Usaha menghidupkan kembali lagu-lagu terdahulu sudah diusahakan dalam pelbagai cara sebetulnya. Dari era lagu-lagu filem hitam putih sehingga berganti jaluran muzik di era Pop Yeh Yeh ke Disco juga City Pop mahupun Hip-Hop di era baru semuanya sudah dilaksanakan dengan idea yang beragam.
Manipulasi muzik terdahulu menjadikan ia satu bunyi yang baru cukup dominan dilalukan di era 2000, era di mana kita melihat kebangkitan muzik R&B Soul di tangan Ferhad, Innuendo, Ruffedge juga V.E merakamkan kembali lagu-lagu di era 80-an dengan feel serta citarasa muzik current mengikut latar masa diedarkan.
KRU antara yang banyak memberi evolusi dalam muzik bagi menghidupkan lagu-lagu terdahulu. Masih ingat manipulasi “Getaran Jiwa” bilamana mereka menghidupkan kembali P.Ramlee dan penyatuan dua lagu dalam satu (Mash-up) menerusi hits 80-an “Perpisahan” dan “Terasing”?
Idea besar dalam memberi nafas baru bagi lagu-lagu lama banyak dilakukan juga Datuk Ahmad Nawab dalam menghidupkan lagu-lagu awal ciptaannya bersama Ramlah Ram dalam satu album dedikasi berbentuk medley yang dirakam semula dengan adunan baru yang tidak terlalu mmengubah ilham asal yang berganti cuma suara pelantunya sahaja.
Bercakap soal Datuk Ahmad Nawab pasti saja kita tidak akan lupakan penghasilan album “Syyhh..” daripada Syafinaz yang menghidupkan kembali lagu ciptaan legendary itu dengan cara yang paling berbeza, berani dan current sekali penghasilannya. Lagu-lagu sepert “Rindumu Rindu” diubah terus daripada ilham lagu asal mennjadikan ia naskhah bserba baru yang memberi pengalaman menarik menikmati idea rakaman semula.
Sheila Majid bersama batalion muzik “Legenda” yang dikepalai Roslan Aziz meninggikan standard muzik P.Ramlee dengan ilham yang cukup classy. Penghasilan muziknya bersifat evergreen dan biar sehingga hari ini masih relevan untuk diperdengarkan dan tidak putus diperkatakan peminat muzik P.Ramlee juga Sheila Majid.
Muzik Kita menerusi saluran muzik YouTube “Getaran Nostalgia” membawakan anda antara rakaman semula terbaik yang pernah dihasilkan daripada barisan pemuzi, di era 90-an dan 2000 yang pastinya diingati sehingga hari ini.
GETARAN JIWA (KRU & P.RAMLEE)
KRU Menghidupkan kembali “Getaran Jiwa” dalam sebuah persembahan yang cukup kontroversi ketika diedarkan. Banyak yang memberi respons bercampur baur ketika ia diedarkan namun yang pastinya masih diingati sehingga hari ini. Produksi muzik baru yang dipersembahkan tiga bersaudara ini benar-benar memberi satu nafas cukup segar muzik tempatan di era 90-an.
KASIH BERUBAH (FERHAD)
Azlan Abu Hassan meramu kembali lagu ini dengan kemasan muzik yang begitu soulful sekali. Pengalaman menikmati muzik R&B Soul tempatan benar-benar dirasai menerusi persembahan matang Ferhad sebagai penyanyi. Terserlah sekali kelebihan Ferhad untuk menyinar dengan baik sekali gus memberi nilai tambah yang tinggi pada lagu asal persembahan Flybaits ini. one of the best yang pernah terhasil.
BELAIAN JIWA (INNUENDO)
Belaian Jiwa definitely one the most memorable remake. Lagu ini saya kira sudah mewakili banyak generasi berganti yang masih didengar dan dinikmati sehingga hari ini. Vokal sekumpulan anak muda ini ketika single ini beredar di tahun 1999 begitu menghantui sekali. Ramuannya begitu merasuk sehingga ada yang menganggap ini original song daripada Innuendo. One of the best in history.
SYAFINAZ (RINDUMU RINDUKU)
Syafinaz bersama Ahmad Izham Omar mengubah terus struktur lagu asal dengan pengaman menikmati muzik R&B tempatan dengan sangat genius. Melodi asalnya tidak diubah cuma struktur jaluran digubah semula dengan begitu menarik sekali. Saya ini pasti akan sentiasa diingati semua.
GETARAN (ANITA SARAWAK)
Anita Sarawak merakam kembali “Getaran” nyanyian asal Famieza dengan attitude muziknya yang tersendiri. Keseluruhan lagu ini hidup kerana Anita sendiri yang cukup dominan menunjangi lagu yang dikemaskan kembali susunan muziknya lebih groove.
KHAYALAN (RUFFEDGE)
Lebih awal dirakam Earth, Wind & Fire sebelum versi Melayu dinyanyikan Black Dog Bone, Ruffedge hidup dalam nyawa lagu ini untuk mereka terus diingati sehingga hari ini. Momentum muziknya dimodenkan dengan cara Ruffedge yang cukup menambah energi berbeza di lagu ini. Korusnya biar berulang-ulang masih dirasai dinamik yang berbeza.
SEPI SEKUNTUM MAWAR MERAH (V.E)
Harmoni vokal V.E memberi kelebihan untuk lagu ini bergerak dalam sebuah nuansa Soulful Ballad yang begitu indah sekali. Gabungan suara kesemua ahlinya benar-benar menghidupkan semula “Sepi Sekuntum Mawar Merah” sebagai sebuah lagu yang berbeza daripada versi asal. Kemasan muziknya begitu baik dalam memberi justifikasi feel V.E dalam mengalunkan melodi asal nyanyia Ella ini.
MALAM KU BERMIMPI (SHEILA MAJID)
Jenny Chin mewarnakan kembali “Malam Ku Bermimpi” dalam sebuah nuansa yang diubah 180 darjah. Daripada sebuah melodi mid-tempo pada lagu asalnya ia menjadi sebuah Soulful Ballad yang cukup menawan. Dibaluti vokal merdu Sheila yang melatari keseluruhan lagu, lagu ini contoh cemerlangsebuah lagu saduran yang meninggikan standard lagu asal ke tahap yang lebih baik.
JAUH DI MATA (ELLA)
Ella merakamkan kembali lagu ini dengan ramuan yang cukup “Ella” sifatnya. Sebuah persembahan Klasik Melayu asli dalam rencah muzik Ella yang memberi pengalaman menarik menikmati lagu ini. Diterbitkan menerusi album “Ilham Bicara” lagu ini diiringi gesekan violin Emmet (Butterfingers) dan gitar emas Hillary Ang daripada band Cromok.
RELA (AISHAH)
Lagu asal nyanyian Rahim Maarof berjudul “Redha” ditukar menjadi “Rela” dalam persembahan muzik yang lebih mellow dan sebati dengan persembahan vokal Aishah. Disusun semula oleh Jenny Chin, lagu ciptaan Adnan Abu Hassan ini antara Balada yang terhasil menarik tetapi agak underrated dan tidak begitu diraikan ketika diedarkan.
ARTIKEL BERKAITAN
Getaran Nostalgia: “Warna” Sebuah Persembahan City Pop Terbaik Sheila Majid