
Berawal usia 8 tahun, Siti Sarah binti Raissuddin buat pertama kalinya menyanyi di khalayak, ketika itu dia mengalunkan “Flora Cinta” yang asal dipersembahkan Min Malik.
Menjadi penyanyi di era 90-an itu harus benar-benar hadir dengan kebolehan menyanyi yang sangat baik. Kerana apa? Kerana mereka yang lahir di era itu semuanya hadir sebagai bintang yang diasah bakatnya menerusi pertandingan nyanyian. Pentas tersedia tidak membenarkan sesiapa pun menyanyi dengan bantuan auto-tune yang pastinya.
Sarah satu daripada bakat muzik tempatan yang mengasah kebolehan menyanyinya di pentas pertandingan. Dikenali kerana menjadi finalis Bintang RTM, Sarah sebetulnya sudah ke pentas pertandingan nyanyian sebelum memasuki program anjuran Radio Televisyen Malaysia itu lagi.
“Bintang HAI!” yang dianjurkan oleh majalah hiburan HAI! ketika itu menjadi pertaruhan perdananya untuk mempertaruhkan kebolehan menyanyinya dalam sebuah pertandingan. Biar tewas di peringkat suku akhir, rezeki masih berpihak padanya setelah mendapat panggilan daripada pihak HAI! untuk diserapkan ke peringkat separuh akhir seterusnya menjadi Naib Juara di acara final.
Setelah itu iltizam untuk bergelar penyanyi ditanam beriring lebih lagi usaha. Kali ini dia melangkah lebih berani untuk acara pertandingan nyanyian yang lebih besar dan telah melahirkan bukan satu tetapi sebegitu banyak bintang Pop yang bersinar berganti generasi.
“Bintang RTM” membuka langkah Sarah lebih luas dan yakin untuk benar-benar menyerlah. Biar tewas di pentas akhir dengan pertaruhan lagu “Kembalilah Sayang” (Dayang Nurfaizah), Sarah menjadi pesaing yang cukup kuat buat Juaranya tahun itu, Azharina Azhar selain finalis lain Misha Omar dan Asmidar antaranya.
Namun begitu Bintang RTM bukanlah laluan buatnya bergelar penyanyi rakaman. Sarah kembali lagi ke pentas pertandingan “Bintang URTV” dan di sini sejarah bermula.

Kejuaraannya di pentas “Bintang URTV” membuka laluan buatnya mendapat beberapa tawaran bergelar recording artiste. Ajai yang ketika itu bersama Warner Music antara yang menawarkan kontrak rakaman buat Sarah. Namun, ketika tawaran Ajai tiba, Raissuddin Hamzah bapa juga pengurus Sarah ketika itu sudah memutus janji bersama NAR Records.
Lantas bersama NAR Records, Sarah menzahirkan 10 alunan paling merdunya untuk sebuah pengalaman merakamkan album penuh dengan barisan produser hebat. Bertuah sungguh dirinya, di saat pesaingnya seperti Azharina dan Misha Omar hanya bergantung pada satu produser, Sarah cemerlang dengan sebuah album pop menampilkan 11 Produser muzik ternama.
Dan saya kira pelaburan yang dibuat untuk menzahirkan sebuah debut buat seorang yang kalah dalam pertandingan nyanyian ketika itu ada satu langkah yang cukup berani. NAR cukup forward ketika itu untuk membentuk Sarah sebagai bintang R&B Pop dengan barisan lagu yang hadir dengan groove dan attitude tersendiri.
Keinginan Ajai untuk bekerjasama dengan Sarah tidak terhenti sekalipun dia gagal mendapatkan Sarah sebagai artis naungan Warner Music. Ajai insist untuk melibatkan diri dalam projek album Sarah.
Dengan kreativiti berkarya seorang Ajai, lahirlah hits malar segar “Kesetiaan” dan sebuah lagi lagu yang turut menjadi single iaitu “Ku Teruskan”. Cukup solid dalam menonjolkan kebolehan serta keunikan Sarah dengan penyampaian serta feel yang tersendiri tanpa dibayangi mana-mana penyanyi ketika itu.
