
Album studio perdana yang diedarkan pada tahun 2014, Angin Kencang membuka satu haluan baru arus muzik perdana. Noh Salleh yang asal bergerak sebagai penyanyi hip-hop kemudian menjadi indie rock star sekali lagi beralih pada satu genre yang lebih dewasa dan ‘berat’.
Saya tidak pasti jika ada pemuzik muda yang begitu berani selain Noh dalam menghasilkan sebuah album yang seberat ini. Jika di negara seberang pasaran muzik begini bukan sesuatu yang baru. Nama seperti Sore, Payung Teduh, Pandai Besi, White Shoes, Float atau Mondo Gascaro bukan nama asing dalam legasi muzik sebegini.
Feel jazz dan psychedelic pop dalam Angin Kencang cukup tebal dan saya kira album tersebut masih antara album terbaik dan paling yang pernah diterbitkan pada tahun 2014. Selepas itu, Noh diam tanpa sebarang rilis baru namun nyata diamnya bukan diam kosong.
Awal Ogos lalu Angin Kencang dilancarkan semula dengan kejutan 3 lagu baru yang saya sifatkan sebagai maha dahsyat. Tiga lagu tersebut adalah Mr. Polia (Noh Salleh / Sigit Pramudita), Sarawak (Noh Salleh) dan Renjana (Noh Salleh / Rahne Putri).
Apa yang menarik perhatian saya tentang 3 lagu terbaru ini adalah kualiti produksi yang bukan biasa-biasa. Noh buka mata saya untuk melihat dia sebagai pemuzik yang serius – tiada lagi “pagi yang gelap kini sudah terang” atau “waktu duka dulu kita lalui bersama”
Semuanya dibikin cukup puitis sekali. Bait-bait penulisan lirik dalam tiga lagu ini disusun begitu cantik sekali. Daripada romantisme Renjana – “oh renjana bergelora menyeduh hangatnya jiwa sepi air mata” sehingga bait-bait indah dalam Sarawak buat saya melayang.
Kemasan susunan string dalam album ini yang dikendali oleh Alvin Witarasa cukup hebat sekali. Dan album ini diproduksi bukan calang-calang produser. Andink Pratama (The Upstairs) dan Ramondo Gascaro (Mondo Gascaro).
Saya kira kita harus berterima kasih pada Noh, di saat terlalu banyak bakat baru yang tampil dalam idea “Pop Achik & Nana” dan bakat lama yang hanya selesa untuk diam di rumah, Noh setidaknya menjentik tidak banyak, sedikit sesuatu yang lebih serius dan solid.