
Memasuki tahun ke 36 penganjuran Anugerah Juara Lagu yang terus memainkan peranan dalam menyemarakkan perkembangan muzik tempatan tanpa putus. AJL sehingga hari ini masih menjadi dambaan, keinginan bakat-bakat muzik yang mahu melihat sejauh mana tahap tertinggi karya ciptaan mereka.
Pertarungan di medan akhir malam ini, 6 Mac 2022 – bakal menyaksikan persaingan generasi baru muzik tempatan yang rata-ratanya dimonopoli rangkaian lagu-lagu popular pastinya. Antara yang popular ini akan dinilai menjadi yang terbaik. Hal ini saya kira bagus dalam mencipta keseimbangan antara nilai komersial dan seni dalam muzik itu sendiri.
Namun ada hal tentang popular yang merisaukan, pengundi lebih senang mengundi penyanyi kegemaran mereka berbanding mengundi lagu yang bagus sebetulnya. Hal ini sangat jelas berlaku saya kira sejak empat lima tahun kebelakangan ini. Obsesi terhadap penyanyi itu melangkaui obsesi terhadap lagu yang dicipta.
Dan apa yang jadi? Saban tahu kita akan melihat wajah serupa yang layak ke separuh akhir sebelum dinilai juri profesional ke peringkat akhir dan seterusnya bertarung menjadi yang terbaik antara yang terbaik. Tapi biarkanlah, sifat pendengar memang begitu nak dieducate pun buka nak dengar. Yang betul mereka jugalah.
Tahun ini Muzik Kita melihat keseimbangan dalam komposisi lagu yang standardnya tidak jauh antara satu sama lain. Yang membezakan adalah kualiti produksi lagu dan kreativiti dalam penulisan lirik. Sekadar our lima puluh sen, berikut sepekan muzik edisi Anugerah Juara Lagu ke-36.

Lagu: Sepi
Artis: Aina Badul
Komposer / Lirik: Aina Abdul / Wan Zakaria
Verdik: 5.5/10
“Sepi” bergerak dalam penghasilan melodi Balada Melayu yang okey, saya sebetulnya lebih enjoy lagu ini di versi Korea kerana pengisiannya lebih sesuai dan kedengaran current jika mahu diletakkan standard nya di barisan K-Ballad yang ada. Kelebihan lagu ini bukanlah pada melodi atau liriknya tetapi lebih tertumpu pada feel Aina. Namun melihat sejarah AJL lagu-lagu begini senang mendapat tempat.

Lagu: Angkara
Artis: Siti Nordiana
Komposer / Lirik: Sharon Paul / Fedtri Yahya / Nana Alias
Verdik: 6.5/10
Lagu ini saya simpulkan sebagai simplify version of “Gundah” (Ernie) dan “Memoir” (Asmidar) yang dikemaskan struktur muziknya dengan lebih baik. Kesederhanaan vokal Siti Nordiana menjadi killer lagu ini yang dialunkan semerdu dan secukupnya. Selain liriknya yang masih terhasil dengan menitikberatkan perlambangan dalam tafsiran perasaan. “Aku bagaikan merpati di awan, Berkelana di langit tak pasti.”

Lagu: Lara
Artis: Hael Husaini / Haqiem Rusli / Naim Daniel
Komposer / Lirik: Hael Husaini / MFMF./ Naim Daniel / Haqiem Rusli
Verdik: 7/10
Kelebihan lagu ini adalah pada produksi muzik MFMF. yang meninggikan standard Balada 3 soloist ini ke tahap yang lebih tastefully produced. Verse dan korus lagu ini sangat dibantu dengan kemasan muzik MFMF. tanpa susunan muzik yang grand asas melodi “Lara” biasa sahaja. Dan pastinya gabungan vokal Hael, Naim dan Haqiem menambah emosi yang dibaluti dalam lagu dengan sangat baik. Saya sangat berharap mereka bertiga menerusi lagu ini membawa pulang trofi Vokal Terbaik sebab kalau disusun sebaiknya lagu ini ada kelebihan pada pembahagian parts dan harmoni yang akan memberi nilai tambah buat mereka bertiga. Tapi tulah masa semi final pun terkucil.

Lagu: Purnama
Artis: Naim Daniel
Komposer / Lirik: Amzar Razqa / Naim Daniel
Verdik: 4.5/10
Lagu ini ada asas melodi yang sangat bagus sebetulnya tetapi dimatikan dengan bunyi seruling yang membawa lagu ini kembali ke zaman “Kerana Cintaku Saerah” – terlalu mellow dan old fashion. Kalau lagu ini disusun dengan instrumentasi yang lebih moden ia akan jadi sebaik “Sumpah” versi studio bukan versi AJL.

Lagu: Mimpi
Artis: Haqiem Rusli
Komposer / Lirik: Haqiem Rusli / A.Aida
Verdik: 4.5/10
Lagu ini saya akui ada hook pada korusnya yang best dengan suara Haqiem yang sangat sedap ya amat. Cuma saya sangat-sangatlah tidak gemar dengan penulisan lirik lagu ini. Bait “Mimpi ngeri..” itu terlalu ngeri untuk didengar dalam sebuah Balada yang diulang-ulang sepanjang lagu. Antara lagu dengan lirik yang sangat lemah tahun ini. Tapi saya sangat berharap Haqiem boleh work on his vocal dan hadirkan magis untuk bawa pulang trofi Vokal Terbaik sebab suara dia emas.