Berbaloinya pelaburan yang dibuat NAR Records pada masa itu tidak hanya sekadar memberikan barisan hits dan job buat Sarah tetapi turut memberi Sarah dan seluruh team kerja debut yang beredar pada tahun 2002 itu penghargaan tertinggi Anugerah Industri Muzik ke-10 pada tahun 2003.
Berawal dengan kemenangan Artis Baru Terbaik yang menewaskan saingan terdekatnya Hazami dan Misha Omar, album berjudul “Sarah” itu mengungguli kategori Album Terbaik yang sekaligus memenangi kategori Album Pop Terbaik menghampakan beberapa album lain seperti Anuar Zain (Keabadian Cinta), Dayang Nurfaizah (Hembusan Asmara) dan Hazami menerusi album Tekad Redha Tabah.

Dan memenangi AIM in 2000’s is everything. Ia umpama satu pengesahan yang anda adalah penyanyi terbaik yang ada di pasaran ketika itu dan harus terus diraikan. There’s no room for mediocre.
Tidak terhenti di situ, Nama Sarah sekali bergema dengan sorak-sorakan cukup meriah saat dinobatkan sekali lagi sebagai Artis Baru Terbaik (Wanita) di majlis Anugerah Planet Muzik yang melumpuhkan impian pesaing dari Indonesia seperti Tere, Audi dan teman senegara Misha Omar.
Di pentas serupa dengan beriring petikan piano Ajai, Sarah muncul penuh pesona mengalun melodi “Kesetiaan” dengan penuh yakin dan mempesonakan di pentas yang sepatutnya menjadi medan terbaik menjual bakat Sarah di peringkat nusantara tetapi disia-siakan sebagai pesta anugerah satu malam sahaja.
Kembara muzik Sarah setelah itu berjalan cemerlang, untuk album keduanya mudah dinikmati dan disukai itu bukan hal yang merungsingkan pihak pengurusan pemasaran lagi. Dengan kejayaan beberapa single di album perdana dan kejayaan luar biasa di Anugerah Industri Muzik, Sarah menjadi bakat yang sentiasa dinantikan kemunculannya.

Maka terlahir sebuah lagi album yang bakal meneruskan kelangsungan popularitinya. “Mimi Pun Sama” menjadi pertaruhan yang sekali lagi menampilkan nama Ajai sebagai produser utama menerusi hits “Saat Hilang Cintamu”. Namun lagu itu saya kira bukanlah sesuatu yang cukup menguatkan nama Sarah di persada muzik tempatan.
Ada sebuah lagi lagu yang dibentuk cukup kuat sifat “Sarah” itu sendiri menerusi melodi tulisan Neves berjudul “Jangan Kau Mimpi” yang menyerlahkan segala attitude bermuzik dalam nyanyiannya. Sarah terlihat semakin yakin, semakin jelas dengan arah muziknya kali ini tanpa perlu terlalu bergantung pada lagu Balada sahaja.
Dan dengan terlahirnya single tersebut Sarah tidak lagi perlu bergantung pada “Kesetiaan” untuk menjadi lagu cari makannya. “Jangan Kau Mimpi” akan sentiasa membuat semua seronok setiap kali dipersembahkan di pentas live – baik show di shopping mall, pentas anugerah sehinggalah ke pentas korporat.
Bait “Aww, Aww, Aww” itu akan sentiasa bermain di ruang fikiran kita biar sudah lebih 2 dekad ia terhasil.
Keterbukaan pendengar ketika itu juga sangat membantu untuk Sarah hadir berbeza tanpa perlu bergantung pada naskhah Balada semata-mata. Ketika di pentas Sarah sentiasa siap dengan attitude berpentas yang sangat tersendiri, mengikat pandangan juga pendengaran kita untuk melekat menikmati persembahannya.
“Mimpi Pun Sama” menjadi bukti kematangan Sarah dalam bermuzik dengan rangkaian lagu-lagu yang sekali lagi mendapat sentuhan emas komposer on demand ketika itu nama-nama seperti Ajai, Aidit Alfian, Azlan Abu Hassan, Azmeer dan Helen Yap menerajui album tersebut sebagai kelangsungan debut “Kesetiaan” dengan cukup berjaya sekali mengukuhkan nama Sarah sebagai pelapis Pop tempatan.

