
Bergerak secara indie dengan kemasan muzik yang dilakukan semuanya secara sendiri tidak mematahkan semangat kugiran bergelar SEGI dalam menghasilkan muzik yang berkualiti. Bermula dengan single “Adinda”, “Broken” dan “Survival” yang beredar awal tahun ini, Segi meneruskan langkah dengan single terkini mereka.
Lagu yang berjudul “Cahaya” ini dihasilkan dalam usaha mereka menampilkan sisi positif dalam penulisan lirik khususnya. Lagu yang juga merupakan kesinambungan lagu terdaulu mereka “Survival” yang mengangkat tema serupa.
Memberi sentuhan segar dan kelainan kali ini, Segi menampilkan pemuzik undangan Griesh menerusi single ini yang mempertaruhkan sub genre elektronik dan Pop Rock yang disatukan bagi memberi nafas segar lagu ini.
“Pemilihan jenis muzik adalah cara kami untuk mempelajari lebih banyak tentang apa yang membuatkan sesebuah karya itu berkesan. Ia bukan sekadar mengikut peredaran zaman yang dilihat lebih cenderung kearah muzik Pop, RnB dan Elektronik; namun ia lebih kepada mencabar keupayaan kami sendiri untuk berkarya dalam apa jua situasi atau persekitaran.” Tambah mereka.
Sudah beredar di semua gedung muzik digital 21 Jun lalu, “Cahaya” kini boleh dinikmati semua pendengar.