Lagu: Mati Rasa Artis: Andien Komposer / Lirik: Andien Aisyah / Nur Satriatama Produser: Nur Satriatama
Penghibur yang cukup sinonim dengan alunan Pop Jazz, Andien merangka kembara bermuziknya lebih 2 dekad dalam acuan yang cukup tersendiri. Tanpa perlu terlalu bergantung pada satu jaluran Pop atau Jazz sahaja, Andien mencuri perhatian pendengar dengan barisan lagu-lagu galaunya yang juga tidak kurang hebatnya.
Setelah beberapa minggu lalu merilis kembali album perdanaya “Bisikan Hati” yang awal diedarkan pada tahun 2000 bersama showcase yang cukup personal, Andien melajukan langkah bermuziknya dengan single terbaru berjudul “Mati Rasa” hasil ciptaan besama Nursatriatama.
Berhasil sebagai lagu galau yang bercerita tentang kekecewaan dan hilang asa dalam usaha mencinta, “Mati Rasa” hadir dalam tempate Balada Andien yang biasa kita dengar tetapi dikemaskan dengan sentuhan muzik yang lebih baik.
Korusnya menjadi killer utama untuk kini menikmati pedihnya rasa dalam galaunya lagu ini. Persembahan vokal Andien cukup sederhana tetapi mencukupi juga melengkapi kehendak melodi yang terhasil. Seperti biasa lagu-lagu begini saya yakin mampu menarik pendengar muzik semasa.
Lagu: Jarak Artis: Aisha Retno & Aziz Harun Komposer / Lirik: Aisha Retno / Glowrush / Romeo Produser: Glowrush / Aziz Harun
Saya melihat kembali kali pertama Aziz Harun melewati pasaran muzik tempatan pada tahun 2014 dengan single “Senyum” yang mencuri tumpuan penggemar muzik tempatan dengan pesona berbeza sebagai singer-songwriter. Dan jika dihitung perjalanannya sejak itu, hampir 10 tahun sebetulnya Aziz sudah mengemudi perjalanan bermuziknya.
Dan sepenjang tempoh itu seperti mana-mana penyanyi lainnya, ada pasang dan surutnya. Begitu juga Aziz namun yang pasti dia antara bakat muda yang cukup konsisten dalam penghasilan lagu-lagu baru tanpa perlu terlalu mahu mengambil kira berapa banyak jumlah views atau apa jualah.
Sehingga hari ini Aziz antara bakat muzik (yang tidak lagi baru) bergerak dalam landskap bermuzik yang semakin matang dan kematangan bermuziknya itu saya percaya bergerak seiring usia, pengalaman dan pergaulan pastinya dalam membentuk siapa Aziz hari ini.
Penghasilan “Hanya Mahukan Bye” tahun lalu bergerak sebagai tanda aras baru muzik Aziz yang lebih dewasa dari segala banyak hal. Muziknya semakin tasteful dan keterampilannya juga semakin baik. Setelah itu satu per satu single diedarkan, antara yang paling menarik pastinya “011”.
Aziz tidak memperlahankan langkahnya, bergerak laju tahun ini, dengan penghasilan album penuh, dia merilis sebuah lagi lagu baru yang buat saya semakin bangga dengan anak muda ini. “Jarak” persembahan duet bersama Aisha Retno is a smart move untuk membawa Aziz ke tahap yang lebih baik sebagai pemuzik.
Lagu ciptaan Aisha bersama Glowrush dan Romeo ini terhasil dalam ilham Pop semasa yang cukup catchy dengan hook yang mengikat pendengaran dengan cukup mudah. Melodinya terhasil cukup baik sekali – Moden, current dan fun. Kunci pada hal penting penghasilan Pop era kini yang baik teruta di bahagian korus yang cukup addictive.
Aisha Retno tanpa ragu memberi persembahan terbaik menerusi vokalnya tanpa perlu menenggelamkan Aziz sebagai pasangan duetnya. Tergabung kemas dan manis – saling melengkapi tanpa ada canggungnya. Chemistry Aisha dan Aziz menjadikan duet ini istimewa sekali. Mereka benar-benar bercerita dalam persembahan santai, sederhana namun amat mencukupi. “Jarak” saya letakkan antara Pop yang baik terhasil tahun ini.
