Noreen Noor nama yang cukup popular di era 80-an dalam bidang lakonan juga nyanyian, Noreen Noor diraikan bakatnya dengan cukup meluas. Bidang nyanyian yang diceburi sekitar awal 80-an membuka ruang untuknya bersinar di persada showbiz Malaysia.
Dilahirkan di Singapura, Noreen Noor merakamkan album perdananya bersama syarikat rakaman CBS Records pada tahn 1983 dengan judul “Kepastian” album itu menarik minat komposer juga produser Ahmad Nawab menerbitkan album keduanya berjudul “Air Mata” bersama Akhbar Nawab.
“Air Mata” menjadi album yang memberi titik permulaan baru Noreen menghasilkan lebih lagi album di Malaysia. Dengan komposisi muzik Ahmad Nawab dan S.Atan antaranya menjadikan album terbitan Nawab Production ini lebih dekat dengan pendengar.
Suara Noreen yang cukup bold dan lantang ketika itu disamakan dengan Khadijah Ibrahim yang juga banyak menyanyikan lagu-lagu ciptaan Ahmad Nawab. Muzik di album ini sebetulnya terhasil cukup kuat esen Pop Ahmad Nawab dengan rangkaian Balada, Pop dengan elemen Melayu yang disuntik dalam lagu-lagu yang biasa kita dengar.
“Kumenangis Dalam Tawa” antara yang terhasil dalam ilham tipikal Ahmad Nawab dalam kebanyakan Baladanya. Namun penghasilan lagu ini menarik didengar kerana persembahan vokal Noreen dalam sebutannya yang cukup jelas seperti bercerita dengan cukup bersahaja.
“Kau Tanya Lagi” ada persamaan dengan “Apa Khabar Kau Di Sana” yang pernah dinyanyikan Ramlah Ram. Catchy, fun dengan bait lirik yang mengusik begitu juga dengan lagu seperti “Kawan Dan Teman” yang menjadi sebuah lagi Pop mid-tempo.
“Kehadiranmu” lebih menarik kerana melodinya tidak terlalu meleweh dan korusnya menarik untuk didengar. Vokal Noreen sekali lagi menarik perhatian saya kerana cukup besar dan cukup jelas. Sesekali dia seperti berbisik dalam kemerduan yang dia miliki.
Noreen Noor mungkin salah satu suara 80-an yang agak struggle dalam percaturan bermuziknya membuatkan dia sebetulnya lebih dikenali sebagai pelakon berbanding penyanyi. Melodinya hadir dalam ilham serupa kebanyakan bakat kelahiran Ahmad Nawab dalam idea berulang namun masih tetap diingati sehingga hari ini oleh pengikut muzik 80-an pastinya.
ARTIKEL BERKAITAN