membawa pulang trofi artis baru terbaik apm
Kembara muzik Sarah setelah itu bergerak sebagai percaturan yang pastinya. Hal serupa saya kira menjadi cabaran buat mana-mana penyanyi yang pabila dua album begitu booming dan diterima ramai, cabaran sebenar bermula di album ketiga. Adakah percaturan itu akan menjadi sebaik album sebelumnya atau merugikan?
Apa yang pastinya setelah kejayaan dikecap, mana-mana penyanyi sekalipun mengimpikan hak bersuara dalam penghasilan album berikutnya. Maka mereka akan bergerak lebih kreatif sebetulnya dengan rujukan-rujukan muzik luar yang kadang pabila diadaptasi ke pasaran tempatan percaturan itu tidak mengena.
Lihat sahaja bagaimana penyanyi sebelum Sarah seperti Liza Hanim dan Anis Suraya yang agak struggle untuk sustain dalam pasaran muzik selepas menzahirkan beberapa album. Formula serupa membuatkan pendengar semakin bosan dengan idea yang sama.
Maka dengan kelahiran “Tiada Dikau Tiada Makna” sebagai album ketiga yang hadir dengan visi Pop yang sedikit berbeza. Sarah semakin yakin dengan persembahan vokalnya yang nyata semakin baik dengan komposisi muzik yang lebih bergerak seiring kemampuan Sarah sebagai vokalis.

Lahirnya single “Menari Denganku” yang menampilkan reality tv sensation ketika itu, Zahid sebagai teman duet di lagu itu. Melodi ciptaan Neves itu cukup powerful saya kira dalam meneruskan kelangsungan populariti Sarah. Terhasil cukup bertenaga, catchy dan fun sekali.
Ternyata percaturan kali ini juga tidak gagal. Sarah terus memuncak dengan ambisi dan visinya memberi hiburan yang ada value tidak sekadar menghasilkan lagu bersifat angin lalu. Sebuah lagi lagu yang memberi tuah Sarah di album ini “Bersamamu” – Balada ciptaan Fendi bergerak sebagai kejutan manis.
Tidak terhenti di situ, Sarah berduet juga dengan soloist legendaris Jamal Abdillah menerusi “Sandarkan Pada Kenangan”. Diberi peluang berduet dengan penyanyi legenda sebesar Jamal sebetulnya membuka lebih banyak mata yang memandang serius pada bakatnya.
Album TDTM terisi lagu-lagu yang cukup kuat sebenarnya untuk memiliki hayat panjang bergerak sebagai sebuah killer album. Namun kerana harus sangat bersaing dengan kemunculan bakat-bakat realiti tv, banyak lagu di album mendapat laluan sukar untuk di pasarkan di radio khususnya ketika itu.
Malis Cinta (Azlan Abu Hassan), Kasih Ku Tunggu (Ajai), Tiada Dikau Tiada Makna, Cuma Permainan (Hazami) – antara naskhah yang tercipta solid untuk popular di ketika itu namun dek kerana perihal persaingan satu hal lain yang harus difikirkan, pemasaran album ini agak perlahan dan tidak agresif.
Rencana pada tahun serupa dalam sebuah temubual Sarah bersama majalah R.O.T.T.W menyebut dia turut bakal menzahirkan sebuah album pasaran Indonesia. Namun entah di mana silapnya, perancangan itu bagai angin lalu sahaja, kelibat Sarah ke Jakarta juga tidak terarah.
Konflik dalaman syarikat rakaman membuatkan langkah Sarah untuk terus bermuzik terhenti. Namanya mula buram sekitar tahun 2006 sehingga 2007 yang sebetulnya hampir sudah mahu dilupakan sebelum dia tekad untuk kembali bergerak secara sendiri dan kembali ke pentas pertandingan pada tahun 2007.
Menerusi musim kedua program “One In A Million” Sarah menyusun kembali langkahnya. Seperti memulai kembali apa yang pernah dia lalui dahulu, Sarah tidak sedikit merasa ia satu bebanan tetapi melangkah dengan lebih keyakinan dan kematangan. The brand new Sarah.
