#RetrospektifMuzik, Terkini,

Muzik Dalam Sebuah Latar Masa: Kisah Anak Tani, Nelayan dan Gadis Kilang Dalam Listrik Lirik Pop 70/80-an

Melewati kisah dalam lirik-lirik yang tertulis di lapangan muzik era 70-an dan 80-an banyak berkongsi cerita tentang latar kehidupan seharian anak-anak mudanya selain kisah-kisah desa yang mendewasakan.

Dalam tautan melodi Pop Melayu maka terhasillah lagu-lagu popular persembahan Black Dog Bone, Sudirman, Carefree antaranya yang mengangkat kisah latar masyarakat seharian selain daripada hanya mengalun melodi cinta dan disko yang cukup hebat pengaruhnya ketika itu.

Cerita-cerita gadis desa dalam lagu Sudirman “Pulang Dari Kilang” antara naskhah yang menzahirkan cerita gadis kilang. Bait “Ku dapat tahu akan kisahnya Datang dari desa Kerja membantu ibu dan ayah Menyara adik ke sekolah.” Lirik tulisan Sudirman ini mendasari kisah gadis idamannya sehari-harian setiap kali pulang dari kerja.

Carefree menerusi lagu mereka “Dendangan Anak Tani” juga sudah menghasilkan sebuah lagu dengan latar cerita masyarakat selain beberapa lagu mereka yang lebih popular seperti “Joget Anak Gembala” yang dihasilkan dalam bentuk pantun yang cantik sekali susunan bahasanya.

Anak gembala di pinggir desa,
Petik kecapi menghibur hati,
Mari membela nusa dan bangsa,
Berbakti, demi untuk pertiwi.

Penghasilan lirik-lirik dalam susunan bahasa mengikut paten Pantun ini bertepatan dengan penceritaan kisah-kisah orang dulu-dulu yang kiblat hidupnya masih di desa dan ke bandar juga kerana mahu membahagiakan keluarga yang ada di desa. Gurau-gurauan teruna gadis juga mengambil latar serupa.

Menerusi lagu “Joget Teruna Dara” Carefree membawa pesan-pesan cinta “Kalau dah suka sesama suka, Apa lagi hendak dikata, Jikalau hati seia sekata, Semoga kekal selama-lamanya.”

Kembara menjadi sebuah lagi kugiran Folk Nusantara yang banyak mengendong ilham kemasyarakatan dalam penulisan lirik-lirik mereka. Lagu “Impian Seorang Nelayan” terhasil sebagai sebuah penghargaan berlagu dalam melodi yang syahdu sebagai sebuah lambang pengorbanan yang mereka lakukan.

“Wahai nelayan kau anak laut, Di sini tempatmu di sini rezekimu” Lirik lagu ini menjadi lebih melankolis di bahagian kedua Dalam pondok kecil beratap rumbia, Seorang ibu memandang hari muka.” Sebagai sebuah pesan di hujung lagu akan pengorbanan ibu dan ayah di latar masyarakat tersebut.

Wahai anak yang sedang menangis,
Mungkin kini engkau tak mengerti,
Bila kau dewasa dan pandai nanti,
Pengorbanan ayahmu sayang,
Jangan kau lupakan.

Cerita-cerita di era tersebut benar-benar mewakili latar suara dan hidup masyarakat. Kepayahan dalam meneruskan kehidupan dengan sisi-sisi hidup yang berlegar ilham kerja dan alam sekitar sebagai sumber pendapatan, kisah menawan hati si gadis kilang dan alam sekitar ditulis sebagai pengisian.

Tata gaya hidup begitu tidak ada lagu di era hari ini, atas perbezaan latar hidup dan arus pemodenan yang ada. Namun apa yang banyak diproduksi sepanjang era 70-an dan 80-an itu akan kekal menjadi sebuah refleksi hidup yang akan mewakili generasi terdahulu.


