
Nama Bil Musa di pasaran urban tempatan saya kira sudah semakin kukuh dengan portfolio muziknya yang berawal dengan debut self-titled pada tahun 2015 dengan barisan hits seperti “The Beach” dan “I Would Die” yang tampil ilham indie-akustik yang memikat dengan angelic voice yang dimilikinya.
Perjalanan muzik Bil Musa semakin meyakinkan ketika dia menghasilkan album kedua “Young Adult” yang semakin baik penghasilannya. Saya pernah menulis review album tersebut dan menyifatkan ia sebagai sebuah naskhah “The Grown-up Bil!” yang semakin matang muziknya.
Lagu-lagu seperti “No More Excuse”, “Sejarah”, “4 AM” dan lainnya benar-benar meninggikan standard muzik Bil Musa ke tahap yang membanggakan. Penghasilan “Young Adult” ketika itu memberi satu gerakan yang bagus untuk pasaran muzik tempatan untuk lebih ke depan.
Setelah itu, bersama Yuna Room Records dia menyusun langkah bersama produser muzik kolaboratif Pop – MFMF. dalam menghasilkan single “Flashes” yang sekali lagi dihasilkan dengan cukup current, bervisi dan ke depan.
Terkini, Bil Musa sekali lagi bersama MFMF. menghasilkan sebuah single berbahasa Malaysia dengan judul “Pikachu (Aku Pilih Kamu)” yang dicipta sepenuhnya oleh Bil sendiri.
Lagu yang tampil dengan ilham Lofi R&B ini tampil mempesona dengan jalinan cerita anak muda yang ditulis cukup sweet menerusi liriknya. Bait “Janji kepadaku walau musim berlalu, kau akan sentiasa berada di sampingku.” saya kira dilantun jujur Bil sebelum bertanya “Ku hanya ada satu soalan, adakah aku jadi pilihan kamu juga?”
Bil Musa saya kira cukup jelas dengan visi muziknya sekarang dan tidak salah jika saya katakan Bil antara bakat solo wanita yang mampu meletakkan standard muzik lokal ke tahap yang cukup membanggakan hari ini.
7.5/10
ARTIKEL BERKAITAN
#NewMusicFriday – “Passin’ Thru” Naskhah Pop Segar MFMF Bersama Daiyan Trisha