Masih dengan attitude dan groove kala beraksi di pentas bermuzik, Sarah mengembalikan segala keyakinan yang sudah kita sebagai pendengar tanam dahulu saat di mula bersinar dalam lapangan muzik tempatan. Suaranya semakin baik, penampilan dan persembahan saban minggu di pentas OIAM semakin disenangi.
Namun kali ini rezeki tidak berpihak padanya. Sarah tewas sebelum sempat ke pentas final dan sekali gus tewas dengan seorang bakat baru yang cukup menyerlah ketika itu, Ayu Damit.
Itu bukanlah alasan untuk Sarah menghentikan niatnya untuk terus kembali bermuzik. Bersama Audi Mok maka terhasil sebuah lagu berjudul “Pasti Berbeza”. Sebuah R&B track yang cukup menawan, fast number yang sekali lagi menyerlahkan attitude bermuziknya dengan cemerlang sekali penghasilannya.
Namun entah di mana silapnya single tersebut tidak mendapat sambutan – like at all. Pendengar muzik sentiasa dahagakan bakat baru, suara baru dan sering meminggirkan apa yang mereka pernah suka dahulu. Sad but true.
Single tersebut tidak berjaya membawa Sarah kembali ke carta muzik atau membenarkan publisiti terarah kepadanya kembali. Mungkin kerana faktor pemasaran yang lemah daripada pihak pemasaran juga membuatkan lagu tersebut hilang tanpa sambutan.
Dan setelah itu? Kelibat Sarah kembali perlahaan dari radar popular, namanya tidak lagi disebut-sebut, wajahnya juga semakin jauh dari layar kaca dan dada akhbar
Maka Sarah sekali perlahan dilupakan, yang masih bergema di corong radio tetaplah “Kesetiaan”. Usahanya menghasilkan single buat kali terakhir di tahun 2007 itu tidak bersambung bertahun-tahun lamanya. Sarah seperti sudah menokhtahkan perjalannya untuk terus berlagu.
Sehingga dia muncul kembali di pentas pertandingan World Championship Of Performing Art (WCOPA) pada tahun 2009. Peluang berada di sana digunakan sebaiknya untuk menjual bakatnya untuk bergerak sebagai international performer. Namun takdir tertulis jalan ceritanya berebeza, Sarah pulang ke Malaysia dan memutuskan untuk terus berkarier di sini sahaja.
Dan terbang pulangnya dia ke Malaysia setelah itu dengan menghasilkan sebuah lagi single, kali ini duet bersama Ezad Lazim berjudul “Lafazkanlah” pada tahun 2011 sebelum merilis sebuah single bersama jejaka yang membuat dia jatuh cinta, Shuib menerusi lagu “Cinta Itu Nyawa” (2012).
Dan sekali lagi bagai angin lalu, kedua-dua lagu tersebut pun berlalu, No air play malah saya pasti ramai tidak sedarkan pun kehadiran dua lagu tersebut. Muzik Sarah juga semakin menurun graf kualitinya membuatkan keyakinan kita sebagai pendengar semakin terhakis untuk terus mengharap Sarah akan bersinar seperti awal kemunculannya.
Sarah melalui kehidupan sebagai isteri dan ibu kepada anak-anaknya. Dia aktif di media sosial, Instagram tertutamanya tetapi sekadar sibuk dengan urusan peribadinya, berkongsi hari-harinya di rumah, sesekali dia menyanyi dan pertama kali saya mendengar “Semakin” itu sebetulnya di Instagram Sarah ketika dia jammin santai, sebelum memasuki GV lagi.
Pernah dahulu ketika saya bersama majalah EH! niat mahu menyatukan Sarah bersama Misha, Dayang dan Liza Hanim dalam satu penggambaran profil bertajuk “Betari Seni” meraikan vokalis hebat tempatan. Namun kekangan masa tiada rezeki untuk menyatukan Sarah di set penggambaran, Ella menggantikannya ketika itu.