Lagu: Kekal Artis: Syafiq Abdilah Komposer / Lirik: Ikhwan Fatanna / John Jeeves / Omar K / Pique Produser: Omar K / John Jeeves
Gerakan muzik Pop anak muda hari ini semakin hari semakin tinggi kuantitinya. Ada yang datang dengan ilham muzik yang baik, berbekal bakat sederhana dan tak kurang juga yang datang dengan sekadar gimik tanpa ada apa yang boleh dibanggakan.
Nama-nama seperti Aisha Retno, Yuji, Fridaus Rahmat dan Vanessa Reynauld antara yang menarik perhatian daripada segi bakat pastinya mereka mendahului nama-nama lainnya. Dan satu lagi nama yang menarik perhatian saya saat pertama mendengar ialah Syafiq Abdilah.
“Kekal” menjadi percaturan perdananya dalam mencuri perhatian pendengar Pop semasa dalam persembahan Pop romantis yang terhasil dalam pengalaman menikmati muzik yang cukup menyenangkan.
Saya terpesona dengan persembahan vokal Syafiq yang cukup gemersik sekali. Mengingatkan saya saat pertama mendengarkan Andmesh atau Mike Mohede dulu. “Kekal” hadir dalam persembahan melodi manis yang cukup menangkap pendengaran saat pertama mendengarnya.
Lagu ini berbalut kemerduan vokal Syafiq yang menjadi nadi utama untuk kita benar-benar enjoy dengan melodi lagu ini. Syafiq ada potensi besar untuk menawan pasaran muzik nusantara pastinya dengan bakat yang dia miliki.
Semoga setelah single yang satu ini Syafiq bersaama pengurusannya sudah siap untuk menghasilkan lebih lagi lagu-lagu yang semanis “Kekal” kerana konsep begini benar-benar memberi justifikasi untuk alunan merdunya dirasai.
Lagu: Hasrat Artis: Amir Jahari Komposer / Lirik: Amir Jahari
Kelangsungan bermuzik Amir Jahari setelah fasa alter ego HAMBA yang hadir sebagai sebuah konsep pengenalan baru muziknya kembali dihidupkan dan diteruskan lagi tahun ini dengan baik lewat single terbaru “Hasrat“
Lagu yang dihasilkan sebagai pengisian runut bunyi filem “Imaginur” ini hadir dalam ilham muzik Amir yang biasa kita nikmati dalam sebuah pengalaman yang terisi puitis lirik dalam penceritaannya kali ini.
“Hasrat” disiapkan sebagai sebuah Pop yang memiliki elemen Folk dalam acuan bermuzik Amir Jahari yang cukup tersendiri. Melodinya terhasil membuai dan menyentuh perasaan, bonus bagi yang sudah menonton “Imaginur”, lagu ini akan lebih mudah meresapi.
Bait lirik tulisan Amir lewat lagu ini cukup baik sekali.“Jika Hari ini // Ku menghembuskan nafas terakhir // Pedulikah kamu?” terhasil dalam persoalan yang cukup personal sebelum korusnya ditulis dengan lebih baik lagi.“Teriaklah // Sekuat mana pun aku // Suara ini tiada mendengar.”
Amir saya kira sudah boleh dianggap jagoan dalam penulisan lagu Folk Pop begini, penghasilan lagu ini cukup baik sekali dalam kelangsungan menikmati lagu-lagunya yang sebelum ini dan bersambung dengan “Hasrat” sebagai sebuah lagi lagu yang akan diingati dan terus didengari pastinya.
Noreen Noor nama yang cukup popular di era 80-an dalam bidang lakonan juga nyanyian, Noreen Noor diraikan bakatnya dengan cukup meluas. Bidang nyanyian yang diceburi sekitar awal 80-an membuka ruang untuknya bersinar di persada showbiz Malaysia.
Dilahirkan di Singapura, Noreen Noor merakamkan album perdananya bersama syarikat rakaman CBS Records pada tahn 1983 dengan judul “Kepastian” album itu menarik minat komposer juga produser Ahmad Nawab menerbitkan album keduanya berjudul “Air Mata” bersama Akhbar Nawab.