ARTIKEL BERKAITAN

Getaran Retro “Cliqie Fantastique”

Highlight, Review, Terkini,

Sal Priadi Mengendong Ilham Personal di EP “Markers & Such”

EP: Markers And Such
Artis: Sal Priadi
Produser: Petra Sihombing / Mahatamtama Arya Adinegara

Jurang Pop yang dikendong Sal Priadi dalam persembahan Folk dalam memikat penggemar muzik mainstream sudah berjaya dia lakukan dengan beberapa rilis popularnya sebelum ini seperti “Amin Paling Serius”,”Kultusan” dan “Ikat Aku Di Tulang Belikatmu”.

Nama Sal Priadi setelah itu berjalan dengan mudahnya mengikat pendengaran peminat muzik Indonesia dengan caranya yang sendiri. Tanpa perlu terlalu mengikut template muzik semasa Sal berjalan sahaja dengan santai dalam persembahan muziknya.

Terakhir kali muncul dengan lagu “Serta Mulia” tahun lalu, Sal mengambil langkah perlahan dalam menyusun kembara muziknya. Dan dengan kehadiran EP terbarunya “Markers & Such” membuktikan “Serta Mulia” itu adalah bunyi barunya untuk meneruskan kelangsungan bermuzik.

“Markers & Such” berisi 3 lagu keseluruhannya yang menyaksikan kerjasama Sal bersama Petra Sihombing dan Mahatamtama Arya Adinegara yang bertindak sebagai produser di EP ini.

Sal Priadi bergerak dalam gelombang berbeza dalam penulisan liriknya. Tiada lagu kisi-kisi emosi yang meresahkan dan meruntun. Dia di EP ini lebih santai berbahasa tanpa terlalu terikat dengan ilham ortodoks puitis sang pemuisi.

“Kita Usahakan Rumah Itu”, “Mesra-mesraannya Kecil-kecilan Dulu” dan “Lewat Sudah Pukul Dua, Makin Banyak Bicara Kita” ditulis dengan cara paling mudah untuk kita dengar dan tersenyum. Hal-hal ini jelas dalam bait Urusan perabotan dan wangi-wangian, Kuserahkan pada seleramu yang lebih maju, Tapi tata ruang aku ikut pertimbangkan.”

Dia menjadi lebih santai seperti bercakap-cakap dengan pasangannya “Malam tetap kumpul di meja, Panjang ruang makan kita, Berbincang tentang hari yang panjang.” Berbanding Sal yang kita kenal di “Ikat Aku Di Tulang Belikatmu” atau “Kultusan” yang bahasanya berbalas emosi, Sal ternyata menjadi realist kali ini.

Saya enjoy dengan sisi baru Sal di EP ini yang akan disambung dengan penghasilan dua lagi EP setelah ini iatu “Pens” dan “Flashdisk” yang akan diedarkan di tahun ini juga.

7/10


ARTIKEL BERKAITAN

Pengertian Cinta Raisa Menerusi “Cinta Sederhana”

Review, Terkini,

Pertaruhan Komersial Margosa Menerusi “Cinta Pasti Bersatu” Bersama Aepul Roza

Lagu: Cinta Pasti Bersatu
Artis: Margosa / Aepul Roza
Komposer / Lirik: Raja Nazrin Shah / Resya Rahman
Produser: AG Coco

Margosa mula saya kenal ketika mereka menjuarai Anugerah Lagu Indie musim pertama kira-kira 2 tahun sudah. Mempertaruhkan lagu berjudul “Penawar” mereka pulang sebagai pemenang pertama pertandingan yang mempertaruhkan bakat-bakat muzik indie tempatan itu.

Sempat merilis sebuah album berjudul “The Phase” pada tahun 2020 berisi 14 lagu keseluruhannya. Menampilkan beberapa single utama seperti “Jane Doll” dan “Abadi Tak Semestinya Indah” selain “Penawar” yang turut mengisi album terbitan perdana mereka itu.