MEMULAI KEMBALI SEBAGAI SARAH YANG BARU, SARAH DI RADAR POPULAR
Terima kasih saya kira harus diberikan buat tenaga produksi Gegar Vaganza yang menyediakan landasan buat orang lama mendapat kembali perhatian. Siapa yang bijak dalam percaturan akan menggunakan peluang yang ada sebaik-baiknya dan ternyata Gegar Vaganza bukan bukan tentang siapa yang menang tetapi siapa yang pandai menggunakan peluang.
Sarah biar tidak bergelar juara, namun dia bijak dalam percaturan seninya yang bergerak laju bersama pihak pengurusan Indgital Music yang menyusun langkah Sarah kembali relevan di pasaran muzik tempatan dengan sangat baik. Indigital juga sebetulnya yang mengembalikan Dayang ke landasan komersil bermula dengan single “Di Pintu Syurga”.
Jadi di sini cerita baru bermula, sejarah baru tercipta. Sarah semakin disenangi – wajahnya kembali memenuhi program kaca televisyen sehingga single “Semakin” menjengah pasaran, Sarah semakin utuh di radar popular tempatan. Memberi harapan buat penggemar sedia ada dan menarik minat peminat baru.
Siti Sarah Raisuddin yang baru ini saya kira di sokong kuat jentera kiri dan kanan yang semahunya mengangkat Sarah lebih tinggi setinggi bakat luar biasa yang dia miliki.
“Semakin” menjadi kesinambungan hits Sarah setelah bertahun-tahun orang mengenalnya dengan “Kesetiaan”, “Jangan Kau Mimpi” dan “Saat Hilang Cintamu” – lahir sebuah lagi lagu “cari makan” untuk dia mendapat lebih job berpentas pastinya. Dan single itu bertahan lama sehingga hari ini untuk terus didengar.
Dan dengan single tersebut jugalah, akhirnya Sarah buat pertama kali berjaya menganjurkan sebuah showcase buat peminatnya. Biar dalam skala yang sederhana, kesempatan dan pengalaman itu saya pasti sesuatu yang akan sentiasa diingati. Finally Sarah di pentas besar menghiburkan peminatnya yang selama ini menantikan sebuah showcase begitu..
Tidak terhenti di situ, sebuah lagi kenangan manis dalam kembara bermuziknya tercatit pabila diberi kepercayaan mengemudi sebuah konsert di Istana Budaya bersama dua lagi rakan penyanyi Misha Omar dan Noryn Aziz menerusi konsert diberi nama “Soul Sisters” pada tahun 2019.
Dengan pesona berbeza menyampaikan rangkaian lagu pelbagai yang tidak hanya terikat ilham hits mereka bertiga, Konsert “Soul Sisters” berjaya dilangsungkan dengan sokongan banyak pihak pastinya. Kolaborasi tiga suara di satu pentas beradu suara dan jiwa dalam memberi hiburan yang mahal sifatnya.
Namun sebelum sempat ke Istana Budaya Sarah mencipta kenangan manis buat pertama kalinya dalam kembara bermuzinya dia berjaya ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-33. Pastinya untuk hits “Semakin” ciptaan sepenuhnya Shuib yang menggunakan nama pena Mera Utama.
Biar tidak berjaya mendapat tempat teratas dan anugerah lain, Sarah saya kira puas berpentas meniupkan roh “Semakin” yang mewakili harapan barunya bermuzik. Penghayatan sepenuh jiwanya terlihat puas.
Usai fasa “Semakin” Sarah sudah sangat sibuk melewati jadual hariannya sebagai penyanyi juga usahawan produk tudung dan kecantikan. Ya, kerana untuk hidup senang sebagai penyanyi sahaja di Malaysia ini hampir mustahil barangkali membuatkan Sarah mengambil langkah lain untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Atas faktor kesibukan itu juga single kedua Sarah bersama Indigital Music mengambil masa 2 tahun kemudiannya untuk diedarkan. Dan kali ini lebih groove, lebih moden dan lebih Sarah menurut saya. Namun again, pendengar kita masih mahukan “The Ballad of Sarah Raisuddin”.
