
Lagu: Alif
Artis: Siso
Komposer / Lirik: Siso / Alim Gutrah
Pasaran muzik Puisi tempatan bergerak sangat perlahan dengan kurangnya minat anak muda hari ini meneruskan usaha yang sudah dilakukan senior-senior muzik seperti Kopratasa, Zubir Ali dan kalau ada yang terakhir kali mungkin Wanji Aswandi dan kumpulan Sang.Rawi juga Mafidz.
Siso nama yang cukup sinonim dengan trio muzik Kopratasa juga merupakan seorang penulis lirik lagu-lagu patriotik yang aktif. Bermula dengan lagu Keranamu Malaysia, Jalur Gemilang, Bunga Raya dan terbaru Sehati Sejiwa menjadikan Siso seorang penulis lirik yang banyak menyumbang idea untuk lagu-lagu patriotisme.
Bergerak solo sebagai penyanyi dia menghasilkan single terbarunya berjudul “Alif” yang melodinya terhasil daripada puisi tulisan Alim Cutra. Menyingkap tema kerohanian dalam bait-bait manusiawi yang tersusun kemas.
Lagu ini dibuka dengan deklamasi puisi Siso dengan tenaga yang cukup baik sebelum lagu sebenar bermula yang bergerak dalam standard teks melodi lagu-lagu puisi yang biasa kita dengar. Mendengar single ini saya kira harus beriring kefahaman konteks liriknya.
“Alif” membuka isi cerita tentang fungsi dan tujuan hidup kita sebagai manusia di muka bumi ini – antara penghayatan alam duniawi dan arah pengakhiran hidup yang pasti. Isu-isu begini saya kira berat untk pendengar muda khususnya namun ia naskhah yang perlu ada.
Lagu ini yang asalnya diberi nama Khalifah Insani. Datangya ilham secara tiba-tiba melihat perkataan Alif di ruangan tengah perkataan Khalifah. Ibarat Alif yang satu, tegaknya berdiri tidak sesekali condong ke kanan atau kiri. Sifat yang wajib ada dalam diri seorang pemimpin berjiwa Melayu dan Islam. Jangan sesekali rebah dengan 3 ta iaitu tahta, harta dan wanita.
ARTIKEL BERKAITAN
Gerakan Jazz Fairuz Hussein Diteruskan Menerusi Single “Antara Seribu”