
Menyebut nama Shasha saya tidak pasti berapa ramai yang mengenali sosok one hit wonder yang dikenali dengan single ciptaan Adam Ahmad berjudul “Sehelai Daun Setitis Embun”. Pasaran muzik ketika awal 90-an membawakan syarikat rakaman Happy Records memperkenalkan Shasha di pasaran muzik tempatan setelah kejayaan luar biasa Fauziah Latiff ketika itu.
Maka di bawah kendalian Adnan Abu Hassan ketika itu mereka melahirkan seorang lagi bakat nyanyian yang datang dengan idea dan pakej serupa seperti apa yang memberi kejayaan buat Fauziah Latiff sebelum ini.
Shasha ketika mengedarkan album ini hanya berusi 16 tahun. Masih hijau dan panjang jalannya jika diteruskan serius untuk bergerak sebagai penyanyi Pop yang berjaya ketika itu. Maka dengan terhasilnya album perdana yang diterbitkan sepenuhnya Adnan Abu Hassan ini menjadi percaturan buatnya untuk kekal di medan seni atau sebaliknya.
“Sehelai Daun Setitis Embun” ketika beredar cukup mendapat sambutan sebetulnya. Single ini kerap bermain di ruang radio dan perlahan-lahan namanya disebut-sebut sebagai pesaing terdekat Fauziah Latiff ketika itu.
Lagu-lagu Balada di album ini seperti “Ke Titik Akhir” antara yang cukup serupa dengan apa yang sering dipersembahkan Jee dalam rangkaian lagu-lagu Baladanya. Terhasil dalam signature muzik Adnan Abu Hassan maka tidak pelik jika ramai menganggap Shasha adalah jelmaan Jee ketika itu.
Namun lagu-lagu di album ini masih terhasil baik. Melodius, mendayu dan membuai antara yang cukup syahdu dalam mengikut template Balada 90-an adalah lagu “Kau Tercipta Untukku” yang jika dihayati vokal Shasha ternyata merdu dan membuai.
Perjalanan bermuzik Shasha selepas album ini diedarkan terhenti. Kelibatnya di pasaran komersil tidak lagi kelihatan dan album kedua yang khabarnya sudah siap dirakam sehingga proses pembikinan kulit album tidak diedarkan selepas Adnan Abu Hassan memtuskan untuk ke Suria Records selepas itu.
Happy Records pula kemudian diambil alih label antarabangsa EMI menghentikan terus langkah Shasha dalam pasaran muzik tempatan ketika itu. Album keduanya itu berkubur dan kebanyakan lagu-lagu ciptaan Adnan Abu Hassan di album itu diberikan kepada banyak penyanyi baru di Suria Records ketika itu seperti Liza Hanim dan Anis Suraya yang rata-ratanya menjadi hits utama mereka.
“Sehelai Daun Setitis Embun” menjadi satu-satunya album buatnya dikenali di pasaran muzik tempatan itu pun bukanlah secara begitu menyeluruh. Shasha setelah itu bergerak sebagai penyanyi kelab bermain bersama live band namun itu pun hanya seketika sebelum mendirikan rumah tangga dan beralih fokusnya.
Kesemua lagu-lagu di album perdana Shasha boleh dinikmati di saluran YouTube “Getaran Nostalgia”
ARTIKEL BERKAITAN