“Air Mata” menjadi album yang memberi titik permulaan baru Noreen menghasilkan lebih lagi album di Malaysia. Dengan komposisi muzik Ahmad Nawab dan S.Atan antaranya menjadikan album terbitan Nawab Production ini lebih dekat dengan pendengar.
Suara Noreen yang cukup bold dan lantang ketika itu disamakan dengan Khadijah Ibrahim yang juga banyak menyanyikan lagu-lagu ciptaan Ahmad Nawab. Muzik di album ini sebetulnya terhasil cukup kuat esen Pop Ahmad Nawab dengan rangkaian Balada, Pop dengan elemen Melayu yang disuntik dalam lagu-lagu yang biasa kita dengar.
“Kumenangis Dalam Tawa” antara yang terhasil dalam ilham tipikal Ahmad Nawab dalam kebanyakan Baladanya. Namun penghasilan lagu ini menarik didengar kerana persembahan vokal Noreen dalam sebutannya yang cukup jelas seperti bercerita dengan cukup bersahaja.
“Kau Tanya Lagi” ada persamaan dengan “Apa Khabar Kau Di Sana” yang pernah dinyanyikan Ramlah Ram. Catchy, fun dengan bait lirik yang mengusik begitu juga dengan lagu seperti “Kawan Dan Teman” yang menjadi sebuah lagi Pop mid-tempo.
“Kehadiranmu” lebih menarik kerana melodinya tidak terlalu meleweh dan korusnya menarik untuk didengar. Vokal Noreen sekali lagi menarik perhatian saya kerana cukup besar dan cukup jelas. Sesekali dia seperti berbisik dalam kemerduan yang dia miliki.
Noreen Noor mungkin salah satu suara 80-an yang agak struggle dalam percaturan bermuziknya membuatkan dia sebetulnya lebih dikenali sebagai pelakon berbanding penyanyi. Melodinya hadir dalam ilham serupa kebanyakan bakat kelahiran Ahmad Nawab dalam idea berulang namun masih tetap diingati sehingga hari ini oleh pengikut muzik 80-an pastinya.
Dayang Nurfaizah melewati era Belagu yang membawa perjalanan bermuziknya ke tahap lebih tinggi dalam memberi satu pengalaman menikmati muzik Pop Klasik tempatan dengan citarasa serba mewah buat pendengar. “Belagu” pertama beredar di fasa pandemik, rakaman langsung 8 lagu yang terisi mengikat pendengar sedia ada untuk menyenangi Dayang pada masa yang sama menjerat pengikut baru muziknya.
“Belagu II” Beredar sebulan lalu dengan satu persembahan bermuzik yang lebih gah pastinya, beriring kemasan string lengkap Budapest Scoring (Tulus, Andi Rianto) dan susunan muzik Aubrey Suwito, album ini menjadi satu lagi langkah besar Dayang meninggikan standard Pop Klasik tempatan.
Bersama produser muzik Aubrey Suwito, Dayang meramu 8 lagi lagu terdahulu dengan kejutan manis menghadiahkan pendengar sebuah lagu baru komposisi muzik terkini Aubrey berbalut puitis lirik Datuk Habsah Hassan diberi judul “Rindu Menyapa”.
Terhasil dalam ilham Classical Pop, “Rindu Menyapa” dilagukan penuh santun dalam kemerduan suara Dayang yang menyatu sempurna dengan kemasan melodi, produksi muzik dan lirik yang cukup indah. Bergerak dalam persembahan Pop yang matang, komposisi muzik begini sinonim saya kira dengan alur melodi karya cipta Aubrey seperti apa yang pernah dia hasilkan buat Salamiah Hassan sebelum ini menerusi “Aku”.
Persembahan vokal Dayang saya kira lebih much control berbanding caranya menyanyikan lagu-lagu Balada dan Pop yang pernah diedarkan sebelum ini. Memahami kehendak lagu dan menyantuni bait lirik yang ditulis, Dayang bercerita dengan cara yang paling baik mentafsir kehendak teks keseluruhan lagu ini.
