
Faizal Tahir bergerak sebagaI Pop Star tempatan dengan cukup konsisten. Portfolio muziknya bergerak matang biar hanya berlegar pada ilham signature muziknya dia tetap bereksperimen dengan bunyian baru bagi memberi kesegaran dalam produksi muziknya.
Banyak hal yang saya kira jika anda seorang penyanyi baru boleh belajar daripada gerakan muzik Faizal Tahir – cara dia menyusun perkembangan karier, pengeluaran single yang dikumpul sehingga menjadikan satu album penuh sehinggalah bergeraknya dia sebagai komposer yang paling on demand hari ini.
Mungkin kerana strategi mengeluarkan album penuh secara terus tidak begitu menguntungkan (Rujuk penghasilan album 2013) membuatkan FT menyusun satu strategi baru bermula di single “Assalamualaikum” sehingga duet bersama Siti Nurhaliza menerusi “Dirgahayu” disatukan dalam album berjudul “Anatomi” (2016).
Dan idea mengeluarkan single demi single terlebih dahulu itu diteruskan dengan penghasilan album berjudul “Rojak” yang baru siap beredar Jumaat lalu, 2 Ogos 2019. Album yang berisi hits seperti “Ragaman” ini menampilkan 13 trak lengkap termasuk rakaman live, demo dan outro.
Cara saya mendengar “Rojak” adalah dengan tidak begitu mengendahkan konsep single demi single yang dibikin FT menerusi projek album ini. Bukan apa, saya mahu menikmati sebuah album itu secara segar tanpa merasa seperti mendengar sebuah album kompilasi. Mungkin cara ini agak konvensional tetapi namanya juga album penuh saya mahu menikmati seperti kali pertama mendengarnya.
“Ragaman” hits dengan jumlah strim melebihi 3 Juta di Spotify menjadi pembuka album ini. Pertaruhan yang cukup berbeza dengan apa yang pernah kita nikmati sebelum ini. Pop progresif FT bergerak menjadi lebih retro. “Ragaman” saya kira benar-benar dicipta untuk pasaran semasa, ideanya tidaklah terlalu original tetapi lebih berfokuskan pemasaran – lengkap dengan muzik video yang pastinya mengundang suka ramai orang.
Pada tahap ini saya kira FT tidak lagi melihat muzik sebagai sebuah naskhah lagu semata tetapi sebagai sebuah produk yang harus dipasarkan dengan satu strategi besar-besaran bagi memikat pendengar dengan skala yang lebih besar pastinya.
Album ini diteruskan dengan tiga lagu yang begitu powerful bagi saya – penciptaan melodi dan produksi muzik. “Ratu”, “Starfeather” dan “Kamu” yang meletakkan standard muzik FT di tahap yang semakin baik bagi meneruskan apa yang pernah diusahakan sebelum ini – “Karma”, “Selamat Malam”, “Sejati” dalam satu persembahan muzik yang cukup matang, tersendiri.
“Kamu” (Ezra Kong / FT) tampil dalam satu energi muzik yang cukup dasyat. Berawal intro keras dengan feel soulful yang dimodenkan diteruskan dengan penciptaan melodi yang solid. Lagu ini semakin baik di bahagian verse kedua dan korusnya yang merupakan killer lagu ini. Saya puas mendengarkan produksi rakaman lagu ini. Lima bintang!
Begitu juga dengan “Ratu” (FT / Mage / Mike Chan) yang tampil dalam ilham piano pop yang dikuatkan dengan penciptaan melodi juga lirik. Persembahan vokal FT saya kira paling jujur dan dirasai di lagu ini. Bait “Maafkan aku tak termampu membohongi lagi diriku…” begitu puitis dan beremosi sekali.
“Bisa Aja” menarik cuma saya kira terlalu mengingatkan saya pada lagu “Itu Kamu” Sheila On 7 tapi masih boleh layan la, melodinya mudah melekat dan penulisan lirik di korusnya itu memang mudah dihafal. “Bisa aja telefon di cellphone, bisa aja telefon selalu…”
Album ini turut diisi dengan 4 lagi lagu yang saya kira sedikit mematikan momentum album ini. Saya berhenti di “Bisa Aja” kerana 20 minit berikutnya tidak begitu memberi kesan dan kepuasan untuk saya sebagai pendengar selain demo “Ratu” yang interesting juga penerbitannya.
FT saya kira di album akhirnya ini sudah siap untuk bergelar legenda muzik yang akan menjadi rujukan bakat-bakat baru khususnya. Muziknya tersendiri dan tidak dibayangi mana-mana pemuzik lainnya. “Rojak” akan dikenang dan dilihat sebagai sebuah lagi naskhah yang akan didengar biar sepuluh atau dua puluh tahun mendatang.
7/10
ARTIKEL BERKAITAN