Lagu: Intan Payung
Artis: Bunga & Noraniza Idris
Komposer / Lirik: Luca Sickta / Bunga / Amzar Razqa
Verdik: 4/10
The fact that idea ni Malique dan buat lebih sedekad dulu dengan Yusni Hamid ia tidaklah terhasil wow sangat. Dan penyatuan Hip-Hop dengan Irama Malaysia bukanlah yang pertama buat Kak Ani. Dia dah buat dengan Ruffedge dulu menerusi lagu “Onjak Sekaki” dan bersama Cat Farish menerusi “Enjut”. Lagu ini masih okey untuk standard AJL yang boleh beri nilai hiburan pentas. Kelebihan lagu ini pada penulisan liriknya yang baik penceritaannya, susunan katanya dan chemistry Bunga bersama Kak Ani.

Lagu: Cinta
Artis: Marsha
Komposer / Lirik: Bunga Cantik / Hang Nadim
Verdik: 3/10
“Cinta” bergerak dalam konteks Balada yang diberi semangat lebih moden dalam kemasan muziknya. Melodi lagu ini bagi saya kurang daya pemikat yang boleh mengikat pendengar dengan sekali pendengaran. Tapi penulisan liriknya masih okey cuma saya sangat-sangat terganggu dengan vokal Marsha yang terlalu terjerit-jerit di bahagian korus sampai ke hujungnya yang terlalu bingit. Mungkin ini masalah saya kot yang tak suka nyanyian memekik-mekik macam ni lagipun dah tahun 2022 dah ni boleh bertenang sikit dah.

Lagu: AEWO
Artis: Shiha Zikir & Noki
Komposer / Lirik: Ezra Kong / Noki
Verdik: 4/10
AEWO bukanlah lagu terbaik ciptaan Ezra tapi yang menarik tentang lagu ini adalah penceritaan dalam penulisan liriknya yang berdiri tersendiri. Kecanduan dan kreativitinya ada di situ. Selain itu saya rasa lagu ini sekadar sedap didengar dan ya boleh buat kita enjoy dengan korus Habibinya yang berulang-ulang sampai melekat di pendengaran. Selebihnya saya tidak pasti apa yang membuatkan lagu ini istimewa.

Lagu: Salahku
Artis: YonnyBoii
Komposer / Lirik: YonnyBoii
Verdik: 8/10
Yonnyboii menjadi wakilan suara baru yang harus didengarkan. “Salahku” bergerak sebagai tafsiran juga wakilan jiwa anak muda hari ini dalam sebuah persembahan Pop yang terhasil cukup baik. Komposisi lagu ini antara yang original dengan penulisan lirik dalam gaya monolog begitu juga penyampaian yang ternyata lari jauh daripada pesaingnya yang lain. Cukup current, soulfull dan cukup tersendiri tanpa dipengaruhi mana-mana lagu lain yang pernah dihasilkan oleh pemuzik tempatan.

Lagu: Nafas Cinta
Artis: Aina Abdul & Khai Bahar
Komposer / Lirik: Khai Bahar / Aina Abdul / Wan Zakaria
Verdik: 3/10
Saya menghitung kira darab bahagi mencari di mana istimewanya lagu ini berbanding “Tanpa Rela” yang tersisih untuk ke final. “Nafas Cinta” terlalu biasa, cuba bayangkan lagu ini tidak dinyanyikan Khai dan Aina, anda rasa melodi begini akan poplular ke? Melodinya terlalu ketinggalan dan produksi muziknya juga tak ada sentuhan baru yang boleh meninggikan standard asas melodi lagu ini. But both are great vocalist.

Lagu: Pelukan Angkasa
Artis: SOG & Shila Amzah
Komposer / Lirik: Raja Nazrin Shah / Fazleena Hishamuddin
Verdik: 8.8/10
“Pelukan Angkasa” memberi dimensi berbeza dalam legasi muziknya yang melawan arus lagu-lagu pesaingnya. Terhasil dalam ilham Metal dengan infusi rasa dan jiwa Melayu yang menyatu cukup unik sekali. Instrumentasi muziknya beragam tetapi terhasil cukup kemas sifatnya. Keras melodinya dilembutkan dengan lirik yang sangat kuat dan boleh saya katakan lirik terbaik yang ada tahun ini.

Lagu: Boneka
Artis: Ernie Zakri
Komposer / Lirik: Omar K / Iqie Hugh / Firdaus Rahmat
Verdik: 8.2/10
“Boneka” bagi saya representasi terbaik Pop hari ini. Melodinya segar, liriknya yang mengangkat ilham women empowerment memberi satu suntikan yang membentuk tenaga baru dan current untuk lagu ini. Digerakkan dengan kehebatan vokal Ernie, “Boneka” patut mendapat tiga tempat teratas kerana kualiti yang diberikan Omar K, Iqie Hugh dan Firdaus Rahmat menerusi lagu ini melebihi mana-mana Balada yang tercalon tahun ini.
PILIHAN MUZIK KITA
Boneka – Omar K / Firdaus Rahmat / Iqie Hugh / Ernie Zakri
Pelukan Angkasa – Raja Nazrin Shah / Fazleena Hishamuddin / S.O.G / Shila Amzah
Salahku – YonnyBoii
Angkara – Sharon Paul / Fedtri Yahya / Siti Nordiana
ARTIKEL BERKAITAN
#502021 Meraikan Kepelbagaian Dalam Bermuzik Menerusi 50 Rilis Terbaik Sepanjang Tahun