
Untuk melihat bakat muzik wanita menyelusuri jaluran muzik Metal itu sahaja sudah terlalu sukar, apa lagi untuk melihat sekawan wanita berkerudung dengan imej Pop membawa lagu-lagu Metal. Hal ini ada pada Voice of Baceprot, sebuah band yang terdiri daripada tiga wanita berhijab – Marsya (gitar/vokal), Sitti (drum), dan Widi (bass).
Bergerak sebagai sebuah band sejak lebih 8 tahun lalu, kelibat mereka di pasaran muzik mainstream mungkin masih kabur. Pertama sudah tentu kerana muzik mereka itu bukanlah dominan di barisan muzik semasa dan kedua pastinya imej bertudung dan membawakan muzik Metal itu hal yang mungkin sukar diterima terbuka.
Namun atas nama muzik mereka tidak membatas diri untuk terus melakukan apa yang mereka percaya. Metal dipilih bukan kerana mahu tampil berbeza dengan imej begitu tetapi Metal itu sudah menjadi jiwa dan keinginan besar mereka untuk hidup dalam muzik.
“The more we tried to avoid the criticism, distance ourselves from it, it became even more vile. It provoked us to fight back even more bluntly. It kept going to the point where we became so tired,”
Muncul di arus perdana pertama kali menerusi single “School of Revolution” pada tahun 2018, Voice of Baceprot atau VOB menerima pandangan bercampur baur. Ramai menganggap apa yang mereka lakukan itu taboo dan menyesatkan namun tidak kurang juga pengamal muzik yang membuka mata dengan bakat tiga sekawan ini.
Tanpa mahu terus terikat dengan pandangan orang luar, mereka terus bermuzik. Tahun lalu mengedarkan sebuah mini album rakaman langsung berjudul “The Other Side of Metalism” berisi lima lagu yang jika anda tidak terbuka dengan muzik mungkin anda akan skip sahaja.
Saya sebetulnya sangat enjoy menikmati muzik mereka menerusi album rakaman live tersebut. Kredibiliti dan kesungguhan bermuzik tiga anak muda ini jelas. Keinginan mereka untuk membuktikan bahawa mereka serius bermuzik itu boleh didengar menerusi album tersebut. “I Wear My Skin” sebuah lagi suara keras mereka memberi pesan buat orang di luar sana untuk tidak menjadi judgemental. “I wear my skin like it’s not a problem, Or is it a problem for you?”
Lagu-lagu mereka seperti “God, Allow Me (Please) To Play Music” bergerak sebagai wakil suara mereka untuk melakukan apa yang mereka mahu dan percaya. Bait lirik “I’m not the criminal I’m not the enemy, I just wanna sing a song to show my soul.” sebuah jeritan jiwa mereka dalam ‘menghalalkan’ pertembungan Metal dan Kerudung.
Keberagaman bakat muzik Indonesia diraikan dengan cukup baik sekali. VOB hari ini diterima lebih baik dan meluas pastinya dengan keterbukaan pendengar yang lebih matang berbanding ketika awal mereka mula melibatkan diri dalam bidang nyanyian lapan tahun sudah.
Terkini mereka hadir dengan single terbaru “[NOT] Public Property” yang sekali lagi menjual muzik keras mereka dalam lirk “Because, our body is not public property We have no place for the dirty mind.”
Hampir kesemua lagu-lagu VOB berarah pada cerita-cerita memperkasakan wanita dan meraikan kepelbagaian yang ada sesama manusia. Dalam keras muzik Metal mereka itu sebetulnya yang mahu diperjuangkan tetap adalah kesaksamaan tidak kira dalam muzik dan kehidupan secara menyeluruh.
Saya pasti VOB yang hari ini sudah semakin yakin dengan muzik yang mereka bawa. Perlahan-lahan yang tidak pernah mendengar akan ke YouTube melihat mereka dan yang belum pernah peduli akan beralih perhatian. Jika anda masih belum pernah mendengar VOB ini masanya untuk melihat jika anda benar-benar terbuka dalam menikmati muzik.
ARTIKEL BERKAITAN
Standard Pop Dayang Nurfaizah & Amir Masdi Ditinggikan Menerusi “Debu”