Maka single yang awalnya berjudul “Dap Dap Dap” (Cipt. YonnyBoii) ditukar kepada “Manis” kerana salah anggap netizen mengaitkan tajuk ini dengan parti politik membuatkan lagu ini bagai tak kena percaturannya. Biar secara peribadi saya sukakan Sarah yang begini – attitude vokal yang sangat baik, lebih groove dan lebih muda. Sarah memang boleh carry lagu-lagu begini.
Tapi begitulah pendengar kita, kalau satu-satu penyanyi itu sudah biasa menghidangkan nasi lemak, jangan sesekali jual roti canai – memang tak laku. Hal-hal beginilah yang membuatkan saya fikir pendengar kita yang kadang tak mahu evolve kerana banyak artis / penyanyi yang mahu menghasilkan sesuatu yang berbeza tetapi dipandang sepi.
Jadi apa rencana selepas itu? Another Ballad.
Kolaborasi bersama Hazama menerusi karya akhir arwah Lok-U dirilis sebagai satu lagi percaturan di tahun 2020. Sebuah naskhah tribute buat seniman yang telah pergi dilantun tanpa masalah Sarah bersama chemistry Sarah.
Sebagai pendengar yang sentiasa mahu dicabar dengan sound bari, “Terakhir Buat Teman” sekadar naskhah biasa sahaja tetapi jika ia dilihat daripada perspektif sebuah tribute lagu ini okey untuk di pasarkan sebagai special project Sarah bersama Hazama.
Sekali lagi harapan saya sebagai pendengar dan penikmat bakat Sarah sejak 2000 mengharapkan lebih lagi moderate Pop dan fast number seperti “Jangan Kau Mimpi”, “Mimpi Pun Sama” dan “Dap Dap Dap” pastinya. Kerana attitude Sarah besar ke arah jaluran muzik begitu.
Namun saya kira Sarah juga belajar daripada pengalaman lalu untuk tidak terlalu mengikut apa yang dia mahu tetapi mencari jalan tengah untuk melakukan apa yang dia suka dan apa yang pasaran mahukan. Dan hal itu juga agaknya menemukan kembali dia dan Ajai menerusi sebuah single baru.
Kolaborasi bersama Shuib berjudul “Semakin Benci Semakin Cinta” menjadi lagu terakhir Sarah sebelum dia meninggalkan kita buat selama-lamanya. Ruang rasa bahagia yang diceritakan dalam lagu ini bergerak sebagai her state of mind ketika itu. Ditafsir dalam melodi Ajai terhasil sebuah melodi cinta yang menjadi anthem kasih sayang Sarah.
Siti Sarah Raissuddin tiada lagi bersama kita.
9 Ogos 2021, menjadi tarikh berduka pengikut dan pengamal muzik tempatan. Siti Sarah Raissuddin tiada lagi bersama kita. Meniggalkan terus dunia seni, meninggalkan terus penggemarnya dalam keadaan yang tiada siapa bersedia untuk menerima perkhabaran itu.
Lahirnya dia menghiburkan kita kurang lebih 2 dekad dengan bakat, dengan kesungguhan. Percubaan demi percubaan tanpa putus asa – dia terus ada biar kadang kita yang lupa dengan keberadaannya yang sentiasa menghiburkan kita.
Sarah sudah tiada itu hakiki, mahu atau tidak itu nyata bukan di bawah kuasa kita. Takdir yang tertulis buat Sarah berat bagi kita tetapi berat lagi buat Shuib, buat Raissuddin Hamzah dan seluruh warga keluarga Sarah.
Coretan untuk Sarah menghiburkan kita biar berakhir tanpa ada lagi melodi baru. Namun hakikatnya suara Sarah akan sentiasa terngiang bermain di ruang fikiran kita semua.
Merelakan pemergian Sarah dengan tidak melupakannya dalam doa itu hal terbaik yang mampu kita lakukan untuk kesinambungan hayatnya di negeri abadi bersama sang pencipta yang pasti akan sangat menyayangi Sarah lebih besar daripada sayang kita semua padanya.
Mengenang Siti Sarah Raissuddin, Al-Fatihah,
Muzik Kita.
ARTIKEL BERKAITAN
Noraniza Idris: Dasawarsa Seni Penyanyi Saduran ke Biduanita Irama Melayu Asli Paling Dihormati