Terkini, di bawal label antarabangsa Sony Music, Margosa mengatur langkah besar untuk lebih dikenali dan dinikmati pendengar muzik semasa. Single “Cinta Pasti Berlalu” hadir sebagai pertaruhan mereka dalam menawan pendengar dalam skala yang lebh besar pastinya.

Menghadirkan Aepul Roza sebagai rakan duet vokalis utamanya Resya, kolaborasi ini menerbitkan rasa yang sedikit berbeza dengan apa yang mereka lakukan sebelum ini. Persembahan muzik mereka kedengaran lebih komersial dan mudah mengikat pendengaran.

“Cinta Pasti Berlalu” dihasilkan Reysa bersama Raja Nazrin (S.O.G) dihasilkan dalam asas Balada yang mengikut acuan pasaran muzik hari ini dengan penulisan lirik cinta yang sepastinya dekat dengan jiwa-jiwa yang mahu dipujuk.

Hal-hal ini jelas dalam bait Bertahanlah nyawaku Untuk seketika kau sendirian.” Sebelum disambut dengan pengharapan “Akan aku menunggumu Cinta kita pasti bersatu.”

Korusnya dibaluti melodi yang mesra pendengaran dan mudah diikuti, persis kebanyakan rangkaian lagu-lagu yang menjadi tema drama bersiri, lagu ini jika kena percaturan pemasarannya sangat mudah menembus pasaran mainstream.

Saya sukakan karakter vokal Resya yang bercerita dalam melodi yang disusun baik dengan penulisan liriknya yang mudah. Tidak terlalu beragam tetapi semangat muziknya ditinggikan menerusi instrumentasi dalam susunan muzik.

Lagu ini ada banyak ruang dan peluang mengikat pendengar namun sekali lagi ia harus beriring strategi pemasaran yang betul.

7.5/10


ARTIKEL BERKAITAN

Repertoire Pop Hael Husaini Diteruskan Menerusi “Sama Seperti Dulu”

Review, Terkini,

Kembalinya 6ixth Sense Dengan Single “Tremendous”

Lagu: Tremendous
Artis: 6ixth Sense
Komposer / Lirik: Adi Priyo / Nawfas / Yoya / Athan / Harry

Lebih 17 tahun lalu kita diperdengarkan dengan rakaman semula “Hari Ini & Semalam” nyanyian asal J. Mizan dalam rendisi Pop Rock yang begitu mencuri perhatian. Setelah kejayaan lagu itu memperkenalkan mereka, 6ixth Sense memenuhi ruang Pop tempatan dengan rangkaian hits yang tidak sukar mencuri perhatian pendegngar muzik semasa.

“Tanpa”, “Khatimah Cinta” dan “Yang Sempurnakanku” menjadi naskhah muzik mengisi portfolio mereka sehingga hari ini. Persona depan kugiran ini, Adi Priyo cukup dikenali dengan suaranya yang sekali dengar we know that is Adi. Dan biar sehingga hari ini rasanya masih belum ada yang sama sepertinya.

6ixth Sense dalam rencana mengembalikan naskhah baru mereka mengambil masa cukup lama sebetulnya. “Tremendous” buah tangan terbaru mereka ini hadir setelah sekian lama tidak tampil dengan sebarang material baru.

Terhasil laju dalam derum deram yang mengejar pantas tempo muziknya, lagu ini terlahir ibarat sebuah siren mereka sudah kembali siap untuk menawan penggemar muzik Malaysia. Diciptakan bersama ahli kugiran ini, “Tremendous” melawan pasaran arus perdana yang nyata didominasi Pop.

Lagu ini datang dengan lintasan muzik J-Pop yang disela-selinya pengaruh Pop Rock yang dominan. Mendengarkan single ini saya kira peminat 6ixth Sense sudah boleh menjangkakan sesuatu yang lebih segar daripada mereka selepas ini.