Penulisan lirik Habsah Hassan menjadi daya pengikat yang baik di lagu ini selain penghasilan melodinya. Bait-bait liriknya disusun kemas dan indah – “Di bibirku namamu bertitian // Ku pendam rindu bersendirian // Kadangkala hampir goyah hatiku // Sering dilanda cabaran berjauhan darimu.” Penulisan begini alur ceritanya hanya Habsah Hassan sahaja saya kira yang mampu menulisnya.
Ceritanya jelas, disusun dengan pemilihan kata yang tidak terlalu kompleks untuk disulam melodi yang cukup grand begini. “Rindu Menyapa” saya kira naskhah yang harus diperdengarkan dalam sabar dan lapang. Melodinya mungkin agak berat jika mahu dibandingkan dengan apa yang ada di pasaran Pop semasa namun ia penting dalam memberi justifikasi buat penghasilan “Belagu II” yang sangat memerlukan sebuah naskhah baru begini.
Album “Mentor” yang beredar di tahun 1994 menjadi antara album rakaman semula terbaik yang pernah dihasilkan dalam sejarah muzik tempatan. Hattan meramu kembali lagu-lagu seperti “Sekuntum Merah”, “Gerhana” dan “Tiara” dalam acuan penuh soul penyampaian vokal terbaik Hattan.
Sehingga hari ini album tersebut menjadi album terpenting dalam kembara bermuzik Hattan. Dan bagi meraikan perjalanan bermuzik yang sudah berdekad lamanya itu, sebuah konsert kolaborasi dua Biduan M.Nasir dan Hattan akan dianjurkan pada Mei dan Jun nanti.
Konsert yang diberi nama “Sifu & Aku 38” ini akan dilangsungkan di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) pada 25 Mei dan di Sabah International Convention Centre pada 1 Jun nanti. “Sifu & Aku 38” adalah sebuah kesempatan emas buat penganjur, Westzone Entertainment (M) Sdn. Bhd dan rakan penganjur, GC Productions.
Peminat yang hadir akan dihiburkan dengan rangkaian lagu-lagu popular dua figura ini seperti Sahabat Gua, Mentera Semerah Padi, Hati Emas, Tanya Sama Itu Hud Hud, Memburu Rindu dan Mahligai Syahdu antaranya.
“M.Nasir dan Hattan mempunyai aura yang sangat kuat dan mampu membuatkan para penonton yang hadir kelak untuk sama-sama merasai aura yang sama. Jadi untuk memastikan kolaborasi ini sempurna, teknikal perlu sama hebat dengan penghiburnya,” Ujar Pengarah Westzone Entertainment, Aiman.
The young and quirky YonnyBoii kembali lagi menghangatkan pasaran muzik Pop tempatan dengan single tebarunya “Sengkek” – sebuah kolaborasi yang sangat diperlukan bersama ALYPH yang turut sama menulis lagu ciptaan Yonny ini.
Usai fasa album terbaiknya “YONNY” yang diangkat sebagai pemenang Album Terbaik Anugerah Industri Muzik yang lalu, YonnyBoii sudah mampu melangkah selesa menyusun satu demi satu perancangan yang pastinya akan beriring jalan yang sangat mudah untuk dia semakin disenangi.
“Sengkek” terhasil dalam sebuah ilham cerita yang cukup personal – gambaran pada sebuah perjalanan bermuzik yang dia jalani susah dan senangnya. Tentang impian, cita-cita dan keinginan yang saya kira cukup dekat dengan ilham muzik Yonny sepanjang dia bermuzik.
Melodinya cukup mengikat (hooked) dengan barisan lirik dalam rima (rhyme) senada yang ditulis dengan cukup mudah kita sebagai pendengar hafal setiap patah barisnya. “Dulu masa aku sengkek, kunyah roti dan kerepek.” sebelum dia menjadi lebih kritis di patah baris “Mana dulu semua tak percaya // Dorang tak nak tengok process // 200K yang ditanya.”
ALYPH mengisi lagu ini sebagai pelengkap bukan sekadar menjadi syarat kolaborasi. Cerita Yonny disambung ALYPH dalam baris “Thanks sebab pandang rendah // Aku suka tengok bila orang bercakap besar, sumpah kelakar.” Yang ditulis cukup sinikal dan berisi.
