
Lagu: Tremendous
Artis: 6ixth Sense
Komposer / Lirik: Adi Priyo / Nawfas / Yoya / Athan / Harry
Lebih 17 tahun lalu kita diperdengarkan dengan rakaman semula “Hari Ini & Semalam” nyanyian asal J. Mizan dalam rendisi Pop Rock yang begitu mencuri perhatian. Setelah kejayaan lagu itu memperkenalkan mereka, 6ixth Sense memenuhi ruang Pop tempatan dengan rangkaian hits yang tidak sukar mencuri perhatian pendegngar muzik semasa.
“Tanpa”, “Khatimah Cinta” dan “Yang Sempurnakanku” menjadi naskhah muzik mengisi portfolio mereka sehingga hari ini. Persona depan kugiran ini, Adi Priyo cukup dikenali dengan suaranya yang sekali dengar we know that is Adi. Dan biar sehingga hari ini rasanya masih belum ada yang sama sepertinya.
6ixth Sense dalam rencana mengembalikan naskhah baru mereka mengambil masa cukup lama sebetulnya. “Tremendous” buah tangan terbaru mereka ini hadir setelah sekian lama tidak tampil dengan sebarang material baru.
Terhasil laju dalam derum deram yang mengejar pantas tempo muziknya, lagu ini terlahir ibarat sebuah siren mereka sudah kembali siap untuk menawan penggemar muzik Malaysia. Diciptakan bersama ahli kugiran ini, “Tremendous” melawan pasaran arus perdana yang nyata didominasi Pop.
Lagu ini datang dengan lintasan muzik J-Pop yang disela-selinya pengaruh Pop Rock yang dominan. Mendengarkan single ini saya kira peminat 6ixth Sense sudah boleh menjangkakan sesuatu yang lebih segar daripada mereka selepas ini.
Semoga usai pemasaran “Tremendous” 6ixth Sense tidak mendiam lama untuk menghasilkan lagu-lagu baru. Melodi Adi ada sakti yang mampu membawa mereka terus relevan dalam pasaran muzik semasa terutama penciptaan Pop Balada mereka yang masih bertaring sekalipun sudah bertahun-tahun diedarkan.
6.7/10
ARTIKEL BERKAITAN
Kembara Reggaeton Andi Bernadee Diteruskan Dengan Single “DU”