Semoga usai pemasaran “Tremendous” 6ixth Sense tidak mendiam lama untuk menghasilkan lagu-lagu baru. Melodi Adi ada sakti yang mampu membawa mereka terus relevan dalam pasaran muzik semasa terutama penciptaan Pop Balada mereka yang masih bertaring sekalipun sudah bertahun-tahun diedarkan.

6.7/10


ARTIKEL BERKAITAN

Kembara Reggaeton Andi Bernadee Diteruskan Dengan Single “DU”

#RetrospektifMuzik, Terkini,

Seloka Pop “Seha” Dalam Persembahan Solonya

Seha ketika bersama Freedom menghasilkan rangkaian Pop yang cukup moden dalam memberi warna bagi pasaran muzik di penghujung 80-an. Dengan infusi rasa jiwa Melayu, mereka menyatukan persembahan muzik yang segar maka terhasillah lagu-lagu seperti “Mulanya Di Sini”, “Permulaan”, “Si Minah Blues” yang terhasil cukup rencah memberi rasa baru Pop tempatan ketika itu.

Sempat menzahirkan 2 album bersama Freedom (sebuah lagi album terakhir dirilis tanpa Seha) dia meneruskan kelangsungan bermuzik secara solo yang berawal di tahun 1988. Album self-title itu bagaimanapun tidaklah begitu memberi kelebihan buat Seha menyerlah.

Namanya benar-benar dikenali sebagai penyanyi solo menerusi album kedua “Hitam Manis” yang diedarkan pada tahun 1990 menampilkan hits utama “Seloka Cinta Remaja” ciptaan M.Nasir. Lagu yang cukup memberi impak kerjaya solonya ketika itu. Cukup diterima ramai sebagai salah satu hits terbaik awal era 90-an.

Album in imenampilkan nama-nama hebat yang anda boleh dapati dalam sebuah album. Kolaborasi Fauzi Marzuki, Mac Chew dan M.Nasir menjadikan “Hitam Manis” sebagai sebuah album yang cukup unik sekali sound di keseluruhan album.

Antara lagu yang menarik perhatian saya di album ini adalah “Pintu Hati” yang hadir dengan sound Pop yang didominasi pautan muzik Synth / Moden Pop. Cukup groove dan menghiburkan sekali. Esen Pop 90-an di lagu ini begitu dirasai sekali.

Penulisan lirik berlatar cerita cinta remaja yang banyak di era ini dizahirkan dengan cukup baik di lagu ini. Susunan muzik lagu ini saya cukup sinonim dengan apa yang ada di pasaran muzik ketika itu.

“Hanya Sekeping Hati” sebuah lagi lagu yang meneruskan kelangsungan Pop dengan sound moden Seha di album ini. Tanpa perlu bergantung pada melodi Balada, Seha merangka “Hitam Manis” sebagai sebuah Pop yang berbeza rasanya. Mungkin jika ada persamaan muzik paling hampir adalah Fran dan Sheila Majid.

Album ini saya sifatkan sebagai the cool album – muziknya santai, elemen Pop di album ini bersifat easy listening membuat kita cukup santai dan lapang mendengarkannya. Single “Innocent” yang menjadi satu-satunya trak berbahasa Inggeris di album ini juga antara yang paling saya enjoy persembahan muziknya.

Mendengarkan kembali album ini setelah lebih tiga beredar memberi perspektif berbeza. Muzik di era ini ternyata lebih beragam dan diraikan dengan penuh kesaksamaan. “Seloka Cinta Remaja” menjadi contoh terbaik. Jika lagu begini dirilis sekarang i have a doubt ia akan begitu digemari ramai.

Album ini masih terisi Balada Melayu. Kolaborasi Seha bersama Shuib menerusi “Kerana Rindu Ini” dihasilkan sebagai single menarik pendengar Melayu terutamanya. Lagu ciptaan Othman Mohamed dan lirik Habsah Hassan ini masih berlegar pada ilham Balada 80-an yang klasik penghasilannya.

