
Nama Nassier Wahabb hadir dalam populariti soloist Balada tempatan yang banyak mengisi siaran radio RTM khususnya seperti Ibnor Riza, Adam Ahmad dan Razis Ismail yang menjual Balada 80-an yang sedih mendayu.
Pesona Nassier ketika itu saya kira benar-benar dibantu vokalnya yang kedengaran lebih ‘muda’ dan segar ketika itu dengan wajah tampan yang pastinya menjerat rasa pendengar wanita.
Maka dengan sakti-sakti itu Nassier diterima mudah pasaran Pop 80-an. Lagu-lagunya sebetulnya sama sahaja konsepnya dengan apa yang tersedia namun dek kerana kelebihan lain yang ada padanya dan tiada pada penyanyi lelaki lain ketika itu memberi added value untuk dia bersinar.
Album ketiganya “Sekali Aku Jatuh Cinta” melonjakkan nama Nassier di peringkat yang lebih baik dan popular. Album berisi 10 lagu ini diedarkan pada tahun 1988 di saat pasaran muzik tempatan sudah mahu berubah dengan sound lebih current di tangan produser seperti Micahel Veerapen, Susan Goh dan Roslan Aziz menerusi penampilan Famieza, Sheila Majid dan Fran.
Jadi jika saya membesar di era tersebut lag-lagu di album ini sebetulnya saya kira lapok dan tak bervisi sama seperti kebanyakan Balada meleweh yang berlambak hari ini. Namun Nassier yang bergerak dalam lapangan muzik begini meneruskan apa yang sudah diatur barangkali.
Album ini dibuka dengan duet Nassier bersama Ramlah Ram “Susah Senang Kita Bersama” hasil ciptaan Datuk Ahmad Nawab dan lirik Juwie yang terhasil cukup dalam ilham tipikal komposer ini yang seakan mahu mencipta the next Sharifah Aini dan Broery in the 80’s.
Lagu ini didengar kembali hari ini saya kira agak nostalgik dengan padanan vokal ikonik dua bintang Pop ini benar-benar memberi kelebihan untuk menambah lagi elemen nostalgia di lagu ini. Sesekali mendengarkan lagu begini saya kira agak menyenangkan juga.
Nassier menerusi album ini bergerak sebagai sebuah tempalte Pop 80-an yang kita sudah faham isi kandungannya akan bergeak bagaimana. Lagu -lagu seperti “Untukmu Kekasih”, “Insan Tersayang” dan “Sepinya Perjalanan Ini” datang dengan idea Balada yang sudah biasa kita dengar.
Album ini benar-benar bergerak sebagai sebuah representasi Pop 80-an yang tersangkut dengan ilham muzik 70-an Ahmad Nawab yang tidak berevolusi. Hadir di saat kumpulan Freedom dan Headwind yang sudah bereksperimen dengan sound Pop yang baru dan segar.
Namun masih memiliki penggemarnya, lagu “Sekali Aku Jatuh Cinta” menjadi lagu cari makan Nassier yang pastinya akan dinyanyikan di mana-mana persembahan pentasnya. Suaranya baik melengkapi melodi Ahmad Nawab dalam feel Melayu yang sentiasa akan disukai mass market.
Nassier dalam beberapa siri albumnya menggunakan formula serupa. Balada, dangdut dan pengaruh muzik Hindi (Yang kesemuanya gemilang di era Ahmad Nawab) menjadi nadi utama dalam muziknya. Kesemua lagu-lagu di album ini boleh didengarkan secara rasmi di Saluran YouTube “Getaran Nostalgia”.
4/10
ARTIKEL BERKAITAN