
Lagu: Aku Takkan Mampu
Artis: Saiful Rizal
Komposer / Lirik: Raja Nazrin Shah / Shana Razman
Pasaran muzik hari ini yang memiliki akses mudah untuk pemuzik juga penyanyi baru berkongsi ilham muzik mereka dengan pendengar membenarkan kebebasan bermuzik itu bergerak lebih luas. Satu demi satu nama baru diperkenalkan bergerak secara sendiri dan tak kurang yang diperkenalkan label besar.
Menyelongkar pasaran muzik indie sahaja buat saya sudah tercungap nak catch up, banyak sangat. Kalau ada yang tidak berkongsi info, banyak sebenarnya yang kami terlepas. Nama Saiful Rizal satu daripadanya yang hadir sebagai persona baru muzik yang bergerak sendiri menjual muziknya.
Menghadirkan single perdana dengan judul “Aku Takkan Mampu” anak muda ini melepaskan jiwa(ng) dan bunga kecewanya menerusi lagu karya ciptaan Raja Nazrin Shah dengan lirik tulisan Shana Razman. Siap sebagai sebuah pertaruhan Indie Ballad dengan feel Folk dalam penyampaiannya.
Seawal lagu ini dibuka saya pantas mengingatkan lagu-lagu dari album solo Noh Salleh sebelum arusnya bergerak membawa saya larut ke era muzik 80-an di mana karya-karya lagu dalam filem seperti Langit Petang, Esok Untuk Siapa yang kebanyakannya ditulis mewah Ahmad Nawab.
Dan berbicara tentang sudut mewah dalam muzik, hal itu sahaja yang saya kurang dapat daripada lagu ini. Kemasan muziknya jika beriring full string saya pasti akan menjadi besar jiwanya. Namun saya faham bergerak sendiri itu pastinya banyak kekangannya berbanding bersama big label.
“Aku Takkan Mampu” percaturan yang okey. Ada daya pemikat dan masih sedap untuk didengar. Saya enjoy dengan solo trumpet di bahagian tengah lagu ini yang sensual sekali bunyinya. Dari sudut nyanyiannya saya kira banyak ruang untuk Saiful perbaiki terutama menambah lebih sedikit rasa dalam pengucapannya yang agak dry di beberapa bahagian.
6/10
ARTIKEL BERKAITAN