Seha menemukan titik jayanya sebagai penyanyi solo di album ini sebelum mengedar album ketiganya, “Enigma” yang hadir begitu urban sekali dengan bantuan produse Paul Moss ketika itu yang membuatkan nama Seha agak terpinggir kerana sound di album itu yang agak sukar diterima pendengar muzik semasa.

Kesemua lagu-lagu Seha kini boleh dinikmati secara rasmi di saluran YouTube “Getaran Nostalgia”.


ARTIKEL BERKAITAN

Shasha Sebagai Jelmaan Fauziah Latiff Yang Menyinggah Sekali

Highlight, Review, Terkini,

Kisi-Kisi Pesan Sinikal Zizi Kirana Menerusi “Pijak”

Lagu: Pijak
Artis: Zizi Kirana
Komposer / Lirik: Mambang / Navigator / Zizi Kirana

Zizi Kirana antara bakat rapper wanita tempatan yang saya kira sudah semakin yakin dengan langkah bermuziknya. Sejak cukup booming dengan lagu-lagu seperti “Nak Ke Taknak” dan “EH” sehingga kolaborasi bersama Faizal Tahir dan Elly Mazlein menerusi “Empat Dara” semuanya semakin diterima mudah pendengar tempatan.

Zizi biar perlahan langkahnya untuk benar-benar diterima namun belum lagi mengalah. Disusun dengan aturannya tersendiri, ada yang berjaya namun pastinya ada juga jalan-jalan sukar yang dia lalui untuk membina keyakinan pendengar. Namun hari ini dengan usahanya nama Zizi Kirana sudah stabil di pasaran semasa.

“Pijak” menjadi sebuah lagi lagu yang akan meneruskan legasi muziknya. Hadir dengan esen muzik Hip-Hop beriring bait-bait lirik pedas kritikan sosial hari ini, “Pijak” terhasil dengan esen muzik Zizi yang begitu jelas sifatnya.

Seawal lagu ini dibuka sahaja Zizi sudah memberi pesan keras “Banyak monyet naik toncet, Bila duit masuk kocek” sebelum menjadi lebih sinikal di bait Maruah aku kau nak beli, Aku tak jual kau tak reti”.

Sebagai seorang yang jarang enjoy dengan persembahan Zizi dalam lagu-lagunya saya kira cara terbaik untuk saya mendalami adalah dengan melewati penulisan liriknya. Dan saya dapat dalam “Pijak” untuk memahami visi muzik Zizi sebagai penghibur yang datang dengan tanggungjawab sosial kerana jika sekadar melewati muziknya to be honest tiada apa yang terlalu baru dan menarik untuk dikupas.

5/10


ARTIKEL BERKAITAN

Standard Pop Dayang Nurfaizah & Amir Masdi Ditinggikan Menerusi “Debu”

Highlight, Review, Terkini,

Kembara Reggaeton Andi Bernadee Diteruskan Dengan Single “DU”

Lagu: DU
Artis: Andi Bernadee
Komposer / Lirik: Magic Potions

Mungkin kalau ada antara bakat baru yang konsisten dengan muziknya yang tersendiri adalah Andi Bernadee yang bernadi terus dengan rangkaian muzik Reggaeton sejak “Satu Peluang” yang beredar di tahun 2018.

Konsep begini dilakukan dengan cukup konsisten bersama jentera muziknya di Warner Music yang saya kira berjaya membentuk Andi bergerak tersendiri tanpa perlu bergantung pada lagu-lagu Balada atau sekadar penyanyi yang mengisi slot drama bersiri tempatan.

Setelah dengan cukup berjayanya Andi menghasilkan rangkaian lagu-lagu hebatnya seperti “Shimmy”, “Penat”, “Hello” dan “Kais Pagi Kais Petang”, Andi Bernadee hadir dengan sebuah lagi lagu bersama produser Magic Potions (ALYPH).

