
Standing In The Eyes of The World yang ditulis Wah Idris bersama vokalis kugiran asal Amerika Syarikat, David Gates daripada kumpulan Bread mencipta satu impak sempurna dan ikonik Sukan Komanwel 1998. Ella dilihat sebagai pelantun paling sempurna mengalunkan melodi yang cukup hebat tersebut.
Selepas itu, kita masih berkira-kira dalam menghasilkan pop patriotik (saya sebut sebagai Poptriotik) untuk diketengahkan. Sama ada kita tidak punya material yang bagus untuk diketengahkan atau kurangnya minat terhadap lagu-lagu begini.
David Gates turut merakam lagu ini dalam versinya selain remake sempurna V.E bersama Ella, Too Phat, Ruffedge dan Sazzy. Susunan muzik diubah dengan feel gospel blues dan hip-hop dimasukkan unsur koir yang cukup harmoni.
APA YANG PERLU ADA DALAM SEBUAH ‘POPTRIOTIK’?
Bercerita tentang melodi Poptriotik, apa yang penting adalah penulisan lirik yang positif selain pemilihan melodi yang kuat daripada segi susunan muzik. Rujukan paling mudah adalah gospel blues dan pop dalam kebanyakan lagu-lagu barat.
Namun jika ingin dikatakan tiada melodi melayu yang mampu dibikin menjadi naskhah Poptriotik, Sudirman lebih awal menyulam jiwa melayu dalam Warisan begitu juga Aishah dalam Bahtera Merdeka yang menjadi lagu patriotik paling ikonik sehingga hari ini.
Tahun 2000, karya Azlan Abu Hassan berjudul Pengorbanan gabungan duo Liza Aziz dan Azlina Aziz mengisi runut bunyi filem Leftenan Adnan. Melodi sempurna Azlan ini hadir susunan string yang cukup hebat sekali dengan susunan bait lirik yang menyentuh.
Generasi baru seperti Altimet dan Faizal Tahir mencipta satu nuansa lebih moden dan seiring dengan pasaran semasa. Lagu berjudul Negaraku yang dirilis sekitar tahun lalu saya sifatkan sebagai lagu terbaik selepas era Standing In The Eyes of The World.
Gabungan FT bersama Altimet, Joe Flizzow dan SonaOne mencipta nuansa pop semangat yang cukup hebat sekali. Jujur saya goosebump setiap kali mendengarkan lagu ini. Semangat spiritual yang dicipta dalam lagu ini cukup bagus.
Adibah Noor dan Dina juga ada merilis single berjudul Malaysia Kau Ku Cinta dan tahun lalu gabungan Jaclyn Victor dan Hafiz Suip berjudul Aku Negaraku juga mendapat perhatian radio semasa. Melodi Pop up tempo begini saya kira cukup baik dalam menyemarakkan semangat patriotisme.