu dengan kemasan muzik MFMF. tanpa susunan muzik yang grand asas melodi “Lara” biasa sahaja. Dan pastinya gabungan vokal Hael, Naim dan Haqiem menambah emosi yang dibaluti dalam lagu dengan sangat baik. Saya sangat berharap mereka bertiga menerusi lagu ini membawa pulang trofi Vokal Terbaik sebab kalau disusun sebaiknya lagu ini ada kelebihan pada pembahagian parts dan harmoni yang akan memberi nilai tambah buat mereka bertiga. Tapi tulah masa semi final pun terkucil.

Lagu: Purnama 
Artis: Naim Daniel
Komposer / Lirik: Amzar Razqa / Naim Daniel
Verdik: 4.5/10

Lagu ini ada asas melodi yang sangat bagus sebetulnya tetapi dimatikan dengan bunyi seruling yang membawa lagu ini kembali ke zaman “Kerana Cintaku Saerah” – terlalu mellow dan old fashion. Kalau lagu ini disusun dengan instrumentasi yang lebih moden ia akan jadi sebaik “Sumpah” versi studio bukan versi AJL.

Lagu: Mimpi 
Artis: Haqiem Rusli
Komposer / Lirik: Haqiem Rusli / A.Aida
Verdik: 4.5/10

Lagu ini saya akui ada hook pada korusnya yang best dengan suara Haqiem yang sangat sedap ya amat. Cuma saya sangat-sangatlah tidak gemar dengan penulisan lirik lagu ini. Bait “Mimpi ngeri..” itu terlalu ngeri untuk didengar dalam sebuah Balada yang diulang-ulang sepanjang lagu. Antara lagu dengan lirik yang sangat lemah tahun ini. Tapi saya sangat berharap Haqiem boleh work on his vocal dan hadirkan magis untuk bawa pulang trofi Vokal Terbaik sebab suara dia emas.

Lagu: Intan Payung 
Artis: Bunga & Noraniza Idris
Komposer / Lirik: Luca Sickta / Bunga / Amzar Razqa
Verdik: 4/10

The fact that idea ni Malique dan buat lebih sedekad dulu dengan Yusni Hamid ia tidaklah terhasil wow sangat. Dan penyatuan Hip-Hop dengan Irama Malaysia bukanlah yang pertama buat Kak Ani. Dia dah buat dengan Ruffedge dulu menerusi lagu “Onjak Sekaki” dan bersama Cat Farish menerusi “Enjut”. Lagu ini masih okey untuk standard AJL yang boleh beri nilai hiburan pentas. Kelebihan lagu ini pada penulisan liriknya yang baik penceritaannya, susunan katanya dan chemistry Bunga bersama Kak Ani.

Lagu: Cinta
Artis: Marsha
Komposer / Lirik: Bunga Cantik / Hang Nadim
Verdik: 3/10

“Cinta” bergerak dalam konteks Balada yang diberi semangat lebih moden dalam kemasan muziknya. Melodi lagu ini bagi saya kurang daya pemikat yang boleh mengikat pendengar dengan sekali pendengaran. Tapi penulisan liriknya masih okey cuma saya sangat-sangat terganggu dengan vokal Marsha yang terlalu terjerit-jerit di bahagian korus sampai ke hujungnya yang terlalu bingit. Mungkin ini masalah saya kot yang tak suka nyanyian memekik-mekik macam ni lagipun dah tahun 2022 dah ni boleh bertenang sikit dah.

Lagu: AEWO
Artis: Shiha Zikir & Noki
Komposer / Lirik: Ezra Kong / Noki
Verdik: 4/10

AEWO bukanlah lagu terbaik ciptaan Ezra tapi yang menarik tentang lagu ini adalah penceritaan dalam penulisan liriknya yang berdiri tersendiri. Kecanduan dan kreativitinya ada di situ. Selain itu saya rasa lagu ini sekadar sedap didengar dan ya boleh buat  kita enjoy dengan korus Habibinya yang berulang-ulang sampai melekat di pendengaran. Selebihnya saya tidak pasti apa yang membuatkan lagu ini istimewa.

Lagu: Salahku
Artis: YonnyBoii
Komposer / Lirik: YonnyBoii
Verdik: 8/10

Yonnyboii menjadi wakilan suara baru yang harus didengarkan. “Salahku” bergerak sebagai tafsiran juga wakilan jiwa anak muda hari ini dalam sebuah persembahan Pop yang terhasil cukup baik. Komposisi lagu ini antara yang original dengan penulisan lirik dalam gaya monolog begitu juga penyampaian yang ternyata lari jauh daripada pesaingnya yang lain. Cukup current, soulfull dan cukup tersendiri tanpa dipengaruhi mana-mana lagu lain yang pernah dihasilkan oleh pemuzik tempatan.

Lagu: Nafas Cinta
Artis: Aina Abdul & Khai Bahar
Komposer / Lirik: Khai Bahar / Aina Abdul / Wan Zakaria
Verdik: 3/10

Saya menghitung kira darab bahagi mencari di mana istimewanya lagu ini berbanding “Tanpa Rela” yang tersisih untuk ke final. “Nafas Cinta” terlalu biasa, cuba bayangkan lagu ini tidak dinyanyikan Khai dan Aina, anda rasa melodi begini akan poplular ke? Melodinya terlalu ketinggalan dan produksi muziknya juga tak ada sentuhan baru yang boleh meninggikan standard asas melodi lagu ini. But both are great vocalist.

Lagu: Pelukan Angkasa
Artis: SOG & Shila Amzah
Komposer / Lirik: Raja Nazrin Shah / Fazleena Hishamuddin
Verdik: 8.8/10

“Pelukan Angkasa” memberi dimensi berbeza dalam legasi muziknya yang melawan arus lagu-lagu pesaingnya. Terhasil dalam ilham Metal dengan infusi rasa dan jiwa Melayu yang menyatu cukup unik sekali. Instrumentasi muziknya beragam tetapi terhasil cukup kemas sifatnya. Keras melodinya dilembutkan dengan lirik yang sangat kuat dan boleh saya katakan lirik terbaik yang ada tahun ini.

Lagu: Boneka
Artis: Ernie Zakri
Komposer / Lirik: Omar K / Iqie Hugh / Firdaus Rahmat
Verdik: 8.2/10

“Boneka” bagi saya representasi terbaik Pop hari ini. Melodinya segar, liriknya yang mengangkat ilham women empowerment memberi satu suntikan yang membentuk tenaga baru dan current untuk lagu ini. Digerakkan dengan kehebatan vokal Ernie, “Boneka” patut mendapat tiga tempat teratas kerana kualiti yang diberikan Omar K, Iqie Hugh dan Firdaus Rahmat menerusi lagu ini melebihi mana-mana Balada yang tercalon tahun ini.

PILIHAN MUZIK KITA

Boneka – Omar K / Firdaus Rahmat / Iqie Hugh / Ernie Zakri
Pelukan Angkasa – Raja Nazrin Shah / Fazleena Hishamuddin / S.O.G / Shila Amzah
Salahku – YonnyBoii 
Angkara – Sharon Paul / Fedtri Yahya / Siti Nordiana


ARTIKEL BERKAITAN

#502021 Meraikan Kepelbagaian Dalam Bermuzik Menerusi 50 Rilis Terbaik Sepanjang Tahun