Menerusi lagu berjudul “DU” ini muzik Andi terus bernyawa dengan cukup baik. Sinonim dengan lagu dalam melodi catchy begini saya kira tidak sukar untuk kita mudah enjoy dengan single terbarunya ini.

Andi saya kira disaat ini sudah siap untuk menghadirkan album perdananya seperti rakan seperjuangannya Ismail Izzani dan Naim Daniel. “DU” sebuah naskhah yang akan sentiasa meneruskan keterujaan penggemar Andi pastinya.

6/10


ARTIKEL BERKAITAN

Kelangsungan Pop Insomniacks Menerusi “Sempurna”

Review, Terkini,

Repertoire Pop Hael Husaini Diteruskan Menerusi “Sama Seperti Dulu”

Lagu: Sama Seperti Dulu
Artis: Hael Husaini
Komposer / Lirik: Iqie Hugh / Hael Husaini

Hael Husaini menjadi penggerak Pop semasa yang memberi rasa baru dalam pengalaman menikmati lagu-lagu tempatan. Kerjasama dengan Ezra Kong menzahirkan “Jampi” dan “Haram” yang saya sifatkan sebagai dua lagu terbaik yang pernah dirakam Hael mengubah landskap Pop dengan percikkan rasa yang lebih moden.

Setelah cukup sangat berjaya dengan “Jampi” dia melewati jalannya sebagai pemuzik Pop dengan laluan mudah. Rangkaian lagu-lagu seperti “Hajat”, “Hati”, “Lara” sehinggalah “Kelentang Kelentong” membentuk Hael sebagai Pop star yang cukup diraikan sehingga hari ini.

Meneruskan kelangsungan bermuziknya, Hael hadir dengan sebuah lagi single terbaru berjudul “Sama Seperti Dulu” sebuah kolaborasi muzik bersama komposer muda meningkat naik Iqie Hugh. Mengambil ilham Balada dengan approach cukup moden dalam kemasan muziknya, lagu ini dibaluti persembahan melodi yang baik.

“Sama Seperti Dahulu” terhasil dalam acuan Pop Hael yang tidak sukar untuk kita nikmati hanya dengan sekali pendengaran. Persembahan keseluruhan lagu ini kemas dan beremosi dengan baik. Transisi verse ke korus dikemaskan dengan susunan muzik yang cukup current. Antara yang cukup baik terhasil tahun ini.

7.9/10


ARTIKEL BERKAITAN

Standard Pop Dayang Nurfaizah & Amir Masdi Ditinggikan Menerusi “Debu”

Highlight, Review, Terkini,

Pengertian Cinta Raisa Menerusi “Cinta Sederhana”

Lagu: Cinta Sederhana
Artis: Raisa 
Komposer / Lirik: Adrian Rahmat Purwanto / Jessi Mates / Marco Steffiano  Raisa Andriana
Produser: S/EEK / Aldi Nada Permana

Raisa antara penyanyi wanita seberang yang sentiasa konsisten dalam penghasilan  lagu-lagu baru tanpa putus. Biar tidak sepenuhnya datang dengan konsep sebuah album penuh, Raisa akan sentiasa datang membawa singe demi single menarik buat penggemarnya.

Tahun lalu dia cemerlang dengan sebuah EP berjudul It’s Personal membawa pendengar melewati ilham muzik Pop nya yang terhasil cemerlang sehingga mendapat nominasi Album Terbaik “Anugera Musik Indonesia” yang lalu.

Terkini dengan perkhabaran bakal merilis album penuh tahun ini, Raisa menghadiakan sebuah single Balada yang berjudul “Cinta Sederhana” ciptaannya bersama produser muzik yang cukup sinonim dengan produksi muziknya, S/EEK bersama Aldi Nada Permana yang turut merencana produksi muzik single ini.