Rozita Rohaizad muncul di pasaran muzik lewat era 70-an sebagai persona Pop terbaru Ahmad Nawab yang mengendong ilham muzik tipikal yang sudah lebih awal dibawa Anita Sarawak, Noorkumalasari, Uji Rashid dan Sharifah Aini antaranya.
Rozita menerusi debut “Hari Yang Kunantikan” ini diikat syarikat rakaman EMI ketika dibawa oleh Ahmad Nawab untuk bergelar artis rakaman. Menerusi perancangan Ahmad Nawab maka terhasillah album perdananya ini dengan garapan komposisi muzik maestro muzik tersebut juga beberapa rakaman lagu lama yang pernah dibawakan P.Ramlee antaranya.
“Hari Yang Ku Nantikan” sebuah Pop tipikal ciptaan Ahmad Nawab dengan pengaruh Dangdut dalam feel Melayu yang sangat kuat sekali. Saya terganggu dengan style nyanyia Rozita Rohaizad yang kedengaran agak sengau dan pengucapan yang tak kena dalam penyampaian ceritanya.
“Joget Budaya” mungkin antara lagu yang saya kira okey di album ini. Mengambil konteks standard lagu Joget ala Anita Sarawak dengan lirik cheeky and fun dalam latar cerita masyarakat Melay yang banyak kita dengar dalam lagu Sudirman antaranya. It was a fun track but sekali lagi saya gagal enjoy dengan penyampaian Rozita.
“Kini Aku Disampingmu” sebuah lagi lagu yang fun untuk diperdengarkan. Biarpun terhasil dalam ilham serupa yang banyak kita dengar namun setidaknya rakaman muzik live nya begitu membangkit untuk kita sama bergerak dalam momentum muziknya.
“Pergi Tak Akan Kembali” rakaman semula lagu Inggeris yang dialih bahasa yang sekali dibawa dengan gagal oleh Rozita. Vokalnya tiada weight dalam menyampaikan lagu-lagu Blues Ballad begini, kedengaran sangat tidak menarik dan canggung sekali.
Rozita Rohaizad sepanjang karier bermuzinya menghasilkan beberapa buah album yang sekadar angin lalu. Tidak begitu diperkatakan kehebatan bermuziknya dan tidaklah begitu diingati seperti bakat muzik yang seera dengannya.
Lagu: Langit Yang Sama Artis: Dalia Farhana Komposer / Lirik: Dalia Farhana Produser:Amir Firdaus
Suara generasi baru bermuzik tempatan yang beriring usaha memberikan sesuatu yang segar buat pasaran muzik Pop tempatan harus sentiasa diraikan. Biar sebahagiannya masih belum sempurna namun potensi yang ada sangat kuat untuk berjalan dalam jangka masa yang lama.
Dalia Farhana satu daripadanya yang semakin mencuri perhatian pendengar akhiran ini. Persembahan lembutnya menerusi lagu ciptaan sepenuhnya Dalia berjudul “Langit Yang Sama” ini terhasil dalam percaturan Balada dalam puitis lirik yang bagi saya terhasil dalam ilham penulisan yang baik.
Penghasilan melodinya begitu catchy dan sedap didengar, vokal Dalia sederhana belum ranum sedapnya namun masih pleasant didengar. Feel Dalia saya kira boleh jadi lebih baik dengan pengucapan yang lebih bermakna, namun masih ada ruang untuk diperbaiki di masa mendatang kerana potensinya sudah ada.
Mendengarkan lagu ini sambil membaca isi ceritanya saya kira lebih mudah meresap ruang rasa. Bait lirik tulisannya kemas dan puitis – “Ku ditemani bintang dan rintik rintik hujan // Kau ditemani dia yang mampu mengganti.” dan menjadi lebih baik di bait “Dalam angan aku terjatuh.”
Dalia ada potensi yang baik untuk berkembang sebagai pelapis Pop dalam feel Folk yang sederhana seperti apa yang ada di pasaran Indonesia seperti Feby Putri atau Hanin Dhiya jika dia konsisten melepas lagu-lagu begini di masa mendatang.