Sepertimana judulnya, lagu ini membeuai dalam kesederhanaan yang membuat ia sempurna dengan penyampaian lembut Raisa. Yang pastinya disambut lembut bait liriknya “Tenang tenanglah, Tak selalu berbunga-bunga, Namun ku pastikan ada.”

Namun perkara tentang melodi ini yang saya kira kurang adalah ia agak lambat meresap dan membuat kita ingat dengan lagunya biar saya sudah mendengar 3 ke 4 kali masih belum melekat di fikiran. Tidak seperti rencana muziknya sebelum-sebelum ini yang melekat dengan hanya sekali pendengaran.

6.2/10


ARTIKEL BERKAITAN

Senandung Pop Tulus Dalam Sepuluh Kisah-Kisah Manusiawi

Highlight, Review, Terkini,

Yuna Melepas Projek Terbaru “Y1”

Album: Y1 (EP)
Artis: Yuna
Produser: Biako
Label: YRR / Independent

Satu hal tentang Yuna yang sangat menarik untuk dipelajari banyak pemuzik tempatan adalah to stay true to what you believe. Di saat ramai pendengar tempatan lebih peduli berbicara soal imej yang begitu begini, Yuna tidak langsung mempedulikan semua itu dan terus lakukan apa yang dia percaya.

Pasaran muzik R&B Kontemporari yang dia bawa sejak terbang ke US kekal sehingga hari ini. Album terakhir “Rouge” beredar di tahun 2019 dipersembahakan dalam sebuah landskap Pop R&B menjadi penanda aras sebetulnya ke mana arah muziknya setelah itu.

Fasa pernikahan dan pandemik tidak menghentikan langkahnya untuk terus bermuzik. Biar tanpa sebarang album, Yuna kekal dalam radar muziknya untuk terus menghasilkan single-single baru sebagai kelangsungan populartinya sehingga hari ini.

Terkini meneruskan keterujaan penggemar muziknya, Yuna hadir dengan projek terbarunya yang akan merilis 5 EP yang akan membentuk sebuah album secara berperingkat. Bermula dengan yang perdana ini diberi judul “Y1” berisi 4 trak keseluruhannya.

Yuna memberi salam “Hello” dengan cukup dark menerusi track kedua di EP ini. “Hello, I’ve been waiting for you, Feels like darkness’ taking over.” Sebelum hadir dengan easy feels yang cukup menyenangkan di lagu “Pantone 17 -13-30” yang saya ulang dua kali sebelum melanjutkan ke lagu seterusnya.

Lagu ini datang dengan daya pemikat yang membuat anda terus melekat dengan melodinya. Yuna menerusi vokal ikoniknya seperti biasa melepaskan perasaan dengan begitu bersahaja sekali. Dan liriknya yang disusun unik membuatkan lagu ini begitu menarik sekali untuk dinikmati.

The sun on my skin
Colors all around me come to life
It matches my complexion
The sand, sky and ocean

Bekerjasama dengan produser muzik Biako untuk EP ini menerbitkan rasa yang segar buat muzik Yuna. “Y1” bergerak dengan lebih baik di lagu “Cigarette”. Groove Yuna menjadi-menjadi membuatkan kita yang turut mendengar merasai apa yang dia persembahkan.

Sekali lagi Yuna membuat kita enjoy dengan penulisan liriknya. Bermain dengan perlambangan, lagu in bergerak sempurna sekali dengan sifat Yuna itu sendiri sebagai pemuzik. “I’m done with the chase, I just need some space”

Yuna bakal merilis empat lagi EP yang akan dibentuk sebagai sebuah album penuh. Cara yang sangat smart saya kira untuk membuat kita sebagai pendengar menikmati bit by bit apa yang dia mahu persembahkan menerusi perojek terbarunya ini.

7.8/10


ARTIKEL BERKAITAN

Berlegar Di Ruang Rasa Zamaera Menerusi “Heart Break To Heal”